Jom Buat Duit

Thursday 13 December 2012

Adira Tidak diganggu kontroversi

PENYANYI berkulit putih gebu ini ternyata seorang yang cukup peramah. Sikapnya itu cukup terserlah ketika bertemu dengan bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Adira pada acara mencorak arca logo Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27) bersempena rangka promosi program tersebut di Pusat Beli-belah Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun cuaca panas terik kerana acara tersebut diadakan di luar pusat beli-belah tersebut, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 21, tetap tersenyum manis setiap kali peminat minta untuk bergambar.

Bertambah manis, apabila dia berhadapan dengan peminat yang berasal dari negeri kelahirannya sendiri iaitu Ranau, Sabah.
Perbualan rancak seperti mereka sudah lama kenal sedangkan itulah kali pertama mereka bertemu.
"Seronok dapat berjumpa peminat dari Sabah, rasa macam jumpa keluarga sendiri sebab saya boleh bercakap dalam bahasa Kadazan-Dusun," balasnya.

Penyanyi yang gemar mengenakan solekan nipis ketika di luar pentas nyanyian cukup jujur menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya termasuk soal kontroversi yang turut menyumbang kepada popularitinya hari ini.

Jika dihitung usianya dalam industri seni baru menjangkau angka dua tahun sejak bergelar naib juara AF8. Kariernya yang dibinanya sama cemerlang dengan kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Kontroversi foto pegang anjing, putus cinta dengan Hafiz, dituduh sebagai lesbian kerana berkawan dengan pengkid, bercinta dengan pemain gitar AG Coco dan terbaharu kerana wajah yang putih melepak Adira didakwa menyuntik wajah, agak berkerut wajah Adira mendengar rentetan kontroversi dirinya.

"Saya mahu buat macam mana, perkara yang lepas saya tidak mahu fikir lagi, cuma ambil pengajaran yang boleh membuatkan saya lebih kuat daripada sebelum ini," katanya tenang.
Ditebak soalan, setiap kali bekerjasama dengan mana-mana artis lelaki pasti timbulnya isu cinta. Termasuk ketika Adira membintangi drama Tiara bersama Aliff Aziz, mereka didakwa tenggelam dalam cinta lokasi.

Tertawa seketika balas Adira: "Memang banyak gosip cinta tentang saya sebab saya jenis tidak kisah orang tahu jika saya benar-benar bercinta.
"Saya tidak suka sembunyi bukannya saya melakukan kesalahan kalau saya bercinta. Akhirnya orang akan tahu juga, jadi lebih baik saya berterus-terang sahaja.
"Ibu saya juga suka apabila saya berterus-terang dan tidak bersikap hipokrit. Bila saya berterus-terang dengan semua orang, saya bebas bercinta tanpa bimbang pandangan orang ramai. Buat masa ini saya mempunyai ramai kawan lelaki tetapi yang istimewa belum ada lagi."

Sambung Adira lagi, meskipun percintaannya dengan beberapa orang seni terputus di tengah jalan perkara itu tidak membuatkannya serik untuk kembali bercinta.

"Sebenarnya jatuh cinta dengan lelaki yang bekerja dalam bidang seni berlaku secara tidak sengaja. Perasaan sayang kepada seseorang itu tidak boleh dikawal.
"Kalau saya suka seseorang itu saya hanya mengikut kata hati bukannya saya sengaja cari orang seni juga.

"Semuanya terjadi tanpa dirancang, bila hubungan tidak berpanjangan, saya mahu buat macam mana kalau lelaki bukan jodoh saya kami akan berpisah juga," ungkapnya.
Meskipun dihambat kontroversi cinta, bagi Adira itu semua merupakan asam garam kerjaya pilihannya. Pahit manis harus ditelan jua.

"Kontroversi positif dan negatif merupakan lumrah sebagai artis. Setakat ini, kontroversi tidak mengganggu karier saya. Apa sahaja yang berlaku fokus saya tetap dalam bidang nyanyian.
"Jika ada orang mahu cakap buruk tentang saya, biarlah. Saya tiada kuasa untuk minta mereka berhenti. Tanpa bukti yang sahih setiap kontroversi itu akan berlalu begitu sahaja," tuturnya.

Aktif berlakon
Menoleh kembali ketika dia mula belajar untuk menyanyi dalam program realiti Akademi Fantasia, Adira langsung tidak menyangka karier seninya kini stabil hanya selepas dua tahun bergelar penyanyi.

"Bila lihat semula diri saya yang dahulu dengan saya sekarang, saya akui saya banyak berubah. Lebih matang dan lebih bijak membuat keputusan berbanding sebelum ini hasil daripada bertemu dengan ramai orang.

"Dulu impian saya ingin bergelar penyanyi dan Alhamdulillah kerana impian itu saya bekerja keras sehingga hari ini. Nampaklah ada peningkatan sedikit harap sokongan yang diterima daripada peminat akan berterusan," ungkapnya.

Selepas muncul dengan lagu Ku Ada Kamu, Ilusi dan Sakura serta Keajaiban Cinta duetnya bersama Aliff Aziz. Terkini, Adira bakal muncul dengan single ciptaan Aubrey Suwito berjudul, Sekadar Mimpi.

"Memang saya bersyukur sangat kerana lagu nyanyian saya mendapat sambutan peminat. Ikutkan saya suka lagu balada tetapi ada juga peminat yang suka saya menyanyikan lagu rancak.
"Jadi, saya cuba sahaja lagu yang berbeza genre kerana nanti peminat bosan pula asyik dengar saya nyanyi lagu yang mendayu-dayu sahaja," katanya yang selesa berambut pendek.

Bercakap tentang karier lakonan yang baru hendak bermula selepas pertama kali melakonkan watak utama dalam drama Tiara lakonannya bersama Aliff Aziz, Adira teruja apabila ditawarkan berlakon filem dan drama selepas itu.

"Drama Tiara memberi peluang saya memegang watak utama. Memang sukar pada mulanya kerana berlakon di samping Aliff Aziz yang memang pandai berlakon.
"Dia banyak mengajar saya untuk mendalami watak dengan baik. Tawaran selepas itu memang ada seperti drama dan filem tetapi masih belum boleh diberitahu.
"Macam mana sibuk di lokasi penggambaran, saya tetap akan utamakan kerjaya nyanyian kerana itu cinta pertama saya," akuinya.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters