Jom Buat Duit

Sunday, 27 May 2012

Cinta Adi, Aida kalah filem Hindustan

BUKAN salah orang ketiga, bukan juga sebab ketiadaan zuriat. Dua alasan itu bagaimanapun tidak merungkaikan segala kemusykilan kepada bergoncangnya perkahwinan pelakon popular Adi Putra, 31, bersama isterinya, Zuraidah atau Aida Yusof yang mengejutkan pentas hiburan, baru-baru ini.
Tanpa ribut, pada 11 Mei lalu, Adi atau nama penuhnya Mohamed Hadi Putra Halim bersama isterinya sudah sebulat suara mahu bercerai. Mereka bersama-sama memfailkan permohonan untuk bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dan diberikan tempoh pemerhatian selama sembilan hari.

Habis tempoh yang diberikan mahkamah, kelibat Adi dan Aida muncul lagi di mahkamah yang sama pada 21 Mei lalu. Mereka kemudian berkongsi khabar gembira apabila membuat keputusan untuk menarik semula permohonan perceraian yang dibuat. Biarpun khabar gembira, drama luar lokasi antara Adi dan isterinya itu sekali lagi mengejutkan banyak pihak.
Sama kes tetapi berbeza situasi. Apa yang berlaku kepada Adi dan Aida berlaku juga kepada pasangan Rita Rudaini dan Aidil Zafuan. Baru-baru ini, Aidil juga menarik permohonan cerai terhadap Rita tetapi menuntut Rita kembali taat kepadanya.

Rekod yang dibuat oleh Adi dan Aida juga dibandingkan dengan tragedi cerai pasangan pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi satu ketika dahulu. Sebelum bercerai pada 18 Disember 2008, Norman dan Abby pernah bercerai talak satu pada 5 Mei 2006. Perceraian itu mencatat sejarah apabila pasangan berkenaan rujuk semula dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Syukurlah masalah rumah tangga Adi dan Aida tidak sampai meruntuhkan sebuah ikatan. Adi pada sidang media khas Selasa lalu menyifatkan mereka berdua memperoleh rahmat Ilahi.

"Dalam tempoh pemerhatian itu, saya dan isteri kembali berbincang. Kami juga dalam keadaan yang rasional dan tidak bertengkar. Bagi saya, ini semua satu keajaiban. Saya berfikir semula tentang apa tujuannya sebuah perkahwinan, apa sebenarnya apa yang kami mahukan dalam kehidupan. Perkahwinan bukan sahaja atas kesetiaan dan kasih sayang, ia lebih daripada itu," ujar Adi tenang sambil ditemani isterinya Aida.

Jauh sekali menyifatkan tindakan memfailkan permohonan perceraian itu satu tindakan tidak serius atau main-main, bagi Adi tindakan nekadnya selang dua hari selepas pulang daripada mengerjakan umrah itu bukan satu kesilapan.
"Saya anggap tindakan failkan permohonan cerai itu satu pengajaran besar," katanya yang mengaku berdepan saat beremosi semasa saling meluahkan rasa bersama isteri sehingga kerukunan dapat dipulihkan.

Jelasnya: "Bukan sahaja saling menangis, emosi dan situasi kami berdua ketika itu sangat menghibakan, kalau nak banding dengan filem Hindustan, filem Hindustan pun kalah."
Menunggu sehingga Adi dan Aida selesai berdepan setiap soalan daripada media yang hadir, Adi dan Aida dibawa ke satu perbualan yang lebih santai.

Aida lebih banyak berdiam yang membiarkan Adi memulihkan keadaan. Wanita 37 tahun itu tenang dan murah senyuman, sesekali dia ketawa girang melayani soalan pihak media.
Melihat penampilannya yang bertudung litup, soalan itu yang dibisikkan terlebih dahulu kepadanya.
"Ya, saya sudah bertudung, sudah lebih kurang sebulan. Umur pun sudah 37 tahun, jadi sampailah masanya untuk saya berubah ke arah yang lebih baik," katanya sambil melepaskan nafas lega.
ADI bersama isteri, Aida tertawa girang saat ditembak bermacam-macam soalan oleh pihak media.
 
Sekali lagi Aida mengulangi penjelasannya: "Masalah kami bukan berpunca daripada soal anak atau orang ketika. Nora Danish tiada kaitan dalam masalah kami. Saya sendiri baru sahaja berhubung menerusi BlackBerry Mesengger (BBM) sebelum datang ke sidang media ini. Saya juga tidak pernah cemburu jika ada mana-mana pihak yang menghubungi saya bercerita tentang kelibat Adi bersama mana-mana wanita. Saya kenal Adi."

Aida mahu zuriat
Buang yang keruh dan ambil yang jernih, itu pepatah yang sesuai menjelaskan keadaan Adi dan Aida ketika ini. Entah apa masalah yang mereka lalui, pasangan itu tidak sesekali mahu berkongsi masalah dalam kelambu yang mereka alami.
"Saya juga tak berminat untuk hadir ke mana-mana sesi kaunseling. Bagi saya, selagi boleh, baik selesai masalah secara sendiri. Bercerita dengan kaunselor sama juga menceritakan masalah kita kepada pihak luar," katanya sambil melihat reaksi Aida di sisi.

Satu perkembangan terbaharu, Aida sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali tetapi tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan cahaya mata.
"Saya ingat nak jalani proses invitro sekali lagi. Sakit memanglah sakit tapi kena berkorban untuk mendapatkan anak. Insya-Allah ia akan dilakukan dalam masa terdekat," ungkapnya.
Aida dan Adi sama-sama mengucapkan terima kasih atas doa yang baik-baik semua pihak terhadap kesejahteraan perkahwinan mereka sepanjang melalui saat getir baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters