Jom Buat Duit

Showing posts with label Sukma XV. Show all posts
Showing posts with label Sukma XV. Show all posts

Tuesday, 17 July 2012

Terengganu juara

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang telah melabuhkan tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas sekali meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Pahang.
Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.
Pada edisi kali ini, Terengganu sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.

Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.
Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.
Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.

Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.
Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Selain Abdul Mubin dan Frenceay, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr turut muncul sebagai atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsan pada Sukma kali ini menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki.

Selain tiga rekod kebangsaan, sebanyak 33 rekod Sukma berjaya diperbaharui, seterusnya meninggalkan memori indah buat kesemua 15 kontijen termasuk Brunei yang bertanding pada temasya kali ini.
Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.

Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.
“Saya harap Sukma dapat berterusan menjadi ‘kilang’ atlet sukan negara berjuang pada temasya lebih besar seperti Olimpik. Jadi kita perlu lakukan sesuatu di peringkat daerah.
“Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen Terengganu kerana muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut selain pujian buat Pahang yang berlaku adil dalam setiap acara yang dipertandingkan,” katanya.

Majlis itu diakhiri dengan penyerahan bendera temasya yang menyaksikan Perlis bakal mengambil giliran menjadi tuan rumah Sukma 2014.
Sebaik menerima bendera Sukma daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Najib kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Monday, 16 July 2012

Terengganu tidak tercabar


TERENGGANU terus membuktikan reputasi sebagai kuasa sukan negara pada Sukma ke-15. 
 

KONTINJEN Terengganu hanya menunggu masa untuk dimahkotakan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.
Tampil selaku juara tiga edisi berturut-turut (2008 di Terengganu, 2010 di Melaka dan 2011 di Kuala Lumpur), Terengganu hampir pasti muncul juara keseluruhan Sukma tahun ini.

Tatkala hanya lapan pingat emas (empat dalam acara gimnastik berirama, dua petanque dan dua skuasy) menjadi rebutan pada hari terakhir yang akan melabuhkan tirai di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, Terengganu dilihat cukup selesa mendahului barisan pencabar mereka.
Hanya kontinjen Selangor dianggap sebagai satu-satunya pencabar utama yang mampu mengakhiri dominasi Terengganu dalam tiga temasya Sukma sebelum ini.

Hakikat itu diakui Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail kepada Kosmo! semalam.
"Jika dibuat penilaian setakat ini, saya lihat kontinjen Selangor masih menjadi pencabar utama kami (Terengganu).
"Mengikut perkiraan atas kertas, Selangor mungkin mampu menambah kutipan pingat emas pada hari terakhir Sukma esok (hari ini).

"Walaupun kontinjen Terengganu berpeluang cerah meraih gelaran juara keseluruhan Sukma tetapi saya telah mengingatkan setiap atlet untuk terus memburu pingat emas," jelas Wan Nawawi.
Skuad lumba basikal Terengganu muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen yang terkenal dengan jolokan 'Terengganu Hanelang' itu pada Sukma kali ini apabila membawa pulang 12 pingat emas.
Skuad olahraga Terengganu sekali lagi menampilkan prestasi mengagumkan apabila menyambar lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut.
"Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa Terengganu juga muncul juara keseluruhan bagi acara memanah apabila kami meraih sembilan pingat emas.

"Kejayaan cemerlang dalam ketiga-tiga acara itu (lumba basikal, olahraga dan menanah) menjadi antara faktor kejayaan kontinjen Terengganu muncul pendahulu keseluruhan setakat ini," katanya.
Menurut Wan Nawawi, beliau berasa gembira dan berpuas hati apabila kontinjen Terengganu telah melepasi sasaran pingat emas pada Sukma kali ini.

"Sebelum hadir ke sini (Kuantan), kami menetapkan sasaran 47 pingat emas tetapi setakat hari ini (semalam) kami telah melepasi 50 emas.
"Saya bersyukur kerana sasaran awal kami telah tercapai. Dalam keadaan kami tidak berjaya meraih pingat dalam acara akuatik, acara kenu pula tidak dipertandingkan, kami masih mampu melepasi sasaran 47 emas," jelasnya.

Setakat pukul 10.30 malam tadi, kontinjen Terengganu selesa mengungguli carta pungutan pingat dengan merekodkan 61 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.
Selangor yang muncul juara Sukma tujuh kali, mengekori rapat di belakang Terengganu apabila mengumpul keseluruhan 47 pingat emas, 53 perak dan 57 gangsa.
Kontinjen tuan rumah, Pahang berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik apabila mengutip 44 pingat emas, 37 perak dan 37 gangsa.
Sebagai rekod, Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 yang menyaksikan mereka meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.
Tahun lalu, Terengganu melakar hatrik dengan mengungguli temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa

Sunday, 15 July 2012

Lakaran sejarah Terengganu


EMPAT pelumba basikal Terengganu meraikan kejayaan mereka memenangi perlumbaan dalam acara kriterium di Temerloh, Pahang semalam.


TERENGGANU melakar sejarah tersendiri dalam acara lumba basikal pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.

Sebaik tirai acara lumba basikal disingkap di Temerloh semalam, Terengganu mengakhiri cabaran dengan mengutip 12 pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Keputusan itu dianggap sebagai satu kejutan kerana pada awalnya mereka hanya meletakkan sasaran enam pingat emas.

"Kejayaan mengutip 12 pingat emas memang di luar jangkaan dan ia merupakan satu keputusan yang luar biasa.

"Sepanjang menyertai Sukma, ini merupakan pingat emas terbanyak yang diraih skuad lumba basikal Terengganu," kata jurulatih Terengganu, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan semalam.
Menurut Syed Muhammad Hussaini, kejayaan itu tidak mampu dicapai jika tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada semua pihak yang terlibat.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri (Terengganu) dan juga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang banyak membantu merangka program buat para pelumba.
"Hasilnya kita dapat lihat, ramai pelumba berbakat yang dapat dicungkil pada Sukma kali ini," jelasnya.
Antara permata baharu Terengganu yang lahir pada Sukma kali ini ialah Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri, Mohd. Khairul Azizi Abdullah, Nor Amirul Fakharuddin, Zahraa Anuawar, Nor Suhada Zainal dan Nur Ain Mahmood.

Ketika ini, Terengganu memiliki pelumba muda berbakat iaitu Ummi Hamimah Mohamad yang kini dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di New Zealand, Ogos depan.
Pada hari terakhir acara lumba basikal semalam, Terengganu berjaya membolot dua pingat emas dalam saingan kriterium lelaki dan wanita.

Dalam acara kriterium lelaki, pingat emas menjadi milik Sofian Nabil Omar apabila mengumpul 18 mata.
Pingat perak dan gangsa masing-masing diraih pelumba Johor, Muhammad Fakhruddin Daud@ Dawood (16 mata) dan Hamidan Hamidon dari Selangor yang mengutip 12 mata.
Daripada 81 pelumba yang menyertai acara kriterium lelaki yang melibatkan jarak sejauh 81.6 kilometer (km) iaitu 24 pusingan di sekitar bandar Temerloh, 14 daripada mereka gagal menghabiskan perlumbaan.
Bagi saingan kriterium wanita, pingat emas disambar Zahraa yang mengumpul 15 mata manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Nur Ain meraih perak dengan kutipan 11 mata.
Pelumba Selangor, Farina Shawati Mohd. Adnan pula merangkul pingat gangsa selepas merekodkan sembilan mata.

Perlumbaan melibatkan jarak sejauh 54.4km (16 pusingan) itu menyaksikan 16 daripada 34 pelumba yang bersaing gagal menamatkan perlumbaan.
Dalam pada itu, Selangor berada di tangga kedua dalam senarai pungutan pingat bagi acara lumba basikal apabila memungut 13 pingat dengan dua emas, tujuh perak dan empat gangsa.
Skuad lumba basikal Pahang berada di tangga ketiga keseluruhan apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa.
Kedua-dua pingat emas Pahang diraih Muhammad Aim Mohamad Fauzi dalam acara downhill dan BMX lelaki.

Gimnas Selangor berputih mata

DARI kiri, Fatin Zakirah, Qing Tong, Sivaneswary dan Dina Christina menunjukkan pinta emas yang dimenangi dalam acara berpasukan di Gimnasium Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.  
 
JUARA bertahan, Selangor terpaksa berputih mata apabila terlepas pingat emas dalam acara gimrama berpasukan pada Sukma ke-15 di Gimnasium Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Dibarisi gimnas-gimnas muda iaitu Tai Qing Tong, Fatin Zakirah Jalany, N. Sivaneswary dan Dina Christina Kamarul Baharin, pasukan Wilayah Persekutuan (W.P) berjaya mengutip 236.914 mata untuk mengatasi Selangor yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak (226.131 mata).
Pingat gangsa pula milik tuan rumah, Pahang yang mengatasi Terengganu dengan hanya kelebihan 0.207 mata.

Untuk rekod, Selangor merupakan juara bertahan acara berpasukan sebaik mengecewakan W.P pada Sukma edisi dua tahun lepas di Melaka.
Pengurus W.P, Lo Joo Sim mengakui berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya 'membalas dendam' biarpun baru pertama kali beraksi pada temasya kali ini.
Joo Sim turut memberikan amaran bahawa anak-anak buahnya berhasrat membolot semua lima lagi baki emas yang dipertandingkan dalam acara gimrama pada temasya kali ini.

"Dua tahun lalu, kami sekadar meraih pingat perak dan emas menjadi milik Selangor.
"Tetapi kali ini walaupun membariskan semua muka baru, kami berjaya merampas emas dalam acara berpasukan.
"Kemenangan ini memberikan keyakinan buat kami untuk beraksi lebih baik pada acara individu keseluruhan selepas ini," katanya.
Acara individu bakal berlangsung di Gimnasium Sukpa hari ini.

Faizal faktor utama kejayaan Terengganu


FAIZAL menyumbangkan empat gol untuk membantu skuad hoki lelaki Terengganu menewaskan Pulau Pinang 5-4 di Stadium Hoki Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.


JURULATIH Terengganu, Nik Rozemi Nik Mohamed memberitahu, bahawa kehadiran penyerang antarabangsa, Faizal Saari menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu menewaskan Pulau Pinang 5-4 pada aksi separuh akhir acara hoki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 semalam.

Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan itu menyaksikan Faizal menyumbangkan empat gol pada minit ke-6, 10, 28 dan 68.
"Kehadiran Faizal Saari dalam skuad Terengganu tahun ini sangat menjadi dan dia memang pemain utama kami hari ini," kata Nik Rozemi sejurus tamat perlawanan itu.

Bagaimanapun, kredit harus diberikan kepada Muhammad Firhan Ashari apabila berjaya menjaringkan gol 'emas' untuk membantu pasukan itu melakar kemenangan dramatik 5-4 pada minit ke-85.
Nik Rozemi berkata, kejayaan tersebut turut menjadi pembakar para pemainnya untuk menentang Wilayah Persekutuan pada aksi final hari ini.

Ini kerana kemaraan ke final itu membuktikan kesempurnaan anak-anak buahnya untuk bangkit meskipun selepas Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada separuh masa kedua.
"Ini merupakan kali pertama skuad hoki Terengganu mara ke final sejak tahun 1996 dan akan cuba sebaik mungkin untuk menentang Wilayah Persekutuan hari ini," katanya.

Pulau Pinang berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Mohd. Khairul Naim Johari pada minit ke-39, Muhammad Rahimi Iskandar Baharom (42), Muhammad Azwar Abdul Rahman (58) dan Ahmad Tarmizi Ismail (64).

Sementara itu, Wilayah Persekutuan yang turut mara ke final selepas melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Johor dalam satu lagi aksi separuh akhir di lokasi yang sama.
Wilayah Persekutuan memperoleh jaringan menerusi Mohammad Ramadhan Rosli pada minit ke-32 dan 39, Amir Farid Ahmad Fuzi (40 dan 51) dan gol terakhir hasil sumbangan Mohd. Syamim Mohd. Yusof (60).

‘IBU EMAS’ milik Sabah

SABAH meraih pingat emas sulung dalam acara bola sepak selepas menewaskan Perak 3-0 pada aksi final Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

PENANTIAN selama 26 tahun pasukan Sabah bagi meraih pingat emas sulung dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) ternoktah sudah.
Malam tadi, skuad kendalian Johny Dominicus itu melakar kemenangan 3-0 ke atas Perak pada aksi final Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tiga gol pantas menerusi pemain gantian, Zulmansshah Aling, Leopold Alfonso dan peledak berbisa, Rozaimi Abdul Rahman pada masa tambahan babak pertama, sudah cukup bagi menamatkan penantian kemilau ‘ibu emas’ Sabah sejak Sukma diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 1986.

Dengan keputusan itu, kemarau selama 12 tahun skuad Perak juga berterusan selepas kali terakhir mereka muncul juara ketika temasya Sukma 2002 di Sabah selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1.
Dalam perlawanan malam tadi, Sabah terlebih dulu mengasak seawal minit kelima apabila percubaan Leopold tersasar meskipun penjaga gol Perak, Syazani Fuat telah tertewas.

Tersentak dengan asakan itu, skuad Seladang kembali mengatur gerakan, namun kecewa apabila beberapa percubaan penyerang, G. Mugenthirran dan Khairul Asyraf berjaya dibaca penjaga gol Sang Badak, Endre S. Tipay.

Peluang terbaik Sabah memecah kebuntuan gol kemudiannya hadir dua kali menerusi Rozaimi.
Begitupun, percubaan pertamanya pada minit ke-32 terkena palang sebelum rembatan deras Rozaimi menerusi sepakan percuma sekali lagi singgah di palang gol seminit kemudian.
Tempoh 30 minit terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun masih gagal menghasilkan sebarang gol sehingga aksi berlanjutan hingga masa tambahan.
Sementara itu, semifinalis Sukma 2010, Wilayah Persekutuan meraih pingat gangsa selepas menjinakkan Negeri Sembilan 2-1 di Padang MPK 1, Kuantan petang semalam.

Saturday, 14 July 2012

Nur Aesyah mencuri tumpuan


Nur Aesyah tampil dengan aksi tersendiri dalam acara wusyu semalam.


BERTUBUH kecil tetapi tangkas. Kelincahan peserta cilik tuan rumah, Siti Nur Aesyah Muhammad Anis Fadli dalam acara wusyu yang lazimnya dikuasai kaum Cina, ternyata mencuri tumpuan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang, Kuantan semalam.

Tampil dalam kategori gunshu wanita, persembahan memukau Siti Nur Aesyah, 10, ternyata menghiburkan penonton meskipun gagal meraih sebarang pingat.
Acara itu dimenangi peserta Sarawak, Amelia Su Leh Wern.
Rakan senegeri Amelia, Ho Jong Xiang pula meraih pingat perak sementara Loh Ying Ting dari Melaka meraih gangsa.

"Bapa saya (Muhammad Anis Fadli) selalu membelikan video cakera padat (VCD) berkaitan sukan wusyu sejak saya berusia enam tahun.
"Apabila bapa menyedari minat saya, beliau mula menghantar saya mengikuti kelas wusyu," katanya kepada pemberita semalam.

Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Taman Tas, Kuantan itu memberitahu, kecederaan terseliuh kaki semasa latihan sepanjang menceburkan diri dalam sukan itu sejak empat tahun lepas tidak pernah mematahkan semangatnya untuk aktif dalam sukan tersebut.
"Walau pun sukan ini dikatakan bahaya oleh sesetengah pihak, bagi saya ia menyeronokkan kerana dapat belajar banyak kemahiran," kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Pada masa sama, Siti Nur Aesyah juga percaya kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin memudahkan dia berinteraksi dengan jurulatih semasa sesi latihan.
Selain Siti Nur Aesyah, terdapat dua peserta Melayu turut mengambil bahagian dalam temasya kali ini iaitu Mohammad Sufi Shayiran Roslan dan Mohd Adi Sya'rani Roslan, kedua-duanya dari Brunei.

Zaidatul berhak bergelar Ratu Pecut Sukma ke-15

RATU pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli sekali lagi menggamit tumpuan dalam acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang yang berakhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Selepas meraih emas acara 100 meter (m) kelmarin, Zaidatul Husniah sekali lagi membuktikan larian bertenaga apabila mengungguli saingan 200m malam tadi.

Pelari Pulau Pinang itu mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 24.79 saat (s).

Pingat perak menjadi milik pelari Terengganu, Nur Farahana Musa yang merekodkan masa 25.46s dan gangsa dirangkul atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd. Yusof dengan catatan masa 25.52s.
“Syukur alhamdulillah... saya dapat meraih emas buat kali kedua pada Sukma kali ini.

“Sejak awal perlumbaan lagi, saya hanya fokus dengan larian saya tanpa menghiraukan pencabar-pencabar lain,” kata Zaidatul Husniah sejurus tamat perlumbaan semalam.
Pelari Wilayah Persekutuan, Hisyam Alias meraih emas acara 200m lelaki apabila merakamkan masa 21.73s.

Pingat perak dan gangsa masing-masing milik pelari Selangor, S. Kanathasan (21.76s) dan atlet Negeri Sembilan, Mohd. Shahmimi Azmi.

Sementara itu, kuartet Terengganu ternyata handal apabila mengungguli acara 4x400m lelaki dan wanita.
Dalam acara 4x400m lelaki, kuartet Terengganu merakamkan masa 3:20.64s bagi meninggalkan pencabar terdekat mereka iaitu Melaka (3:21.00s) dan Perak (3:21.38s)

Bagi saingan 4x400m wanita, kuartet Terengganu mencatatkan masa 3:54.67s bagi meninggalkan Johor (4:01.03s) dan Perak (4:01.44s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Jurulatih kuartet 4x400 Terengganu, Mohd. Nizam Md. Yusop memberitahu, kejayaan yang dilakar oleh anak-anak buahnya itu sudah dijangka.
“Saya berasakan mereka mampu menjadi juara. Hampir setiap pelari saya (kuartet lelaki) mempunyai rekod kurang daripada 50s.

“Tahap keyakinan yang mereka pamerkan hari ini (semalam) membuktikan Terengganu berhak mengungguli saingan tersebut,” katanya.
Pelari tuan rumah, S. Saranraj menggamatkan stadium buat seketika apabila meraih pingat emas acara 1,500 lelaki dengan catatan masa 4:03.72s.
Pingat perak milik atlet Perak, M. Kesavan (4:04.24s) manakala gangsa diraih atlet Kedah, Tan Wei Heng (4:04.71s).

Dalam acara 20,000m jalan kaki lelaki, atlet Kelantan, Muhammad Khairil Harith Haru merangkul emas dengan catatan masa 1:36:35.32s.
Pingat perak milik atlet Negeri Sembilan, T. Dhiban Raj (1:40:43.36s) manakala gangsa diraih atlet Pulau Pinang, K. Satiyaseelan (1:42:53.17s).

Dalam acara merejam lembing lelaki, pingat emas disambar atlet Perak, Muhammad Rozaini Subki yang melakukan catatan 59.26m.
Pingat perak dan gangsa masing-masing dirangkul atlet Kedah, Muhamad Akmal Md. Zain (58.75s) dan atlet Sabah, Max Anzie Jetol (52.94s).

Bagi acara melontar peluru wanita, atlet Sarawak, Casier Renee Lee meraih pingat emas dengan catatan 12.04m, perak milik seorang lagi atlet Sarawak, Grace Wong Xiu Mei (11.78m) dan gangsa diraih atlet Kelantan, Bibi Nuraishah Ishak (11.29m).

Friday, 13 July 2012

Kuartet NS tiada tandingan


KUARTER 4x100m Negeri Sembilan meraih emas acara tersebut pada Sukma ke-15 semalam.


KUARTET Negeri Sembilan merakamkan kemenangan bergaya apabila memenangi pingat emas acara 4x100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Dengan mendapat 'sentuhan' bekas pelari pecut negara, Azmi Ibrahim, kuartet Negeri Sembilan yang dibarisi Mohd. Nur Azli Azmi, Mohd. Hakim Rosli, Mohd. Aizat Mokhtar dan Mohd. Shahmim Azmi merekodkan masa 41.79 saat (s).

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding rekod Sukma yang dilakukan kuartet Sabah pada Sukan SEA 2008 di Terengganu iaitu 41.04s.
Pingat perak pula dimenangi kuartet Terengganu dengan catatan masa 41.94s manakala gangsa milik kuartet Sabah (42.39s).

Bagi Azmi, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya itu yang berjaya menyumbang emas sulung buat Negeri Sembilan dalam acara tersebut pada temasya Sukma.
"Mereka semua berada di bawah bimbingan saya menerusi program pelapis kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ada di antara mereka juga masih baharu tetapi masih mampu memberikan persembahan terbaik, seterusnya memenangi pingat emas.
"Saya percaya kuartet Negeri Sembilan itu mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang," jelas Azmi semalam.

Bagi saingan 4x100m wanita, kuartet Terengganu meraih pingat emas dengan catatan masa 47.88s manakala Johor (48.36s) dan Sabah (48.37s) masing-masing menyambar perak dan gangsa.
Dalam acara baling tukul besi wanita, pingat emas menjadi milik atlet Sarawak, Casier Renee Lee yang melakukan balingan sejauh 47.22m.

Atlet Negeri Sembilan, Noor Aida Shuhada Nordin (42.7m) dan atlet Sarawak, Tiong Mee Yin (42.23m) masing-masing meraih perak dan gangsa.
Bagi acara lompat bergalah wanita, atlet Perak, Chuah Yu Tian mengutip pingat emas dengan catatan 3.55m manakala atlet Melaka, Valerie Tan Ee Leen (3.30m) dan atlet Negeri Sembilan, Norezatti Shasha (3.00m) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Dalam saingan 400m lari berpagar lelaki, atlet Kelantan, Mohamed Baihaqi Razlan merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 53.00s.
Pingat perak milik atlet Kedah, Muhamad Firdaus Mazalan (53.14s) dan atlet Perak, Muhammad Firdaus Musa (53.73s) meraih gangsa.

Dalam acara 400m lari berpagar wanita, pingat emas diraih atlet Terengganu, Layalia Rameli dengan catatan 64.29s, perak milik atlet Wilayah Persekutuan, Wong Pui Yee (65.66s) dan gangsa diraih atlet Perak, Saidatul Izatti Suhaimi (66.31s).

Bagi acara 800m lelaki, atlet Kelantan, Nik Hafiz Nik Mohamad merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 1:54.60s.
Pingat perak milik atlet Perak, V. Jeeventhiran (1:55.99s) manakala atlet Kedah, Tan Wei Heng (1:56.78s) menyambar gangsa.

Dalam saingan 800m wanita, atlet Kelantan, Nik Norzilawati Nik Wil merangkul pingat emas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:19.91s.
Atlet Sarawak, Faradilah Raznie (2:20.88s) dan atlet Johor, S. Sharmila (2:21.21s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Thursday, 12 July 2012

Alagan padam rekod Hup Wei


ALAGAN berjaya memadamkan rekod Sukma milik Hup Wei selepas merekodkan lompatan 2.21 meter di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.


ATLET muda Negeri Sembilan, A. Kavee Alagan membuktikan betapa dia kini sudah bersedia mencabar jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei.
Semalam, atlet berusia 20 tahun itu berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat tinggi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Lebih manis, Alagan berjaya memadam rekod Sukma milik Hup Wei selepas merekodkan ketinggian 2.21 meter.

Hup Wei merupakan pemegang rekod dalam acara tersebut dengan catatan 2.20m yang dilakukannya pada Sukma 2008 di Terengganu.
Ketika itu, Hup Wei memadamkan rekod selama 14 tahun milik bekas atlet kebangsaan, Loo Kum Zee yang melakukan catatan 2.15m pada Sukma 1994 di Perak.
Mengulas kejayaannya itu, Alagan berkata, sebelum turun beraksi, dia tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod milik Hup Wei.

"Pada awalnya, saya hanya meletakkan sasaran memburu pingat emas selepas sekadar meraih perak pada Sukma 2010 di Melaka.
"Jadi, kejayaan hari ini (semalam) boleh dianggap sebagai satu bonus buat saya kerana selain meraih emas, saya turut mencipta rekod baharu Sukma," kata Alagan semalam.
Pingat perak acara tersebut dimenangi atlet Johor, S. Navinraj yang melakukan catatan 2.19m, manakala gangsa milik atlet Selangor, Mohd. Azly Ghazali (2.15m).
Terdahulu, atlet Kedah, Noor Shahidatun Nadia Mohammad Zaki meraih pingat emas dalam acara lompat kijang wanita dengan catatan 12.77m.

Atlet Kedah, Nur Izzati Akmal Nazrilazdin pula meraih pingat perak selepas mencatatkan 11.81m, manakala gangsa milik atlet Sabah, Merrey Gabali (11.70m).
Dalam acara 5,000m lelaki, pingat emas dimenangi atlet Pahang, S. Saranraj yang merakamkan masa 16:00.73 saat.
Pingat perak diraih atlet Negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan (16.04.05s), manakala gangsa milik S. Tanakendiran dari Perak (16:07.55s).
Dalam acara 400m lelaki, pingat emas dimenangi atlet Selangor, S. Kannathasan dengan catatan masa 47.48s.

Perak dan gangsa masing-masing diraih atlet Melaka, Schzuan Ahmad (47.68s) dan atlet Sabah, Anchois Aron (48.64s).
Bagi acara 400m wanita, pelari Terengganu, Nurul Faizah Asma' Mazlan merangkul pingat emas dengan catatan masa 57.18s.
Atlet Johor, Nurulassikin Mohd. Rasid meraih pingat perak selepas mencatat masa 57.49s, manakala gangsa milik atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd. Yusof (58.11s).

Raja, ratu pecut Sukma

PELARI Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri dan atlet Pulau Pinang, Zaidatul Husniah Zulkifli masing-masing ditabalkan selaku raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.
Dalam saingan akhir acara 100 meter lelaki yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi, Harith Ammar melakukan catatan masa 10.84 saat.

Pingat perak dimenangi pelari Kedah, Mohd. Helmi Ahmad dengan catatan masa 10.92s, manakala gangsa milik atlet Sabah, Eddie Edward Jr. (10.93s).
“Rasa bermimpi pun ada, saya tidak percaya menang kerana larian permulaan saya kurang baik sehingga ketinggalan pada suatu ketika.

“Ternyata keputusan saya untuk menukar acara berbanding 4x100m sebelum ini berbaloi dan saya tujukan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Terengganu,” kata Harith Ammar.
Sementara itu, nasib berbeza menyelubungi Zaidatul Husniah dan pasangan kembarnya, Zaidatul Husna dalam final acara 100m wanita.

Tatkala Zaidatul Husniah, 19, melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan masa 12.29s, Zaidatul Husna pula gagal menamatkan perlumbaan sehingga terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan hamstring.
“Kakak saya (Husna) sememangnya tidak bersedia kali ini gara-gara kecederaan. Saya sayangkannya tetapi dalam pertandingan, sudah tentu masing-masing mengidam pingat emas, cuma sayang dia gagal menghabiskan larian.

“Jadi, saya menganggap kemenangan ini milik kami bersama,” jelas Zaidatul Husniah.
Pingat perak acara 100m wanita diraih pelari Johor, Lee Jia Qin yang melakukan catatan masa 12.45s, manakala atlet Sabah, Stefbilce Sandy Stephen (12.50s) meraih gangsa.
Rekod Sukma dalam acara riben biru itu masih kekal milik jagoan Sarawak, Watson Nyambek dengan catatan masa 10.33s, manakala atlet Johor, Siti Fatimah Mohamad memegang status bagi saingan wanita iaitu 11.82s.

Wednesday, 11 July 2012

Pingat emas hadiah perpisahan istimewa

BARANGKALI tiada hadiah perpisahan yang paling istimewa buat pasangan terjun Selangor, Chew Yi Wei dan Ahmad Fakri Khairuddin apabila berjaya mempertahankan pingat emas acara terjun papan anjal seirama lelaki di Kolam Renang Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Merupakan temasya terakhir buat Ahmad Fakri gara-gara faktor usia, pasangan tersebut berjaya mengejutkan pasangan pilihan dari Sarawak, Pardika Indoma Pamg Joheng dan Abdul Rashid Muhammad yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, sekali gus mengulangi keputusan yang serupa pada temasya Sukma di Melaka dua tahun lepas.

Semalam, Yi Wei dan Ahmad Fakri berjaya mencatatkan 332.16 mata, manakala Pardika Indoma dan Abdul Rashid (321.42 mata). Pasangan dari Perak, Jemin Shien dan Muhammad Syafiq Puteh pula meraih pingat gangsa dengan 319.20 mata.

"Saya telah bergandingan dengan Ahmad Fakri selama enam tahun, jadi sudah tentu ketiadaannya amat dirasai selepas ini memandangkan saya perlu membentuk semula keserasian bersama pasangan baharu.
"Bagi saya, ia satu hadiah perpisahan yang cukup istimewa kerana kami berjaya mempertahankan pingat emas sebelum berpisah," kata Yi Wei.

Yi Wei, 17, yang juga meraih emas acara 3 meter papan anjal lelaki pada temasya kali ini memberitahu, dia akan menyertai Kejohanan Terjun Remaja Dunia di Adelaide, Australia, Oktober depan selain berharap supaya dapat menyertai temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Sementara itu, Ahmad Fakri,20, gembira dengan kejayaan itu meskipun mengakui agak berdebar-debar apabila terlebih dahulu ketinggalan pada tiga percubaan pertama.
"Kami memiliki darjah kesukaran yang hampir sama dengan pasangan Sarawak, mujur segala-galanya memihak kepada kami sebaik percubaan keempat.
"Saya masih belum membuat keputusan mengenai masa depan saya selepas ini, tidak mustahil saya bakal menjadi jurulatih kepada perenang muda," katanya.

Dalam pada itu, penerjun pilihan dari Perak, Jasmine Lai gagal mengulangi kecemerlangannya semalam apabila sekadar meraih pingat perak acara platform wanita akhir.
Jasmine yang setakat ini telah meraih dua emas menerusi acara platform seirama wanita bersama pasangannya, Kam Lim Kar dan juga acara papan anjal wanita terpaksa berpuas hati dengan catatan 229.85 mata.

Emas acara platform wanita tersebut menjadi milik penerjun Wilayah Persekutuan, Loh Zhiayi (277.35 mata), manakala rakan senegeri, Nur Dhabitah Sabri yang mencatat 216.15 mata pula meraih gangsa.

Sunday, 8 July 2012

Sarawak sapu bersih dua emas


ADDY AMMIN mengutip pingat emas dalam acara merentas desa basikal bukit bagi kategori lelaki pada Sukan Sukma XV di Temerloh semalam.


SEKALIPUN terpaksa mengharungi jalan berbukit yang licin dan basah, pelumba Sarawak, Addy Ammin Shahriman Othman masih mampu mengutip pingat emas dalam acara merentas desa basikal bukit bagi kategori lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XV di Temerloh semalam.
Selaku juara, Addy Ammin, 19, merakamkan catatan satu jam 22 minit dan 11 saat (s) selepas lima pusingan sejauh 4.05 kilometer (km).
Pelumba Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali dan peserta Terengganu, Mohd. Zulhafiz Saipuddin masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa.
Norshahriel melakukan catatan masa 1:24:10s manakala Mohd. Zulhafiz merekodkan 1:25:15s.
"Laluan hari ini (semalam) sangat mencabar kerana tanah agak lembab dan licin, pelumba dari belakang saya juga semakin menghampiri, jadi saya memang berusaha habis-habisan dalam lima pusingan.
"Ini kali kedua saya sertai Sukma dan pertama kali menjadi juara.
"Strategi memang menjadi walaupun laluan agak sempit dan memang mencabar buat saya," kata Addy Ammin kepada pemberita selepas menamatkan pusingan terakhir di Sri Tualang, Temerloh.
Addy Ammin turut berharap dia dapat menyertai skuad kebangsaan dan beraksi pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Kejayaan Addy Ammin itu turut diikuti rakan senegerinya, Rosnina Minggu apabila meraih emas dengan catatan 1'18:06s.
Pelumba Kedah, Mardiana Mohd. Radzi memungut pingat perak selepas mencatatkan masa 1'19:33s.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Sabah, Natasya Soon yang merakamkan masa 1'21:04s.

Temasya Sukma XV dirasmi

MAJLIS perasmian pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV berlangsung penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Percikan bunga api yang menghiasi segenap ruang angkasa di stadium tersebut dilihat sebagai kemuncak majlis perasmian pembukaan Sukma kali ini yang menampilkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan dari Brunei.
Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibawa menaiki pedati mengelilingi Stadium Darul Makmur tepat pada pukul 8.30 malam.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Majlis perasmian temasya Sukma XV yang dihadiri kira-kira 30,000 penonton itu dimulakan dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Sultan Kami.
Ia diikuti persembahan khas dengan diketuai Rosli Selasih dan melibatkan seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada para penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, pelatih Pusat-Pusat Latihan Khidmat Negara dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pahang.

Persembahan khas itu yang berlangsung selama 40 minit itu terbahagi kepada tiga segmen - Pergendangan Serasa Kuala Tahan diikuti Sukan Ke Arah Perpaduan dan Evolusi Sukma XV.
Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15 kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat diiringi empat maskot temasya Sukma XV iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku.
Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang.
Acara diteruskan dengan larian baton Sukma XV melibatkan tiga atlet tuan rumah iaitu jaguh angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim diikuti R. Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik).
Selepas titah pengisytiharan Sukma XV oleh Sultan Ahmad Shah, sejurus kemudian berlangsungnya upacara menaikkan bendera temasya, bacaan ikrar dan nyalaan obor.
Sebagai tuan rumah Sukma kali ini, Pahang menawarkan 369 pingat emas daripada 24 acara yang membabitkan 24 venue di Kuantan, Temerloh dan Pekan.
Tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang tampil selaku juara keseluruhan selama tiga edisi berturut-turut iaitu pada 2011 di Kuala Lumpur, Melaka (2010) dan Terengganu (2008).
Biarpun Sukma XV dibuka secara rasmi malam tadi, karate merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya kali ini iaitu pada Ahad lalu.
Selain karate, lima lagi acara bermula awal sebelum majlis perasmian pembukaan Sukma XV ialah berbasikal, bola sepak, hoki, taekwondo dan perahu layar.
Setakat ini, Selangor muncul pendahulu apabila mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan lima gangsa.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters