Jom Buat Duit

Friday 20 April 2012

Marsha belajar solat




MARSHA memberitahu dia akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi pengacara lagi kerana mengaku dia tidak pandai mengacara sesebuah program. 


PADA tahun lepas, pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh, 27, menjadi tumpuan kerana beberapa kontroversi, antaranya kisah dia dimasukkan ke hospital gara-gara menelan sehingga 30 biji pil pada September lalu.

Bagaimanapun, artis yang berasal dari Tamparuli, Sabah dan kini semakin dikenali sebagai seorang pengacara itu pada tahun ini semakin sunyi pula daripada sebarang cerita sensasi.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Datuk DJ Dave berjudul Nyawaku di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, Marsha memberitahu dia kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya seninya.

Menurut Marsha, dia tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi, sementelah ketika ini dia merupakan pengacara rancangan berbentuk gosip berjudul Propaganza yang disiarkan pada pukul 12 tengah hari setiap Ahad di saluran Astro Ria.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?
MARSHA: Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Pelangi I Love You dan bergandingan dengan pelakon Indonesia iaitu Aiman Ricky. Penggambaran dilakukan di Pulau Pangkor, Perak. Bagaimanapun, pada bulan lepas jadual saya memang terlalu padat apabila terpaksa menjalani penggambaran tiga buah filem dalam tempoh sebulan iaitu filem Qada, Pak Pong dan Dr. K Kahwin Lima.

Boleh ceritakan lebih lanjut tentang ketiga-tiga filem tersebut?
Dalam filem Pak Pong yang diarahkan oleh Fauzi Nawawi, saya cuma muncul secara cameo dan terlibat dalam beberapa babak sahaja, manakala dalam filem Dr. K Kahwin Lima pula, saya membawa watak sebagai isteri keempat kepada Usop Wilcha.

Cuma untuk filem Qada apa yang boleh saya katakan watak yang diberikan kepada saya memang sangat mencabar. Dalam filem tersebut, saya memegang watak sebagai seorang gadis mualaf yang telah berkahwin secara paksa dengan seorang lelaki.

Kenapa anda mengatakan watak yang dibawakan itu sangat mencabar?
Sebelum ini saya pernah juga membawa watak sebagai gadis beragama Islam, cuma dalam filem ini saya perlu tampil dengan gaya muslimah dan perlu memahami tentang solat lima waktu yang menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.
Namun, saya berasa lega kerana kebanyakan rakan-rakan saya memang beragama Islam, termasuk Sharifah Sakinah yang turut berlakon dalam filem itu dan dia memang banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan.

Kenapa anda sanggup menerima tawaran yang banyak dalam tempoh sebulan?
Saya menerimanya kerana ketiga-tiga tawaran tersebut agak menarik dan rasa sayang pula kalau saya tolak. Malah, saya akui sangat penat kerana jadual yang cukup padat, tetapi saya tidak kisah kerana pada tahun ini memang saya mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.

Menjadi pengacara untuk rancangan Propaganza, adakah anda kini sedang mencuba untuk bidang pengacaraan pula?
Selama ini tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pengacara. Semasa datang uji bakat dahulu, saya tidak sangka pula mempunyai keserasian dengan Reza dan akhirnya kami berdua telah terpilih. Sebenarnya saya masih lagi mempunyai perasaan takut dan tidak yakin walaupun sudah mengacarakan sebanyak lima episod. Selepas ini mungkin saya tidak akan menerima lagi sebarang tawaran mengacarakan rancangan lain kerana sedar pengacaraan bukan bidang saya.

Bila anda merancang untuk hasilkan album baru?
Sebenarnya saya agak kecewa kerana album saya yang dilancarkan pada tahun lepas berjudul Yang Pertama tidak mendapat sambutan yang baik. Jadi, perancangan untuk menghasilkan album itu belum ada dan saya lebih selesa menghasilkan single. Saya baru sahaja selesai merakamkan single berjudul Kepastian Cinta yang dihasilkan oleh Ajai. Berkemungkinan besar lagu tersebut akan menjadi lagu tema untuk filem Qada.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters