Jom Buat Duit

Sunday 22 June 2014

Sumpah itu makanan Aidil Zafuan - Rita Rudaini

KISAH pergolakan dua jiwa, pelakon Rita Rudaini dan bekas suaminya, pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak masih bertali arus.

Walaupun sudah hampir setahun bercerai namun kisah rumah tangga mereka masih berbutir di bibir ramai.
Terbaharu, sewaktu Majlis Pratonton Media Ramadan & Raya TV3 dan TV9 di Petaling Jaya baru-baru ini, pelakon Mami Jarum The Movie itu sekali lagi meledakkan kecamuk rasanya. Pada pertemuan kali ini, nada emosi aktres berumur 38 tahun itu bercampur-campur, antara kecewa, geram dan marah, semuanya berbaur-baur.

Bukan kerana mengenangkan hubungan tidak kesampaian antara mereka berdua, tetapi bagi Rita, rasa terkilan dalam hatinya semakin menebal mengenangkan hak anak-anak yang masih tidak ditunaikan oleh insan bergelar bapa.

“Selepas bercerai sehingga sekarang, dia belum pernah lagi berjumpa dengan anak-anak. Tak ada langsung nak ambil tahu pasal anak lagi. Walhal sebelum ini dia pernah berjanji tidak akan abaikan anak-anak.
“Sekarang dia sendiri yang abaikan anak-anak. Sumpah dia saya tak boleh pakai lagi. Asyik bersumpah dengan saya. Sumpah itu dah jadi makanan dia. Saya dah tak percaya lagi apa yang dia kata,” luah pelakon yang popular menerusi drama Iris itu.

Bagi Rita sendiri, rasa itu semakin berbalam tiap kali dua orang permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3, bertanyakan hal berkaitan bapa mereka.

Dilema itu membuatkan Rita berasa tawar hati.
“Sebelum ini Aidil minta supaya saya beri dia ruang untuk mendekati anak-anak. Saya fikir mungkin ini lah masanya, sebab Arjuna memang tak pernah kenal bapa dia lagi. Dia tinggalkan waktu Arjuna tujuh bulan. Tapi apabila Arjuna dah kenal bapa dia siapa, dia buat hal lagi, abaikan anak-anak.

“Sekarang kalau anak-anak tanya, saya terpaksa alihkan tumpuan mereka. Anak tanya kenapa daddy dah lama tak datang? Sibuk ke sampai tak boleh berjumpa dengan anak-anak, mana janji tak akan lupa anak-anak?,” kongsi Rita.
Tambahnya, lebih menyedihkan apabila medium komunikasi, WhatsApp dan WeChat yang sebelum ini menghubungkan antara Aidil dan anak-anaknya juga dikatakan sudah disekat.
“Sebelum ini, kalau nak kongsi gambar atau video anak-anak guna WhatsApp dan Wechat, tapi sekarang nombor saya dah disekat, saya nak kongsi macam mana? Malah, WeChat itu pun dia sendiri yang suruh saya muat turun,” tuturnya.

Ujar Rita, anak-anaknya berhak untuk mengenali siapa bapa kandungnya kerana ikatan darah itu memang tidak akan pernah terputus buat selama-lamanya.
“Jangan asyik nak fikirkan orang lain, sampai sanggup korbankan anak-anak. Cukuplah, biarlah Allah yang tunjukkan,” pinta Rita.

Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.

Rita kini membesarkan kedua-dua orang anaknya itu bersendirian, manakala Aidil, 27, berkahwin lain bersama Zarema Zainal, enam bulan selepas bergelar duda.
Dalam pada itu, sewaktu ditanya adakah Rita sudah bertemu pengganti Aidil, katanya, dia tidak pernah terlintas mengenai hal tersebut. Katanya, apa yang lebih penting sekarang ini adalah kehidupan anak-anaknya.

“Ramai orang tanya saya bila lagi saya nak cari pengganti. Tapi benda ini sebenarnya dari hati, sekarang ini sedikit pun tak ada rasa nak ke situ (cari pengganti). Saya tak fikirkan diri saya, fokus saya pada anak-anak. Sekarang ini sayalah bapa, sayalah ibu.

“Saya tak mencari jodoh, sebab saya selesa dengan anak-anak. Apabila balik rumah tengok anak-anak, saya sudah cukup rasa bahagia,” tuturnya yang mengakui pernah didekati beberapa individu untuk berkenalan dengannya, namun tidak dilayan.

Dalam perkembangan lain, Rita memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah telefilem istimewa bersempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Pontianak Teng Teng yang akan disiarkan pada Hari Raya pertama menerusi TV9.

“Ia merupakan sebuah drama komedi yang mengisahkan seorang janda yang digilai penduduk kampung,” cerita Rita mengenai drama yang turut dibarisi oleh pelakon Yus Jambu itu. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters