Sambil leka mempamerkan bakatnya memetik alat muzik gitar, bibirnya lekas menguntum senyum. Dialah Jason Mraz, si dewa muzik cinta yang teguh bersama ideologinya.
"Saya bukan pencinta terbaik, lihat saja hubungan yang saya jalinkan semuanya musnah dan meremukkan hati saya!" getusnya dalam nada sebak.
Benar barangkali dia bukan insan yang handal bermain cinta, buktinya hubungan bersama kawan rapatnya yang juga seorang penyanyi dan penulis lirik, Tristan Prettyman berkecai pada bulan Julai tahun lalu.
L.O.V.E.
Mengubati hati yang lara, Mraz atau nama sebenarnya Jason Thomas Mra, 34, mencuba untuk lari daripada kebiasaan. Dia melibatkan diri dengan pelbagai pertubuhan, persatuan dan sukarelawan.
"Saya baru usai menjadi sukarelawan di California (Amerika Syarikat) sebagai salah seorang aktivis alam sekitar dan di situ saya mendalami ilmu cinta.
"Cinta bermakna perkongsian, membahagikan masa, harta dan tenaga untuk orang lain," ujarnya berfalsafah.
Mraz merencanakan album terbaharunya, Love Is A Four Letter Word bersama hati yang remuk. Katanya perjalanan untuk melahirkan album versi deluxe bersama dua keping cakera padat itu amat payah dan berbeza.
"Kecewa dalam percintaan membuatkan saya lebih kuat daripada sebelum ini dan album ini menceritakan segalanya tentang cinta dan perjalanan hidup saya.
"Beza album kali ini saya mengingatkan pendengar untuk mencintai keluarga kita dan sesama insan lain. Mencinta dan dicintai frasa yang bermakna bagi saya," jelas Mraz lagi.
Perjalanan lebih setahun untuk menyiapkan album itu katanya juga menyeronokkan dan satu peluang untuk dia menerokai perspektif muzik.
"Proses yang dilalui untuk menyiapkan album ini adalah mudah sekali. Saya bekerja dengan pemuzik, studio dan persekitaran yang terbaik.
"Sesetengah lagu yang termuat adalah sebahagian daripada diri ini. Medium ini merupakan kaedah terbaik dalam menyalurkan muzik saya," ceritanya.
Dalam pada itu, ujar Mraz dia lebih memfokuskan kerja seni untuk penghasilan kulit album yang terdiri daripada empat bentuk asas menghasilkan perkataan L.O.V.E.
"Saya menekankan hasil kerja seni kulit album kali ini, bentuk-bentuk yang saya pilih biasa dilihat dalam kehidupan kita dan cara termudah mempromosikan cinta," tambah Mraz.
|
|
Menerusi album itu, Mraz memilih lagu Everything Is Sound sebagai lagu utamanya. Katanya, selain melodi yang ringkas, cara nyanyian yang menggambarkan mood ceria, chorus lagu hit terbaharunya itu mudah diingati.
Selain itu, lagu 93 Million Miles antara karya yang bermakna baginya. Ujarnya:" Lagu itu menggambarkan kisah hidup kita yang umpama roller coaster, adakalanya kita di landasan betul, kadangkala boleh jadi tunggang-langgang."
Tekanan
Sepuluh tahun berada dalam industri hiburan yang menyaksikan namanya turun naik, Mraz tidak melihat tekanan yang hinggap padanya berpunca daripada populariti.
"Tidak ada tekanan yang dikaitkan dengan isu komersial dan populariti kerana saya rasa peminat sekarang sudah cukup matang untuk menilai artis pujaan mereka.
"Saya gemar berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dan apabila peminat turut sama menyanyi bersama, itu sudah cukup mengharukan dan mencetuskan inspirasi untuk menghasilkan lagu baharu," jelasnya.
Tambah Mraz, tekanan itu sentiasa ada cuma terpulang pada diri sendiri untuk menanganinya.
Berbicara bagaimana dia mencari ilham menulis lirik atau mencipta lagu, Mraz mengakui pengalaman mendidik dirinya dalam memandu arah muziknya.
"Setiap muka surat buku catatan lagu saya bermula dengan kosong dan hanya pengalaman serta ilmu dalam dada membantu saya menggubah karya baharu," katanya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment