Jom Buat Duit

Tuesday 11 December 2012

Johan Asari kongkong Nabila Huda?

BEBERAPA bulan kebelakangan ini, nama pelakon Johan Ariff As'ari, 26, sering dikaitkan dengan anak legenda rock negara, Amy Search iaitu Nabila Huda. Walaupun sudah beberapa kali dinafikan oleh mereka berdua tentang soal status hubungan yang didakwa sedang bercinta itu, media tetap melabelkan Johan dan Nabila sebagai pasangan yang sedang berbunga cinta.

Bermula dengan kisah berbalas Twitter dengan ayat-ayat kasih sayang, Johan turut membela 'teman tapi mesranya' itu apabila pelakon drama Julia itu dikecam berpakaian seksi di sebuah majlis anugerah.

Johan ketika ditemui pada sidang akhbar program Fear Factor Selebriti Malaysia yang bakal disiarkan di Astro Ria pada 29 Disember ini telah meluahkan rasa tidak selesa apabila diajukan persoalan sama setiap kali berdepan dengan media.
"Tolonglah percaya kali ini... saya dengan Nabila hanya kawan baik, kami memang rapat tetapi tidak bercinta, sementara dia tiada teman lelaki lagi bolehlah kami akrab," jelasnya membetulkan persepsi bahawa dia dan Nabila sedang bercinta dan pernah putus cinta.

Tambah pelakon drama Juvana ini, dia dan Nabila sebenarnya bukan yang jenis setiap hari akan berjumpa kerana masing-masing ada komitmen kerja yang sibuk.
Johan berkata, dia dan Nabila selalunya akan berjumpa dan ramai mata-mata akan melihat kemesraan mereka pada majlis hiburan dan itu tidak bermakna mereka bercinta.
Hakikatnya, kata lelaki yang pernah dikaitkan dengan pelakon Izreen Azminda dan Fasha Sandha ini, sayangnya terhadap wanita beranak satu itu tidak lebih seperti sayangnya terhadap keluarganya sendiri sahaja.

"Saya tidak pernah kongkong Nabila, dia bebas berkawan dengan sesiapa, saya juga begitu, saya akan hormati dia jika dia ada teman lelaki, bertunang dan sebagainya suatu hari nanti," ujarnya yang mengagumi Nabila sebagai seorang dramatis yang hebat.

Johan mengakui keakraban mereka awalnya wujud selepas dia mengetahui tarikh lahir mereka berdua hanya selang sehari iaitu Nabila pada 2 Disember dan dirinya sendiri pada 3 Disember.
Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak mahu lagi selepas ini ada peminat dan media salah anggap terhadap keakrabannya dengan Nabila dan dia tidak perlu lagi menjawab soal cinta atau telah putus cinta dengan pelakon berkenaan.

"Saya anggap dia macam kakak sahaja, umur kami juga berbeza beberapa tahun. Perjalanan saya masih jauh lagi dalam industri ini, lebih baik saya tumpu kepada lakonan dan bukannya benda lain," jelasnya yang turut memberitahu, Nabila banyak memberi tunjuk ajar kepadanya mengenai soal lakonan.

Bagi Johan, tahun depan merupakan tahun lebih mencabar baginya kerana empat filem lakonannya bakal menguji kemampuannya sebagai seorang anak seni dan bukannya dengan kisah cinta yang masih belum tentu hala tujunya.
"Saya harap semua faham situasi saya ini, masih banyak bakat dan peluang untuk saya tonjolkan, saya masih solo dan tidak bercinta dengan sesiapa lagi," tegasnya yang menganggap itu merupakan penjelasan terakhirnya berhubung kisahnya dengan Nabila.

Debaran 2013

Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Johan menganggap tahun ini merupakan tahun yang paling sibuk buat dirinya apabila dia telah menjalani penggambaran sebanyak empat buah filem.
Filem-filem berkenaan ialah Juvana, Tokan, Pencinta dan Paku yang bakal mengukur kemampuannya di layar perak kelak. Dia menganggap dirinya bertuah apabila keempat-empat filem berkenaan menonjolkan kelainan dalam setiap watak yang diberikan.

"Dalam Tokan saya menjadi pembunuh upahan, Pencinta pula sebagai romeo dan Paku pula merupakan filem seram, tetapi sayangnya tiada filem komedi, jika ada sudah tentu sudah lengkap misi berlainan genre lakonan saya," ujarnya.

Tambahnya, semua filem yang ditawarkan diperoleh selepas memenangi Anugerah Pelakon Baru Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular tahun lalu.
"Peluang itu datang sendiri, saya bersyukur kerana kebetulan datang dalam genre yang berbeza, semua itu watak serius dan saya bersyukur kerana diberi peluang itu," jelasnya.

Namun, di sebalik kesibukannya terhadap dunia perfileman itu, Johan nekad untuk tidak sekali-kali melupakan drama yang telah mengangkat namanya sehingga dikenali iaitu drama Juvana.
Katanya, dia sedaya upaya telah mencuba untuk memenuhi keinginan produksi drama di semua stesen televisyen agar lakonannya dapat dilihat di televisyen juga.

"Saya muncul dalam drama 13 episod Udin Glamor Balik Kampung di TV2 bersama Nabila, Syahadat Cinta di TV Hijrah dan beberapa drama lagi yang akan ditayangkan nanti," ujarnya lagi.

Sisi kelakar
Sering mendapat watak lelaki serius dan nakal, Johan sebenarnya tidak pernah mengetahui bahawa dia mempunyai sisi yang kelakar.
Kata pelakon drama Cinta Elysa itu, dia bertuah sekali lagi apabila pengarah Erma Fatima telah berjaya mengorek sisi kelakarnya menerusi telemovie Tersalah Cinta yang telah disiarkan baru-baru ini.

"Saya sendiri tidak pernah tahu saya boleh berlakon drama komedi, saya betul-betul bertuah kerana Kak Erma telah korek sesuatu dalam diri yang saya sendiri tidak tahu," ujarnya.
Menganggap dirinya terhutang budi dengan Erma, Johan yang mahu terus mencuba watak komedi dalam drama dan filem kerana ia satu yang mencabar dirinya.

"Saya seronok berlakon dalam telemovie itu, selepas ini kalau ada lagi tawaran seperti itu sudah tentu saya akan terima," tambah bekas pelajar sekolah pondok di Pesantren As-Syhada, Jambi, Indonesia ini.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters