Jom Buat Duit

Saturday 21 April 2012

Dhani mahu Yuna


SELEPAS 20 tahun berkarya bersama Dewa 19, kini Ahmad Dhani mengakui dirinya sendiri masih kabur dengan masa depan band tersebut.
Sebagai tulang belakang penubuhan Dewa 19, Dhani jelas masih sayang serta berharap band yang muncul dengan album sulungnya yang berjudul, Dewa 19 pada tahun 1992 itu akan kembali meraih sukses.

Namun menurut Dhani yang ditemui pada majlis pelancaran album kedua band kumpulan T.R.I.A.D di kelab Sixty3 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini, harapan itu juga kabur kerana kesemua anggota band itu meraih sukses yang luar biasa menerusi projek band mereka sendiri di Indonesia.
"Jujur, saya sendiri tidak tahu masa depan Dewa 19, kalau mahu bergerak seperti dahulu agak sukar kerana masing-masing mempunyai komitmen dengan projek band sendiri. Malah, mereka juga meraih sukses yang cukup besar dan kini berdiri dengan kaki sendiri tanpa Dewa 19. Lihat sahaja kejayaan Andra bersama bandnya Andra And The Backbone.
"Tidak mungkin saya memaksa mereka untuk kembali memberi komitmen bersama Dewa 19 jika mereka semua juga sangat sibuk. Saya sebagai teman cukup gembira melihat kejayaan mereka," ujar Dhani pemilik syarikat rakaman Republik Cinta.

Disoal adakah Dhani mahu mencari pengganti vokalis utama Dewa 19, Once, yang meninggalkan band itu pada September 2010 untuk mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo, ujar Dhani: "Belum tahu mahu cari atau tidak (ketawa). Selain kini menyertai T.R.I.A.D, saya juga bersama sebuah band yang juga di bawah naungan Republik Cinta iaitu Mahawadewa.
"Harus diingat Mahadewa bukan band Dewa 19, sebaliknya hanya saya satu-satunya anggota asal Dewa 19 yang menganggotai Mahadewa.
"Vokalis Mahadewa, Judika dipilih kerana bakatnya, selain dia juga sangat sukses dengan album solonya di Indonesia. Apa yang boleh saya katakan muzik Mahadewa mirip Dewa 19. Buat peminat Dewa 19 mungkin kemunculan band ini mampu mengubat rindu mereka," kata bapa kepada Ahmad Al Gazali, El Jalaluddin Rumi dan Ahmad Abdul Qadir Jilani itu lagi.

Sambung Dhani, dia memerlukan sebuah band untuk terus berkarya dan hidup dalam industri muzik kerana hakikatnya dia kini bergerak tanpa band Dewa 19 yang menjadi tunjang utamanya sebelum ini.
"Ya, saya memang memerlukan sebuah band kerana setiap persembahan harus bersama band, jika sudah begitu mengapa tidak tubuh sahaja sebuah band yang baharu," balasnya.
Menanti jawapan Yuna


AHMAD DHANI mengakui dia sendiri tidak pasti dengan masa depan band Dewa 19.
Melihat sosok tubuh Dhani, tiada yang luar biasa pada dirinya, namun kerana kebijaksanaannya dalam membikin karya hebat telah meletakkan dia berada dalam kelompok tertinggi industri muzik nusantara.

Karya sentuhannya sering menjadi popular. Sungguhpun begitu, saat orang lain melihat Dhani sangat besar pengaruhnya, berlainan pula dirinya yang menganggap dia berada di kelompok orang minoriti.
"Apa sahaja cakap orang, saya tidak kisah, besar atau tidak itu terpulang pada pandangan setiap individu. Kalau disoal saya orangnya bagaimana, jawapannya saya adalah orang minoriti.
"Sukar sebenarnya menjadi orang minoriti ini kerana setiap pendapat serta pandangan saya berbeza dengan orang majoriti. Perkara itu yang sering membuatkan orang ramai salah faham tentang diri saya sehingga ke hari ini," ujarnya penuh makna.

Dhani yang kini berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur saban minggu kerana terlibat dalam program realiti Mania sebagai penerbit muzik turut meluahkan rasa kagumnya terhadap industri muzik Malaysia.
"Muzik Malaysia amat bagus kerana Malaysia memiliki ramai penyanyi yang sangat berbakat. Cuma ia berbeza dengan industri muzik di Indonesia yang ramai penyanyi dan ramai juga pencipta lagu.
"Sebaliknya di Malaysia yang mempunyai ramai penyanyi tetapi kurangnya pencipta lagu," katanya yang mencipta sebuah lagu untuk Stacy berjudul Kimia Di Antara Kita.

Bercakap mengenai bakat, penyanyi Yuna telah dipilih oleh Dhani sendiri sebagai penyanyi Malaysia yang ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya Republik Cinta.
"Yuna seorang penyanyi yang sangat berbakat dalam penciptaan lagu dan kerana itu saya cukup tertarik dengannya. Pihak saya telah menghantar surat tawaran tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada jawapan daripada pihak Yuna," katanya yang menggemari lagu Cinta Sempurna ciptaan Yuna.

Istimewa T.R.I.A.D
Sebelum band T.R.I.A.D ditubuhkan, Dhani terlebih dulu menubuhkan band bersama pemuzik Australia yang diberi nama The Rock.

Selepas muncul dengan sebuah album, pada Januari 2010 Dhani menukar nama The Rock kepada T.R.I.A.D yang anggotanya juga bertukar dengan lima orang anak muda Indonesia iaitu Mitha (gitar), Icez (bass), Tharaz Bistara (gitar), Wahyu Sudiro (gitar) dan Ikmal Tobing (dram) serta Dhani selaku vokalis.
Sudah muncul dengan album pertama berjudul T.R.I.A.D pada tahun 2010, kini T.R.I.A.D muncul dengan album kedua berjudul Istimewa yang memuatkan 12 buah lagu dengan enam buah lagu baharu selebihnya lagu popular daripada band Dewa 19 yang digubah semula.
"Album kedua boleh dikira seperti album kompilasi, enam buah lagu Dewa 19 dimuatkan kerana itu atas permintaan pihak Warner Music yang berasa band T.R.I.A.D belum cukup kuat namanya di Malaysia," katanya yang mempertaruhkan lagu single Ratu di Hatiku dan Istimewa.

DHANI kini meneruskan langkahnya dalam persada muzik bersama kumpulan T.R.I.A.D.


Meskipun anggota lain band T.R.I.A.D berusia awal 20-an berbanding dengan Dhani yang kini berusia 39 tahun, itu bukan masalah buatnya untuk menyesuaikan diri dengan anggota lain.
"Saya yang memilih mereka untuk menyertai T.R.I.A.D, sudah tentu saya tahu kelebihan serta keserasian mereka bersama saya. Orang muda bagus untuk bermain muzik.
"Jika usia lebih 30 tahun mereka menjadi malas dan sudah kurang sesuai, saya juga rasa sedikit muda (ketawa). Mereka pemuzik yang bagus dan sebenarnya kami semua sudah saling kenal dalam tempoh yang agak lama," jawabnya mengenai band yang membawakan lagu bergenre power pop rock itu.
Album berjudul Istimewa itu telah mula berada di pasaran sejak 20 Februari lalu dengan harga RM27.90.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters