Jom Buat Duit

Friday 27 April 2012

Spontan Shahrul tak menjadi


 

MINGGU lalu Super Spontan sudah memasuki episod keempat dan dua penyingkiran sudah dibuat. Zahid AF dari pasukan Angsa Ganas disingkirkan pada minggu ketiga diikuti juara Raja Lawak 6, Shahrul (Shiro) dari pasukan Beruang Comel pada minggu lalu.


Ujar Shahrul atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi berikutan penyingkiran minggu lalu: "Saya perlu lebih banyak belajar dan mungkin nasib tidak menyebelahi saya kali ini, ini permulaan bagi karier saya sebagai seorang pelawak."

Shahrul yang sepatutnya meninggalkan Super Spontan pada minggu kedua telah diserap kembali kerana tiada penyingkiran namun sekali lagi dia menjadi pilihan rakan-rakannya untuk disingkirkan pada minggu ini. Penyingkiran Shahrul diumumkan hos yang juga pengadil Super Spontan, Adibah Noor.
Selain Adibah, Super Spontan turut dihoskan oleh kumpulan Boboi dan Amir Raja Lawak.

Sumbangan
Super Spontan merupakan pertandingan permainan komedi secara improvisasi spontan berdasarkan situasi yang diberikan. Dua buah pasukan Angsa Ganas dan Beruang Comel yang setiap satu diwakili oleh tujuh orang ahli akan bertarung setiap minggu.

Berdasarkan persembahan mingguan, nasib setiap pasukan akan ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton dan kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang ahli dan kumpulan yang menang akan memenangi RM5,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan setiap minggu.


SIMBOLIK penyingkiran. Shahrul diusung keluar dari pentas Super Spontan minggu lalu.
Menerusi kemenangan pasukan Angsa Ganas minggu lalu, sumbangan RM5,000 itu disalurkan kepada Bob Kuman yang kini sedang terlantar sakit di rumahnya di Kota Damansara.
Kata Bob ketika menerima sumbangan itu: "Jumlah ini dapat mengurangkan beban yang sedang saya alami, sesungguhnya tangan yang memberi lebih mulia daripada menerima."
Pada penghujung musim, hanya seorang juara Super Spontan akan dinobatkan sebagai pemenang dan bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Toyota Camry 2.0G.

Permainan
Terdapat lima segmen permainan pada minggu lalu iaitu Freeze (Beku), Skrip Rabak, Keluar Masuk, Pemandu Pelancong dan Demonstrasi.
Peserta harus melakukan sesuatu aksi dan kemudian berhenti beku untuk digantikan peserta lain. Peserta yang menggantikan tempat rakannya harus bermula dari posisi yang sama ditinggalkan peserta yang diganti menerusi permainan Freeze (Beku).

Permainan kedua iaitu Skrip Rabak menampilkan Pelakon TV Lelaki Popular, Fizz Fairuz sebagai artis jemputan. Menerusi segmen ini dua peserta akan diberikan satu situasi dan mereka harus berinteraksi dengan Fizz Fairuz yang akan membacakan skrip yang tertera di atas kertas yang diberikan.
Permainan ketiga dinamakan Keluar Masuk, empat peserta akan diberikan perkataan yang mewakili diri mereka, seterusnya mereka akan diberikan satu situasi dan apabila perkataan yang diwakili mereka disebut, mereka harus keluar atau masuk kembali ke dalam gelanggang.


ZIZAN dan Nana mewakili Angsa Ganas beraksi dalam pusingan demonstrasi.
Permainan keempat pula Pemandu Pelancong, seorang peserta dari setiap kumpulan akan ditutup matanya dan di belakangnya akan ditayangkan gambar mengenai sebuah lokasi atau tempat. Berdasarkan klu daripada rakan-rakan sepasukan yang akan bertanyakan soalan mengenai lokasi itu, peserta itu harus meneka lokasi yang terdapat di belakangnya.

Permainan terakhir yang dibawakan daripada minggu pertama iaitu Demonstrasi, seorang peserta akan diikat tangannya dan peserta lain akan bertindak menjadi tangan kepada peserta tersebut untuk melakukan sesuatu.

Walaupun empat daripada lima segmen permainan minggu lalu dimenangi oleh pasukan Angsa Ganas namun keputusan akhir masih memihak kepada pasukan Beruang Comel dengan pungutan markah 49 peratus berbalas 52 peratus.

Hadiah kemenangan Beruang Comel sebanyak RM5,000 minggu lalu disalurkan kepada Pertubuhan Anak-anak Yatim/Miskin Klang (Peyakin).
Super Spontan menemui peminat secara langsung bermula 30 Mac lalu dari Studio Finas, Hulu Kelang, turut disiarkan menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (132), Ria (104) dan SingTel Mio TV di Singapura, setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam.- KHAIRUL AMRI HASSAN

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters