Jom Buat Duit

Sunday, 27 May 2012

Nurul mahu lebih eksklusif

GAMBARAN hati yang berbunga bahagia jelas terpampang pada senyuman yang merekah di bibirnya.

Barangkali semua wanita yang bakal diijabkabul dihinggapi angan yang sama, namun perasan yang mengepung bakal pengantin bernama Nurul Huda Wahab kali ini sedikit berbeza.
Hendak dikatakan terlalu teruja barangkali keterlaluan, namun itulah hakikatnya. Tempoh lima tahun menjanda, pernah dihambat episod duka, dikecam juga dengan banyak cerita, dia bagaimanapun seteguh karang di laut terhampar. Membentuk kehidupan sebagai ibu tunggal popular, Nurul akur dengan rutin hidupnya.

Sedikit demi sedikit, dia mula merasai, tidak semua perkara boleh dikongsi dengan semua pihak. Nurul kini lebih matang dalam melayar haluannya.
"Dulu kisah peribadi menjadi bahan perniagaan dan karier saya, saya belajar daripada pengalaman. Sikap terlalu terbuka ada masanya menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan saya," katanya yang memilih untuk semakin eksklusif dalam soal publisiti.

Akhirnya, satu berita yang dimahukan daripadanya telahpun diperoleh umum. Nurul Huda Abdul Wahab, 35, yang juga bekas isteri komposer ternama Ajai sudah pun menetapkan tarikh 6 Jun nanti untuk menamatkan zaman solo bersama seorang lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47.
Tarikh pernikahan sudah hampir namun sehingga hari ini, Nurul masih berkeras tidak mahu berkongsi wajah lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya untuk berkahwin sekali lagi.
"Cukuplah dengan sekeping gambar yang dirakam dalam sebuah majlis korporat. Eric minta biarlah selepas kami diijabkabulkan nanti. Dia bukan artis tapi dia cukup sedar bahawa dia bakal berkahwin dengan seorang artis," kata Nurul.

Terlepas sumpahan
Ibarat dialah wanita paling bahagia di dunia. Setiap denting waktu mengingatkannya terhadap detik untuk kembali menggalas status isteri. Menjadi pengemudi kepada majlis sendiri, Nurul juga tidak sekadar bergoyang kaki menghitung waktu.

Tanggal 6 Jun membuatkan Nurul tidak berhenti daripada memikirkan soal kerja yang harus dilangsaikan. Ketika segala perancangan perkahwinan sedang bersusun inilah dia harus bergegas menyelesaikan satu projek baharu.
Bukan sahaja album yang masih menunggu untuk dicetak dan diedarkan serentak dengan tarikh pernikahannya tapi urusan menandatangani kontrak sebagai duta kepada satu lagi produk penjagaan dan kecantikan kulit.

"Sebenarnya perbincangan untuk jadi jurucakap produk berkenaan sudah dilakukan beberapa bulan lalu, cuma masa tengah sibuk ini pula perkara itu yang harus disegerakan. Saya anggap itu rezeki berganda untuk perkahwinan nanti selain daripada album mini yang sangat saya tunggu-tunggu.

"Ikut perancangan memang nak lancarkan album pada hari pernikahan nanti tapi kena tengok keadaan dulu. Kalau segalanya berjalan seperti yang diaturkan, Insya-Allah," ujar Nurul menetapkan tarikh 1 Jun untuk tarikh akhir kepada segala urusan kerja.
Tambahnya sambil berderai melepas tawa: "Pengurus saya, Masnizah sudah bising dan tak benarkan saya ke mana-mana lagi selepas 1 Jun. Saya kena fikirkan pasal diri sendiri juga, wajib ke spa. Saya juga masih jurucakap Glow & Glamour, jadi tak sah kalau tak pusat kecantikan berkenaan sebelum menikah nanti."

Sibuk menguruskan sendiri segala perancangan, urusan jemputan untuk tetamu dan segala macam perkara, hari ini Nurul bertolak ke Singapura untuk menjemput keluarga Eric yang baru tiba dari Perancis termasuklah menjemput anaknya, Ayu Nazirah yang kini bersekolah di Johor Bahru.
"Sebenarnya agak kalut juga, saya penat tapi lega. Walaupun banyak urusan yang bertimpa-timpa, semuanya berjalan tanpa halangan. Eric pula masih dapat ke kelas agama macam biasa.
"Rasanya macam terlepas daripada sumpahan pun ada. Keterujaan kali ini lain macam pula. Dulu, saya kahwin masa umur 19 tahun sekarang nak kahwin lagi masa umur 35 tahun, tapi rasa macam nak kahwin kali pertama sahaja. Semua benda mahu sempurna termasuklah soal jemputan," katanya berharap tiada pihak terkilan jika tidak menerima jemputan.

Alasan Nurul, majlisnya nanti mahu dilangsungkan dalam saiz yang kecil dan suasana penuh harmonis dengan hanya 200 orang jemputan.
"Saya anggap majlis pernikahan itu nanti sebagai waktu untuk didekati dan mendekati keluarga serta rakan-rakan karib sahaja. Ia bukan sebuah pesta keramaian. Takut tak terlayan nanti kalau jemputan ramai sangat," ujarnya yang akan menggayakan gaun pengantin rekaan Rizman Ruziani.
Selain pengantin wanita yang mahu tampil bak ratu sehari, Eric juga tak kalah gayanya nanti. Untuk majlis akad nikah, Eric akan mengenakan sut yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Bond Zainal.
Mahu cepat hamil
Kali terakhir Nurul hamil dan melahirkan anak tunggalnya Ayu Nazirah ialah 15 tahun lalu. Lantas, untuk perkahwinannya kelak, Nurul bersedia bahkan tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menimang anak bersama Eric.
Katanya, Eric pernah berkahwin tetapi tidak pernah mempunyai anak. Untuk perkahwinan nanti, Eric awal-awal lagi sudah bercakap tentang anak.

"Dia (Eric) paling tidak sabar untuk mempunyai anak. Begitu juga dengan Ayu yang mahu merasai pengalaman mempunyai adik. Kata Ayu, mesti adiknya nanti comel sebab berbapakan 'mat saleh'," tawanya berderai lagi agaknya geli hati dengan permainan perasaan.
Seperkara lagi tentang Eric, lelaki yang menyandang jawatan sebagai perunding dan jurulatih kesihatan sebuah syarikat nutrisi antarabangsa itu dikatakan memiliki aset besar dan mampu menjamin kehidupan mewah buat Nurul.



Disuakan soalan itu ke mukanya, Nurul tersenyum nakal. Komennya juga bersulam jenaka.
"Kalau saya nak kahwin dengan orang kaya-raya, tak perlulah saya bersusah-payah nak terbitkan album dan menyanyi lagi. Sebenarnya, Eric cuma seorang sederhana. Sudah enam tahun dia berada di Malaysia dan kami sama-sama terlibat dengan bisnes yang sama. Rasanya setiap orang harus bekerja untuk hidup," kata Nurul.

Penyanyi lagu Keliru itu tidak mengharapkan penajaan untuk hidup senang tapi jika majlisnya menjadi lebih meriah hasil penajaan daripada pihak tertentu, itu semua satu penghargaan yang tidak ternilai buat dirinya.

Tidaklah sampai mendapat tajaan bernilai jutaan ringgit namun untuk pernikahannya nanti, Nurul tetap mengucapkan terima kasih kepada Red Photography yang akan menaja sesi fotografi serta Sid Haleza yang menghadiahkan kek perkahwinan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters