Jom Buat Duit

Saturday, 26 May 2012

Amah lawan penculik


KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 38 tahun bergelut dengan tiga lelaki bersenjatakan parang yang cuba menculik anak majikannya berusia enam tahun menyelamatkan kanak-kanak itu, semalam.
Dalam kejadian pada jam 7.20 pagi di Taman Persiaran Desa, di sini, pembantu rumah terbabit mengalami kecederaan ringan di kepala dan seluruh badan.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, ketika kejadian, mangsa dan kanak-kanak perempuan terbabit berada di depan rumah.
“Mangsa mendakwa melihat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau berhenti berhampiran dengannya. Seorang lelaki berusia 30-an kemudian turun dari kenderaan itu sebelum berpura-pura bertanyakan arah jalan.

“Pembantu rumah itu yang tidak mengesyaki sebarang niat buruk memberikan panduan kepada lelaki terbabit,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian mencekak baju mangsa sebelum meletakkan parang panjang di lehernya.

“Lelaki berkenaan mengarahkan mangsa mendiamkan diri sebelum mangsa melihat dua lagi rakannya turun dan meluru ke arah anak majikannya,” katanya.

Katanya, mangsa yang bimbang dengan keselamatan anak majikannya cuba menghalang kumpulan terbabit sebaliknya dia dipukul hingga terjatuh.
“Ketika mangsa terjatuh, seorang lelaki cuba mengheret anak majikannya itu ke dalam kereta mereka. Menyedari keadaan itu, mangsa nekad melawan menyebabkan berlaku pergelutan.

“Jeritan kuat pembantu rumah itu ketika bergelut dengan kumpulan terbabit membuahkan hasil apabila jiran keluar memberikan bantuan.

“Terkejut dengan kehadiran penduduk di kawasan itu, tiga lelaki itu bergegas melarikan diri,” katanya.

Mangsa bagaimanapun mengalami kerugian apabila kumpulan terbabit melarikan barang kemas dan telefon bimbitnya.

Sehubungan itu, mangsa ditemani majikannya membuat laporan di Balai Polis Brickfields, di sini.

Difahamkan, sehingga kini masih belum ada tangkapan dilakukan namun pihak berkuasa sedang memburu kumpulan penculik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters