Jom Buat Duit

Sunday 1 July 2012

Layar positif Dian

DALAM tas tangan Dian Sastrowardoyo, 30, ada sebuah buku kecil yang layaknya dipanggil jurnal. Dia menulis sendiri setiap hari tanpa jemu atau lupa. Dia mencatat 10 perkara yang dilakukannya pada setiap hari dan bersyukur dengan segala perlaksanaannya, tanpa gagal.
Jurnal berbentuk sederhana kecil itu ditunjukkan kepada penulis. Ya, tanpa perlu bicara panjang, aktres Indonesia ini menaburkan aura positif. Ditambah dengan senyum yang tidak pernah lekang di wajahnya yang ekstra manis, dia memang sekuntum bunga yang punya haruman sendiri.
Bertemu mata dengan wanita yang sudah bergelar ibu, inti katanya sarat terkandung perkataan positif. Dia mengaku jalur hidupnya tersemat erat tema itu. Bukan angkara satu insiden atau momen dia menjadi semakin positif setiap hari tetapi kerana dia menikmati hidup dan melayarinya dengan predikat syukur.

Pengertian hidup
Berbelit lidah menyebut nama Diandra Paramitha Sastrowardoyo namun belitan itu tidak sedikit pun mengurangkan pesonanya di sebalik kebangkitan para pendatang seni baharu di Indonesia.
Muncul kali perdana mengait mata khalayak melalui filem Bintang Jatuh dan kemudian menerapkan ingatan ramai terhadap karakter Daya melalui Pasir Berbisik dan Ada Apa Dengan Cinta, kriteria dalaman Dian kemudian menjadi tanda aras kaum Adam mencari pacar.

Fasa demi fasa dilalui Dian, tampak diam seketika dalam dunia lakonan, wanita ini hakikatnya sedang berada dalam dunia kekeluargaannya. Kesempatan bertemu mata sebelum sidang akhbar bersama pihak L'oreal Indonesia, dia bercerita luncur seperti air mengalir tentang hidupnya kini.
"Kehidupan sekarang sibuk dengan hal-hal domestik iaitu menguruskan suami dan anak," mula Dian dengan ketawa.
"Belum sesuai untuk berlakon filem kerana saya masih menyusukan anak. Jika ada skrip yang sesuai, pasti akan diambil. Memang banyak tawaran filem yang ditolak sebenarnya," ujarnya apabila disentuh aspek berlakon.

Mengheret sedikit ke detik sebelum bergelar isteri kepada Indraguna Sutowo dan bonda kepada Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo, Dian berkongsi proses hidupnya.
"Dulu saya seorang individu solo yang bercita-cita besar. Jujurnya, saya berasa terlalu cepat berkahwin kerana waktu itu saya juga mahu melanjutkan pelajaran.
"Lima bulan menikah kemudian saya hamil, betapa cepat semua proses berlaku. Saya akur, saya dan Indra memang ditakdirkan untuk masing-masing. Hidup saya kini tidaklah sempurna tetapi berbeza," lanjut Dian tentang belahan jiwanya yang dinikahi pada 18 Mei 2010.
Masuk ke dalam suatu yang dinamakan transformasi, aktres yang pernah menggondol Anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Deauville, Perancis ini mengaku membaca buku dan bertemu dengan banyak ragam orang merupakan faktor dirinya bergerak ke arah elemen positif.
Terus belajar
Aura itu dirasai lantaran dia melontarkan kata-kata dan pemahaman positifnya beserta pepatah-pepatah Dalai Lama yang diambilnya sebagai ikutan.
Wanita kelahiran Jakarta ini memberi 'resipi' dirinya iaitu sentiasa berfikiran jernih dan berasa gembira dalam melayari hidup.
"Setiap hari, selesai menguruskan anak dan suami, saya akan mengambil masa untuk diri sendiri. Mengumpul lima atau 10 minit untuk berada dengan diri saya sendiri, berfikir tentang sesuatu yang dinamakan kebahagiaan," kongsi Dian.

Lantas Dian diajak bercerita tentang elemen positif dalam hidupnya.
"Jujurnya selepas saya membaca buku yang bertajuk The Magic kemudian diikuti The Power dan The Art of Happiness. Saya sekarang memang gemarkan bahan bacaan sebegini yang lebih berbentuk motivasi diri," akuinya yang menolak cerita yang berhujung sedih atau berbentuk novel.
Dalam senggang masa di set penggambaran, Dian sedang merancang beberapa perkara untuk dirinya sendiri.
Dia mengaku kekal seorang yang bercita-cita tinggi walaupun berubah status, cuma saluran cita-cita itu sudah terarah ke 'genre' yang berlainan.
"Saya mahu belajar banyak perkara. Mahu belajar piano klasik, mendalami bahasa Perancis dan semua yang saya tinggalkan waktu zaman muda.

"Kalau mahu tahu, seorang Dian dahulu sebenarnya seorang penari balet ketika sekolah rendah. Saya juga punya grup yang bernama Nuansa dan Jelly Fish, saya di posisi gitar," akuinya kesal meninggalkan semua itu.
"Saya juga seorang penulis di majalah sekolah. Saya fikir bahawa menulis itu memang sesuatu yang cool dan betapa saya berharap saya tidak berhenti melakukan itu dahulu," ujarnya yang gemar membaca tulisan rumi sejak dari dulu.
"Saya mahu melakukan kembali apa yang saya tinggalkan. Saya mensyukuri segala apa yang berlaku dalam hidup termasuk pemilihan saya ke Festival Filem Cannes ," katanya sebelum beralih ke satu topik lain.
"Pergi ke festival tersebut, saya berasa bersyukur. Bukan usaha saya dan saya juga tidak ada filem baharu tetapi terpilih. Saya memang rasa sangat bertuah," ujar wanita ini yang memukau mata ramai ketika melangkah di karpet merah pada festival tersebut.
"Pengalaman itu menakjubkan. Bertemu dengan ramai pelakon antarabangsa sungguh mengujakan. Wow, semua ini seperti mimpi buat saya," galak Dian bercerita.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters