Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Pasrtum, 34, yang juga berasal dari Myanmar maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya ditemui terbaring di dalam rumah.
Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan bertandang ke rumah kongsi yang didiami tiga lelaki lain dengan niat mahu berbual memandangkan mereka semua datang dari negara sama.
Bagaimanapun, ketika rancak berbual, berlaku perselisihan faham antara mereka dan mula bertengkar sebelum kejadian itu disedari jiran berhampiran.
Difahamkan, pergaduhan kelima-lima lelaki itu disedari salah seorang jiran yang terdengar bunyi kuat dari dalam rumah berkenaan sebelum melihat empat lelaki bergegas keluar melarikan diri.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Deputi Superintendan Azmi Jaafar, berkata sepasukan anggota polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepalanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sebatang kayu panjang di sisi mangsa yang dipercayai digunakan oleh keempat-empat rakannya untuk membelasah dan memukul kepala mangsa sehingga mati.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa masuk ke negara ini dengan menggunakan dokumen perjalanan sah sejak setahun lalu dan bekerja sebagai nelayan.
“Hasil soal siasat ke atas beberapa individu, polis berjaya menahan seorang daripada suspek berusia 31 tahun yang ketika itu berada di dalam sebuah teksi untuk ke utara.
“Kita percaya lelaki itu hendak melarikan diri ke negeri lain dan menyewa sebuah teksi dalam usahanya untuk berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, polis masih memburu tiga lagi suspek yang dikenali sebagai Ouk, Osimi dan Atik yang masing-masing berusia 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Zukri Muhammad di talian 09-5132222 sambungan 2064.
No comments:
Post a Comment