Jom Buat Duit

Saturday 23 June 2012

Portugal menakjubkan

WARSAW – Keyakinan Portugal semakin melonjak.Selepas kejayaan menewaskan Republik Czech 1-0 pada aksi suku akhir Euro 2012 awal pagi semalam, Portugal sudah membayangkan untuk melangkah lebih jauh.
Final menjadi impian mereka selepas kejayaan ke atas Republik Czech itu dan ia tidak mustahil untuk dicapai.
“Kami semakin ada keyakinan serta sudah bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja pada peringkat separuh akhir kelak,” tegas kapten, Cristiano Ronaldo penuh yakin.

Pada aksi menentang Republik Czech awal pagi semalam, Ronaldo muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan Portugal hasil hantaran lintang Joao Moutinho sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.
Sebelum itu, dua percubaannya dinafikan oleh tiang gol sementara jaringan pembukaan mereka tidak disahkan kerana ofsaid.
“Kami semakin menunjukkan peningkatan dan momentum seperti ini akan diteruskan,” katanya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ronaldo menjadi watak penting atas kejayaan Portugal pada aksi suku akhir itu.

Kelibatnya banyak membawa perubahan terhadap persembahan mereka yang dilihat agak hambar ketika berjuang pada peringkat kumpulan.
Portugal boleh dikatakan memiliki tuah kerana berjaya meloloskan diri daripada kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan maut membabitkan Belanda, Jerman dan Denmark.
“Kami tampil dengan aksi yang menakjubkan. Kami juga mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol namun apa yang lebih penting buat kami ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir.
“Gaya permainan kami juga semakin matang dan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi aksi separuh akhir,” tegas Ronaldo.

Jurulatih, Paulo Bento pula menyifatkan rentak permainan Portugal semakin meningkat pada setiap perlawanan.
Justeru, dia tidak hairan kenapa mereka meraih kemenangan pada aksi getir seperti ketika menentang Belanda dan Republik Czech.
“Kami memang berhak melangkah ke separuh akhir. Kami tampil dengan rentak permainan yang sungguh mempesonakan meskipun pada peringkat awal tiada siapa berani meramalkan kami mampu melangkah sejauh ini.

“Memang saya akui pada awal permainan ketika menentang Republik Czech rentak kami agak hambar tetapi sebaik separuh masa kedua bermula, kami tampil dengan kualiti tersendiri. Sebab itu kami berhak memenangi perlawanan tersebut,” katanya.
Ketika Ronaldo disanjung sebagai individu penting atas kejayaan itu dalam skuad Portugal, namun Bento memiliki pendirian yang berbeza.
“Kejayaan Portugal bukan berpunca daripada seorang individu sahaja, sebaliknya kemenangan kami adalah hasil kerja keras semua pemain,” katanya.
Menurutnya, semua pemain memiliki peranan masing-masing di atas padang dan mereka telah melaksanakannya dengan baik.
“Apa yang penting buat kami ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir dan saya tidak kisah untuk berdepan dengan sesiapa sahaja selepas ini.” – Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters