Jom Buat Duit

Showing posts with label Fouziah Gous. Show all posts
Showing posts with label Fouziah Gous. Show all posts

Tuesday, 30 April 2013

Fouziah Gous kahwin tahun ini?

JIKA sebelum ini dia menafikan gosip yang mengatakan dirinya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bergelar VIP, kali ini pelakon Fouziah Gous mendedahkan status sebenar dirinya yang kini sudah pun bergelar kekasih kepada seseorang. Bukan itu sahaja, pelakon cantik itu turut memberitahu dirinya bakal menamatkan zaman bujangnya dalam masa yang terdekat.

“Sebelum ini kami hanya kawan dan turut menjalankan perniagaan sarang burung bersama tapi tanpa disedari hubungan itu berlanjutan sehingga ke tahap ini. "Ciri-ciri suami yang saya bayangkan memang ada pada dirinya. Insya-ALLAH, jika semua berjalan dengan baik kami akan berkahwin dalam tahun ini juga," ujarnya. Sinar

Friday, 31 August 2012

Fouziah Gous berkecil hati


SEMANGAT anak jati Malaysia. Seminggu sebelum tiba hari kemerdekaan ke-55, Fouziah sudah menggantung bendera di kediamannya sebagai tanda sayang kepada negara. 
 

"SAYA sanggup lakukan apa sahaja untuk dia. Saya dengan dia memang sangat rapat. Malah, kami juga tidur bersama," akui Fouziah mengenai wasilah atau dalam erti kata lain, ikatan cinta terhadap ibu kesayangannya, .

Sebagai seorang isteri yang baru kehilangan suami, Fouziah faham mengenai perasaan sunyi dan kehilangan yang membelenggu ibunya. Disebabkan itu, setelah bapanya meninggal dunia 11 Ogos lalu ketika umat Islam bakal menyambut Syawal lapan hari lagi, Fouziah berjanji akan menjaga ibunya, Sajadi Ibrahim, 58.

"Saya seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga. Apa yang berlaku saya kena jaga ibu. Walaupun saya sedih dengan kehilangan ayah, saya tidak akan sekali-kali menangis depan dia. Saya tak mahu dia tahu saya bersedih," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.
Terpaksa menyambung penggambaran drama tiga hari yang lalu, menurut Fouziah, dia akan memastikan semua perkara yang melibatkan ibunya selesai sebelum keluar bekerja.
Masih bersedih dengan kematian bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir, 75, pelakon yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 11 Disember ini juga mengakui berasa kecil hati kerana cerita kematian bapanya ditulis tanpa kenyataan daripada mulutnya sendiri.
"Saya minta maaf sebab tak dapat nak jawab panggilan telefon media masa ayah saya meninggal dunia. Bukan sengaja tetapi ketika itu saya benar-benar tidak berkesempatan. Malah, panggilan daripada teman-teman juga saya tidak angkat.

"Saya juga kecil hati sebab tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada mulut saya tetapi ada beberapa pihak yang menulis mengenai arwah yang mengatakan dia meninggal disebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sedangkan ayah saya meninggal bukan disebabkan kedua-dua penyakit itu tetapi disebabkan penyakit tua," rungkainya mengenai isu tersebut ketika ditemui selepas majlis pratonton episod pertama drama Trilogi Cinta 2 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur, kelmarin.
Ingin menjernihkan situasi, jelas Fouziah, bapanya sememangnya sudah berusia iaitu 75 tahun. Badan bapanya semakin hari semakin lemah sehingga membuatkan lelaki kesayangannya itu lebih banyak terlantar.

Begitupun, dia mengakui tidak menjangkakan kematian ayahnya pada hari itu kerana bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda.
"Saya bersyukur kerana arwah meninggal pada bulan Ramadan dan proses pengebumian arwah sangat mudah dan cepat. Sebelum Zuhur dia meninggal tetapi selepas Asar dia sudah dikebumikan," ceritanya mengenai arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, Selangor.

Cinta ahli korporat duda
Masih belum reda dengan isu cintanya bersama seorang ahli korporat berstatus duda yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada tahun ini, bekas pramugari itu mengakui, kadangkala berasa rimas tetapi dia tidak akan sekali-kali melatah dan marah dengan gosip yang melanda dirinya.
"Saya faham industri hiburan memang macam ini. Saya tidak akan melatah dan marah. Cuma, cukuplah perihal ini (cerita kahwin) ditulis lagi. Ia telah menyebabkan saudara-mara saya berasa kecil hati dan terkejut. Tolonglah, jangan tulis benda yang tidak benar yang kita sendiri tidak cakap," ucapnya yang mengakui lega kerana gosip tersebut tidak menyebabkan keluarganya berpecah-belah.
Sebelum ini, kecoh mengatakan Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) dalam Anugerah Skrin 2007 itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli korporat pada bulan Jun lalu.

Fouziah bagaimanapun menafikan gosip liar tersebut dengan menjelaskan dia sebenarnya terlalu sibuk dan terikat dengan penggambaran beberapa buah drama termasuk Trilogi Cinta 2 terbitan Suhan Movies.

Membawakan watak seorang gadis bernama Nurjinah yang berkahwin dengan seorang duda bernama Razif lakonan Rosyam Nor dalam Trilogi Cinta 2, Fouziah turut ditebak persoalan bagaimana jika karakter yang dibawanya bakal menjadi kenyataan pada dirinya.
Tenang dia menjawab. Katanya: "Saya cuma minta pada Allah agar dikurniakan seorang suami yang baik. Buat apa mencari masalah dengan berkahwin dengan lelaki yang kita tahu bakal mengundang masalah."

Trilogi Cinta 2
Bercerita mengenai wataknya dalam drama yang mencatat rating sebanyak dua juta itu, jelas Fouziah, ketika musim pertama drama Trilogi Cinta, watak Nurjinah lebih lembut tetapi untuk musim kedua ini watak Nurjinah agak tegas.
"Drama Trilogi Cinta musim kedua ini lebih mencabar kerana Nurjinah sudah berkahwin dan menjadi ibu. Di situ, dia perlu bermain dengan banyak emosi sebagai seorang isteri, ibu dan juga sebagai seorang kakak," ujarnya.

Tiada pengalaman sebagai seorang isteri, jelas Fouziah, dia banyak mendapatkan tip daripada teman-teman yang sudah berumah tangga bagaimana melakonkan watak sebagai isteri. Lebih-lebih lagi sebagai seorang isteri yang sarat menyimpan perasaan dan suka bermain dengan emosi.
Namun begitu, berlakon sebagai seorang ibu tidak mendatangkan masalah kepada Fouziah kerana dia mempunyai pengalaman menjaga anak-anak buahnya.

Kosmo

Thursday, 9 August 2012

Fouziah berkampung di Thailand

MENCABAR...Fouziah bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kejadian misteri di lokasi.

DEMI menjayakan setiap watak yang diberikan pengarah, pelakon jelita Fouziah Gous sanggup melakukan apa saja asalkan karakter yang dibawakannya benar-benar berkesan dan nampak hidup di mata penonton.
Cabaran terbaru yang digalasnya boleh dianggap hebat kerana apabila melakonkan watak dalam drama bersiri Dendam Sarakit untuk slot Seram di TV3 menggantikan drama Waris tidak lama lagi.

Drama arahan Fairuz Loy ini diterbitkan Wayang Tinggi Produksi Sdn Bhd.

Sebulan berkampung di Betong, Selatan Thailand, menjayakan drama bersiri seram berkenaan baru-baru ini, Fouziah, 30, akui banyak perkara baru yang dipelajarinya walaupun pernah membawakan watak hantu dalam kisah misteri.

Malah gandingan pertama kali bersama Zain Hamid (Ruffedge) berjaya membuktikan masing-masing mampu mencari keserasian dan memberikan yang terbaik seperti mengikut kehendak sutradara.

“Walaupun pernah berlakon dalam kisah seram, saya akui drama ini benar-benar mencabar karakter terutama dari segi penyampaian dialog saya. Bagi menghidupkan watak Sarakit, saya perlu menggunakan bahasa Melayu-Thai.

“Ia memang susah kerana masyarakat di sana biasanya bercakap dalam ayat satu persatu secara lengkap sedangkan kita di sini sudah biasa dengan bahasa singkatan yang turut menjadi kata perbualan setiap hari.

“Pada awalnya saya cuba belajar memahami bahasa sebenar mereka di situ namun kadang kala masih terdengar seperti loghat Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Ini menyebabkan pengarah meminta saya belajar lagi agar lakonan lebih bersahaja.

“Lama kelamaan apabila sudah biasa, saya mula berasa selesa dan seronok kerana inilah pengalaman cukup menarik bagi diri saya sepanjang menjadi seorang pelakon. Lakonan saya juga kena banyak bermain emosi dalaman,” jelasnya.

Bukan saja perlu belajar lenggok bahasa yang baru, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga perlu berkain batik sepanjang sebulan berlakon di Negara Gajah Putih itu.

“Untuk drama ini hampir semua babak memerlukan saya berkain batik sepanjang masa, mujurlah batik yang dipakai bukan sebarang kain tetapi daripada fabrik yang bagus dan selesa untuk saya gunakan sepanjang masa.

“Secara tidak langsung pemakaian batik ini mengajar saya perkara baru mengenai soal fabrik tradisi berkenaan, maklumlah apabila hidup di bandar, saya jarang-jarang memakai kain batik untuk kegunaan harian.

“Justeru penggunaan batik ini memberikan saya pengalaman berbeza, mungkin satu hari nanti kalau perlu memakainya ia tidak menjadi masalah lagi buat saya,” katanya.

Bekerja di tempat orang tentu ada beberapa pantang larang yang harus dipatuhinya apatah lagi drama ini berkisarkan mengenai kejadian seram.

Fouziah akui dia sedar akan perkara itu dan diajar cara-caranya masuk ke tempat orang.

“Pengalaman berlakon cerita seram sebelum ini memberi banyak pengajaran agar selalu berhati-hati. Menyedari pula saya membawakan peranan hantu Sarakit, saya kena jaga pertuturan, tingkah laku dan paling penting tidak meninggalkan solat. Selain itu, setiap kali sebelum tidur saya akan memasang surah Yassin ataupun membacanya.

“Alhamdulillah berkat mengamalkan semua itu saya tidak pernah pun mengalami kejadian pelik dan mengerikan. Cuma ada sekali pada awal kedatangan saya ke situ saya diganggu dengan habuk rokok yang entah dari mana, bertaburan di atas katil sedangkan kami semua tidak pun merokok.

“Namun begitu, ada juga rakan-rakan kru yang diganggu tetapi tidaklah terlalu teruk sehingga mengganggu penggambaran. Apa yang saya tahu ada katil kru yang terangkat akibat perbuatan ‘mereka’,” katanya.

Dendam Sarakit berkisarkan kisah cinta seorang isteri yang tidak kesampaian akibat dirogol dan dibunuh ketika suaminya pergi ke luar kota selepas beberapa bulan mereka berkahwin.

Tidak hanya diduga dengan kejadian pelik dan masalah pertuturan sepanjang berada di sana, Fouziah berkata masalah mendapatkan makanan halal juga turut merisaukan dirinya yang seorang kuat makan.

“Pada awal tiba setiap hari kami disajikan dengan masakan tomyam, mula-mula memang sedap tapi lama kelamaan kami semua menjadi muak . Malah pernah satu hari kami bercuti daripada penggambaran dan sanggup meredah hingga ke Sungai Petani demi mencari pizza.

“Hendak pulang ke Kuala Lumpur memang terlalu jauh dan cuti pula hanya satu hari, jadi Sungai Petani saja tempat yang ada untuk kami mendapatkan makanan kegemaran dan perjalanan selama empat jam pergi balik kami redah hanya kerana masing-masing mengidam makan pizza!” katanya.

Selesai penggambaran Dendam Sarakit, Fouziah sibuk pula di lokasi drama Julia bergandingan dengan pelakon Nabila Huda dan juga telemovie Teratak Bertaut yang bakal disiarkan di RTM.

Selain sibuk di lokasi penggambaran, anak bongsu daripada lima beradik ini diam-diam sedang ligat mempersiapkan diri untuk bergelar seorang usahawan tidak lama lagi.

Difahamkan perniagaan itu berasaskan minuman yang mana menurutnya minuman berkenaan kini sedang popular di kalangan masyarakat Melayu.

“Segala-galanya masih dalam perancangan, Insya-Allah jika berhasil saya akan membuat pelancaran dan memberitahu kepada semua apakah jenis minuman yang saja jual. Buat sementara waktu biarlah ia menjadi rahsia dan doakanlah semoga semua yang dirancang berjaya.

“Sasaran tempat jualan juga adalah kawasan Melayu dan kini sudah dikenal pasti lokasinya ini juga bagi memudahkan mereka mendapatkan produk minuman saya. Namun begitu, bangsa lain juga boleh mencubanya kerana minuman ini sudah mendapat pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Metro

Klik Untuk Saya k... :)

free counters