Jom Buat Duit

Friday 20 April 2012

Nad Zainal tolak label gedik


NAD ZAINAL tidak kisah peminat mahu menilai lakonannya, tetapi bukan menilai kehidupan peribadinya. 


MASIH awal untuk melabelkan Farah Nadia Zainal Abidin atau nama komersialnya Nad Zainal sebagai seorang pelakon yang gedik atau mengada-ngada.

Lima tahun bergelar anak seni, namun dia mula serius berlakon pada tahun lalu. Nad, 22, sebelum ini pernah muncul dalam drama rantaian Buaian Kasih yang ditayangkan di TV1, Elly dan Epit di Astro, drama berbahasa Inggeris, Incredible Tales serta filem Jidin Sengal.

Menepis dakwaan bahawa dia seorang pelakon baharu yang gedik, katanya justifikasi itu terlampau luas untuk dia menilai diri sendiri.
"Terlampau ramai yang bercakap pasal saya, lebih-lebih lagi melabelkan saya gedik. Kalau anda tanya saya, tentu saya tidak akan mengatakan diri sendiri gedik.
"Terpulang kepada penonton untuk melabelkan bagaimana saya. Tapi saya harap biarlah mereka menilai saya hanya dalam lakonan, perkara peribadi saya jangan masuk campur," tegas Nad ketika ditemui selepas majlis pratonton media eksklusif Kotex Memberku Hawa di Cathay Cineleisure, e@Curve, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Katanya orang ramai mula menilai dia sebagai seorang pelakon gedik sejak membintangi filem Jidin Sengal selepas membawa watak seorang wanita yang menjengkelkan.
"Memang watak itu untuk dibenci tapi selama saya menjadi anak seni, saya belum dengar lagi orang mengutuk saya," katanya yang sebelum ini pernah menjadi kru produksi belakang tabir sebuah syarikat penerbitan.

Ujarnya, dia mula meminati bidang lakonan sejak di bangku sekolah namun niatnya terpaksa diperlahankan lantaran memasuki aliran sains sewaktu belajar.

Naif
Bagaimanapun selepas tamat sekolah menengah, dia mula mencorak masa hadapan sendiri. Memilih bidang seni, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang diploma teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) beberapa bulan lalu.

Anak tunggal dalam keluarga yang berasal dari Kajang, Selangor itu menambah, walaupun dia diberikan watak yang penting dalam drama Memberku Hawa, namun dia masih belum berasa puas sepenuhnya.

DRAMA Memberku Hawa mempertemukan pelakon Faezah Elai (kiri) dan Nad Zainal.
 
"Watak Kay seorang yang lurus dan sentiasa ceria tapi dia juga gadis yang naif. Dalam drama ini saya merupakan sahabat karib Hawa lakonan Faezah Elai dan kerjaya saya adalah seorang pengurus model dalam dunia fesyen.
"Sedikit sebanyak watak Kay ini tidak jauh daripada diri saya sebenar," ujarnya yang sudah disunting berlakon dalam beberapa buah drama dan filem selepas ini.

Wajah baharu
Selain Nad dan Faezah, Memberku Hawa yang diarahkan Umi Salwana Omar itu turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Christina Suzanne, Sharifah Sofia, Nadia Aqilah dan Mustapha Kamal.
Menyentuh mengenai gandingan pelakon baharu dan lama iaitu Nad dan Faezah, kata Umi: "Saya suka bekerja dengan pelakon baharu dan mereka sebenarnya senang dibentuk. Bukan memilih artis baharu kerana mereka kurang kontroversi, tapi kami dalam masa yang sama ingin membantu pelakon daripada pelbagai peringkat."

Pertama kali mengarah sebuah drama, Umi mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
"Saya gementar untuk mengarah drama ini tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dan mungkin selepas ini masih banyak perkara yang boleh diperbaiki," katanya yang sebelum ini merupakan seorang pembantu pengarah.

Memberku Hawa turut membariskan Dazrin Kamarudin, Hanis Zalikha, Josiah Hogan, Zainal Alam Kadir, Susan Manen, Lash Mokhtar dan Rafidah Abdullah.
Drama 10 episod ini telah mula menemui penonton pada 15 April lalu dan akan ditayangkan pada setiap hari Ahad pukul 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters