Jom Buat Duit

Tuesday 31 July 2012

Mati dipercayai dibelasah anak

KUCHING - Seorang lelaki warga emas yang bertarung nyawa selepas dipercayai dipukul anak lelaki sendiri akhirnya meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak semalam selepas menerima rawatan hampir dua minggu.

Jeni Kaderi, 77, dipercayai bergaduh dengan anaknya yang berusia 41 tahun pada 17 Julai lalu di rumah mereka di Kampung Sinar Bumi Lama di sini sehingga cedera di rusuk, lebam di mata kiri, telinga kanan dan pendarahan di paru-paru kanan.
Bagaimanapun, suspek yang juga dikenali sebagai 'Ribut' pandai memperdayakan jiran-jiran mereka bahawa bapanya cedera selepas terjatuh tangga.

Namun, rahsia itu terbongkar selepas adik perempuannya datang ke rumah tersebut dan menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meminta anak saudaranya membawa mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad (gambar) berkata, mangsa meninggal dunia pada pukul 1 pagi dan doktor mengesahkan sembilan tulang rusuk kanan mangsa patah.
Serentak dengan itu, polis menahan reman suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tertuduh mati dalam mahkamah


ANGGOTA polis mengusung keluar mayat Fazlie dari kamar Mahkamah Majistret 1 Melaka semalam.


MELAKA – Suasana tenang di Mahkamah Majistret 1 di Kompleks Mahkamah Melaka semalam bertukar menjadi gempar apabila seorang tertuduh lelaki tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia di luar kandang tertuduh.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, seorang tertuduh, Fazlie Khamis, 28, yang menghadapi pertuduhan memiliki heroin meninggal dunia selepas seorang jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.

Sumber polis memberitahu, sebelum kejadian, Fazlie dibawa ke Mahkamah Majistret tersebut seorang diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan duduk di kerusi di luar kandang pesalah dalam keadaan yang sangat lemah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.
“Bagaimanapun selepas pertuduhan dibacakan, tiada sebarang tindak balas atau pengakuan salah direkodkan dan tertuduh hanya menundukkan mukanya.
“Disebabkan kakitangan mahkamah melihat tertuduh seperti tidak sihat, mereka kemudian menghubungi ambulans sebagai persediaan.
“Pada masa yang sama, tertuduh ketika itu dilihat masih boleh bergerak dan jurubahasa mahkamah kemudian membaca sekali lagi pertuduhan kepada tertuduh buat kali kedua dan tertuduh masih diam,” kata sumber polis itu semalam.
Tambah sumber polis itu lagi, selepas pertuduhan kali kedua dibacakan tidak berapa lama selepas itu, Fazlie kemudian tiba-tiba rebah ke lantai dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati tertuduh telah meninggal dunia.

Syaleza mati akibat leher dijerut


SAAT BAHAGIA. Gambar Norazman dan Syaleza ketika berkahwin tiga tahun lalu. 
 

SHAH ALAM – Polis semalam mengesahkan keputusan bedah siasat mendapati Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar menemui ajal dengan cara lehernya dijerut hingga mengakibatkan mangsa kekurangan oksigen sebelum mati lemas. Sehubungan itu, polis telah menahan suami wanita itu, Norazman Ba- shah, 31, selepas selesai upacara pengebumian jenazah Syaleza, 31, di kampungnya di Felda Redong 1, Labis, Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam kelmarin bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar kecil) berkata, lelaki berusia 31 tahun tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dekat sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu. “Selain suaminya, kita juga telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dua rekod dunia lebur di kolam renang

LONDON - Dua rekod dunia berjaya diperbaharui pada hari kedua acara renang di Pusat Akuatik Olimpik London kelmarin.

Paling mencuri tumpuan ialah perenang Afrika Selatan, Cameron van der Burgh yang mencipta kejutan apabila mengungguli acara 100 meter kuak dada lelaki.
Selain memenangi pingat emas, van der Burgh turut memperbaharui rekod dunia dengan catatan 58.46 saat, sekali gus memadam rekod lama 58.58 saat milik perenang Australia, Brenton Rickard pada Kejohanan Renang Dunia di Rom, Itali pada 2009.

Lebih manis, van der Burgh menjadi perenang lelaki pertama dari Afrika Selatan yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik.
"Ia suatu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan ketika ini.
"Yang pasti, kejayaan ini adalah hasil kerja keras saya membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik dan ia sangat berbaloi.

"Secara jujurnya, saya tidak kisah sangat dengan kejayaan memperbaharui rekod dunia kerana yang paling penting adalah memenangi pingat emas pada temasya kali ini.
"Sekali kamu bergelar juara Sukan Olimpik, ia tidak boleh dirampas oleh sesiapa.
"Sudah pasti saya akan ceritakan kejayaan ini kepada anak-anak saya nanti," kata van der Burgh.
Perenang Australia, Christian Sprenger memenangi pingat perak, manakala Brendan Hansen pingat gangsa.
Terdahulu, perenang sensasi Amerika Syarikat, Dana Vollmer beraksi cemerlang apabila mendominasi acara 100m kuak kupu-kupu wanita dengan catatan 55.98 saat, sekali gus memperbaharui rekod dunia. - AP

Syanie bukan merajuk

PELAKON dan pelawak, Syanie Hisham semakin jarang kelihatan di kaca-kaca televisyen mahupun layar perak.
Kemudian, baru-baru ini dia dikhabarkan mahu berhijrah ke Melbourne, Australia untuk membuka sebuah restoran sekali gus menetap di sana.
Kesan daripada khabar angin itu, ramai yang tertanya-tanya adakah pelakon filem Senario Lagi itu merajuk dengan industri seni tempatan akibat kurang tawaran sejak akhir-akhir ini?
Berpeluang bertemu dengan pemilik nama Syaniza Hisham, 38, pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim rumah Amal Baitul Fitrah, Rawang di Hotel Royale Bintang Damansara baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan kesahihan daripadanya.

Kosmo!: Timbul khabar angin baru-baru ini menyatakan Syanie mahu berhijrah ke Melbourne, Australia tidak lama lagi. Adakah benar dakwaan itu dan kenapa?
SYANIE: Itu perancangan tahun lepas lagi tapi oleh kerana nenek saya baru meninggal bulan Jun lalu, saya tidak sanggup meninggalkan ibu saya bersendirian di rumah. Jadi saya menunda dulu hasrat untuk ke Melbourne sehingga keadaan benar-benar stabil. Saya ke sana untuk membuka restoran makanan tempatan Malaysia memandangkan di sana susah mahu mencari kedai masakan Malaysia.
Maka benarlah Syanie akan berhijrah ke sana? Adakah Syanie merajuk kerana kurang tawaran berlakon di Malaysia?
Ya, saya akan berhijrah ke sana memandangkan kakak saya sudah mendapat taraf penduduk tetap di sana. Jadi, jalan ke arah membuka perniagaan di sana lebih mudah. Saya akui permintaan (berlakon) untuk orang seperti saya semakin kurang. Bukan merajuk sepenuhnya tapi saya ke sana untuk mencuba persekitaran baharu dari segi bisnes.
Sejauh mana perancangan Syanie untuk membuka perniagaan di sana setakat ini?
Kertas kerja semua sudah siap dan lebih separuh projek itu berjalan lancar. Peluang dan sasaran pelanggan pun sudah dibuat cuma sekarang saya berdepan masalah kos. Kadar matawang di sana pun sekarang masih mahal. Jika ada pelabur yang mahu bekerjasama saya tidak kisah.
Harapan Syanie untuk bisnes itu?
Saya sangat berharap untuk membuka restoran makanan halal di sana. Cita-cita sudah tentu biar sampai tercapai cuma sekarang keadaan tidak mengizinkan. Saya akan ke sana juga satu hari nanti.

Bagaimana rutin Syanie sepanjang bulan Ramadan?
Sepanjang bulan Ramadan ini saya membuat dan menjual biskut raya melalui facebook. Kebanyakan tempahan pun dibuat oleh kawan-kawan dan pelanggan tetap dari tahun-tahun lepas. Sebelum ini ada menjual baju plus size tapi tak berjalan sebab terlalu ramai persaingan.

Syarikat penerbitan Nizarman Sdn. Bhd. di bawah seliaan Syanie masih beroperasi?
Sudah tentu masih berjalan dan tahun ini sudah memasuki 26 tahun syarikat itu beroperasi. Cuma keadaan sekarang terlalu banyak persaingan dan stesen televisyen terlalu pilih kasih. Selagi boleh bernyawa akan boleh hidup lagi dan saya akan teruskan selagi terdaya. Saya sudah tidak berani buat filem memandangkan filem terakhir terbitan Nizarman (lakonan Erra Fazira dan Hans Isaac), Persona Non Grata (yang menelan kos RM1.5 juta) tidak laku (hanya mengumpul kutipan RM420,000).

Kosmo

Erti Ramadan Ziana, Erra, Amy

RAMADAN barangkali memberikan makna berbeza bagi tiga nama besar, Amy Search, Ziana Zain dan Erra Fazira. Bergelar karyawan berkaliber dan berprestij dalam bidang seni tidak bermakna tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak diletak ke tepi.
Begitu juga rahmat bulan yang lebih baik daripada seribu bulan, Ramadan yang tidak dipandang rendah oleh ketiga-tiga figura terkenal itu.

Sempena kehadiran bulan Ramadan penuh berkat ini, ketiga-tiga penghibur serba boleh itu berkongsi cerita mengenai nikmat kehadiran Ramadan, pengalaman lampau serta perjalanan ke arah mendekatkan diri dengan Maha Pencipta.

Jelajah tarawih Amy
Banyak beramal dan melakukan kerja-kerja kebajikan menjadi prioriti penyanyi rock tersohor negara Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 54, sempena kedatangan bulan Ramadan.
Katanya, jika ada undangan menyanyi pun, dia terpaksa menolak melainkan majlis yang sudah disahkan awal-awal.
"Saya akan penuhi bulan Ramadan dengan jemputan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan menderma atas inisiatif sendiri.

"Biasanya apabila bulan puasa, saya akan menghentikan seketika aktiviti seni dan memberikan fokus untuk beribadat dan berehat di rumah serta membaca buku-buku keagamaan," katanya yang baru usai menjalani penggambaran klip video lagu Takbir Cinta duet bersama Yasin.
Rutin berbuka puasanya amat mudah, dua biji kurma dan segelas susu kemudian menunaikan kewajipan solat Maghrib. Sesudah itu baru dijamah sedikit makanan buat sumber tenaga untuk melakukan ibadat seterusnya.

Bercakap mengenai rutin solat sunat tarawih, vokalis Search itu memberitahu, dia dan keluarganya tahun ini memilih untuk menjelajah beberapa buah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Saya memilih untuk menunaikan solat tarawih di masjid dan tahun ini insya-Allah bersama isteri dan anak saya Alexander.

"Saya juga suka mengembara dari masjid ke masjid berbeza setiap malam sekitar Damansara dan Kuala Lumpur kerana sukakan bacaan ayat-ayat al-Quran yang berbeza di setiap masjid," ceritanya yang ditemui ketika rakaman program Raya Ziana, Amy & Erra TV3 di Studio 1, Glenmarie Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kudrat teater Erra
Sama seperti dua tahun lalu ketika sesi latihan Teater Muzikal Tun Mahathir, primadona itu akan kembali menjalani rutin berpuasa yang sama bersama naskhah Teater Tun Siti Hasmah pula tahun ini.
Menegaskan dia perlu merancang sebaik mungkin aktivitinya yang padat dengan rakaman program raya selain rutin harian, Erra mengakui dia perlu mengikut rentak biologikal badannya apabila kembali menjalani ibadah puasa tahun ini.

BARISAN artis yang terbabit dalam program Raya Ziana, Amy & Erra.
"Saya perlu merancang jadual harian dengan betul. Saya akan mula berlatih teater sebelah petang dan berehat seketika untuk berbuka.
"Kemudian baru sambung berlatih semula. Pastinya pada awal berpuasa, badan akan rasa penat tapi Insya-Allah, untuk minggu-minggu seterusnya akan kembali normal," ujarnya yang lebih gemar berbuka puasa di rumah dan meluangkan masa memasak untuk keluarga ketika hujung minggu.
Bagi Erra, bulan Ramadan adalah waktu yang paling dinanti-nantikan. Selain melipatgandakan ibadat, bulan penuh keberkatan ini juga akan diisi dengan amalan kebajikan seperti bersedekah kepada masjid dan anak-anak yatim.

Juadah wajibnya untuk berbuka puasa pula adalah martabak dan sedikit manisan manakala hidangan berat akan disusuli selepas menunaikan solat Maghrib. Erra juga tidak memilih bazar Ramadan kerana baginya lokasi terdekat dengannya adalah tumpuan yang paling afdal.
Tambah Erra, dia perlu mendapatkan zat dan khasiat daripada pemakanan yang sempurna selepas berbuka untuk keperluan tenaga keesokan harinya.
"Saya jenis yang selalu terlepas sahur. Kalau bersahur pun, saya hanya akan menjamah sekeping roti dan segelas milo panas," katanya.

Ziana fokus anak-anak
Fokus Ziana sempena kedatangan bulan Ramadan adalah kebajikan anak-anaknya yang tersayang, Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, dan pasangan kembar Muhammad Ariel serta Siti Nour Kaseh, 3.

Selalunya Ziana akan bertanya terlebih dulu anak-anaknya pilihan menu berbuka puasa dan memasaknya selain membeli beberapa keperluan lain di bazar Ramadan berdekatan kediamannya di Seksyen 8 atau Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.
"Macam inilah menjadi seorang ibu, semua perkara perlu fokus dan sekarang tiba giliran saya menggalas tanggungjawab bergelar ibu selepas emak kita.
"Cabarannya bergelar ibu adalah tidur tidak pernah cukup. Biasanya anak kembar saya menyusu tiga kali semalam dan apabila bangun pagi, kadang-kadang saya perlu menghantar Aiman dan Amar ke sekolah," katanya.
Tambah mencabar apabila kedua-dua anak lelakinya yang sedang bersekolah tidak tahan berpuasa dan memohon untuk berbuka puasa.

Ditanya mengenai kerjaya, Ziana kini sedang meneliti beberapa single daripada beberapa orang komposer berbakat selain sibuk mengatur strategi promosi minuman kolagen kesihatannya, B.Lift.
"Puasa adalah bulan untuk berehat daripada menyanyi sahaja, jika dari sudut bisnes sekarang adalah waktu untuk memikirkan banyak aspek terutama promosi.
"Maklum saja modal bisnes itu daripada saya sendiri dan ia umpama cahaya mata sulung saya, jadi pastinya bisnes itu perlu lebih perhatian," ujarnya.

Berbicara secebis kisah persiapan menjelang sambutan Aidilfitrinya, kata Ziana dia sekeluarga akan pulang ke kampung halamannya di Merlimau, Melaka setelah sekian lama tidak ke sana.
"Anak-anak sekarang pun sudah besar dan dari dahulu lagi kami sekeluarga jarang balik kampung. Maka, tahun ini merupakan tahun untuk kami kembali berhari raya di kampung halaman dan mengeratkan tali silaturrahim sesama keluarga," bicara Ziana yang akan pulang ke kampung sehari menjelang Aidilfitri.

Ziana dan keluarga sudah selesai membeli kelengkapan Aidilfitri sebulan sebelum berpuasa dan mereka memilih tema warna biru untuk baju raya tahun ini.

Monday 30 July 2012

Kahwin tahun 2013

SEPANJANG bergelar penyanyi dan pelakon ternyata Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar antara artis yang tidak dapat lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi.

Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda.
Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga.

Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu.

Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing.

Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.

"Kalau diikutkan saya memang mahu berumah tangga secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Firos, akhirnya kami telah sepakat untuk menangguhkan perkahwinan kami pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi.

"Buat masa ini tunang saya agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja dia tamat menjalani kursus, barulah kami akan mencari tarikh yang sesuai, namun saya tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," jelasnya.
Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah.

Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat.

"Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya.

"Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya," ujarnya.
Berkenaan dengan majlis yang akan dilangsungkan pula, Misha menceritakan dia lebih gemar dengan majlis yang serba ringkas, namun bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang sudi untuk memberi tajaan.

"Sehingga kini persiapan perkahwinan masih belum lagi dilakukan, malah tempahan dewan juga belum dibuat kerana masih tidak mendapat tarikh yang sesuai. Namun, saya akan tetap membuat persiapan sedikit demi sedikit supaya nanti tidak terlalu kelam-kabut sangat," jelasnya.
Album baharu

MISHA menafikan perkahwinannya dengan Firoz Ezzwan ditangguhkan kerana hubungan mereka bermasalah.


Biarpun ketika ini Misha dilihat lebih kerap tampil di kaca televisyen menerusi drama dan telefilem lakonannya, bidang nyanyian tetap diutamakan dan masih lagi banyak menerima tawaran membuat persembahan.

Jelas Misha, pada akhir tahun ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu yang kini masih lagi dalam proses pembikinan setelah kali terakhir tampil dengan album berjudul Misha Omar pada tahun 2008.
"insya-Allah, kalau segalanya mengikut perancangan para peminat boleh mendapatkan album terbaharu saya pada tahun ini juga. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya sudah selesai dirakamkan.

"Sebenarnya saya bertuah kerana Datuk M. Nasir telah bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan album baharu," ujarnya.

Antara lagu-lagu yang sudah siap dirakam seperti Maharani, Yang Indah, Kedatanganmu Tak Ku Sambut dan Angin Syurga yang ketika ini sudah disiarkan di stesen-stesen radio, manakala Datuk M. Nasir dan anaknya iaitu Ilham serta dua orang anggota kumpulan Spider, Tam dan Tony antara yang menyumbangkan lagu untuk albumnya itu.
"Memandangkan saya menghasilkan album terakhir kira-kira empat tahun lalu dan sering sibuk dengan kerjaya lakonan, jadi sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan produk terbaharu sebagai hadiah istimewa buat peminat," jelasnya.

Tetap bekerja
Berbanding dengan kebanyakan artis lain yang akan berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan, ternyata Misha tetap memberikan komitmen terhadap kerjayanya.
Ketika ini Misha sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Untung Atas Angin, sebuah program komedi yang akan disiarkan di saluran RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Telefilem tersebut yang diarahkan oleh Malek Rahman turut membabitkan beberapa orang pelakon lain seperti Didie Alias, Enot, Roy Azman dan Erin Malek serta menjalani penggambaran selama enam hari.
"Beberapa hari selepas selesai menjalani penggambaran telefilem ini, saya akan terlibat pula dengan rakaman program raya Pesona Aidilfitri bersama Alyah dan Dayang Nurfaizah pada 30 Julai ini.
"Bagi saya segala tawaran yang diterima merupakan satu rezeki yang tidak harus ditolak, meskipun perlu bekerja pada bulan Ramadan. Lagipun bekerja pada hari biasa dan semasa berpuasa tidak banyak berbeza," jelasnya yang masih aktif dalam kerjaya seni semasa bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Mengenai persiapan menjelang sambutan Aidilfitri pula, Misha sekadar membuat persiapan yang sederhana dan lebih mengutamakan persiapan untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia enam tahun.

Ustaz ajak Diana Amir 'taaruf'

PELAKON Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, agak manis selepas berhijrah dengan memakai tudung sejak September tahun lepas.
Dia yang pernah berlakon filem seperti V3 Samseng Jalanan, Senario Opocot, Keramat dan 321 Cinta sebelum bertudung, kini hanya akan berlakon filem atau drama yang sesuai dengan keadaan dirinya sahaja.
Diana yang bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) bersama pelakon Kamal Adli kini menolak tawaran berlakon di bulan Ramadan supaya lebih banyak masa untuk beribadat.

Ketika ditemui di majlis berbuka Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, gadis kelahiran Birmingham, England ini juga turut berkongsi kisah diajak berkenalan oleh beberapa ustaz ketika mengikuti program keadaan di bulan Ramadan ini.

Kosmo!: Boleh ceritakan apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
DIANA: Sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem atau drama, saya banyak tumpukan untuk beribadat seperti pergi tarawih dan memenuhi undangan forum berbentuk keagamaan dengan berkongsi kisah penghijrahan saya dengan remaja.

Selepas bertudung, adakah Diana pernah dipikat oleh sesiapa?
Saya masih tiada teman lelaki dan tidak terfikir ke arah itu lagi sekarang tetapi ada juga beberapa ustaz yang mengajak saya 'taaruf' (berkenalan) selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Apabila mereka buat demikian terus saya tidak balas SMS itu. Saya berkenalan dengan mereka ketika dalam program keagamaan.

Kenapa Diana menolak untuk 'taaruf' dengan mereka?
Saya masih tidak berani, misi saya sekarang untuk mendalami Islam. Ilmu saya masih tidak cukup dan tidak mahu campur aduk perkara lain dalam usaha saya kenal dengan agama sendiri.

Adakah Diana menolak jika bertemu jodoh dengan ustaz?
Saya tidak memilih. Saya akan terima sesiapa sahaja jodoh yang ditentukan Allah, kalau ustaz juga tidak mengapa asalkan ustaz yang baik dan boleh membimbing saya kelak.

Diana ada sasaran bila akan menamatkan zaman bujang?
Saya berdoa dipercepatkan jodoh mudah-mudahan tahun depan.

Tahun hadapan? Bukankah itu terlalu cepat untuk anda?
Saya mahu cepat-cepat dapat zuriat. Kalau dulu saya mahu kahwin sebab mahu mempunyai suami, tetapi sekarang saya begitu mengimpikan untuk mempunyai cahaya mata sendiri kerana saya terlalu sukakan kanak-kanak.

Kriteria suami pilihan Diana?
Sudah tentu yang beriman yang penting dia perlu bijak dalam membimbing saya dan keluarga.

Bagaimana kerjaya seni Diana, adakah masih menerima tawaran berlakon?
Saya kini banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie, manakala untuk filem tawarannya agak terhad selepas saya bertudung tetapi saya reda.

Adakah Diana mengenakan syarat selepas menerima tawaran berkenaan?
Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan kena dengan imej bertudung saya, jika tawaran itu yang mahu saya lakonkan watak bercinta juga tidak mengapa asalkan tiada adegan peluk dan bersentuhan dengan bukan muhrim.
Diana kena begitu supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat apabila berhijrah mesti ada perubahan.
Apakah filem terbaharu Diana akan datang?
September ini dilancarkan filem saya bersama Kamal Adli berjudul Salam Cinta terbitan Metrowealth.

Kosmo

Peng Kean ikut jejak Suryani


AKSI Peng Kean (kanan) ketika menentang Mannad pada pusingan pertama acara sabre individu Sukan Olimpik 2012 di South Hall ExCel, London semalam. 
 

LONDON - Keletihan menjadi punca atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean gagal meneruskan kemaraan dalam acara sabre individu Sukan Olimpik 2012 di South Hall ExCel, London semalam.
Dia tersingkir di pusingan kedua selepas bertindak cemerlang melepasi pusingan pertama apabila menewaskan Zeid Mannad dari Mesir dengan keputusan 15-12.

Pada saingan pusingan kedua, dia tewas mudah 1-15 kepada atlet Hungary, Aron Szilagyi.
Dengan kekalahan tersebut, Peng Kean menjadi atlet kedua negara yang pulang awal ke tanah air selepas ratu menembak, Nur Suryani Mohamed Taibi.
"Saya sudah keletihan pada pusingan kedua. Mungkin disebabkan saya sudah banyak menggunakan tenaga pada aksi pusingan pertama.

"Lutut saya juga sudah mula goyah dan memberikan masalah. Saya juga terpaksa mengambil ubat penahan sakit sebelum pertandingan ini," kata Peng Kean merujuk kepada kecederaan lama lutut kirinya.
Dia mengakui bahawa pertemuan menentang Szilagyi memang sukar kerana lawannya terlalu agresif, selain menduduki ranking kelima dunia.

Peng Kean yang menduduki ranking ke-37 dunia hanya mampu memberi tentangan awal dengan mengikat kedudukan 1-1 sebelum aksi selepas itu dikuasai sepenuhnya oleh Szilagyi yang bukan sahaja pantas tapi bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan peserta negara itu ketika melakukan serangan.

Peng Kean yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2012 London bagaimanapun tidak menghadapi masalah menundukkan Zeid yang berada di ranking ke-28 dunia di pusingan pertama.
Ketika menentang Zeid, Peng Kean menang set pertama 8-4 dan terus mendahului 10-8 apabila asakannya ke hujung platform menyaksikan Zeid terlentang jatuh kerana lutut terseliuh.

Selepas beberapa minit diberikan rawatan, peserta Mesir itu bangkit untuk meneruskan cabaran tetapi asakan berterusan Peng Kean membolehkannya meraih kemenangan 15-12.
Jurulatihnya yang berasal dari China, Rao Bin berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak didiknya itu ke atas Zeid tetapi tiada apa yang boleh dikatakan mengenai aksinya menentang Szilagyi pada pusingan kedua.
"Peserta Hungary terlalu kuat dan pantas. Dia bijak mengambil kesempatan terhadap kesilapan Peng Kean," katanya.

Mati sebelum berbuka puasa


TINGGAL KENANGAN... Syaleza bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun.


SUNGAI BULOH – Seorang wanita yang mengurungkan diri kerana merajuk selepas bertengkar dengan suaminya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling di dalam sebuah bilik di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai di sini kelmarin.

Mayat Eksekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar, 31, ditemui oleh suaminya di dalam bilik tersebut ketika beliau memanggilnya untuk bersiap-siap menjelang waktu berbuka puasa pada pukul 7 petang.

Difahamkan, suami mangsa, Norazman Bashah, 30-an, hanya memberitahu mengenai kematian isterinya kepada abang mangsa pada pukul 9.30 malam.

Ketika kejadian, anak lelaki pasangan tersebut yang berusia dua tahun turut berada di dalam rumah.
Jurucakap polis memberitahu, polis dan pasukan bantuan perubatan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 10.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu telah disahkan meninggal dunia ketika ditemui.
“Pada mulanya kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, selepas bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh dan kesan jerut pada leher wanita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Buta akibat letupan mercun bola


MOHD. Sohibollah kini berhadapan dengan masa depan suram selepas mata kirinya dikhuatiri buta akibat letupan mercun bola. 
 

ALOR SETAR – Seorang pemuda bersama anak jirannya yang berusia lapan tahun terpaksa dirawat di hospital malam kelmarin selepas sumbu mercun yang dipasang jatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum berlaku letupan kuat di Kampung Kuala Kangkong di sini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam kelmarin, pekerja syarikat percetakan, Mohd. Sohibollah Saad, 27, buta mata kiri akibat letupan tersebut sementara jirannya, Tuah Mohd. Hafiz Mohd. Razli cedera di muka dan beberapa anggota badan.

Kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah Mohd. Sohibollah di Kampung Kuala Kangkong.
Kedua-dua mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berdekatan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan ambulans berikutan kecederaan mereka serius.
Tuah Mohd. Hafiz
 
Mohd. Sohibollah terpaksa menjalani pembedahan mata kiri dan kini dilaporkan stabil. Bagi Tuah pula, nasib kanak-kanak itu lebih baik apabila dia dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.
Mohd. Sohibollah menceritakan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bola di depan rumahnya selepas membelinya di bazar Ramadan di Tandop di sini.
“Pada mulanya saya bermain seorang diri tetapi anak jiran (Tuah) datang dan minta nyalakan api pada satu mercun bola yang dipegangnya.
WALAUPUN berbahaya, mercun bola tetap digemari kerana bunyi serta kuasa letupan yang kuat. - Gambar hiasan
 
“Ketika sumbu mercun dicucuh tiba-tiba ada api terpercik dan terjatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum meletup serentak,” katanya semasa ditemui di HSB di sini.
Sebaik letupan berlaku, Mohd. Sohibollah berasa sakit pada mata kiri dan penglihatannya menjadi kabur.
“Saya nampak anak jiran itu tercampak beberapa meter dan pengsan. Saya meminta pertolongan jiran untuk menghantar kami ke klinik,” ujarnya.

Katanya, doktor yang merawatnya sudah membayangkan dia mungkin hilang penglihatan mata kiri.
Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, Mohd. Sohibollah dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mata kiri serta perlu menjalani rawatan lanjut di wad mata HSB.
“Tuah pula cedera pada mata, muka dan paha kanan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” tambah beliau.

Sunday 29 July 2012

Kontroversi Ariel belum bernoktah


DARI KIRI: Lukman, Ariel, Reza dan Luki kini bergabung semula selepas pembebasan vokalis mereka. 
TINA TALISA, seorang wartawan penyiaran popular Indonesia pada Isnin lalu mengasak Ariel Peterpan mengenai populariti bekas banduan itu yang hampir menyamai fenomena superstar Michael Jackson.

Pertanyaan Tina itu merujuk kepada bahang populariti Ariel ketika ini yang dinilai media massa Indonesia berada di puncak tertinggi.
Semuanya gara-gara Ariel dibebaskan secara bersyarat selepas dibelenggu kontroversi panjang berhubung skandal video pornografi.

Ariel berkali-kali menafikan bahawa dia merupakan lelaki yang berasmara dengan dua artis wanita ternama Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.
Namun, pemahaman dan penilaian masyarakat Indonesia khususnya individu yang pernah menonton video lucah itu dengan pantas mendakwa, Ariel merupakan lelaki dalam klip yang tersebar luas di internet pada Jun 2010.

Ariel pada sidang media itu tenang memberikan reaksi berhubung persamaan yang disebut Tina mengenai popularitinya seperti yang dilalui Michael Jackson.
Tentu sekali Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham sukar menterjemahkan betapa emosinya benar-benar terganggu selama 24 bulan menghuni tiri besi.
Semasa diulit populariti Ariel disanjung ke mana sahaja dia berada namun sebaik dihumban ke penjara, dia hilang semuanya.

Segala kemasyhuran yang dinikmatinya lebih sedekad hilang dalam sekelip mata hanya kerana kedangkalan sendiri.
Namun, dia tenang berhadapan dengan media, tiada rasa malu atau tertekan kerana Ariel juga manusia biasa.

Kata Ariel, dia tidak pernah terfikir akan menjadi selebriti terpenjara.
Bahkan, Ariel sendiri mengaku, amat terkejut kerana berita penahanannya mendapat liputan meluas media sehingga ke luar negara.

"Saya pernah berbincang tentang perkara ini dengan teman-teman Peterpan. Mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku, terpalit dalam isu ini juga tidak disangka.
"Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," kata Ariel sambil mengakui hubungannya dengan anggota Peterpan yang lain sangat akrab seperti saudara sekalipun ketika beliau berstatus banduan.

Terus dipuja
Sebaik pembebasan Ariel daripada penjara Kebon Waru, Bandung Isnin lalu, media massa Indonesia memberikan liputan luar biasa.
Tentu sekali, inilah saat terbaik untuk semua stesen televisyen negara ini menyiarkan laporan panjang lebar mengenai Ariel kerana beliau ialah sumber berita yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda.

Seluruh rakyat Indonesia mahu melihat wajah terbaharu Ariel selepas sekian lama hidup sebagai banduan.

Laporan secara langsung dari lokasi pembebasan Ariel dilakukan oleh kebanyakan stesen televisyen utama.

Puluhan wartawan dan jurugambar memenuhi pintu masuk penjara serta di bilik sidang akhbar di sebuah hotel di Bandung.
Peminat berpusu-pusu memenuhi pintu masuk penjara berkenaan semata-mata untuk menyambut pembebasan seniman pujaan mereka.

Jangan tidak tahu, terdapat sejumlah peminat setia Ariel yang sanggup berkampung di luar pintu masuk penjara untuk memastikan mereka boleh menatap wajah lelaki berusia 31 tahun itu.
Ada yang datang sejauh Cianjur (Jawa Barat), Purbalingga, Brebes (Jawa Tengah) serta daerah-daerah lain dengan mengenakan baju-T berlogo Peterpan.

Bahkan ada seorang peminat setia Ariel yang sanggup menggadaikan geran motosikalnya semata-mata mahu mendapatkan wang untuk ke Bandung.
Ramai yang mempersoalkan kewajaran Ariel diberi liputan meluas di sebalik namanya yang dalam tergores akibat salah laku berkaitan pornografi.

Kerana itu, kontroversi Ariel dilihat masih belum bernoktah sementelah pada hari pembebasannya ramai pihak di Indonesia yang mengeluh, mengapa dia diangkat sebagai hero.
Suruhanjaya Perlindungan Anak menganggap pembebasan Ariel tidak wajar diberi publisiti.
"Dia bukan ikon yang wajar diangkat, jauh sekali seorang pahlawan. Ariel itu lelaki yang melakukan kesalahan seks," bidas ketua suruhanjaya itu, Arist Merdeka Sirait.
Itu baru kisah pembebasan bersyarat Ariel yang membuatkan ada pihak yang rimas dan kurang senang.

Selepas ini, kontroversi skandal penerbitan video lucah berkenaan dijangka akan kembali hangat apabila pihak berkuasa Indonesia menjangka, Luna Maya dan Cut Tari pula akan dibawa ke muka pengadilan.

Kontroversi itu dijangka berlanjutan lebih lama lagi manakala media tidak akan melepaskan peluang memberi publisiti pada kisah hangat yang boleh melariskan jualan dan meningkatkan rating.
Biar apa tafsiran masyarakat sekalipun, Ariel hanya mampu memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada penjara pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan.

Ariel menganggap pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas menggalas status sebagai banduan selama dua tahun.

"Apa yang tidak kamu sukai belum tentu tidak bagus. Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak perkara yang positif dalam hidup," luah Ariel yang turut ditemani rakan-rakan Peterpan pada sidang akhbar itu.

Ariel yang tergamam dengan reaksi luar biasa media tempatan dan peminat-peminatnya hanya mampu berterima kasih kerana masih ada yang menyayanginya.

Dalam masa terdekat ini, Ariel mahu mengisi ruang yang ada untuk menenangkan fikiran.
Beliau merayu, agar tidak diganggu buat sementara waktu.

"Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dulu. Di mana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya," katanya meminta pengertian.

Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel akan kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan.

Seperti Hollywood
Menilai semula rentetan perjalanan kontroversi kisah hidup Ariel ini, apa yang boleh dirumuskan mengenai industri hiburan Indonesia ialah, pentas glamor negara ini pada satu peringkat sudah menghampiri apa yang selama ini kedengaran berlaku di Hollywood.

Skandal, kontroversi dan pelbagai cerita gelap serta kisah kejayaan luar biasa yang dinikmati anak-anak seni ini sentiasa mendapat perhatian segenap masyarakat.
Kalau mahu disemak kembali senarai kontroversi yang pernah tercetus di Indonesia, tentu sekali ruangan ini tidak cukup untuk mengisinya.

Pendek kata, dunia glamor Indonesia sarat dengan cerita yang menggemparkan - dari rahsia dalam kain artis sehinggalah ke isu murtad, semuanya ada.
Itu belum lagi kisah fanatik para peminat hiburan di negara ini yang begitu obses terhadap artis-artis pujaan mereka.

Mendengar penjelasan cendekiawan di negara ini, harus diakui kebenaran bahawa hanya hiburan boleh dijadikan sandaran untuk melarikan diri daripada kegelisahan hidup sebilangan besar rakyat Indonesia.

Mendengar lagu yang mengasyikkan, menonton filem ringan yang sarat dengan fantasi atau membaca dan mendengar laporan kisah suka duka artis-artis ternama sudah cukup menggembirakan pemuja-pemuja seni.

Golongan ini hanya mahu menikmati hidup seperti mana yang dilalui orang-orang popular itu.
Sayang sekali, mereka hanya mampu untuk berfantasi kerana keinginan untuk menggapai bintang di langit memerlukan bakat, kesungguhan dan keberanian serta kesanggupan berhadapan dengan ujian dan cabaran.
Segala kriteria-kriteria itu ada pada sebilangan besar artis Indonesia.

Rumah pusaka Twinkle jadi muzium


DIMPLE (tengah) diapit olehTwinkle dan Rinke.


RUMAH banglo yang pernah didiami aktres Twinkle Khanna bersama keluarganya akan diubah suai untuk dijadikan sebuah muzium.
Kediaman yang dikenali dengan nama Aashirwad itu pernah dimiliki pelakon legenda Bollywood, Rajesh Khanna yang meninggal dunia pada minggu lalu.
"Ya, ada rancangan untuk mengubah suai Aashirwad menjadi sebuah muzium, tetapi belum ada kata putus untuk merealisasikannya.
"Ahli keluarga Rajesh Khanna akan membuat keputusan berhubung perkara itu. Tetapi, kedua-dua anaknya, Twinkle dan Rinke menyatakan hasrat mereka untuk berbuat demikian," kata sumber rapat keluarga tersebut.
Rajesh yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Julai lalu meninggalkan dua orang cahaya mata pada usia 69 tahun setelah menderita jangkitan hati. Dia berpisah dengan isterinya, Dimple Kapadia pada 1984.
Twinkle dan Rinke berbesar hati untuk mengabadikan rumah pusaka itu sebagai kenangan kerjaya lakonan mendiang bapa mereka kerana masing-masing sudah mempunyai kediaman sendiri.
Apabila siap diubah suai kelak, muzium itu akan dikenali sebagai Muzium Rajesh Khanna yang mempamerkan barangan peribadi dan barangan berharga milik pelakon filem Om Shanti Om tersebut.
Dalam perkembangan sama, Twinkle kini sedang sarat hamil anak keduanya. Perkara itu baru disedari media apabila dia muncul di sebuah hospital di Mumbai, India ketika melawat bapanya itu yang sedang nazak baru-baru ini.

Lagu raya Dafi

SEJAK kebelakangan ini, Dafi atau nama sebenar Ghadaffi Ismail Sabri banyak menghabiskan masa di negara jiran, Indonesia.
Mengendalikan program Selebrita Siang yang bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Rabu di saluran Trans7, Dafi mengaku kehidupan di negara orang membuatkan masanya lebih banyak habis di set penggambaran dan rumah. Dia juga menegaskan bahawa sejak bekerja dengan tenaga kerja luar, dia berasakan Malaysia mempunyai kualiti kerja yang bagus berbanding negara-negara lain.

"Bagi orang yang merasakan negara lain lebih berkualiti daripada Malaysia, saya mahu katakan bahawa kualiti dan tenaga kerja kita adalah setanding dengan negara lain," ujarnya yang ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah Amal Limpahan Kasih tajaan Hotel Royale Bintang, The Curve pada Selasa lalu.

Dalam selang masa sibuk membawa nama sendiri dan negara di negara luar, Dafi sempat juga merakamkan sebuah lagu raya yang memang sudah lama diidamkannya.
"Saya memang sudah lama mahukan sebuah lagu raya sendiri. Sebelum ini hanya menyanyi beramai-ramai lepas keluar Akademi Fantasia dahulu. Kini salah satu impian saya tercapai," ujarnya yang menyanyikan lagu Nikmat Lebaran gubahan Pak Ngah dan lirik oleh Siso.

Rozita serasi watak kelakar

KISAH cinta semusim Rozita Che Wan bersilih ganti dan dia tidak pernah sepi tanpa gosip. Pernah hangat dengan kisah asmara bersama juara Akademi Fantasia, Shahir, dia kemudian dikaitkan dengan Zain Saidin dan Beego. Janda popular yang mesra disapa Che Ta itu ternyata masih mampu tersenyum.

Che Ta juga pernah didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada Datuk Siti Nurhaliza. Terbaharu, gosip tiga tahun lalu mengenai perkenalannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Asraruddin Putra Omar, 24, kembali diangkat. Seperti kisah lama yang diungkit, Che Ta didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan Asraruddin semakin bergaya.
“Entahlah, saya pun tak tahu apa ceritanya. Tiba-tiba sahaja keluar balik cerita lama. Saya okey sahaja, hari-hari pergi lokasi penggambaran, balik rumah, makan dan tidur,” ketawa daripada bibirnya menunjukkan sedikitpun perasaan kurang senang tidak terlintas di hati.
Tambahnya: “Mungkin sebab saya ni janda, jadi apa sahaja cerita, cepatlah ia jadi buah mulut. Lagipun saya ini peramah dan kelakar, sebab itu orang mudah mesra.”

Sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem raya bertajuk Lepas Raya Harap Balas, Rozita meluahkan rasa gembira kerana sekali lagi berpeluang beraksi dalam naskhah skrip yang ditulis oleh Azlina Pa’wan.
“Agaknya saya memang serasi dengan watak komedi. Selepas drama Miss Octopus (juga tulisan Azlina), saya kini diberi satu lagi karakter yang menarik dalam Lepas Raya Harap Balas, ia juga arahan Jamal Khan, pengarah yang sama untuk Miss Octopus,” ujarnya yang kini menghiburkan ramai dengan siri Miss Octopus di TV3.

Bercakap tentang karakter Dr. Oktober, anak dara tua yang bekerja sebagai pensyarah dalam siri tersebut, Rozita menyifatkan itu pengalaman pertamanya melakonkan watak sedemikian.
“Mula-mula dia (Oktober) nampak macam garang, bergaduh dengan pelajar, fobia dengan perkahwinan dan kemudian jatuh cinta dan tergila-gila pula dengan lelaki muda lakonan Fahrin Ahmad yang tidak sukakannya,” ujar Rozita tidak langsung menganggap sikap Oktober itu ada kaitan dengan dirinya.

Bakal bercuti bermula 16 Ogos hingga 1 September, kata Rozita, biarpun sibuk dengan jadual penggambaran, segala persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri sudahpun tidak perlu dirisaukan.
“Baju saya dan anak-anak semuanya sudah tergantung, tunggu nak pakai sahaja. Tahun ini, anak-anak beraya bersama bekas suami di Kuala Lumpur. Saya pula akan pulang berhari raya di Alor Setar bersama keluarga,” tutupnya yang dijadualkan ke Jepun sekitar September nanti untuk penggambaran drama Kiah Pekasam musim ketiga.

Bakal bertukar ke lokasi P. Aku Diva dalam masa terdekat, kata Rozita sepanjang musim raya nanti, dia bakal ke udara dengan lapan buah telefilem yang akan disiarkan di beberapa saluran televisyen.

Catwowan alah kucing

WANITA dengan mata cantik dan senyuman lebar yang menawan ini diberikan nama sempena isteri William Shakespeare, Anne Hathaway.
Aktres yang kini sedang memukau mata khalayak dengan karakter Catwoman ini sentiasa menyifatkan tuah sentiasa berada dengannya.

Ujar Anne dalam satu temuramah: "Saya sangat bertuah bersahabat dengan ramai artis dan pembikin filem. Hidup saya menyenangkan. Orang sebegini sangat sukar ditemui. Mereka merupakan individu yang dapat melakukan pekerjaan yang mereka gemari malah mencintai pekerjaan tersebut. Ini merupakan pekerjaan yang saya sukai, bukan semua berpeluang melakukannya. Jadi, hidup saya adalah seperti berada di Wonderland."

Menyentuh tentang tragedi tembakan rambang yang berlaku ketika tayangan larut malam The Dark Knight Rises di Colorado, Amerika Syarikat, Jumaat lalu turut mengundang kekesalan Anne.
"Hati saya sakit kerana tembakan rambang itu menyebabkan ramai nyawa tidak berdosa terkorban. Sungguh tidak masuk akal, saya kehilangan kata-kata untuk meluahkan kesedihan. Saya mendoakan mangsa dan keluarga masing-masing beroleh ketenangan."
Media turut melaporkan bahawa suspek lelaki itu turut melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan 14 orang maut manakala berpuluh yang lain cedera parah.

Beregu negara Tewaskan Jepun


BEREGU harapan negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong bermula cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan D acara perseorangan badminton lelaki di Wembley Arena, London semalam.


LONDON - Beregu harapan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bermula cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan D acara perseorangan badminton lelaki di Wembley Arena di sini semalam.
Pasangan Kien Keat-Boon Heong tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasangan Jepun, Naoki Kawame-Shoji Sato 21-16, 21-14.

Tidak mahu memandang mudah pada pasangan yang berada di ranking ke-13 dunia itu, Kien Keat-Boon Heong membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar untuk bermula garang.
Kien Keat-Boon Heong dijadualkan menentang Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat (AS) untuk aksi kedua peringkat kumpulan hari ini.

Beregu No. 8 dunia itu perlu memenangi perlawanan itu sekiranya mahu melakar kejayaan yang lebih baik, sekali gus mara ke pusingan seterusnya.
Mereka perlu memenangi dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan sekiranya mahu kekal beraksi di London.

Ini kerana pencabar ketiga Kien Keat-Boon Heong ialah pasangan No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan dan usaha yang lebih keras diperlukan sekiranya mereka mahu melakar kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun nasib berbeza bagi pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi dan pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tertewas pada perlawanan pertama.
Jing Yi tewas kepada pemain Korea Selatan, Bae Yeon Ju 21-16, 15-21, 12-21 dalam pertembungan Kumpulan B.

Jing Yi akan berdepan dengan pemain Itali, Agnese Allegrini bagi aksi kedua Kumpulan B esok.
Peng Soon-Liu Ying pula dikalahkan gandingan dari Taiwan, Chen Hung Ling-Chen Wen Hsing 12-21, 21-6, 12-21 bagi perlawanan Kumpulan D.
Sementara itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pula akan menentang pemain Finland, Ville Lang bagi saingan pembukaan peringkat Kumpulan A esok.

Yi Siling rangkul pingat emas pertama


YI SILING (tengah) memenangi pingat emas pertama dalam acara 10 meter Air Rifle individu wanita di Royal Artillery Barracks, London semalam.

LONDON - Penembak No. 1 dunia, Yi Siling dari China memenangi pingat emas pertama dalam acara 10 meter Air Rifle di Royal Artillery Barracks di sini semalam.
Yi menewaskan penembak Poland, Sylwia Bogacka untuk pingat perak, manakala Yu Dan dari China membawa pulang pingat gangsa.

Yi Siling, 23, yang memenangi gelaran juara pada Kejohanan Dunia 2010 di Munich, mengumpul 502.9, 0-7 mata di depan Bogacka (502.2 mata), manakala Yu Dan (501.5 mata).
Juara bertahan, Katerina Emmons dari Republik Czech di tempat keempat.

Yi Siling yang memperbaharui rekod dunia peribadi (505.6 mata) berkata, dia berasa gembira selepas memenangi pingat emas pertama pada temasya kali ini.
"Saya sangat teruja. Sangat gembira. Saya hadiahkan kemenangan ini buat rakyat China dan ibu serta bapa yang saya sayangi," katanya.

"Saya berasa gembira, tidak gementar seperti saya berada dalam pertandingan.
"Saya tersedar dari tidur seawal pukul lima pagi hari ini (semalam). Terdapat banyak tekanan yang saya rasa," katanya.

Yii Siling berkata, juara Olimpik bakal mengubah kehidupannya.
"Saya rasa, kehidupan saya bakal berubah. Saya berasa seperti saya semakin membesar dan kejayaan ini bakal mengubah kehidupan saya," katanya. - AFP

Mampukah Pandelela buat kejutan?

ANDAI pencapaian lalu dijadikan ukuran, ratu terjun negara, Pandelela Rinong bakal menghadiahkan pingat pertama negara pada Sukan Olimpik 2012 London.
Atas kertas, Pendelela dilihat mudah untuk menghadiahkan keistimewaan itu kerana prestasinya di pentas antarabangsa sebelum temasya London bermula sangat mengkagumkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pingat perak dan gangsa bakal berada dalam genggamannya seperti yang dibuktikannya pada beberapa siri Kejohanan Dunia yang disertainya sebelum ini.
Andai penerjun dari negara tembok besar, China melakukan kesilapan, ia mungkin membuka laluan buat Pendelela menghadiahkan keistemewaan yang lebih besar, iaitu pingat emas.
Boleh dikatakan bahawa hasrat Pandelela untuk meraih emas pada beberapa Kejohanan Dunia sebelum ini sering disekat oleh penerjun China.

Mengimbas pencapaian Pandelela tahun lalu, banyak kejutan sudah dilakukannya.
Pada Kejohanan Terjun Dunia di Moscow dan Beijing tahun lalu, dia meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform individu wanita.
Pada saingan di Beijing pula dia turut meraih perak menerusi acara terjun seirama (10m platform) bersama Leong Mun Yee.

Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India, atlet kelahiran Sarawak ini menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara menerusi acara kegemarannya, 10m platform individu wanita.
Deretan kejayaan yang diraih oleh Pandelela pada kejohanan bertaraf lima bintang memberi keyakinan kepada Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bahawa jaguh negara itu mampu melakar kejutan pada temasya kali ini.
Menurut Ahmad Sarji, Pandelela boleh dianggap sebagai prospek pingat pada temasya di London ini.
"Saya berjumpa dengannya hari ini (semalam). Dia nampak tenang dan tidak memperlihatkan sebarang tekanan.

"Dia sudah menimba banyak pengalaman beraksi dalam kejohanan berprestasi tinggi seperti ini dan ia sedikit sebanyak telah membantu menguatkan mentalnya," kata Ahmad Sarji.
Menurut beliau, rekod pencapaian Pandelela di pentas antarabangsa sebelum ini juga tidak kurang hebatnya, malah sentiasa berada di kedudukan No. 2 di belakang penerjun China.
"Oleh sebab itu, saya ada keyakinan sesuatu yang istimewa bakal tercetus dalam acara terjun kelak, insya-Allah," tambahnya.

Sebelum menjejak kaki di bumi London, Pandelela bersama skuad terjun negara telah berguru di China bagi memperkemaskan lagi gaya persembahan mereka menjelang Sukan Olimpik kali ini.
Latihan tersebut lebih terarah kepada membina kekuatan mental mereka selain memperkemaskan gaya terjunan.

"Saya sudah bersedia menghadapi saingan pada temasya kali ini dan tidak ada rasa tertekan untuk menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pertandingan yang bakal dihadapi," jelas Pandelela.

Pandelela akan memulakan kempennya esok dalam acara 3m papan anjal seirama wanita. Dia akan bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara tersebut.
Selain acara 3m papan anjal seirama, Pandelela turut beraksi dalam acara 10m platform individu wanita serta acara 10m papan anjal seirama.

Dalam acara 10m papan anjal wanita, dia akan bergandingan dengan Leong Mun Yee.
Penerjun lain dalam skuad terjun negara pada temasya di London ini ialah Bryan Nickson Lomas yang akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal seirama serta acara 10m paltform individu.

Turut tersenarai dalam skuad ialah Yeoh Ken Nee (3m papan anjal individu lelaki), Huang Qiang (3m papan anjal seirama lelaki), Leong Mun Yee (10m platform seirama wanita), Traisy Vivien Tukiet (10m platform individu wanita), Cheong Jun Hoong yang akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu wanita dan seirama serta Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama).

Perjuangan Suryani berakhir


SURYANI gagal melakukan kejutan dalam acara 10 meter Air Rifle individu wanita yang berlangsung di Royal Artillery Barracks, London.


LONDON - Bidikan Nur Suryani Mohamed Taibi kurang tepat dan akibatnya impian untuk pergi lebih jauh pada Sukan Olimpik 2012 di sini berkecai.
Perjuangannya sudah berakhir dan dia sudah boleh memikirkan untuk pulang ke tanah air lebih awal.
Semalam, ratu menembak negara itu memulakan kempennya pada temasya kali ini dalam acara 10 meter Air Rifle individu wanita yang berlangsung di Royal Artillery Barracks di sini.
Namun, kejutan yang diharapkan daripada penembak yang sedang mengandung lapan bulan lima hari itu tidak kesampaian.

Dia sekadar menduduki tempat ke-34 dengan bidikan 392 mata, sekali gus menutup kempennya pada Sukan Olimpik kali ini.

Acara itu dimenangi penembak China, Yi Siling yang membidik 502.9 mata, manakala penembak Poland meraih pingat perak dengan 502.2 mata.
Seorang lagi penembak China, Yu Dan meraih pingat gangsa dengan 501.5 mata.
Bagi Suryani, walaupun gagal menempatkan diri dalam kedudukan yang lebih baik, namun dia berpuas hati dengan persembahannya semalam.
Menurutnya, apa yang dirancang semuanya menjadi, cuma nasib tidak menyebelahinya untuk terus memberi cabaran dalam acara itu.

"Saya puas hati. Segala apa yang dirancangkan sebelum beraksi semuanya menjadi. Memang saya tidak meletakkan sasaran untuk meraih pingat tetapi tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik.
"Sasaran saya ialah untuk mencatat 390 mata tetapi saya berjaya melakukan 392 mata. Ini dikira agak baik walaupun gagal menghadiahkan sesuatu kepada kontinjen negara," katanya.
Ditanya sama ada kandungannya mengganggu aksinya semalam, Suryani menjelaskan: "Sebelum memulakan saingan, bayi dalam kandungan saya terasa macam menendang dan selepas itu semuanya okey.

"Ketika mula nak tembak, bayi mula menendang dan saya cakap jangan ganggu dulu sebab mama nak mula beraksi. Selepas itu keadaan seperti biasa sehingga selesai pertandingan."
Menurutnya, segala tekanan yang dihadapinya selama ini sudah berakhir dan selepas ini dia boleh fokus sepenuhnya terhadap diri dan kandungannya.
Suryani akan pulang ke tanah air Rabu ini.

Olimpik London Bermula


BERSEMANGAT... Kontinjen Malaysia diperkenalkan kepada penonton pada perarakan pembukaan majlis perasmian Sukan Olimpik 2012 di Stadium Olimpik, London awal pagi

LONDON – Menakjubkan dan sungguh memukau.Begitu suasana pembukaan Sukan Olimpik 2012 Londom kelmarin yang menampilkan gaya persembahan tersendiri.Majlis perasmian itu berlangsung di Stadium Olimpik London yang boleh memuatkan 80,000 penonton.
Selaku tuan rumah, London mempersembahkan gabungan suasana tradisional dan moden bagi menggambarkan proses transformasi yang dilaluinya dan ia dijadikan sebagai latar belakang untuk upacara pembukaan yang penuh gilang gemilang itu.
Ribuan peserta mengambil bahagian untuk membuat persembahan pada majlis pembukaan itu yang berlangsung selama dua jam.

Dengan bertemakan Isles of Wonder, ia menggambarkan transformasi yang dialami negara berkenaan bermula dari zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai arus kemodenan dan perubahan pesat.
Mengakhiri segmen pertama, lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth II pada pukul 9.30 malam waktu London.
Ia disusuli persembahan kesenian moden dengan dua watak terkenal filem James Bond and Mr. Bean muncul untuk mencuri perhatian.
Selepas itu perarakan kontinjen daripada 204 negara yang mengambil bahagian bermula yang didahuli kontinjen Afghanistan.
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Ketua Kontinjen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong berarak tepat pada pukul 11.13 malam.
Kontinjen Malaysia memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan warna ‘Harimau Malaya’ serta bertanjak (untuk peserta lelaki) sementara peserta wanita berbaju kurung dan berselendang.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik London, Sebastian Coe dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para peserta ke temasya sukan terbesar dunia itu.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kami akan menunjukkan bandar raya hebat London. London 2012 akan menyaksikan yang paling terbaik daripada kita.” katanya.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge pula mengucapkan tahniah kepada London yang menjadi perhatian dunia untuk selama dua minggu akan datang.
“Di sinilah lahirnya sukan moden. London menjadi bandar raya pertama menganjurkan Sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali selepas tahun 1908 dan 1948,” katanya.
Ratu Elizabeth II kemudiannya merasmikan pembukaan Olimpik London sementara pemenang pingat gangsa acara taekwondo wanita pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Sarah Stevenson membaca ikrar bagi pihak atlet.
Selepas dibawa hampir 12,800 km, obor Olimpik akhirnya dibawa memasuki stadium pada pukul 12.35 pagi.
Sekumpulan tujuh orang atlet muda Britain kemudiannya membawa obor di sekeliling stadium dan menyalakan kawah obor Olimpik dan sebaik obor dinyalakan maka bermulalah Sukan Olimpik London 2012.

Madonna dicemuh


MADONNA beraksi di pentas pada konsert di Dewan Olympia di Paris Khamis lalu.  


PARIS - Bintang pop, Madonna dicemuh pada sebuah konsert mini di Perancis kerana meninggalkan pentas selepas melakukan persembahan cuma 45 minit.

Sebahagian penonton yang tidak berpuas hati ekoran tempoh singkat konsert berkenaan, menjerit: "Kembalikan wang kami."
Berlangsung di Dewan Olympia di sini, Khamis lalu, konsert tersebut turut disiarkan secara langsung di laman perkongsian video YouTube.
Kelmarin, saluran yang menyiarkan konsert itu menutup komen untuk klip video berkenaan selepas ruangan tersebut mencatat 12,000 komen negatif. - Agensi

Gorila ditemui tergantung

PRAGUE, Republik Czech - Pihak pengurusan Zoo Prague menyatakan, seekor gorila jantan mati selepas tergantung secara tidak sengaja.
Menurutnya, gorila jantan berusia lima tahun bernama Tatu ditemui tergantung dengan tali melilit leher haiwan itu pagi kelmarin di kurungan zoo berkenaan.
Jurucakap Zoo Prague, Michal Stastny berkata, usaha menyelamatkan Tatu gagal. Menurutnya, tiada kamera video dipasang di kurungan itu tetapi Tatu ditemui tergantung selepas bermain struktur bertali di tempat tersebut.
Pengarahnya, Miroslav Bobek kelmarin memberitahu bahawa kematian Tatu adalah yang paling tragis selepas bencana banjir membunuh lebih 100 haiwan di zoo berkenaan pada 5 Mei 2007. - Agensi

Denda AS$20 jika keluarkan kata-kata kesat


IMEJ yang bertarikh 25 Julai 2007 menunjukkan dua orang berjalan di laluan pejalan kaki di bandar Middleborough.


MIDDLEBOROUGH, Amerika Syarikat - Penduduk di bandar ini, dekat Boston kelmarin bersetuju supaya mereka yang bermulut celupar membayar denda sebanyak AS$20 (RM64) jika didapati menyumpah seranah di tempat awam.
Dalam satu mesyuarat penduduk, 183 penghuni bandar berkenaan menyokong denda tersebut manakala 50 lagi membantah cadangan itu.
Denda itu merupakan cadangan daripada ketua polis tempatan.
Beberapa pegawai memberitahu, cadangan tersebut bukan bermaksud menapis perbualan tetapi bagi menghalang pengunaan bahasa kesat secara lantang oleh golongan remaja dan belia di pusat bandar dan taman awam.
"Saya benar-benar gembira berhubung peraturan baharu ini.
"Mereka (remaja) duduk di atas bangku dan menjerit ke arah satu sama lain dengan menggunakan bahasa paling kesat yang anda pernah dengar, perlakuan tersebut adalah sangat tidak wajar," kata pemilik kedai, Mimi Duphily selepas sesi pengundian itu. - Agensi

Saturday 28 July 2012

Lelaki berkulit paling regang di dunia

LONDON - Kulitnya sangat longgar dan regang sehingga mampu menukar bahagian perutnya menjadi tempat takungan 1.4 liter air.

Gary Tunner, sebenarnya menghidapi sejenis Sindrom Ehlers-Danlos (EDS) iaitu gangguan genetik luar biasa yang menyebabkan sel-sel pada kulitnya lemah dan dalam erti kata lain, kulitnya tidak menegang seperti manusia normal.

Namun, Tunner, 41, tidak melemahkan dirinya disebabkan sindrom itu sebaliknya dia mengubah penyakitnya menjadi kerjaya yang menarik perhatian orang ramai sekitar London, Britain.

Dalam kebanyakan kes, pesakit akan mengalami gangguan pada otot sendi dan saluran darah.

Sindrom ini hanya berlaku kepada satu dalam 10,000 individu seluruh dunia.

Tunner yang menyedari penyakitnya itu sejak berumur 10 tahun berkata, kulitnya begitu nipis dan dua kali ganda nipis berbanding ketebalan kulit manusia normal.

Avril Lavigne lesbian?

MUNGKIN ramai yang tidak tahu, penyanyi lagu, When You're Gone, Avril Lavigne pernah berkahwin.

Namun kini, penyanyi berusia 27 tahun itu dilaporkan mula mesra dengan kaum sejenisnya. Mereka dilihat menghabiskan masa bersama di lokasi percutian, pantai Mexico.

Menerusi foto terbaru yang bertebaran, mereka dilihat seperti pasangan kekasih dengan aksi berpelukan.

Pun begitu, sehingga kini, Avril masih belum tampil memberikan penjelasan.

Dilema atlet Muslim di Olimpik London

ATLET beragama Islam yang menyertai acara judo, Hemeed Al Drie mengakui merancang untuk tidak berpuasa sepanjang sukan Olimpik 2012 di London, yang akan bermula Jumaat ini.
Katanya, “jika anda tidak makan dan menyertai pertandingan, anda mungkin akan pengsan.”
“Mungkin sesetengah atlet mampu bertahan dan itu pilihan mereka. Namun bagi saya, saya tidak boleh menanggung risiko untuk kehilangan mana-mana perlawanan itu nanti.

“Lagipun, saya tahu ALLAH itu maha pengasih dan maha penyayang. Dan, Dia pasti akan memaafkan umatnya meskipun mempunyai banyak dosa,” kata Al Drie dengan penuh senyuman.
Sukan Olimpik akan berlangsung mulai 27 Julai hingga 12 Ogos ini, di mana ia jatuh di bulan Ramadan yang menuntut umat Islam untuk menjauhkan diri dari makanan, minuman, selama lebih kurang satu bulan.

Berpuasa pada bulan tersebut merupakan kewajipan utama agama, d imana ia salah satu daripada lima rukun Islam.

Bagaimanapun, bagi atlet berusia 19 tahun itu, mustahil untuk dia bertanding dengan tidak mengambil sedikit makanan kerana ia mungkin menjejaskan tenaganya untuk bertanding.
“Saya tahu, puasa untuk kita menahan dari segi makan atau minum. Namun, saya mempunyai antara enam perlawanan judo sepanjang sukan itu nanti.
“Saya mempunyai azam untuk mencatat kemenangan. Jadi, saya terpaksa berbuat demikian dan sanggup menangung dosa itu," jelas Al Drie.

Atlet sukan mendayung, Mohamed Sbihi Moe berkata, dia telah berbincang mengenai masalah ini dengan imam dan telah memutuskan untuk tidak berpuasa semasa temasya.
Katanya, dia telah merancang untuk memberi makanan kepada 1,800 orang sebagai ‘denda’ di Maghribi selepas menyertai sukan  Olimpik.


“Ia merupakan satu keputusan yang sukar apabila merancang untuk tidak berpuasa.
“Namun, setelah berbincang dengan keluarga, kawan-kawan dan jurulatih, akhirnya inilah keputusan yang tepat perlu dilakukan demi mencatat kejayaan,” katanya yang akan berpuasa selepas tamatnya temasya sukan Olimpik London.
Bagi atlet Islam wanita, Khadijah Fahed Mohammed, dia bagaimanapun belum memutuskan untuk berpuasa ataupun tidak pada temasya sukan Olimpik kali ini.
“Kedua-duanya adalah penting bagi saya. Puasa adalah satu kemestian.
“Dan, mencatat kemenangan di sukan Olimpik juga satu perkara penting. Jadi, ia dilema bagi saya," kata Khadijah.

Mengikut kajian Pew  berkaitan Agama dan Kehidupan Awam, kira-kira 23 peratus atlet Islam yang menyertai sukan Olimpik itu nanti.
Bagi pakar pemakanan sukan, Hala Barghout, ia pasti memberi cabaran kepada atlet beragama Islam kerana akan berpuasa sepanjang temasya tersebut.
“Ia adalah puasa 17 jam di London. Adalah mustahil bagi atlet bertaraf dunia untuk menyertai saingan dalam keadaan lapar," kata Barghou dari UAE.
Sementara itu, mufti Dubai, Ahmed Abdul Aziz Al Haddad berkata, umat Islam yang bersaing di sukan Olimpik perlu menjalani ibadah berpuasa tanpa mengira ia akan memberi kesan kepada prestasi mereka ataupun tidak.
“Atlet Muslim mesti berpuasa kerana mereka mewakili Islam di sukan Olimpik.
“Mereka menjadi duta untuk iman mereka. Pengertian Islam mestilah hadir dalam tindakan mereka, dan mereka tidak jatuh ke dalam apa-apa yang Islam melarang." katanya.
Tambah Ahmed Abdul Aziz, “atlet boleh makan atau minum jika berpuasa itu akan mengancam kesihatan mereka.”
“Jika seseorang merasa keletihan yang melampau, syariah membenarkan seseorang itu untuk berbuka puasa.
“Lagipun, syariah adalah fleksibel,” katanya lagi.

Zed Zaidi kini bergelar bapa

INILAH bayi sulung Zed Zaidi dan isterinya Natalia (gambar atas), Ryan Ziqry (gambar bawah) yang dilahirkan di Tropicana Medical Centre, Kota Damansara, Selangor semalam. 

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil, 32, atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi kini bergelar bapa setelah isterinya selamat melahirkan bayi lelaki semalam.

Zed berkata, isterinya, Natalia Mustafa Kamal, 29, selamat melahirkan bayi berkenaan melalui pembedahan selepas tiga jam dimasukkan ke Tropicana Medical Centre, Kota Damansara di sini pada pukul 6 pagi semalam.
Beliau berkata, bayi sulung seberat 4.32 kilogram itu dinamakan Ryan Ziqry dan kini berada dalam keadaan sihat.
Menurutnya, mereka juga menyifatkan kelahiran bayi sulung itu dalam bulan Ramadan sebagai satu rahmat.

"Isteri saya terpaksa menjalani pembedahan selama 30 minit memandangkan saiz bayi sulung kami ini agak besar," katanya kepada Kosmo! semalam.
Presiden Seniman itu mengahwini Natalia yang juga seorang ahli perniagaan pada 29 April 2011 setelah mereka berkenalan menerusi laman sosial Facebook sejak tahun 2008.
Zed menambah, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini juga sudah tentu lebih bermakna dan meriah dengan kehadiran orang baharu dalam kehidupan mereka.

Mayat dua anak kapal ditemui

SEBAHAGIAN dek kapal Bunga Alpinia yang hangus terbakar di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol di Labuan semalam. 

LABUAN - Dua mayat daripada empat mangsa yang hilang dalam kejadian letupan kapal tangki Bunga Alpina di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan ditemui pasukan penyelamat semalam.
Mayat kedua-dua mangsa ialah Mohd. Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hassim, 46, dari Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Kasron berkata, kedua-dua mayat tersebut dijumpai terapung di laut iaitu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
"Mayat Hanafi ditemui di Jeti Amsteel manakala mayat Zahari ditemui di Jeti Iron. Jeti Amsteel dan jeti Iron terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kapal tangki meletup," kata beliau di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa yang pertama dijumpai pada pukul 12.41 tengah hari manakala mayat yang kedua dijumpai selang 16 minit kemudian.

Kedua-dua mayat yang melecur teruk itu dihantar ke Hospital Nukleus untuk bedah siasat.
Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang iaitu Muhamad Nazrin Khamsani, 20, dari Kuala Lumpur dan seorang warga Filipina, Colanggoy Errol Calaluan, 22, masih diteruskan.
Kapal Bunga Alpina yang meletup dan terbakar sudah ditunda ke tengah laut iaitu kira-kira 50 kilometer dari jeti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Jabatan Alam Sekitar Sabah juga memasang perangkap minyak di sekitar lokasi kejadian bagi mengelakkan tumpahan minyak merebak.

Kelmarin, kapal itu membawa bahan bakar methanol terbakar selepas dipercayai disambar petir yang melanda kawasan tersebut.
Semasa kejadian kapal yang berlabuh di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol itu mempunyai 29 anak kapal.

Sementara itu, bapa Hanafi, Kalil Abdullah, 46, berkata, dia amat terkilan kerana tidak sempat menatap wajah anak sulungnya yang terpisah sejak 19 tahun lalu.
"Kami sudah merancang untuk bertemu pada Aidilfitri ini tetapi hajat itu tidak kesampaian," ceritanya ketika ditemui di Hospital Nukleus di sini.

Bapa ajar anak curi motosikal


INILAH tiga buah motosikal Honda EX5 yang dirampas daripada empat beranak yang diberkas di Taman Putera Jaya, Telipok, Kota Kinabalu, Rabu lalu.


KOTA KINABALU - Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.

Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.
Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.

Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.

Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.
"Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya," kata beliau,
Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.

Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.
Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.
"Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya," kata beliau.

Kembar Siam berjaya dipisah


KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.


TIONG LAI menziarahi Muaimin Azli (depan) dan kembarnya Muaiman Azli yang selamat menjalani pembedahan pemisahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.
 
KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.

Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut
“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.
“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.

Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.
Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.
“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Pasar malam tempat tibi menular


WARGA asing bukan sahaja mengunjungi pasar malam sebagai pembeli malah turut terlibat secara langsung sebagai peniaga. 
 

KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi.
Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing.
"Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang.
"Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau.

Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka.
Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah.
"Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik.
"Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya.

Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini.
"Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya.

Kosmo

Friday 27 July 2012

Labuan, Kapal meletup 1 maut, 4 hilang


Keadaan Kapal Bunga Alpinia yang terbakar berhampiran Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan semalam.


LABUAN – Seorang maut manakala empat hilang apabila kapal tangki Bunga Alpinia membawa bahan bakar dan minyak sawit milik MISC Berhad terbakar dan meletup di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan berdekatan Pulau Enoe, Zon Industri Rancha-Rancha dekat sini semalam.
Kejadian pukul 2.40 pagi itu dipercayai berlaku akibat kapal tersebut disambar petir ketika hujan lebat melanda pulau bebas cukai Labuan.
Difahamkan kebakaran bermula dari dek kapal diikuti siri letupan sehingga kapal tersebut hampir hangus keseluruhan.

Tinjauan mendapati api yang marak atas kapal tersebut mencapai ketinggian melebihi tiga meter.
Api besar itu hanya mampu dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 4 petang.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian tersebut dimaklumkan oleh seorang polis bantuan, Asian Supply Base, yang sedang membuat rondaan di jeti terbabit.
Semasa kejadian, kapal tersebut membawa 29 anak kapal terdiri daripada 23 rakyat Malaysia dan enam warga Filipina yang sedang sibuk memunggah kargo berisi bahan bakar jenis methanol dari kapal turun ke jeti.

Thursday 26 July 2012

Shaheizy Sam Kahwin pada usia 32 tahun


SHAHEIZY SAM mengaku belum mempunyai kekasih. Dia berharap untuk menamatkan zaman bujang pada usia 32 tahun. 
 

DALAM industri perfileman tempatan, nama pelakon popular Shaheizy Sam bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan peminat dan antara pelakon yang memang kerap tampil di layar perak.
Merupakan seorang yang berpendirian untuk tidak terlalu memilih tawaran lakonan yang diterima, Sam juga dianggap seorang pelakon yang versatil serta mampu membawakan apa sajak watak yang diberikan seperti watak hero, antagonis, komedi atau lelaki psiko.

Biarpun dilihat acap kali tampil dengan filem yang pelbagai genre, ternyata setiap karya yang diterbitkan dengan menampilkan dirinya ternyata jarang mengecewakan daripada segi kutipan dan sambutan penonton.
Melihat kepada tawaran lakonan yang tidak putus-putus serta populariti yang diraih sepanjang bergelar anak seni, pelakon berkenaan turut diajukan tentang pasangan hidup memandangkan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada bulan September ini.

Apatah lagi sebelum ini pelakon yang baru muncul dengan filem 8 Jam itu juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa pelakon wanita seperti Yana Samsuddin, Wawa Zainal dan Sara Ali.
"Bukan saya mahu mengelak untuk mendirikan rumah tangga, tetapi semuanya saya serahkan pada jodoh dan tidak terlalu mencari sangat kerana lebih menumpukan kepada kerjaya.
"Lagipun sehingga kini saya masih lagi belum memiliki teman wanita dan saya sasarkan akan berkahwin paling awal semasa usia 32 tahun," ujarnya ketika ditemui pada majlis tahlil anjurannya di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang baru-baru ini.

Ditanya mengenai faktor-faktor yang menyebabkan dirinya masih belum terbuka hati untuk memiliki teman hidup sehingga sekarang, Sam menjelaskan jadual lakonan yang sentiasa padat menyebabkan dia lebih gemar untuk memberikan tumpuan kepada kerjayanya.
Ujarnya, dia sangat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh menerusi tawaran lakonan yang sentiasa mencurah-curah, malah menyatakan pada masa inilah dia perlu berusaha mengumpul harta sebanyak mungkin.

"Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan sejujurnya saya masih belum bersedia untuk mempunyai komitmen dalam berumah tangga. Jadi, sebagai persediaan untuk melangkah ke alam perkahwinan, saya perlu kumpul aset dan wang ringgit terlebih dahulu," ujarnya.
Pada masa yang sama, anak kepada pelakon Khathy Fauziah itu juga meluahkan rasa gembira kerana memiliki seorang ibu yang sangat memahami kehendak hatinya dan tidak pernah memaksa untuk berkahwin secepat mungkin.

Jelasnya lagi, ibunya juga tidak pernah memperkenalkan mana-mana wanita untuk dijadikan sebagai isteri dan memberikan sepenuh kebebasan buat dirinya untuk memilih sendiri calon isteri.
"Mummy sendiri tidak pernah mendesak saya supaya mendirikan rumah tangga segera kerana dia tahu buat masa sekarang saya lebih gemar memberikan tumpuan kepada kerjaya," ujarnya.
Berbuka dengan peminat
SAM bersama ibu tercinta, Mummy Khaty dan anak saudaranya sewaktu majlis tahlil yang diadakan baru-baru ini.
 
Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan, Sam memberitahu dia telah mengambil keputusan untuk berehat buat sementara dan tidak akan terbabit dalam sebarang penggambaran filem atau drama.
Jelasnya, sepanjang menjalani ibadah puasa, dia mahu meluangkan lebih masa bersama ahli keluarga dan sudah merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat.
"Sepanjang bergelar pelakon saya memang tidak berkesempatan untuk berbuka puasa dengan peminat kerana agak sibuk berlakon, jadi pada tahun ini saya cuba aturkan satu hari yang sesuai untuk meluangkan masa berbuka puasa dengan mereka.

"Kalau ikut perancangan saya akan adakan majlis tersebut pada 11 Ogos ini, cuma lokasi sahaja yang masih lagi tengah saya cari dan saya jangka seramai 200 peminat yang akan hadir nanti," ujarnya.
Mengenai juadah kegemaran sewaktu berbuka puasa, Sam menyatakan kuih tepung pelita, cucur udang, ikan bakar dan ayam percik merupakan juadah yang tidak ketinggalan untuk dibeli ketika mengunjungi bazar Ramadan.
"Sepanjang bergelar pelakon berbuka puasa di lokasi penggambaran sudah menjadi perkara biasa buat saya, kini dengan adanya masa yang terluang saya dapat berkunjung ke bazar Ramadan dengan lebih kerap," ujarnya.

Hampir terbakar
Bercerita lebih lanjut mengenai kenangan yang paling menarik ketika menyambut bulan Ramadan, ternyata pelakon berkenaan turut mempunyai sebuah peristiwa yang agak lucu.
Ujar Sam, peristiwa tersebut berlaku sewaktu dia berusia enam tahun apabila rumah di kampung ibunya yang terletak di Batu Pahat, Johor hampir terbakar gara-gara bermain bunga api.
"Pada masa itu saya dan Zizie sedang leka bermain bunga api dan setelah habis, kami terus membuangnya di kawasan lalang yang terletak berhampiran dengan rumah.
"Bagaimanapun, kami tidak menyangka bunga api tersebut belum betul-betul padam sehingga membakar lalang, namun kami bernasib baik apabila api berkenaan dapat dipadamkan dengan cepat," ujarnya.
Menurutnya, dapat bersama rakan-rakan mengerjakan solat sunat terawih di masjid pula tetap menjadi saat yang paling menyeronokkan, namun semakin kurang berkesempatan untuk melakukannya sejak sibuk dengan berlakon.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters