Jom Buat Duit

Sunday 2 December 2012

Saya bukan bodoh - Anzalna

'DUMB BLONDE' sama sekali bukan ungkapan pujian sebaliknya ia tidak ubah suatu penghinaan tahap sinikal. Secara nyata, istilah popular itu menjurus ke arah kelibat wanita cantik yang berambut perang malangnya berotak dungu.
Tersenyum sambil jari-jemarinya memintal ekor rambutnya yang hitam berkilat, Anzalna Nasir cukup sedar pembawaan dirinya sedang diperhatikan. Pertimbangan akalnya juga sedang teruji, walhal benaknya langsung tidak mahu terganggu oleh isu remeh.

"Saya langsung tidak marah tapi tidak boleh ambil perkara itu sambil lewa. Saya tidak boleh buat tidak tahu sahaja. Jolokan sebegitu agak melampau. Rasanya saya tidak boleh terlalu berlembut dalam soal itu, kena ada juga sedikit ketegasan," ujarnya menggeleng-gelengkan kepala menahan tawa yang hendak terlerai.
Itulah Anzalna. Dia baru sahaja menerima tempias kononnya antara artis kategori dumb blonde iaitu wanita cantik tapi dungu.

"Rasanya orang yang suka-suka hati gelarkan orang lain sebagai bodoh itu tidak faham maksud sebenar dumb blonde. Sewaktu saya di kolej di Australia dahulu, memang ada ramai gadis yang hot tapi kurang bijak dalam bab akademik. Saya faham sangat dengan gelaran dumb blonde, tapi saya bukan begitu.

"Saya masuk universiti, belajar sampai lulus, keluarga saya semua berpelajaran dan satu lagi, rambut saya hitam bukan perang. Suka-suka nak panggil saya dumb blonde tapi tak faham maksud perkataan itu," katanya.

Jika perwatakan luarannya yang mudah tertawa, karakter itu tidak bermakna dia jenis wanita yang tidak boleh berfikir dengan bijak.
"Kalau nak berlagak, saya boleh tunjuk pandai tapi itu bukan sifat saya. Kalau orang kata saya lembut dan tidak tegas, memang saya begitu. Rasanya cukuplah saya jadi diri sendiri. Kalau saya gemar ketawa sekali pun, salah ke?

Tolak tawaran hidup mewah
"Untuk apa saya kena tunjuk muka angkuh semata-mata mahu dilihat bijak atau disegani.
"Kalau nak berangan pandai, saya boleh sahaja cakap dalam bahasa Perancis tiap-tiap hari, tapi untuk apa? Hidup saya setakat ini okey, tidak ada perkara yang perlu saya sedihkan," ucapnya.
Terdetik juga di hati, mungkin bagi sesetengah pihak, apa yang dituturkan itu sekadar gurauan biasa. Bahasa penulisan sesetengah media yang menerbitkan artikel itu pula dianggapnya sebagai pengisi cerita untuk menjadikan ia menarik ditatap pembaca.

"Saya kena faham permainan dunia artis. Dua filem saya ditayang secara berturutan. Mungkin sebab tiada cerita lain, jadi isu itu yang sengaja diangkat. Saya masih okey. Apabila masih ada yang bercakap tentang saya maksudnya saya masih ada dalam perhatian mereka," simpulnya ringkas.
Menoleh kehidupan peribadinya selama bergelar pelakon, pucuk muda berusia 24 tahun ini sudah melalui episod kontroversi yang menjengkelkan. Kisah perang dingin bersama bintang popular, si cantik Neelofa sudah diselesaikan secara terhormat.
Dia kelihatan menurunkan serendah-rendah egonya. Dia telah meminta maaf dan mengakui kesalahan agar kes tidak berlanjutan ke mahkamah.



Sengaja diselitkan juga keterbukaan Anzalna mencanangkan satu negara bahawa hatinya sudah dimiliki seorang jejaka bernama Hanif Zaki. Statusnya solo tetapi sudah dimiliki. Dari satu sisi, strategi itu mengelakkan Anzalna daripada tercalit tempias kisah cinta sesama artis.

Gosip liar mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki selain Hanif juga tidak kedengaran. Hanif seolah-olah membentuk satu benteng menjadikan pembawa karakter perempuan jalang bernama Dee dalam siri Adam dan Hawa itu seperti jinak-jinak merpati. Dia manja dan meliuk-lentok tetapi usahkan termakan jerat, didekati lelaki lain pun dia enggan.

Melihatkan paras jelita yang dianugerahkan kepadanya, mana mungkin tiada yang melirik hendak melamarnya.
"Kalau fikir hendak senang dan hidup mewah dengan mudah, memang peluang itu sentiasa terbuka. Bukan mahu cakap besar, tapi tawaran ke arah itu memang ada. Antara mahu atau tidak sahaja. Siapa yang tidak mahu rumah atau kereta mewah secara percuma tapi ada 'bayaran' lain yang harus dijelaskan untuk semua itu.

"Setakat ini, dengan duit hasil berlakon, saya sudah boleh hidup berdikari dan penuhi impian sendiri," tuturnya sambil memberi isyarat tentang banyak muslihat lelaki hidung belang yang datang dan pergi sepanjang bergelar selebriti sejak menyertai Dewi Remaja lebih dua tahun lalu.
Menambah tentang prinsipnya, kata Anzalna: "Saya sendiri fikir bahawa duit memang sangat penting untuk hidup. Sebab itu saya kena kerja untuk cari duit tapi saya tidak boleh desak lelaki untuk setia dan ikhlas memberi cinta kepada saya.

"Setakat ini, sama ada dari segi lakonan atau pilihan untuk diri sendiri, saya selalu ingin jaga hubungan saya dengan Hanif tapi itu tidak bermakna dia mengongkong hidup saya. Saya belum rasa khilaf dengan perhubungan cinta kami yang diketahui umum ketika ini. Lebih senang bersifat terbuka sebab saya tidak perlu peningkan kepala untuk berselindung itu dan ini."
Fokus drama sebelum filem

SEDANG muncul sebagai Ayu Sofia dalam filem Sepah The Movie bergandingan dengan Shuib, Jep dan Mamat, Anzalna juga akan muncul dalam filem Kahwin 5 pada 27 Disember ini.


Bakal muncul dengan filem Kahwin 5 bersama Usop Wilcha Disember depan, namun sebelum itu, langkah sulung Anzalna ke layar perak menerusi Sepah The Movie sudah pun beredar di pawagam.
Gandingan bersama Sepahtu iaitu Jep dan Shuib, Mamat Sepah serta Jehan Miskin menerusi Sepah The Movie pula ditayangkan bermula 29 November lalu.

Mengulas tentang fahamannya terhadap terhadap lakon filem dan lakon TV, Anzalna sedar dia masih terlalu mentah untuk diberi sanjungan apatah lagi dipuji. Katanya, penglibatan dalam kedua-dua filem itu masih satu percubaan.

Jika hasilnya menjadi dan mendapat sokongan ramai, mungkin percaturan untuk bersama sebuah lagi filem dalam masa terdekat akan diteruskan. Jika tidak, dia lebih rela fokus kepada drama terlebih dahulu.

"Drama itu ibarat asas buat saya. Saya kena belajar dulu daripada drama televisyen. Selama ini pun, saya yang kosong ilmu lakonan ini diberi kepercayaan untuk bawa macam-macam watak menerusi drama," katanya yang pernah mendapat respons positif berdasarkan watak baik menerusi drama bersiri Sirrun di TV9.

Sekadar membawa watak-watak ringan dalam filem komedi seperti Kahwin 5 dan Sepah The Movie, dia ditanya lagi, sama ada penampilan itu menjamin impak ke atas kariernya atau sekadar menjadi penyeri.

"Watak sebagai Ayu Sofia itu nampak lemah lembut. Sekali pandang memang nampak mudah untuk saya lakukan tetapi Ayu Sofia tetap satu cabaran besar buat saya. Kalau orang kata saya lembik, Ayu Sofia itu berganda-ganda lebih bersopan santun dan lemah lembut berbanding saya.
"Ia payah untuk pelakon baharu macam saya tapi saya gembira sebab hasilnya boleh dilihat di panggung sekarang," tutup Anzalna yang teruja untuk beraksi bersama Nasha Aziz dan Lisa Surihani dalam drama bersiri Maskara tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters