HUBUNGAN akrab antara aktres muda Juliana Evans atau Jue dengan
aktor, pelawak dan pengacara popular Zizan Razak sudah lama diketahui
khalayak semenjak mereka membintangi filem Hantu Bonceng. Namun, baik
Jue mahupun Zizan tidak pernah memberi pengesahan secara rasmi tentang
status hubungan mereka. Jawapan klise yang diberikan hanyalah sebagai
teman rapat sahaja.
Bagaimanapun kemesraan luar biasa antara Jue dan Zizan disaksikan
Kosmo! ketika mereka bertemu sempena ulang tahun kedua Mesra Mall di
Kerteh, Terengganu yang turut menayangkan filem terbaharu lakonan mereka
iaitu Mael Lambong.
Pertemuan tersebut merupakan yang pertama kali selepas lima bulan Jue
meninggalkan tanah air demi menggenggam segulung ijazah dalam bidang
pengajian filem, video dan media di Universiti Michigan, Amerika
Syarikat. Jue pulang ke tanah air pada minggu lalu kerana cuti musim
panas dan akan berada di Malaysia sehingga Aidilfitri ini.
Pengakuan tidak pernah terungkap di bibir masing-masing, namun
tingkah laku dan lirik mata ketika ditemu bual tidak dapat
menyembunyikan perasaan sebenar mereka berdua. Apabila ditanya rindu
atau tidak kala berjauhan, jawapan yang diberi juga cukup jujur.
Sambil memandang Zizan, 28, yang berada di sebelahnya, Jue berkata:
“Memang rindu sebab lama tidak jumpa. Ini kali pertama kami berjumpa
selepas saya pulang ke Malaysia. Sebelum ini, Zizan sibuk dengan
penggambaran filem Bikers Kental di Thailand. Kami belum sempat berborak
panjang lagi.”
Jue dan Zizan hanya tertawa dan saling berpandangan apabila disoal
apakah hadiah yang dibawa pulang Jue untuk Zizan dan apakah kejutan yang
dilakukan oleh Zizan kepadanya.
“Memang saya ada beli hadiah untuk dia, saya tidak boleh beritahu,
saya ada simpan di rumah. Kejutan dia untuk saya, mana boleh beritahu,
rahsia,” ucap Jue malu-malu.
Jue dan Zizan yang sudah berkenalan selama lima tahun masih memilih
untuk mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai teman rapat, meskipun
kedua-dua mereka sudah bertemu dengan keluarga antara satu sama lain.
Zizan juga tanpa berselindung memberitahu, dia menyayangi Jue.
“Saya sayangkan Jue tetapi masih ada pagar. Betul, saya pernah jumpa
keluarganya, ibunya banyak beri saya nasihat. Begitu juga dengan Jue,
dia pernah jumpa ibu bapa saya. Ibu saya suka dan senang dengan Jue,”
kata Zizan tanpa berselindung.
Jue juga memberitahu, keluarga tidak membantah persahabatannya dengan
Zizan, malah ibunya juga cukup senang terhadap perhubungan mereka.
“Mungkin sebab Zizan selalu tolong saya dan kami rapat, jadi keluarga
saya juga baik dengannya. Zizan baik, selalu mengambil berat tentang
diri saya, dia kelakar. Siapa yang tidak suka dengan dia (ketawa),”
seloroh Jue yang membawakan watak seorang ejen perisik bernama Maria
dalam filem Mael Lambong.
Fokus pada pengajian
Jue yang berusia 23 tahun bagaimanapun memberitahu dia belum
bersedia untuk mempunyai komitmen dalam sebarang hubungan cinta kerana
ingin memberi fokus terhadap pengajiannya yang akan tamat pada tahun
2014.
“Sebenarnya, saya tidak percaya pada cinta jarak jauh. Kalau saya
bercinta dengan Zizan sekali pun, kami masing-masing sibuk dan
berjauhan, saya lebih pentingkan pelajaran. Zizan kata mahu kahwin
sebelum umur 30 tahun, jadi saya tidak masuk dalam senarai.
“Saya belum tentu akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian
kerana saya ingin bekerja dan menimba pengalaman di sana terlebih
dahulu. Memang kami selalu berhubung, tetapi kalau sibuk kami buat hal
masing-masing. Jika bercinta, saya akan terikat dengan komitmen dan saya
belum bersedia,” ujar Jue yang bakal menjalani penggambaran filem
Dampak pada hujung bulan ini.
Jawab Zizan pula, dia juga memikirkan hal yang sama. Kesibukan jadual
kerjanya membataskan dia untuk menyulam cinta dengan mana-mana gadis.
Buat masa ini, fokusnya hanya pada kerjaya yang sedang berkembang.
“Alhamdulillah, saya tengah seronok bekerja. Siang dan malam, saya
hanya bekerja sampai sakit. Saya tidak mahu kalau saya ada kekasih, dia
akan rasa terabai kerana jika bekerja, telefon pun saya tidak pegang,
jadi saya tidak mahu perkara itu berlaku. Lebih baik tidak terikat
dengan sesiapa,” beritahunya yang saling berhubung dengan Jue menerusi
Twitter dan juga telefon.
Sungguhpun begitu, mereka tidak menolak
jika ditakdirkan bertemu jodoh. Luah Zizan: “Saya tidak kisah bertemu
jodoh dengan sesiapa pun, saya akan terima kerana itu kerja Allah. Cuma
saya rancang sebelum umur 30 tahun, saya mahu berkahwin, tetapi tidak
tahulah terlaksana atau tidak. Buat masa ini saya belum bersedia untuk
kahwin.”
Bercerita tentang pengalaman hidup Jue sebagai seorang pelajar
universiti di Amerika, keceriaan terpancar pada riak wajahnya tanda dia
bahagia, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan teman-teman.
Tiga bulan pertama perasaan rindunya terhadap keluarga sukar dikawal.
Tak nak balik Malaysia
“Seronok belajar di negara orang, mula-mula perasaan rindu sukar
dikawal kerana lokasi tempat tinggal saya terletak di kawasan pedalaman.
Nasib baik saya dapat teman serumah rakyat Malaysia yang pandai masak
masakan Melayu, jadi terubat sedikit perasaan rindu pada keluarga,”
ujarnya.
Jelas Jue selepas tamat pengajian, dia tidak mahu segera pulang ke
tanah air sebaliknya mahu menyambung kursus lakonan jangka pendek di Los
Angeles dan mencuba nasib sebagai pelakon serta model di sana terlebih
dahulu.
“Setakat ini keputusan pelajaran saya pun okey, jadi memang saya
rancang untuk bekerja dan timba pengalaman di Amerika kerana di sana
lebih banyak peluang. Tidak tahu bila saya akan pulang ke Malaysia,
sebab saya sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan,”
jawabnya jujur.
Bukan hanya mahu meluaskan kerjaya seni, tegas Jue, terlalu banyak
sebab mengapa dia membuat keputusan untuk tidak pulang ke tanah air
selepas tamat pengajian.
“Saya mahu mencuba nasib, berjumpa dengan orang baharu, mengembara,
banyak benda yang saya ingin buat. Walaupun saya mempunyai kerjaya di
Malaysia, tetapi saya tidak mahu tersekat di Malaysia selamanya tanpa
melihat peluang di luar,” jelas pelakon itu.
Jika di Malaysia, ke
mana sahaja kakinya melangkah ada sahaja mata yang memandang kerana
status artis. Namun, berbeza apabila dia berada di Universiti Michigan,
status artis terlucut dengan sendirinya, hanya pelajar Malaysia sahaja
yang mengenalinya sebagai artis.
“Hanya pelajar Malaysia sahaja yang tahu, saya tidak pernah beritahu
yang saya seorang artis di Malaysia. Kalau ada yang tahu sebab pelajar
Malaysia di sana yang beritahu pelajar lain. Buat masa ini, saya
menjalani kehidupan sebagai pelajar yang normal,” kata bekas kekasih
Sam, Bunkface itu lagi.
Watak Mael Lambong yang dibawa dengan cemerlang oleh Zizan ketika
menyertai program Maharaja Lawak bersama Johan diangkat sebagai watak
utama filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham yang akan mula ditayangkan
pada 21 Jun ini.
Biarpun watak itu hanya diciptakan untuk program
Maharajawa Lawak, namun populariti watak Mael Lambong melebihi
jangkaannya membuatkan Zizan bimbang. Ujarnya, dia bimbang andai apa
yang dipersembahkan dalam filem tersebut tidak sama seperti yang
dibayangkan oleh penonton.
Elemen komedi
“Jujurnya saya bimbang sebab Mael Lambong lebih popular daripada
Zizan. Harapan itu terlalu tinggi, saya bimbang Mael Lambong versi filem
tidak dapat kalahkan Mael Lambong versi Maharaja Lawak. Apa yang saya
boleh cakap, saya sukakan Mael Lambong versi filem kerana wataknya lebih
berkembang,” katanya.
Tidak hanya sarat dengan elemen komedi, Mael Lambong juga penuh
dengan karakter yang segar. Bagi memberikan yang terbaik, Zizan
mengalami kecederaan pada lengan kirinya ketika babak berlawan dengan
watak Tiger lakonan Taiyudin Bakar.
Selain itu filem yang memperoleh klasifikasi umum itu mempunyai babak
berlawan antara Zizan dan Jue yang dirasakan tidak sesuai untuk
tontonan kanak-kanak. Enggan memberi sebarang komen mengenai babak yang
dimaksudkan, Zizan berharap agar filem tersebut bebas kontroversi.
“Saya berharap babak itu tidak akan menimbulkan sebarang isu dan
mendapat sokongan penonton. Memang filem Mael Lambong antara lakonan
terbaik saya, saya cuba buat yang terbaik. Saya tidak buat lawak
sepanjang filem, cuma situasi Mael Lambong yang membuatkannya jadi
komedi,” terangnya lagi.
Kosmo
No comments:
Post a Comment