Jom Buat Duit
Sunday, 8 July 2012
Sarawak sapu bersih dua emas
SEKALIPUN terpaksa mengharungi jalan berbukit yang licin dan basah, pelumba Sarawak, Addy Ammin Shahriman Othman masih mampu mengutip pingat emas dalam acara merentas desa basikal bukit bagi kategori lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XV di Temerloh semalam.
Selaku juara, Addy Ammin, 19, merakamkan catatan satu jam 22 minit dan 11 saat (s) selepas lima pusingan sejauh 4.05 kilometer (km).
Pelumba Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali dan peserta Terengganu, Mohd. Zulhafiz Saipuddin masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa.
Norshahriel melakukan catatan masa 1:24:10s manakala Mohd. Zulhafiz merekodkan 1:25:15s.
"Laluan hari ini (semalam) sangat mencabar kerana tanah agak lembab dan licin, pelumba dari belakang saya juga semakin menghampiri, jadi saya memang berusaha habis-habisan dalam lima pusingan.
"Ini kali kedua saya sertai Sukma dan pertama kali menjadi juara.
"Strategi memang menjadi walaupun laluan agak sempit dan memang mencabar buat saya," kata Addy Ammin kepada pemberita selepas menamatkan pusingan terakhir di Sri Tualang, Temerloh.
Addy Ammin turut berharap dia dapat menyertai skuad kebangsaan dan beraksi pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Kejayaan Addy Ammin itu turut diikuti rakan senegerinya, Rosnina Minggu apabila meraih emas dengan catatan 1'18:06s.
Pelumba Kedah, Mardiana Mohd. Radzi memungut pingat perak selepas mencatatkan masa 1'19:33s.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Sabah, Natasya Soon yang merakamkan masa 1'21:04s.
Labels:
Sukma XV
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment