Jom Buat Duit

Sunday 2 December 2012

Rahsia Fazley makin kurus

AURA lagu hitnya, Asmara Ini masih melekat dalam hati peminat. Biarpun lama menyepikan diri daripada dunia nyanyian, peminat Datuk Fazley Yaakub tetap menanti kemunculan semula penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Sebelum menutup tirai pada tahun ini, Fazley kembali mencuri perhatian khalayak. Cuma gelarannya kini semakin bertambah. Beliau bukan sahaja terkenal sebagai seorang penyanyi dan pakar motivasi, bahkan semakin menonjol menjadi seorang tukang masak.

Bakatnya dalam bidang masakan mula terserlah setelah pelakon filem Gila Bola itu menjadi juara rancangan realiti televisyen berkonsepkan masakan, MasterChef Selebriti Malaysia pada pertengahan tahun ini.

"Kini sudah ada dua generasi peminat. Kalau dahulu ramai yang kenal saya sebagai abang Asmara kerana lagu Asmara ini. Tetapi kini peminat baharu lebih mengenali saya sebagai tukang masak. Ada yang tidak tahu yang saya sebenarnya merupakan seorang penyanyi dan pernah merakamkan beberapa buah album," ujarnya dalam sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam tempoh empat tahun menyepikan diri daripada media sebelum ini, Fazley lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang ceramah motivasi. Beliau juga lebih aktif terlibat secara belakang tabir dalam beberapa program televisyen.

Namun begitu, Fazley ada merancang untuk membuat penampilan semula pada tahun ini menerusi sebuah album baharu. Cuma tawaran menyertai program masakan tersebut tiba lebih awal.
"Saya terpaksa menangguhkan untuk mengeluarkan lagu baharu kerana memberi perhatian kepada program itu. Kini setelah semuanya selesai, saya sudah mengeluarkan sebuah single yang berjudul Maafku Mencintaimu yang mula diterima pendengar.

"Untuk album penuh pula Insya-Allah pada awal tahun hadapan saya akan mengeluarkan album penuh kelima yang berjudul Lima," katanya yang juga tampil dengan sebuah lagu berjudul Jaga-Jaga bersama penyanyi Altimate.

Sebelum ini Fazley pernah merakamkan empat buah album termasuklah Asmara Ini pada 2001, Seribu Kemaafan (2002), Cerita Asmara (2003) dan Lain (2006). Selain lagu Asmara Ini, beliau juga popular dengan lagu-lagu seperti Bila April, Seribu Kemaafan, Careno dan Serita Asmara.
Dalam perkembangan sama, penyanyi berusia 34 tahun itu terlibat dalam beberapa program masakan seperti Chef Surprise di saluran Astro Prima, Chef Cilik (Astro Ria) dan program bual bicara masakan Fazley Licious. Beliau juga dalam proses menyiapkan sebuah buku masakan berjudul Dari Rembau ke Padang.

Biarpun pada masa ini imej Fazley lebih dekat dengan hidangan-hidangan enak yang menjadi sebab kepada masalah berat badan berlebihan, namun beliau berjaya tampil lebih langsing berbanding sebelumnya.

Dalam sibuk membuat persediaan untuk kemunculan semula, Fazley yang mengalami berat badan berlebihan berjaya mengurangkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) kepada 72kg.
Jelas Fazley, amalan diet protein selama sebulan berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 18kg tanpa penggunaan sebarang produk kesihatan.

"Saya tidak mengamalkan sebarang senaman dan sekadar mengawal pengambilan makanan. Saya hanya mengambil hidangan berasaskan protein dan sayuran rendah kalori pada setiap hari.
"Untuk hidangan tengah hari, saya ambil sepotong daging ayam sebesar tapak tangan bersama sayur, petang pula makan buah-buahan seperti epal dan strawberi serta untuk makan malam pula sepotong daging atau ikan bersama sayuran.

"Elakkan makan bergula kerana ia akan menjadi perkara yang paling mengganggu diet. Dalam tempoh itu juga saya tidak mengambil nasi langsung," ujarnya yang mula berdiet sebelum menyertai rancangan MasterChef Selebriti Malaysia pada Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters