PERCINTAAN antara penyanyi remaja kelahiran Singapura yang kini
bergelar pelakon, Aliff Aziz, 21, dan aktres Anne Ngasri, 28, yang
merupakan janda anak tiga meraih pelbagai reaksi.
Ada pihak yang menyokong dan ada pula yang menyindir dengan
mengatakan hubungan mereka tidak akan ke mana disebabkan jurang usia
yang begitu ketara.
Bagaimanapun, baik Aliff mahupun Anne tetap berpegang teguh terhadap
hubungan yang terbina sejak tujuh bulan yang lalu. Mereka pertama kali
berganding sebagai pasangan kekasih dalam drama berjudul
Antara Kita dan akhirnya hubungan itu berlanjutan di luar lokasi.
Menurut Anne, keluarganya merestui hubungi mereka, malah tiga orang
anak Anne, Abdul Warits Abdul Wafi, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhakah
Afroza, 1, turut memanggil Aliff
daddy.
Aliff pula yang ditemui pada majlis buka puasa anjuran Red Box
baru-baru ini secara terang-terangan mengaku dia ada menyimpan niat dan
bersedia untuk bergelar suami kepada Anne apabila tiba masa yang sesuai.
"Setiap orang yang bercinta pasti ada menyimpan niat untuk mengakhiri
hubungan tersebut dengan sebuah perkahwinan. Begitu juga saya.
"Namun, tahun dan tarikh perkahwinan saya sendiri tak pasti kerana
belum ada perjumpaan antara kedua-dua belah keluarga lagi. Jadi, buat
masa ini saya tidak boleh menjawab soalan bila saya akan berkahwin
dengan Anne," ujarnya.
Ditebak mungkinkah tiga tahun dari sekarang, Aliff secara tidak
sengaja memecahkan rahsianya sendiri apabila berkata mereka mungkin akan
berkahwin dalam tempoh lebih cepat daripada itu.
"Tidak sampai dua atau tiga tahun, mungkin cepat lagi (kahwin). Buat
masa ini kami berdua, terutamanya saya harus stabilkan kewangan terlebih
dulu sebelum berkahwin.
"Apabila kewangan sudah cukup, kalau boleh saya tidak mahu lama-lama, lagi cepat lagi bagus," kata Aliff sambil tersenyum.
Usia hanya angka
Apabila bercakap soal perkahwinan, pasti ramai yang terkejut
memandangkan usianya yang terlalu mentah untuk memikul gelaran suami dan
juga bapa ekspres kepada tiga orang anak.
Sudah bersediakah Aliff memikul tanggungjawab yang besar atau ini
hanya angan-angan kosongnya sahaja? Persoalan itu pasti berlegar di
minda ramai pihak kerana pelbagai kontroversi yang pernah ditimbul
olehnya sebelum ini.
"Usia itu sekadar angka, saya langsung tidak ada masalah dengan jarak
usia serta status Anne. Kalau Allah sudah menetapkan saya berkahwin
muda, saya harus mengikut apa yang telah ditentukan.
"Soal tanggungjawab, saya sedar dulu saya banyak buat kesilapan
kerana tidak matang. Bapa Anne juga pernah menyuarakan kebimbangannya
kerana saya terlalu muda untuk anaknya, tetapi kini saya lebih matang
dan secara perlahan-lahan belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab,
bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga Anne serta anak-anaknya,"
ucap Aliff.
Tegasnya, hati lelakinya terguris jika kekasih hatinya itu dihina
kerana kontroversi yang pernah ditimbulkan Aliff sebelum mengenali Anne.
"Saya cukup pantang jika orang menghina Anne kerana dia bercinta
dengan saya. Kontroversi yang pernah saya timbulkan sebelum ini sudah
menjadi sejarah yang banyak mematangkan saya.
"Sepanjang Anne menjadi pelakon, dia tidak pernah dihimpit
kontroversi kecuali kisah cerai yang tidak boleh dielak dan bukan
kehendaknya. Jadi, saya tidak mahu namanya tercalar disebabkan saya,"
tutur Aliff penuh serius.

|
|
ALIFF cukup marah jika ada pihak yang menghina Anne kerana kesilapan masa lalu yang pernah dilakukannya.
|
Raya bersama
Selepas tujuh bulan bercinta, Aidilfitri kali ini bakal disambut
bersama Anne apabila keluarga Anne akan melawat keluarga Aliff di
Singapura pada hari raya ketiga.
Akui Aliff, dia tidak sabar untuk beraya kerana ingin meraikan Aidilfitri bersama Anne dan anak-anaknya.
"Rasa tidak sabar tunggu raya kerana kedatangan Anne ke rumah
keluarga saya di Singapura sangat istimewa. Kami yang rancang
bersama-sama dan Alhamdulillah keluarga saya sangat mengalu-alukan
kedatangan Anne sekeluarga.
"Nanti pada hari raya ketiga, saya, Anne dan anak-anaknya akan
mengenakan warna sedondon, tetapi saya rahsiakan dulu warnanya," ujarnya
penuh teruja.
Sambung jejaka tinggi lampai itu lagi, sebelum bercuti raya, jadual hariannya sangat padat dengan persembahan pentas.
Disebabkan itu, Aliff mahu menggunakan cuti raya selama seminggu
untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan juga Anne sebelum kembali
sibuk di lokasi penggambaran pada 26 Ogos.
"Saya akan gunakan cuti raya ini sepenuhnya untuk keluarga dan juga
Anne serta anak-anaknya. Kesibukan kerja menyebabkan saya kurang masa
bersama mereka, jadi masa cuti inilah saya mahu membawa mereka
berjalan-jalan," jawabnya penuh ceria.
Kosmo