VIENTIANE, Laos – Kontinjen Malaysia mencatat sejarah baharu pada
temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 yang melabuhkan tirainya di
Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos semalam.
Buat pertama kalinya, Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan lebih manis kejayaan itu diraih di luar negara.
Kontinjen negara yang dibarisi 306 atlet mengungguli carta pungutan
pingat pada temasya tersebut dengan membawa pulang 60 pingat emas, 47
perak dan 72 gangsa.
Malaysia mengatasi pencabar terdekat, Vietnam yang menamatkan saingan
di tempat kedua dengan 56 emas, 35 perak dan 28 gangsa manakala
Thailand di tempat ketiga dengan pungutan 42 emas, 51 perak dan 55
gangsa.
Malaysia tidak pernah bergelar juara keseluruhan pada AUG yang
dilangsungkan di luar negara sejak temasya ini diperkenalkan di
Chiangmai, Thailand pada tahun 1981.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara keseluruhan ialah ketika menjadi tuan rumah pada edisi ke-14
Kejayaan kali ini juga mengatasi pencapaian terbaik mereka pada edisi
ke-15 di Chiangmai dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan
saingan di tempat ketiga dengan meraih 37 pingat emas, 34 perak dan 43
gangsa.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah boleh menarik nafas lega
apabila dasar yang diperkenalkan menerusi penubuhan Pusat Tumpuan Sukan
dan Pusat Kecemerlangan Sukan di semua Institusi Pengajian Tinggi dua
tahun lalu kini sudah menampakkan impak yang positif menerusi kejayaan
kali ini.
Pada temasya kali ini, skuad renang paling menyerlah apabila
menyumbangkan pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia sekaligus
bergelar juara keseluruhan sepanjang empat hari acara itu
dipertandingkan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.
Skuad renang cemerlang apabila menyumbang 21 emas.
Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.
Atlet-atlet olahraga turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi
sasaran yang ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad olahraga negara melepasi sasaran sembilan emas yang ditetapkan sebelum bermulanya temasya ini.
Majlis penutup AUG ke-16 semalam telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Laos, Asang Laoli.
Majlis kemudiannya tertumpu kepada penyerahan bendera kejohanan yang
diserahkan oleh Menteri Pelajaran dan Sukan Laos, Dr. Phankham Viphavanh
kepada Presiden Majlis Sukan Universiti ASEAN, Prof. Datuk Dr. Kassim
Md. Mansor.
Dr. Kassim kemudian menyerahkan bendera itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selatan Indonesia, Muddai Madang.
Indonesia bakal menjadi tuan rumah edisi ke-17 AUG pada 2014.
No comments:
Post a Comment