Jom Buat Duit

Sunday 8 July 2012

Syafinaz susun semula lagu Sudirman


ANGKATAN kreatif Konsert Dir... Suara 1Malaysia Koir Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari bermula 7 Julai.


LAGU-LAGU Allahyarham Sudirman sentiasa mendapat tempat dalam hati para peminatnya walaupun beliau sudah dua dekad berhijrah ke alam abadi. Lagu-lagunya sentiasa dihidupkan semula dalam pelbagai susunan sehingga tidak jemu didengar.
Namun untuk kali ini, penyanyi Syafinaz Selamat ingin menampilkan sesuatu yang lebih segar dan luar biasa. Menerusi idea muzikal yang kini semakin mendapat perhatian di jiwa khalayak, Syafinaz yang merupakan guru vokal terkenal itu yakin Konsert Dir... Suara 1Malaysia Koir Kebangsaan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama dua hari berakhir hari ini bakal memuaskan hati penonton terutama pemuja setia Sudirman.
"Sebenarnya persembahan ini pernah dilakukan dua tahun lalu. Saya terkejut kerana ia menerima sambutan yang amat membanggakan apatah lagi dihadiri oleh kakak arwah, Datin Rudiah Arshad. Dia sendiri meluahkan perasaan berpuas hati dengan konsert itu. Penonton juga tidak puas dan mahu ia diadakan sekali lagi.

"Kelainan yang ditampilkan pasti daripada lagu-lagu Sudirman. Rata-rata peminat sekadar mengetahui lagu-lagu klise tanpa menyedari ada banyak lagu Sudirman yang sangat bagus. Kita dapat lihat persembahan penghargaan Sudirman hanya menampilkan lagu-lagu sedih.
"Jadi itu sebabnya saya mahu mewujudkan satu keseronokan pada persembahan itu. Saya inginkan penonton bergembira sepanjang konsert selain memperdengarkan lagu-lagu Sudirman yang jarang didengari. Jadi penonton dapat mengetahui bahawa Sudirman tidak hanya muncul dengan lagu-lagu sedih sebelum ini," jelas penyanyi Ingin Bersamamu itu.
Antara seleksi lagu yang bakal diperdengarkan dalam susunan persembahan koir itu adalah Seruling Bambu, Basikal Tua, Pelangi Petang, One Thousand Million Smiles, Mat Disko, Aku Penganggur dan Hoore Hoore.
Menerangkan dengan lebih lanjut tentang persiapan konsert apresiasi tersebut, Syafinaz menjelaskan latihan telah dijalankan sejak pertengahan April lalu bersama angkatannya yang berjumlah 27 orang.
"Alhamdulillah, latihan berjalan lancar setakat ini. Cuma tinggal untuk diperhalusi dan memastikan persembahan berjalan lancar. Tidak dinafikan, ini bukan tanggungjawab yang mudah kerana setiap daripada mereka perlu menari dan berlakon selain menyanyi tanpa diiringi konduktor.
"Saya mengutamakan proses pembelajaran vokal dengan menekankan empat teknik empat jenis suara yang tidak boleh dipandang mudah. Koreografi hanya berfungsi untuk membantu menghiburkan penonton. Terus terang saya rasa bersyukur kerana mereka menguasai aspek suara itu dengan pantas.
"Kalau bercakap soal susunan lagu, sebenarnya banyak diubah kepada muzik yang lebih berirama pop. Tetapi saya mengekalkan melodi asal dengan beberapa buah lagu akan dinyanyikan secara medley," terang Syafinaz .
Syafinaz turut dibantu oleh pasukannya yang terdiri daripada Pengarah Koir Kebangsaan, Tunku Marina Tunku Zubir; Konduktor Koir, Amri Zane dan Penolong Jurulatih dan Penolong Konduktor; Lilis Syafiza dan Lilis Syafuza Mohd. Yatim.
Lebih menambahkan warna kepada konsert yang berdurasi satu jam setengah itu adalah kemunculan istimewa Azlan Typewriter mendendangkan lagu-lagu untuk konsert tersebut.
Kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert ini boleh membeli tiket secara talian di www.ticket2u.biz dengan harga RM10, RM20 dan RM30. Tidak ketinggalan, boleh juga mendapatkan di kaunter tiket di Istana Budaya atau membuat tempahan dengan menghubungi 03-41498600.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters