BARANGKALI tiada hadiah perpisahan yang paling istimewa buat pasangan
terjun Selangor, Chew Yi Wei dan Ahmad Fakri Khairuddin apabila berjaya
mempertahankan pingat emas acara terjun papan anjal seirama lelaki di
Kolam Renang Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Merupakan temasya terakhir buat Ahmad Fakri gara-gara faktor usia,
pasangan tersebut berjaya mengejutkan pasangan pilihan dari Sarawak,
Pardika Indoma Pamg Joheng dan Abdul Rashid Muhammad yang terpaksa
berpuas hati dengan pingat perak, sekali gus mengulangi keputusan yang
serupa pada temasya Sukma di Melaka dua tahun lepas.
Semalam, Yi Wei dan Ahmad Fakri berjaya mencatatkan 332.16 mata,
manakala Pardika Indoma dan Abdul Rashid (321.42 mata). Pasangan dari
Perak, Jemin Shien dan Muhammad Syafiq Puteh pula meraih pingat gangsa
dengan 319.20 mata.
"Saya telah bergandingan dengan Ahmad Fakri selama enam tahun, jadi
sudah tentu ketiadaannya amat dirasai selepas ini memandangkan saya
perlu membentuk semula keserasian bersama pasangan baharu.
"Bagi saya, ia satu hadiah perpisahan yang cukup istimewa kerana kami
berjaya mempertahankan pingat emas sebelum berpisah," kata Yi Wei.
Yi Wei, 17, yang juga meraih emas acara 3 meter papan anjal lelaki
pada temasya kali ini memberitahu, dia akan menyertai Kejohanan Terjun
Remaja Dunia di Adelaide, Australia, Oktober depan selain berharap
supaya dapat menyertai temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Sementara itu, Ahmad Fakri,20, gembira dengan kejayaan itu meskipun
mengakui agak berdebar-debar apabila terlebih dahulu ketinggalan pada
tiga percubaan pertama.
"Kami memiliki darjah kesukaran yang hampir sama dengan pasangan
Sarawak, mujur segala-galanya memihak kepada kami sebaik percubaan
keempat.
"Saya masih belum membuat keputusan mengenai masa depan saya selepas
ini, tidak mustahil saya bakal menjadi jurulatih kepada perenang muda,"
katanya.
Dalam pada itu, penerjun pilihan dari Perak, Jasmine Lai gagal
mengulangi kecemerlangannya semalam apabila sekadar meraih pingat perak
acara platform wanita akhir.
Jasmine yang setakat ini telah meraih dua emas menerusi acara
platform seirama wanita bersama pasangannya, Kam Lim Kar dan juga acara
papan anjal wanita terpaksa berpuas hati dengan catatan 229.85 mata.
Emas acara platform wanita tersebut menjadi milik penerjun Wilayah
Persekutuan, Loh Zhiayi (277.35 mata), manakala rakan senegeri, Nur
Dhabitah Sabri yang mencatat 216.15 mata pula meraih gangsa.
No comments:
Post a Comment