Jom Buat Duit

Thursday 27 December 2012

Kehebatan Super Junior M


SUPER Junior M tetap menampilkan persembahan yang hebat biarpun tanpa kehadiran seorang anggotanya iaitu Siwon.


KUMPULAN Super Junior M nampaknya masih berbisa apabila lapan ribu peminat hadir memenuhi dewan di Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur sempena konsert 2012 Asia Super Showcase In Malaysia baru-baru ini.

Dikhabarkan juga tiket VIP berharga RM600 sehingga tiket berharga RM183 habis terjual dalam tempoh tidak sampai sebulan sejak penjualan tiket dilancarkan.
Tiket laris terjual mungkin kerana peminat tidak hanya dihiburkan dengan persembahan Super Junior M tetapi juga mereka turut dapat menyaksikan persembahan kumpulan BTOB dan juga EXO-M yang sememangnya digilai ramai peminat terutamanya gadis remaja.

Super Junior M merupakan hasil gabungan dua negara iaitu anggota Super Junior berasal dari Korea Selatan yang dianggotai Siwon, Donghae, Ryeowook, Sungmin, Kyuhyun dan Eunhyuk.
Dua orang lagi ahli kumpulan itu iaitu Zhou Mi dan Henry pula berasal dari China disebabkan Super Junior M juga memberi fokus sepenuhnya pada pasaran lagu berbahasa Mandarin.

Persembahan untuk konsert yang dibawakan oleh U Mobile dan anjuran bersama Marctensia Concerts serta Universal Music Malaysia itu dimulakan dengan persembahan pembukaan kumpulan BTOB yang mempersembahkan lagu pertama berjudul Born To Beat.

Muncul dengan kostum yang lengkap BTOB yang dianggotai oleh Eunkwang, Minhyuk, Changsub, Hyungsik, Peniel, Ilhoon dan Sungjae turut mendendangkan enam buat lagu lain yang menjadi siulan para peminat.

Antara lagu yang didendangkan ialah Irresistible Lips, Imagine, One Thinking I Know, My Girl, Insane dan Wow.

Kehangatan konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu disambung oleh kumpulan EXO-M yang dianggotai oleh Tao, Lu Han, Chen, Lay, Xiu Min dan Kris.
Lagu pertama yang berjudul History sudah cukup membuatkan para peminat bagai terkena histeria ditambah pula dengan tarian yang mantap.

EXO-M turut menyanyikan tiga lagi lagu yang berjudul What Is Love, Angle dan Mama.
Jeritan yang seakan-akan mahu memecahkan gegendang telinga oleh seluruh peminat berlaku apabila Super Junior M mengambil alih pentas persembahan.
Dewan di tingkat 15 pusat beli-belah itu tiba-tiba bertukar wajah apabila lampu berwarna biru dan kain rentang dengan tulisan Korea memenuhi dewan.
PERSEMBAHAN BTOB tidak kurang hebat yang menyebabkan penonton konsert berteriak penuh keterujaan.
 
Memulakan persembahan dengan lagu hit mereka iaitu Super Girl, peminat turut menyanyi dan menari bersama mengikut rentak tarian kumpulan Super Junior M.
Sesekali, mereka berbicara dengan peminat dan berjanji akan datang semula ke Malaysia dengan ahli yang lengkap kerana salah seorang ahli mereka Siwon tidak dapat hadir.

“Kami berharap ini bukan kali terakhir kami di Malaysia, kami akan datang lagi dengan persembahan yang hebat bersama Siwon. Terima kasih kerana hadir, kami sayangkan anda semua,” ucap Henry yang fasih berbahasa Inggeris.

Siwon yang sempat memberi ucapan video kepada peminat di Malaysia ketika konsert berlangsung memberitahu, dia kini terikat dengan jadual penggambaran drama bersiri terbaharu lakonannya yang berjudul The Lord of The Drama.

“Saya amat berharap saya dapat hadir bersama di konsert tetapi saya sibuk dengan penggambaran drama. Saya harap peminat terus memberikan sokongan kepada kumpulan Super Junior M dan dua kumpulan junior kegemaran saya EXO-M dan BTOB.

“Harap anda semua nantikan drama terbaharu saya dan semoga terhibur dengan persembahan daripada Super Junior M,” katanya ringkas daripasa sedutan video itu.
Selain itu, Super Junior M turut menghiburkan peminat dengan barisan lagu At Least I Still Have You, Love Doesn’t Come Alone, Lost dan Destiny. Too Perfect menjadi lagu penutup untuk konsert itu.

Sepanjang persembahan nampaknya peminat yang menonton konsert itu cukup terhibur.
Bagaimanapun, harga tiket yang agak mahal dirasakan tidak setimpal dengan sistem bunyi yang cukup menyiksakan telinga.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters