Jom Buat Duit

Showing posts with label Syamsul Yusof. Show all posts
Showing posts with label Syamsul Yusof. Show all posts

Saturday, 8 March 2014

Syamsul Yusof dan Puteri Sarah selamat nikah

DENGAN sekali lafaz, pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Mohd Yusof,  selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin  di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara hari ini.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Al Fadil Ustaz Mat Syaharuddin Al Rashid Mat Isa dengan mas kahwin berjumlah RM1,111 tunai tepat jam 10.31 pagi.

Majlis pernikahan tersebut menyaksikan pihak lelaki menerima sembilan dulang hantaran berupa senaskah Al-Quran, sepasang kasut, produk penjagaan wajah berjenama Kiehl’s, buah-buahan, kek, sirih junjung, beg berjenama Boss, komputer riba Macbook dan sepersalinan pakaian dari pihak Sarah.

Sementara itu,  pihak lelaki pula membalas tujuh dulang hantaran berupa sepasang kasut, komputer riba Macbook, buah-buahan, seutas jam tangan, sirih junjung, telekung dan kek.

Pakaian pengantin ditaja oleh Cosry Couture dan majlis yang serba indah ini turut mendapat beberapa tajaan lain antaranya dari Nasyeed.Com, N’dah Mahligai, Khyro Design, Love Undefined Photography dan Ari Wedding Couture.

Hadir sama, Datuk Yusuf Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail, ahli keluarga kedua-dua mempelai serta sahabat handai termasuk rakan artis dan selebriti tanah air.

Begitupun, majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam ini di Dewan N’dah Mahligai Shah Alam terpaksa dibatalkan kerana kesihatan Syamsul yang  masih lagi belum stabil. SH

Monday, 19 November 2012

Syamsul menangis di konsert Hafiz Hamidun


SYAMSUL yang mengaku seorang peminat Hafiz mendendangkan lagu ciptaannya sendiri, Ya Rabbi.


“BIAR orang tidak kenal siapa Hafiz Hamidun asalkan mereka suka zikir yang dibawa olehnya”. Itu kata-kata yang lahir dari mulut bekas penyanyi kumpulan nasyid UNIC, Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 28, yang kini muncul dengan sebuah album solo baharu iaitu Zikir Terapi Diri.
Menghasilkan tiga buah album solo termasuk album Zikir Terapi Diri, album baharunya itu telah memberi satu momentum terhadap kerjayanya, malah Zikir Terapi Diri pernah menjadi suatu trend di Twitter.

Bukan sekadar menjadi suatu trend, album Hafiz itu juga berjaya menerima anugerah platinum berkembar empat di atas jualannya yang mencecah 80,000 unit dalam masa 10 bulan.
Album yang menampilkan 10 zikir-zikir utama itu juga pernah menjadi juara carta jualan album di iTunes dan kini masih menduduki tempat teratas carta sekali gus menjadi penanda aras bagi industri muzik tempatan.
Rentetan daripada sambutan hangat terhadap album Zikir Terapi Diri, buat julung-julung kalinya Hafiz tampil dengan konsert sulungnya iaitu Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang berlangsung pada malam tahun baharu Hijrah iaitu 14 November lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Membawa penonton ke suatu pengalaman yang berbeza daripada konsert-konsert hiburan biasa, Hafiz menyuntik elemen spiritual yang jelas daripada alunan zikir serta iringan muzik terapi sebagai tunjang utama konsert pada malam itu.
HAFIZ berjaya memikat hati peminat nasyid dengan hanya 'bermodalkan' zikir-zikir indah kepada khalayak.
 
“Konsert ini sebuah konsert yang istimewa. Ia bukan konsert nasyid dan ia juga bukan konsert-konsert hiburan yang biasa kita tonton di TV atau secara langsung. Saya menggabungkan tiga elemen istimewa di dalam konsert solo ini iaitu elemen dengar, lihat dan rasa dengan diringi lapan pemuzik.
“Saya berharap dapat melakukan yang lebih baik untuk konsert kedua nanti,” jelasnya yang menyasarkan untuk mengadakan konsert yang sama di Johor Bahru dan Singapura pula pada tahun hadapan.

Ujar Hafiz lagi, konsert tersebut diadakan untuk mengajak umat Islam memupuk tabiat sentiasa berzikir mengingati dan mengagungkan Allah SWT tidak kira dalam masa sedih atau gembira.
Kira-kira 2,600 orang peminat hadir menyaksikan konsert berdurasi selama 90 minit Hafiz Hamidun dan barisan artis milik syarikatnya, Arteffects iaitu Fitri Haris, Imam Muda Najdi dan Izzat Mahadi.
Persembahan Hafiz pada malam itu dipenuhi dengan zikir puji-pujian kepada Allah selain dia menyampaikan 12 buah lagu daripada album Zikir Terapi Diri seperti Ya Latif, Astaghrafirullah, Hasbi Rabbi dan Lawkana Bainana.
KONSERT Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang pertama kali diadakan pada malam 14 November lalu dihadiri oleh lebih 2,600 penonton.
 
Menariknya, penonton turut dihiburkan oleh pengarah terkenal filem KL Gangster, Syamsul Yusof dan sepupunya, Dr. Anwar Fazal Abu Bakar (Burn & Soul). Syamsul hadir menyanyikan lagu ciptaannya sendiri iaitu Ya Rabbi.
Terlalu menghayati lirik, air mata Syamsul turut tertumpah tatkala mengalunkan lagu yang merupakan latar filem Khurafat itu.

Ditemui selepas habis konsert tersebut, dedah Syamsul, dia menghantar pesanan melalui laman Twitter kepada Hafiz untuk menyatakan hasrat menyertai konsert penyanyi nasyid itu.
“Sebenarnya saya peminat setia Hafiz Hamidun dalam diam. Jika saya boleh berkongsi bab agama tidak kira dari segi lagu atau filem saya akan dekatkan diri ke arah itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun turut tercalon dalam dua kategori iaitu Lagu Nasyid Terbaik dan Rakaman Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-19 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu. Kosmo

Thursday, 26 July 2012

SAM tekanan buat Syafiq


SHAFIQ (kiri) mengikut jejak langkah abangnya, Syamsul dengan menjadi pengarah filem. 

KEJAYAAN abang, Syamsul dan reputasi cemerlang bapanya, Datuk Yusof Haslam membuatkan anak bongsu keluarga Yusof Haslam, Shafiq tertekan ketika mengarahkan filem sulungnya Saya Amat Mencintaimu atau SAM.

Shafiq yang kini berusia 19 tahun memberitahu ketika filem itu diarahkan, dia baru sahaja berusia 18 tahun. Tekanan untuk menghasilkan filem yang terbaik serta mengekalkan reputasi cemerlang keluarga membuatkan Shafiq berkampung selama dua bulan di studio ketika proses pasca produksi dilakukan.
“Bagi memastikan filem ini mencapai matlamatnya serta harapan yang diberikan orang sekeliling, saya berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana saya bukan sahaja mempertaruhkan nama sendiri, tetapi maruah keluarga dan syarikat Skop Production,” kata Shafiq yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya lagi mengenai filem yang melakukan penggambaran selama 36 hari di sekitar Kuala Lumpur itu, kebimbangan utamanya adalah untuk tidak menghampakan harapan keluarga.
“Bukan sedikit duit yang dikeluarkan untuk menghasilkan filem ini. Ia sekitar RM1.9 juta. Walaupun saya tahu filem ini dikeluarkan oleh syarikat bapa saya, tetapi hakikat sebenarnya perniagaan tetap perniagaan.
“Tidak ada gunanya gelaran pengarah termuda yang diletakkan dalam Malaysian Books of Records jika filem ini tidak mendapat sambutan daripada penonton tempatan,” katanya.
Tegas Shafiq, dia mengambil risiko yang besar apabila memilih genre ngeri dan suspens yang cukup asing buat penonton filem tempatan.

“Skop Production memang dikenali dengan drama dan filem aksi yang berkualiti sebab itu apabila diberi pilihan untuk menghasilkan filem saya cuba elakkan filem aksi yang sudah cukup sinonim dengan abang saya.
“Filem ngeri dan suspens lebih dekat dengan jiwa saya. Kalau percubaan saya menjadi, saya akan menjadi orang yang membuka pintu kepada penonton tempatan untuk filem genre sebegini, tetapi jika gagal saya akan menjadi kambing hitam di dalam keluarga,” balasnya.

Membariskan pelakon popular seperti Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Azad Jazmin, Neelofa dan Fimie Don, Shafiq memberitahu dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengarah pelakon yang lebih senior daripadanya.

“Tidak ada sebarang masalah, saya bersyukur kerana mendapat pelakon yang saya inginkan dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik, malah lebih daripada apa yang harapkan,” ujar Shafiq yang menulis skrip dan memilih score muzik sendiri.

Pelakon utama filem tersebut, Shaheizy Sam menyatakan, filem SAM banyak menuntut kekuatan fizikal kerana terdapat banyak adegan bergaduh.
“Penggambaran dilakukan di sebuah kilang lama yang berhabuk, saya ada masalah sinus, jadi sepanjang penggambaran saya diserang demam sebanyak tiga kali.
“Saya berharap penonton akan menyukai filem SAM kerana filem ini secara visualnya sangat menarik dan Shafiq telah mengejutkan saya dengan kebolehannya,” luah Sam.
Menonton filem SAM yang akan berada di pawagam pada 19 Ogos depan, kebanyakan media yang hadir sedikit gusar dengan kebolehan Shafiq.

Namun, apabila filem itu sampai ke penghujungnya, ternyata Shafiq telah berjaya menggalas tugas pengarah dengan baik. Filem tersebut secara visualnya cukup menarik, ditambah dengan lakonan berkesan oleh Sam. Secara jujur, filem SAM layak ditonton dan dinikmati oleh penonton dan pulang dengan perasaan puas hati.
SAM mengisahkan pasangan kekasih lakonan Sam dan Lisa Surihani yang bercinta dan saat Sam ingin melamar Lisa terjadi satu kejadian yang tidak diingini, iaitu Lisa telah diculik.

Kosmo

Wednesday, 18 July 2012

Syamsul Yusuf rela diarah adik sendiri

FILEM-FILEM arahan pengarah muda Syamsul Yusuf sememangnya tidak pernah mengecewakan dan mendapat sambutan hangat penonton. Filem KL Gangster sebagai contohnya, sehingga kini masih lagi mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.
Biarpun berhasil meletakkan namanya sebagai antara pengarah hebat tanah air, anak kepada Datuk Yusuf Haslam itu mengakui tidak keberatan untuk berlakon di bawah pengarah lain dan tetap menerima tawaran daripada syarikat produksi luar.
Ketika ditemui pada majlis bacaan doa selamat dan pelancaran filem Gangster Celop di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini, Syamsul menyatakan dia ada sebab tersendiri berbuat demikian dan turut mendapat sokongan daripada bapanya.
KOSMO!: Sebagai seorang pengarah yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam dunia perfileman tempatan, kenapa Syamsul masih lagi terima berlakon dengan produksi luar?
SYAMSUL: Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu mencari pengalaman yang lebih luas dan inilah peluang saya untuk belajar dan menimba ilmu dengan pengarah yang lebih berpengalaman.
Misalnya, pembabitan saya dalam drama bersiri Ameera yang kini sedang ditayangkan di TV3, banyak perkara yang saya pelajari daripada pengarah Murali Abdullah.
Adakah anda akan lebih banyak berlakon dengan syarikat produksi luar selepas ini?
Buat masa ini Skop Production masih lagi menjadi keutamaan, namun ayah tetap memberi galakan kepada saya untuk bekerja dengan syarikat lain. Tidak dinafikan sejak muncul dalam drama Ameera, banyak tawaran berlakon yang saya terima.
Ramai yang sudah tahu anda merupakan antara pengarah yang hebat dan pernah merangkul anugerah sebelum ini. Adakah sukar buat anda untuk berlakon di bawah arahan pengarah lain?
Sebenarnya saya tiada masalah langsung untuk berlakon dengan mana-mana pengarah. Sebagai pelakon, saya akan menurut apa sahaja arahan daripada pengarah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-sebaiknya. Malah, saya juga tidak keberatan untuk berlakon di bawah arahan adik saya sendiri iaitu Syafiq menerusi drama bersiri KL Drift yang akan ditayangkan di saluran RTM.
Antara berlakon dan mengarah, apakah yang menjadi keutamaan anda sekarang ini?
Kalau mengikut perancangan saya akan kurangkan mengarah filem dan mahu memberi lebih fokus kepada bidang lakonan. Lagipun, saya ada adik yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan. Jadi, inilah masanya untuk saya menerima lebih banyak tawaran berlakon dan sedia mempertimbangkan sekiranya menerima sebarang tawaran yang menarik dan sesuai.
Apakah projek terbaharu anda pada masa akan datang?
Selepas berlakon dalam filem Gangster Celop yang diarahkan oleh Ahmad Idham, saya sudah merancang untuk menghasilkan sebuah filem seram setelah kali terakhir melakukannya menerusi filem Khurafat yang ditayangkan pada tahun lalu.
Selain itu, saya juga turut mendapat tawaran berlakon filem yang diarahkan oleh seorang pengarah yang sangat saya kagumi. Namun, saya tidak boleh beritahu nama pengarah tersebut kerana tawaran ini masih dalam peringkat perbincangan.

Friday, 8 June 2012

Syamsul komen babak maki imam


SYAMSUL dan Zizan dalam satu adegan filem Jalan Kembali: Bohsia 2.


FILEM sentuhan Syamsul Yusof kebanyakannya tergolong dalam genre aksi kecuali filem seram Khurafat. Terbaharu, Syamsul muncul dengan filem Jalan Kembali: Bohsia 2 yang telah menemui penonton di pawagam bermula semalam, 7 Jun.
Masih mengekalkan elemen pelesit rempit yang menjadi teladan kepada masalah sosial dalam sekuel pertama filem itu, menerusi sekuel kedua ini, Syamsul menyuntik elemen islamik dan juga komedi.
Mempertaruhkan bakat Nabila Huda, Salina Saibi, Zizan Razak, Sofi Jikan dan juga Syamsul sendiri selaku pengarah dan pelakon, sekuel filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu menelan kos sebanyak RM2.1 juta itu mengundang kontroversi kerana terdapat babak menghina imam masjid yang berlaku di depan masjid.
Bukan itu sahaja, kehadiran watak antagonis, Keting lakonan berkesan oleh Sofi serta komedi bersahaja oleh Zizan berjaya menghangatkan filem tersebut tetapi kerana kelantangan watak mereka berdua secara tidak langsung telah mendominasi watak-watak utama yang lain. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syamsul baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang menyebabkan Syamsul berani untuk tampil dengan sekuel filem Jalan Kembali: Bohsia 2?
SYAMSUL: Filem Jalan Kembali: Bohsia 2 merupakan filem kritikan sosial, melihat kepada sambutan sekuel pertama dan juga selepas meneliti selera penonton yang gemarkan filem aksi, drama serta komedi saya yakin filem ini boleh diterima oleh penonton.
Masih relevankah filem mengenai bohsia pada masa kini?
Bagi saya masih relevan kerana setiap gejala sosial yang dipaparkan dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2 masih berlaku dan sedang berlaku. Saya harap menerusi filem ini, selain berhibur dapat memberi kesedaran kepada mereka yang menontonnya.
SYAMSUL mempunyai alasan tersendiri kenapa dia menyelitkan babak seorang imam masjid dimaki dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2.
 
Babak Keting (lakonan Sofi Jikan) menghina seorang imam di hadapan masjid dilihat seolah-olah menghina agama Islam. Syamsul sedar atau tidak sensitiviti masyarakat sebelum melakukan babak itu?
Saya sedar sensitiviti masyarakat tetapi babak itu merupakan pilihan terbaik untuk menggambarkan betapa jauh terpesongnya watak Keting itu apabila dia hanyut dalam dunianya sendiri. Babak itu dibikin bukan untuk cipta kontroversi tetapi memberi gambaran sebenar serta menyuntik kesedaran. Sofi pun sebenarnya menasihatkan saya supaya lembutkan sedikit babak itu kerana dia bimbang, tetapi selepas diterangkan maksud di sebalik babak itu dia akhirnya bersetuju melakonkannya.

Meskipun Jalan Kembali: Bohsia 2 diterajui oleh lima orang pelakon tetapi watak lakonan Sofi dan Zizan lebih menonjol serta menjadi daya penarik di dalam filem ini. Komen Syamsul?
Zizan dan Sofi Jikan, memang pelakon yang bagus kerana itu saya memilih mereka untuk memberi nafas baharu dalam sekuel Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini. Saya sebenarnya mengawal mutu lakonan mereka supaya seimbang dengan watak yang lain tetapi terpulang kepada penonton jika mereka melihat watak Sofi dan Zizan yang lebih cemerlang.
Apakah cabaran dalam menghasilkan filem ini?
Saya menulis skrip, mengarah dan berlakon secara serentak tetapi cabaran utamanya ialah menghasilkan skrip yang menarik perhatian penonton. Melihat hasilnya saya cukup berpuas hati, saya amat berharap Jalan Kembali: Bohsia 2 mendapat tempat di hati peminat filem tempatan.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters