Jom Buat Duit
Sunday, 27 May 2012
Aku Ada, Kau Ada beku minda
FILEM Aku Ada, Kau Ada yang sarat elemen K-Pop berharap Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Kamal Adli dapat menyuntik magis. Secara umum, kemampuan pelakon itu jarang mengecewakan bahkan banyak yang boleh diberikan pujian.
Pengarah filem Aku Ada, Kau Ada tidak asing dalam industri filem tetapi naskhah itu ialah buah tangan sulung Rahila Ali. Sebelum ini dia banyak terlibat dengan pembikinan klip video, program televisyen serta sebuah video cakera padat berjudul Azura lakonan Jamal Abdillah dan Ning Baizura.
Tiga puluh minit pertama diperkenalkan dengan karakter serta penceritaan filem yang dilatari sebuah universiti di Korea. Aku Ada, Kau Ada rupa-rupanya mengisahkan sekumpulan pelajar Malaysia, Nordin Ahmad lakonan Sam, Aziz Sattar (Kamal Adli) dan Yana Samsudin (Kartina Aziz).
Filem komedi ini bercerita tentang kebodohan dan persaingan pelajar universiti.
Begitu juga dengan telatah pensyarah seni, dekan serta pensyarah kaunseling dalam filem tersebut yang semuanya dimainkan pelakon Malaysia berketurunan Melayu dan bertutur bahasa Melayu dalam kelas yang turut disertai pelajar Korea. Barangkali filem itu membawa aspirasi 'Malaysia Boleh' dan 'Tak Melayu Hilang di Dunia' sehinggakan poster pertunjukan teater juga menggunakan bahasa Melayu. Terfikir juga barangkali situasi itu cuba menunjukkan pusat persatuan pelajar Malaysia universiti di Korea berkenaan.
Sungguh ironi juga apabila filem yang meminjam konsep K-pop itu diwarnai watak-watak yang memiliki nama bintang filem Melayu klasik, seperti Nordin Ahmad dan Aziz Sattar. Begitu juga Yana dan menggunakan nama Kartina Aziz.
Puas juga mencari konotasi di sebalik nama-nama itu, namun hanya kecewa yang mengundang kerana tiada usaha dilakukan untuk membentuk keseimbangan nama dan karakter. Terasa nama-nama itu sengaja dimasukkan sekadar menyuntik rasa kelakar kepada dialog yang dituturkan para pelakon semata-mata. Watak yang sepatutnya boleh mekar sebaliknya beku dalam cuaca sejuk di Korea.
Itu tidak termasuk percubaan memasukkan elemen filem Bollywood terkenal Mohabbatein melalui watak pensyarah muzik (Angah Raja Lawak) yang tidak lekang dengan gesekan biolanya.
Pemilihan lokasi Korea yang penuh dengan pemandangan menarik memang sesuai untuk sebuah filem romantik. Kepada peminat drama dan filem Korea, inilah versi Melayu kepada drama atau filem Korea ditambah pula dengan fesyen-fesyen yang digayakan setiap pelakon. Menarik tetapi nuansa Korea dalam wajah filem Melayu yang cuba diserapkan oleh pengarah untuk filem ini tidak berjaya memberikan rasa takjub.
Sesuatu yang boleh, penghasilan skor muzik untuk filem ini berjaya mengubah kelesuan. Fantasi Kartina dan Nordin yang mengalihkan komedi slapstik Sam, Yana serta Kamal ke sebuah filem muzikal yang harmoni.
Semua itu banyak dipengaruhi oleh penceritaan Aku Ada, Kau Ada sendiri yang digarap menggunakan konsep 'belasah.' Kebencian melampau Kartina terhadap Nordin sejak kecil ialah disebabkan satu perasaan yang sebaliknya. Pertemuan Kartina dengan Nordin sendiri tidak diperincikan, bagaimana mereka boleh bertemu sejak kecil kemudian berkongsi bilik kuliah yang sama di Korea juga langsung tidak dipedulikan dalam penceritaan.
Labels:
Shaheizy Sam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment