Jom Buat Duit

Saturday 30 June 2012

Keinginan Fauziah Latiff


JEE (belakang tengah) bersama geng motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai kaum wanita. Mereka menamakan grup tersebut sebagai Lady Bikers 
 

BUKAN mudah untuk menempatkan diri dalam dunia seni. Lihat saja lambakan artis-artis baharu yang cuba untuk menyelitkan diri sebaris dengan nama-nama hiburan sedia ada.
Ekoran persaingan yang begitu hebat, terdapat segelintir ‘pucuk muda’ yang layu di pertengahan jalan, tidak kiralah dalam mengejar impian sebagai seorang penyanyi mahupun pelakon.
Malah, terdapat juga yang sanggup menukar bidang semata-mata mahu kekal dalam kelompok penuh glamor ini. Begitu payahnya kehidupan sebagai seorang selebriti.

Namun, bak kata pepatah, jika sudah rezeki tidak ke mana. Masih terdapat mereka yang bintangnya begitu cerah dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Salah seorangnya, sudah pasti Fauziah Latiff.
Siapa yang tidak kenal wanita jelita yang penuh lasak ini? Lebih selesa dipanggil Jee, segala ceruk rantau dunia seni, baik lakonan, nyanyian mahupun peragaan telah beliau jelajah.
Apa yang membezakan ibu kepada dua orang anak ini dengan orang lain adalah sifat beliau yang sentiasa merendah diri.

Karakter tersebut jelas diterjemah melalui tutur katanya sewaktu berbicara tentang niatnya mahu membuka ruang kepada komposer-komposer baharu untuk berkolaborasi dengannya.
Menurutnya, jika lagu yang diberikan bersesuaian dan menepati cita rasanya, dia tidak kisah bergandingan dengan mana-mana komposer sekalipun, termasuklah yang baru mencipta nama.
“Sejujurnya saya kurang mengikuti perkembangan muzik tanah air untuk tempoh tiga hingga empat tahun yang lepas, oleh itu, tidak ramai komposer baharu yang saya kenali secara rapat.
“Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah untuk mendapatkan khidmat mereka jika karya yang dihasilkan bersesuaian,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Fauziah Latiff @ SK II Aura Beauty Tea Party di Garibaldi Italian Restaurant & Bar, Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang sudah hampir 10 tahun menjadi duta produk kecantikan tersebut memberitahu, dia tetap selesa dengan kerjasama yang dijalinkan dengan komposer-komposer veteran yang sudah dianggap kawan.
Dengan nada berseloroh, dia turut menyatakan kerinduannya mendapat sentuhan magis mereka di dalam lagu-lagunya.

“Selain komposer, saya juga ada mendapat tawaran untuk berkolaborasi dengan artis-artis baharu. Saya tidak melihat ini sebagai satu masalah malah saya berbangga apabila diberi penghargaan untuk berduet dengan mereka,” ujarnya sambil menyatakan beliau kini lebih fleksibel dalam pemilihan lagu, komposer dan artis untuk albumnya yang akan datang.
Terkenal dengan sifat yang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak, Jee turut melahirkan minatnya untuk menerokai bidang produksi.

Baginya, dia ingin mencuba bidang produksi yang terkenal dengan cabarannya tersendiri supaya dapat menimba lebih banyak pengalaman serta ilmu-ilmu baru.
“Setiap hari kita belajar ilmu-ilmu yang baharu dan bagi saya, ilmu ini patut dikembang serta dikongsikan kepada orang lain.

“Bidang produksi sekarang ini semakin berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Dengan minat sahaja, kita tidak akan ke mana, oleh itu, kita harus mendalami ilmu mengenainya,” ujarnya bersemangat.
Sewaktu majlis yang sama, turut kelihatan beberapa orang ahli kelab Lady Bikers, sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi yang turut dianggotai Jee.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam sukan permotoran itu, ujar Jee, kesibukan jadual hariannya tidak menghalang minatnya terhadap hobi yang sering dipelopori kaum lelaki itu.
Tambahnya, jika berkesempatan, Jee turut akan meluangkan masa dan menunggang bersama rakan-rakannya itu.

“Sebahagian daripada mereka terdiri daripada kaum ibu, namun masih mampu untuk membahagikan komitmen masing-masing untuk menikmati perkara yang mereka minat.
“Seperti yang sedia maklum, aktiviti sebegini lebih dominan bagi kaum lelaki, jadi sudah pasti ada yang memandang rendah kemampuan kami sebagai kaum wanita. Bagi saya, itu semua adalah cabaran,” ujarnya yang berpegang teguh dengan prinsip hormati orang lain untuk mendapat penghormatan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters