Jom Buat Duit

Sunday, 24 June 2012

Korbankan ternakan demi si mati

TERLINDUNG di sebalik gunung ganang dan tebing granit yang berceranggah di kawasan tanah tinggi di kepulauan Sulawesi Selatan, suku Toraja hidup aman damai dikelilingi tanah lembah dengan padi teres yang menghijau serta ladang kopi yang subur.
Berbanding dengan suku-suku lain di Indonesia, tidak banyak yang diketahui mengenai kehidupan suku Toraja. Mereka dikatakan mengamalkan kepercayaan animisme dan hidup terasing daripada masyarakat luar.

Toraja dikatakan berasal daripada bahasa Bugis iaitu Riaja yang bermaksud orang yang berdiam di negeri atas. Penjajah Belanda menggelar Toraja sempena nama wilayah penempatan utama mereka Tana Toraja.
Hari ini, kebanyakan mereka telah memeluk agama Kristian dengan pengaruh kepercayaan Hindu Dharma yang kuat dikenali sebagai aluk to dolo. Biarpun dipalit kehidupan moden, namun suku itu tetap berpegang teguh dengan kepercayaan, ritual dan tradisi lama sehingga kini.
Keterujaan untuk mengenali sisi kaum yang dianggap unik dan penuh misteri itu terutama kisah ‘mayat berjalan’ membawa penulis ke wilayah berkenaan.

Secara kebetulan, pengembaraan itu dilakukan sejurus selepas penulis bersama rakan-rakan dari Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM) menamatkan pendakian di Gunung Rante Mario, puncak tertinggi di kepulauan Sulawesi.
Perjalanan kami bermula dari Baraka, lokasi terakhir pendakian menuju ke Tana Toraja dengan menaiki tiga buah kereta sewa. Perjalanan sejauh 78 kilometer itu sedikit perlahan memandangkan keadaan jalan raya yang agak kecil dan sempit.
HANYA golongan kaya yang boleh meletakkan patung mirip si mati di ruang khas di dinding perkuburan gua batu kapur di Londa, Sulawesi.
 
Hotel Indra Toraja menjadi destinasi penginapan kami. Selepas mendapat bilik, masing-masing bergegas untuk mandi dan berehat, maklumlah pendakian selama lima hari sebelum itu sememangnya memenatkan.
Keesokan harinya, barulah kami berpeluang melihat Tana Toraja dengan lebih dekat melalui bantuan dua orang pemuda tempatan, Maliq dan Arma.
Menurut Maliq, sebelum ini nama Tana Toraja sememangnya agak asing dalam peta pelancongan di Indonesia.
“Hanya selepas tahun 1980-an apabila pemerintah menjadikan wilayah ini sebagai destinasi pelancongan kedua selepas Bali, barulah ia mula dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
“Selain mahu melihat keindahan landskap semula jadinya, ada juga pelancong yang datang untuk melihat keunikan dan budaya masyarakat suku Toraja,” katanya.
Tambah Maliq, terdapat kepercayaan menyatakan suku Toraja berasal dari syurga yang diturunkan ke bumi.
“Bagi mengekalkan kesejahteraan masyarakat dan buminya agar sentiasa subur, terdapat ritual khas bagi meraikan alam kehidupan dan kematian,” jelasnya.
Salah satu ritual yang dianggap unik dan penuh misteri yang masih menjadi amalan suku Toraja ialah ritual kematian. Dianggap sebagai salah satu peristiwa sosial penting, ia lazim dihadiri ratusan orang dan berlangsung selama beberapa hari.

Secara kebetulan, kami berpeluang melihat ritual itu dengan lebih dekat ketika dalam perjalanan. Biarpun tidak saling mengenali, kehadiran kami disambut dengan tangan terbuka oleh tuan rumah.
Kami sempat menyaksikan bagaimana mereka mengorbankan babi dan kerbau sebagai acara korban untuk si mati. Mata seakan-akan terpaku seketika saat parang tajam menusuk jantung si korban. Walaupun agak mengerikan, namun pengalaman itu ternyata amat bermakna dan istimewa.
Seterusnya, kami dibawa ke Rante Karassik untuk melihat simbuang batu atau batu megalitik. Bermaksud batu yang ditarik dalam bahasa tempatan, batu-batu di situ dipercayai telah berusia ratusan tahun.
Kami diberitahu, setiap batu yang ditanam adalah bagi menghormati ketua adat dan keluarga bangsawan yang telah mati.

“Hanya golongan berada yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 ekor kerbau layak ‘berada’ di sini,” jelas Maliq yang memberitahu, ritual itu masih diamalkan dalam kalangan suku Buntu Pune.
Simbolik kerbau

PETA menunjukkan kedudukan Tana Toraja di Kepulauan Sulawesi.


Pengembaraan kami diteruskan ke Kate Kesu iaitu perkampungan adat yang terletak empat kilometer dari Rantepao, pusat pentadbiran di Tana Toraja. Ia mengandungi beberapa rumah adat (tongkonan), tanah perkuburan lama di dalam gua dan makam-makam baharu.

Penulis agak kagum melihat reka bentuk tongkonan yang dihiasi ukiran dan motif berwarna merah, hitam, dan kuning. Ia terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu bilik tidur dan dapur.

Tongkonan yang berasal daripada perkataan tongkon bererti duduk bersama-sama. Ia juga digunakan sebagai tempat menyimpan mayat.
Ketika berada di situ, terdapat satu persiapan ritual kematian sedang dilakukan secara besar-besaran. Kami difahamkan si mati berasal daripada golongan berada.

Kerbau merupakan ikon dalam ritual itu. Tanduk-tanduk kerbau yang disusun sebaris di hadapan pintu tongkonan secara tidak langsung menunjukkan kekayaan pemiliknya.

“Lebih banyak tanduk digantung lebih besar upacara yang dilakukan. Paling sukar dicari ialah kerbau berwarna putih (albino). Harganya seekor sahaja mampu mencecah puluhan ribu ringgit,” jelas Maliq.
Selepas meninjau kawasan sekeliling, kami dibawa menuju ke gua perkuburan lama yang terletak berhampiran. Pada bahagian dinding gua batu ini terdapat banyak keranda kayu (erong) yang digantung. Ada juga erong yang disumbat ke dalam rekahan atau sengaja dipahat pada dinding gua.
Oleh kerana kebanyakan keranda di situ telah berusia ratusan tahun, ada di antaranya telah rosak dan pecah. Tulang-tulang rangka yang jatuh, didapati berlonggok dan terbiar begitu sahaja.

Kami diberitahu, suku Toraja amat menghormati elemen tanah kerana bagi mereka tanah merupakan sumber rezeki. Disebabkan itu, mereka rela menjadikan gua dan tebing-tebing batu sebagai tanah perkuburan.
Semakin tinggi letaknya erong pada dinding gua semakin tinggi pula status sosialnya di mata masyarakat .
Seterusnya, pengembaraan kami diteruskan ke Londa yang terletak di Sandan Uai untuk melihat tanah perkuburan batu kapur. Di situ, keranda disusun dan diletakkan mengikut garis keluarga yang mana pada satu sisi lain, keranda sekadar dibiarkan terbuka menghadap pemandangan luar bukit.
Dari jauh kami dapat melihat tau tau atau patung-patung manusia yang diukir mirip si mati. Bagaimanapun, hanya golongan berada yang layak meletakkan patung di situ, malah ruang itu juga menjadi tempat penyimpanan harta si mati sebagai tanda status dan lambang kekayaannya.
SEMAKIN jauh perjalanan ke dalam gua semakin banyak keranda dan tengkorak yang boleh ditemui di Londa.
 
Perasaan ingin tahu yang membuak-buak membuatkan perasaan gerun lenyap begitu saja. Kami semua seakan asyik dalam dunia mistik yang begitu menakjubkan.
Tanpa disedari kami telah jauh melangkah ke dalam gua. Rupa-rupanya masih banyak lagi keranda dan rangka manusia yang boleh ditemui di dalamnya termasuk yang baru disemadikan, iaitu kira-kira tiga bulan lalu. Kerandanya yang masih cantik dan berkeadaan baik terletak di bahagian atas gua tersebut.

Di ruang itu juga, penulis akhirnya mendapat jawapan yang dicari-cari mengenai kisah mayat berjalan.
Menurut Maliq, ritual kematian disambut secara besar-besaran bertujuan untuk menghibur dan mengiringi si mati menuju ke ‘alam puya’ atau dunia akhirat.
Katanya, kos yang tinggi menyebabkan keluarga si mati terpaksa menabung dan mengumpul sebanyak mungkin duit bagi membiayai upacara ritual itu.

Disebabkan itu, si mati akan diawet dan disimpan di dalam rumah sehingga sumber kewangan mencukupi.
“Jadi untuk memudahkan mereka semasa melakukan ritual itu, mayat akan dipuja dengan mantera agar berjalan sendiri sehingga ke dalam gua sebelum disemadikan terus di sana.
“Itu cerita ratusan tahun dahulu, kini ritual memuja mayat itu tidak lagi dipraktikkan oleh generasi muda pada hari ini,” ceritanya.

Apa yang pasti, selepas beberapa hari meneroka bumi Tana Toraja, ternyata dunia mistiknya terlalu indah dan menarik untuk didalami.
Bagi masyarakat Toraja, alam kematian bukan satu alam yang harus digeruni sebaliknya diraikan secara besar-besaran.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters