Jom Buat Duit

Saturday 7 July 2012

Lonjakan baharu Spider-Man

KEMUNCULANNYA buat pertama kali di pawagam seluruh Amerika Utara pada Selasa, 3 Julai lalu telah mencipta rekod baharu sebagai filem dengan kutipan minggu pembukaan tayangan hari Selasa tertinggi dalam sejarah perfileman Hollywood. Ia mengatasi filem Transformers yang sebelum ini menguasai kedudukan tersebut.
Meraih kutipan sebanyak AS$35 juta (RM112 juta) pada hari pertama tayangannya itu, pencapaian tersebut merupakan sesuatu yang amat diperlukan francais terbaharu filem Spider-Man yang berjudul The Amazing Spider-Man itu untuk membuat lonjakan yang jauh dalam meraih kutipan pecah panggung.
Cabaran dari segi kutipan pecah panggung itu amat mendesak dan menekan The Amazing Spider-Man yang mana francais filem ini sebelum ini sukses menerusi trilogi awalnya iaitu Spider-Man yang mengumpul kutipan tiket keseluruhan mencecah (RM2.6 bilion), Spider-Man 2 (RM2.5 bilion) dan Spider-Man 3 (RM2.9 bilion).

The Amazing Spider-Man bagaimanapun tidak boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada trilogi awal Spider-Man tersebut kerana ia hadir dalam versi serba baharu termasuk pengarah dan pelakon utamanya untuk karakter Spider-Man.
Inilah pencetus cabaran buat filem tersebut kerana ia tampil bukan dengan formula pecah panggung trilogi awal Spider-Man!
Berbanding trilogi awal francais Spider-Man yang diarahkan oleh Sam Raimi dan menampilkan aktor Tobey Maguire sebagai Spider-Man, kali ini, Marc Webb mengambil alih posisi pengarah untuk The Amazing Spider-Man yang memberi peluang buat aktor British, Andrew Garfield untuk memberi suntikan tenaga lakonan versi baharu buat karakter Spider-Man.
Jika tanggapan awal mengatakan The Amazing Spider-Man tidak akan menggapai sukses sebagaimana trilogi awalnya itu, nampaknya pencapaian kutipan tiket peringkat awal tayangannya itu membuktikan perkara yang sebaliknya.
Malah, impak kutipan terkumpul selepas dua hari tayangannya yang mencecah RM189 juta, ia dijangka mampu mengumpul kutipan mencecah RM416 juta dalam tempoh enam hari tayangannya iaitu menjelang esok, 8 Julai. Ini sesungguhnya permulaan yang baik untuk filem yang menelan kos mencecah RM736 juta itu.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
ANDREW GARFIELD enggan dibandingkan dengan aktor Tobey Maguire yang melakonkan karakter Spider-Man dalam trilogi Spider-Man sebelum ini.

Merujuk kepada sambutan memberangsangkan terhadap The Amazing Spider-Man, penerbit bersamanya iaitu Sony dan Columbia Pictures telah mengumumkan projek trilogi The Amazing Spider-Man di masa hadapan - bermakna bakal muncul sekurang-kurangnya dua lagi siri The Amazing Spider-Man!
Tobey Maguire
Cukup dengan kisah pencapaian The Amazing Spider-Man dari segi bisnes, justeru bagaimana pula dari segi 'jiwa' filem ini yang sudah tentu merujuk kepada pelakon karakter utama Spider-Man iaitu Andrew Garfield?
Memilih seorang pelakon British untuk karakter popular di pawagam yang selama ini dibawa oleh pelakon Amerika Syarikat, Tobey Maguire sesungguhnya ia memiliki risiko yang tinggi. Namun apakah keistimewaan aktor berusia 28 tahun itu?
Memulakan karier menerusi drama remaja yang disiarkan di televisyen berjudul Sugar Rush pada tahun 2005, Garfield menonjolkan dirinya sebagai seorang aktor berbakat besar apabila dirinya meraih pengiktirafan Aktor Terbaik Bafta Televisyen Award hasil lakonan hebatnya menerusi drama Boy A.
Garfield kemudian menempatkan namanya sebagai pelakon pelapis berpotensi besar di Hollywood menerusi kemunculan sebagai Eduardo Severin dalam filem The Social Network (2010), yang mana dia meraih pelbagai pencalonan untuk kategori lakonan terbaik termasuk Golden Globe Award.
Bijak menjawab persoalan yang diajukan pihak media, dalam satu temu bual dengan media antarabangsa, Garfield menegaskan adalah tidak wajar dirinya dibandingkan dengan aktor Tobey Maguire yang selama ini menghidupkan karakter Spider-Man dan sisi manusia Spider-Man iaitu Peter Parker di pawagam.

"Saya menghormati Tobey Maguire dan saya mengagumi lakonannya sebagai Spider-Man/Peter Parker selama ini. Saya rasa tidak wajar untuk membandingkan diri saya dan Tobey atas dasar lakonan kami masing-masing untuk karakter antara adiwira tersohor di dunia itu," ungkapnya.
"Apa yang penting, saya dan Tobey sudah menyuntik keperibadian masing-masing untuk karakter Spider-Man/Peter Parker dan untuk The Amazing Spider-Man, ia merupakan suatu episod baharu dalam francais filem pecah panggung ini," tambah Garfield.
Sisi gelap
Namun, dia mengakui karakter Spider-Man/Peter Parker lakonannya itu menampilkan sisi yang lebih gelap berbanding Spider-Man/Peter Parker lakonan Maguire sebelum ini.
"Karakter Peter Parker mengandungi pelbagai elemen yang menarik. Dia seorang remaja yang dalam kehidupan realitinya menghadapi pelbagai tekanan - kehilangan ibu bapa yang telah mengabaikan dirinya, dan menjadi mangsa buli dalam kehidupannya.
"Ada elemen kemanusiaan, humor dan juga sisi gelap dalam karakter Peter Parker yang tiba-tiba meraih kuasa luar biasa sebagai Spider-Man kerana dengan itu, dia mampu untuk membalas dendam.
"Sangat seronok menjadi Spider-Man tetapi dalam masa yang sama ia sangat berbahaya. Elemen bahaya tersebut merupakan antara yang diterokai oleh saya dalam melakonkan karakter tersebut," ulasnya.
Menyentuh tentang dirinya yang lebih dikenali sebagai pelakon British tetapi melakonkan karakter yang selama ini merupakan ikon Amerika, ujar Garfiled: "Saya sebenarnya orang Amerika. Saya dilahirkan di Amerika, cuma dibesarkan di England. Saya tidak berasa diri ini orang luar kepada ikon Amerika ini. Saya berhubung dengan karakter Peter Parker/Spider-Man.
"Ini kerana dalam banyak hal saya merasakan diri saya orang Amerika. Namun, dalam masa yang sama, saya juga merasakan diri ini orang British."
Garfield juga mengakui dia telah menjalani latihan yang keras dan menuntut pengorbanan yang besar untuk membentuk dirinya untuk karakter Spider-Man/Peter Parker baik secara mental mahupun fizikal.
"Saya menjalani latihan fizikal dengan mereka yang pakar dan genius dalam bidang tersebut. Memang pada mulanya agak sukar bagi saya untuk mengikuti program latihan yang telah diaturkan oleh mereka.
MENJALANI latihan fizikal yang keras untuk mendapatkan sosok tubuh kekar versi Spider-Man, Andrew mengakui ia hanya sekadar untuk lakonan dalam filem The Amazing Spider-Man.
 
"Namun, mereka tidak mendesak dan membiarkan diri saya menyesuaikan diri terlebih dulu, sebelum mula menjalani latihan. Pada akhirnya, kami bersepakat dan bergabung untuk kebaikan bersama," beritahunya.
Mengakui terpaksa mengamalkan diet pemakanan khas untuk mendapatkan sosok tubuh kekar Spider-Man, ujar Grafield selepas penggambaran The Amazing Spider-Man tamat, dia menyedari akan suatu hakikat.
"Saya harus mengakui bahawa sosok tubuh gagah saya untuk melakonkan Spider-Man itu bukan milik saya. Ia adalah Spider-Man, bukan saya! Saya tidak boleh mengaitkan kehidupan peribadi dalam rutin seharian dan realiti dengan tubuh sebegitu.
"Apa yang penting, saya tetap menjadi diri saya, pemuda kurus yang bertubuh kekar semata-mata untuk melakonkan karakter Spider-Man," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters