Jom Buat Duit

Showing posts with label Alyah. Show all posts
Showing posts with label Alyah. Show all posts

Saturday, 15 September 2012

Alyah cedera dihempap lampu


LAMPU tumpu (dalam bulatan) yang terjatuh dan menghempap Alyah pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Hot FM di Sri Pentas, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Hati, Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hassan terpaksa dikejarkan ke hospital semalam selepas mengalami kecederaan pada bahagian belakang akibat dihempap sebuah lampu tumpu (spotlight).
Kejadian berlaku ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka anjuran stesen radio Hot FM di Sri Pentas di sini apabila lampu tersebut yang berukur lilit satu meter tiba-tiba terjatuh dan terkena pada bahagian belakang penyanyi itu.

Alyah, 31, yang merupakan salah seorang jemputan pada majlis tersebut dikatakan baru tiba pada majlis berkenaan.
Bagaimanapun, lebih kurang pukul 9.30 pagi, lampu tumpu yang ditempatkan di ruang legar kawasan majlis berkenaan dikatakan telah dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang tetamu lain sebelum terjatuh dan menghempap bahagian belakang tubuh Alyah.
Kejadian itu disaksikan oleh para hadirin dan wartawan yang hadir.

Monday, 6 August 2012

Alyah telan sensasi


ALYAH mengakui mengalami penurunan berat badan daripada 52 kilogram kepada 44 kilogram. 
 

UNDANGAN untuk menyaksikan rakaman raya Pesona Aidilfitri di Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk tayangan hari raya keempat nyata memberikan sedikit ruang untuk bersua dengan penyanyi lunak, Alyah.

Rakaman konsert yang menggabungkan pelantun Kisah Hati bersama bintang Golden Teen Search 1997, Dayang Nurfaizah dan Bintang RTM 2001, Misha Omar sejujurnya mengubat rindu melihat penyanyi kelahiran stesen televisyen itu beraksi.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, bagaimanapun kelihatan berbeza daripada sebelum ini. Bentuk tubuhnya lebih kurus dan wajahnya kelihatan agak keletihan. Tertanya-tanya adakah Alyah susut berat badan kerana letih melayan kontroversi kisah cinta dan masalah keluarga atau tekanan bekerja?

"Selain sibuk menyiapkan rangka kerja untuk album saya juga terlibat dengan tugasan produksi. Kedua-duanya saya perlu fokus, mungkin itu salah satu faktornya.
"Sebab lain kerana saya memang mahu kurus untuk penggambaran klip video Lena Sahara selepas hari raya nanti di Jakarta.

"Saya ingin menampilkan bentuk badan yang berbeza dalam setiap klip video dan untuk single kelima itu saya mahu kelihatan innocent dan resah," katanya yang bakal menggunakan khidmat produser muzik video yang sama daripada single pertama Tak Mungkin Kerana Sayang, Hedy

Suryawan.
Kata Alyah, berat badannya sebelum ini adalah 52 kilogram dan terkini turun 44 kilogram.
Sementara itu, tambah Alyah single Lena Sahara ciptaan Yasin itu akan dimuatkan dalam albumnya yang dijadualkan keluar pada tahun depan. Namun, masih ada beberapa buah single lagi yang belum dikeluarkan menjelang kelahiran album itu.

Dalam perancangan lain, Alyah juga akan mengadakan konsert mini seluruh Malaysia untuk mempromosikan album itu.

Bercuti
Malam Isnin minggu lepas merupakan program terakhir Alyah sebelum bercuti panjang sehingga sambutan 1 Syawal. Kata Alyah, percutian itu telah lama dirancangnya dan sekarang adalah masa yang tepat untuk mencuri waktu.

"Sudah beberapa tahun saya tidak dapat cuti panjang terutama bulan Ramadan, saya tidak akan mengambil sebarang tawaran sepanjang tempoh itu dan tidak akan berada di Kuala Lumpur sehingga hari raya ketiga.

"Kebetulan saya dinasihatkan doktor untuk berehat sebab terlalu penat bekerja dan saya juga mempunyai masalah vocal chord akibat kemalangan beberapa tahun lepas. Jadi peluang ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin," ceritanya.

Namun begitu, Alyah menegaskan percutian itu bukan satu langkah untuk dia lari daripada masalah dan mengelak untuk berdepan dengan kontroversi yang membabitkan dirinya serta beberapa pihak lain.

"Saya bukan lari daripada masalah kerana saya faham industri kita tidak besar, kalau tak berjumpa di sini akan jumpa juga di tempat lain.
"Cuti ini untuk diri sendiri kerana saya rasa perlukan masa untuk diri saya dan sepanjang dalam industri, saya tidak pernah bercuti panjang lagi," jelasnya.

Kahwin
Beralih cerita kepada tanda tanya hubungannya dan komposer terkenal, Datuk Ramli M.S. termasuk persoalan bila Alyah bakal menamatkan zaman bujang, dia mengeluh panjang.

Kata Alyah, dia tidak menolak jodoh yang datang tapi buat masa sekarang dia hanya memfokuskan perihal kerjaya dan matlamat untuk mengeluarkan album serta mini showcase pada tahun depan.
"Jodoh datang saya tidak tolak, untuk merancang pun jauh lagi. Buat masa sekarang saya hanya memikirkan showcase mini yang saya impikan sejak 12 tahun lalu dan saya teruja untuk perancangan itu," luahnya.

Menegaskan hubungannya bersama Ramli M.S. sekadar dalam peringkat berkawan, Alyah tidak melenting apabila cerita, gosip, usikan dan dakwaan mereka sedang bercinta menjadi perbualan.
"Itu perkara normal, saya tidak pernah pun cakap tengah bercinta cuma orang sentiasa salah faham. Alhamdulillah orang mendoakan saya cepat bertemu jodoh, tapi buat masa sekarang belum ada lagi," tegas Alyah.

Namun Alyah sentiasa berpegang pada pesanan ibunya berkenaan soal jodoh. Katanya: "Kita tidak tahu jodoh kita, kalau nak berkahwin jangan sakiti hati orang lain dan jangan merampas hak orang. Biar hati saya sakit jangan hati orang lain yang sakit."

Keluarga
Selembar lagi kisah keluarga Alyah menjadi buah mulut apabila adik lelakinya, Mohd. Faizal Abu Hassan dijatuhi hukuman penjara kerana terlibat dalam kes samun.
Hakikat yang harus ditelan, cubit paha kanan paha kiri terasa sakit. Namun, dia juga pasrah apabila persembahannya dibatalkan ekoran kejadian itu.

"Saya percaya pada rezeki dan kuasa Allah, sebelum ini saya tak ada persembahan, lagi susah. Sekarang jika ada yang dibatalkan di saat akhir saya tiada masalah dan terima dengan hati terbuka.
"Buruk atau jahat dia (adik) tetap darah daging saya dan dia pun sudah dijatuhkan hukuman yang setimpal. Itu pengajaran untuk adik saya juga supaya selepas ini lebih matang menjalani kehidupan.
"Emak saya sekarang pun sudah boleh menerima keadaan ini dan saya bersyukur tiada apa-apa berlaku kepada keluarga saya yang lain," getus Alyah.

Bagaimanapun, Alyah akui dia manusia biasa dan tiada hak untuk menutup mulut orang daripada terus bercakap.
Tambahnya: "Terpulang, saya reda dan terima kata-kata orang dengan hati terbuka."

Kosmo

Friday, 20 July 2012

Alyah kahwin tahun ini?


ALYAH mengakui dia kini berkawan dengan Ramli MS. 

GOSIP mengenai hubungan istimewa yang terjalin antara penyanyi Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 31, dan Datuk Ramli MS, 53, sudah agak lama kedengaran dan kerap diperkatakan peminat. Namun, kedua-duanya tidak pernah mengesahkan status mengenai hubungan tersebut.
Belum reda lagi mengenai gosip tentang percintaan mereka berdua, kini timbul pula cerita lebih menarik apabila kedua-duanya dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Alyah yang ditemui pada majlis rakaman program Irama di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini mengakui terkejut apabila persoalan mengenai perkahwinannya telah diajukan.
KOSMO!: Ada gosip mengatakan Alyah bakal melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Ramli MS tahun ini. Boleh Alyah komen akan kebenaran gosip itu?
ALYAH: Sebenarnya saya tidak tahu bagaimana kisah tentang perkahwinan saya ini boleh timbul. Sudah tentu saya agak terkejut apabila tiba-tiba dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Kalau memang betul saya akan berkahwin pastinya saya tidak akan menyorokkan perkara ini dan akan berkongsi dengan semua orang. Kalau buat benda baik buat apa hendak disorokkan pula.
Jadi, Alyah memang menafikan tentang gosip tersebut?
Kalau hendak diulas dengan lebih lanjut mengenai perkahwinan ini, saya sekadar berserah pada jodoh. Sekiranya ada rezeki dan jodoh saya akan tetap mendirikan rumah tangga suatu hari nanti.
Namun, kalau hendak dikatakan saya akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini, ia sememangnya tidak benar sama sekali memandangkan kini saya agak sibuk dengan aktiviti nyanyian.
Bagaimana pula hubungan dengan Datuk Ramli MS?
Soalan ini memang sudah selalu ditanya oleh ramai pihak dan apa yang boleh saya cakap setakat ini kami dalam peringkat berkawan. Namun, saya akui kini kami sedang dalam proses mengenali antara satu sama lain.
Buat masa ini, cuma itu sahaja yang boleh saya komen dan tidak mahu memberi komen yang lebih lanjut mengenainya. Lagipun saya pernah bertunang sebelum ini tetapi akhirnya tidak jadi berkahwin.
Adakah Alyah kesal dengan gosip yang diperkatakan itu?
Kalau diikutkan sudah tentu saya agak kecewa kerana ia kelihatan seolah-olah saya cuba membelakangkan keluarga pula tentang perkahwinan. Apabila gosip sebegini timbul, sudah tentu kepercayaan keluarga terutama ibu kepada saya akan tergugat.
Bagi saya dalam setiap perkara yang dilakukan sudah tentu keluarga tidak boleh diketepikan, apatah lagi kalau ia membabitkan perkara mengenai perkahwinan.
Apakah perkembangan terbaharu karier nyanyian Alyah sekarang?
Mengikut perancangan saya akan tampil dengan album terbaharu selepas hari raya nanti. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan kini saya sedang menyiapkan rakaman lagu yang terakhir.
Sepanjang bulan Ramadan ini juga saya akan habiskan masa di kampung halaman bersama ahli keluarga yang lain memandangkan sudah empat tahun saya selalu sibuk setiap kali bulan puasa sehingga tidak ada masa bersama mereka.
Kosmo

Friday, 18 May 2012

Alyah terbiasa bergelut


ADA getar antara tegas dan sebak dalam suara milik penyanyi Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan saat berbicara dengannya pada malam Rabu lalu. Alyah bertegas mempertahankan diri apabila dituduh sebuah blog bahawa dia memberi kenyataan menyalahkan media tentang isu adiknya yang kini berhadapan tuduhan menyamun seorang warga negara Singapura.

Dia sebak apabila menyentuh tentang perasaan ibunya di kampung dan ahli keluarga lain. Apa yang pasti, kata Alyah, biar sekuat mana badai menghempas dirinya, dia harus bertahan kerana sepanjang 12 tahun menjadi anak seni, dia sudah terbiasa bergelut untuk survival antara sebuah kehidupan dan karier.

"Saya terima semua perkara yang terjadi dengan hati terbuka," katanya ringkas sambil menghela nafas panjang. Alyah mengambil sedikit masa sebelum mula kembali bercerita: "Sejujurnya kami sekeluarga tahu akan hal tersebut sejak dua bulan lalu (kes adiknya didakwa menyamun).
"Kami terima ia dengan hati yang terbuka kerana hanya kami yang tahu kisah sebenar. Cuma yang membuat hati saya tersentuh dan kurang senang apabila ada segelintir khalayak sesuka hati untuk mencemuh dengan berkata 'penyamun dan sampah masyarakat, tak cukup ke duit kakak kau menyanyi sampai nak menyamun?'
"Saya kira, itu tohmahan yang terlalu kasar buat kami. Bayangkan jika kalian berada dalam situasi kami."

Ujar Alyah pernyataan yang ditulisnya di laman Facebook juga bukan bermaksud untuk menyalahkan pihak media. Sebaliknya, jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Kisah Hati itu, dia hanya melahirkan rasa sedih bagi pihak ibunya dan keluarga kerana berita tentang jatuh hukum terhadap adiknya itu disiarkan pada hari istimewa iaitu Hari Ibu.
"Saya hanya tinggal ibu seorang sahaja di dunia. Saya tidak mahu kehilangan dia kerana cerita-cerita begini. Impak dan tekanan yang diterima ibu di kampung cukup kuat. Jadi, saya hanya menulis untuk menjelaskan situasi kami dan impak terhadap penyebaran yang berlaku, bukan saya menyalahkan pihak media. Saya tidak berniat berbuat begitu.

"Cuma saya sangat berharap kepada para blogger agar jangan menambah masalah kami dengan menyalah lapor atau membuat andaian sendiri terhadap sesuatu perkara tanpa bertanya kepada tuan badan. Biar apapun kata orang, baik atau buruk dia, dia tetap adik saya," katanya lagi.
Mengaku berita tersebut sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kariernya, namun anak kelahiran Johor Bahru itu optimis bahawa setiap perkara yang berlaku punya hikmah.
Sementelah katanya, selama 12 tahun ini, dia sudah terbiasa untuk bergelut dalam lapangan seni. Justeru, biar terkesan apabila ada klien yang mula membatalkan persembahan kerana berita tersebut, dia harus kuat dan pantang mengalah.

Cerita Alyah, sembilan tahun pertama dia berada dalam industri seni, kehadirannya hampir tidak disedari. Dia pernah mencuba nasib sebagai penyanyi balada, duduk dalam sebuah syarikat rakaman yang besar, memasuki program realiti televisyen, malah berusaha keras untuk menonjolkan bakat, semuanya dipandang sepi.


ALYAH mengaku hatinya kini sedang dimiliki seseorang, tetapi mereka belum mempunyai perancangan untuk bernikah dalam masa terdekat.


Sehingga lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup pada tahun kesembilan dia menyanyi. Tuah mula berpihak kepada Alyah. "Saya sudah terbiasa bergelut. Pada masa yang sama, saya juga bukan yang mudah menyerah. Sebab itu saya masih di sini dan Alhamdulillah, selepas 12 tahun, hasilnya agak baik," ulasnya ringkas.

Alyah kemudian menambah cerita tentang perjalanan seni 12 tahunnya. Dia yang menerima pengiktirafan sebagai pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) menerusi lagu yang cukup berhantu, Kisah Hati, memberitahu, kerana kepayahannya mendapat tempat dalam industri seni telah membuatkan dia terpinggir.

"Saya mengaku, sewaktu lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup, ramai yang tak tahu lagu itu dinyanyikan oleh saya. Malah sewaktu beberapa lagu lain saya mula meningkat naik, ada rakan artis yang anggap saya tak ubah seperti pendatang baharu yang tak lama dalam industri.
"Mereka juga tak mahu berkawan dengan saya. Ya, saya tidak mempunyai kawan dalam kalangan artis sebab bukan saya yang tak mahu berkawan dengan mereka, tetapi mereka yang tidak mahu berkawan dengan saya.
"Sebab itu sehingga kini, selepas nama saya semakin dikenali, saya sudah terbiasa sendiri, sudah terbiasa tak punya kawan dan saya okay begini," katanya berterus-terang.
Seiring lagunya menjadi siulan, Alyah mula mencipta fesyen tersendiri sehingga dilabel sebagai Lady Gaga Malaysia. Dua respons berbeza diterima tentang penampilan diri. Ada yang menganggap fesyennya begitu pelik, sebahagian pula menerima ia sebagai satu pembaharuan dan imej tersendiri dari Alyah.

Bercakap tentang isu fesyen, Alyah ketawa mengekeh. Katanya, dahulu ada yang melabelkan dia tidak tahu berfesyen dan kekampungan. Berbeza apabila dia mula berani membuat eksperimen dengan fesyen. Dia kemudian memberi hujah sendiri.
Katanya: "Saya rasa, fesyen dan artis merupakan satu item. Saya beranggapan, sebagai selebriti, tiada istilah fesyen yang mengarut dan fesyen yang berani telah lama wujud kerana ia melambangkan identiti seseorang itu. Bagaimanapun, kini, saya lebih menyenangi fesyen yang sofistikated dan elegan."

Tersingkir
Umum mengetahui Alyah merupakan salah seorang peserta program realiti televisyen, Mania. Tersingkir seminggu sebelum melangkah ke pusingan separuh akhir, Alyah mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menyertai program yang menggunakan khidmat 100 peratus undian peminat itu.

Ujar wanita berusia 31 tahun itu, dia sedar undian 100 peratus daripada peminat mempunyai pro dan kontra tersendiri. Mengaku jika undian menjadi 50 peratus datang daripada peminat, manakala 50 peratus lagi juri adalah lebih baik atas dasar popular dan profesional, namun apa yang dikejar menerusi program tersebut, bukan undian semata-mata.
"Sebaliknya, saya mengejar ilmu. Walaupun saya telah tersingkir awal, tapi saya bersyukur kerana saya dapat menimba ilmu dengan banyak. Saya juga telah bertemu dengan ramai orang di belakang tabir yang telah memberi idea dan boleh memantapkan karier saya pada masa akan datang.


ALYAH meminta jasa baik khalayak untuk tidak melemparkan tohmahan yang kasar terhadap isu adiknya ditahan kerana menyamun seorang warga Singapura. Ujar Alyah, biar pihak berkuasa melakukan tugas mereka dan khalayak jangan pantas menghukumi seseorang.


"Itu yang saya pentingkan dan tanam dalam diri sewaktu saya menyertai program tersebut. Katakan, jika saya jadi juara misalnya, tapi apabila program tersebut habis, ia tidak memberi impak terhadap karier saya, maka tidak guna juga. Sebab itu saya kata, ilmu sangat penting buat saya," katanya yang juga mengaku memang tidak arif tentang pembikinan muzik.

Sebaik tersingkir, Alyah tidak menunggu masa yang lama untuk kembali menyambung membikin single terkininya.

Katanya: "Saya baru ingin masuk studio untuk merakamkan single terkini selepas single Pesananmu dikeluarkan sebelum saya menyertai Mania tempoh hari. Saya harap ia mendapat sambutan yang baik nanti."

Tuesday, 31 January 2012

Perkahwinan urusan Tuhan - Ramli MS

RAMLI memohon supaya semua pihak memahami prinsip dirinya yang enggan berkongsi kisah peribadinya dengan masyarakat umum.

BELUM reda pujian menggunung diberikan kepada penyanyi Alyah impak vokal hebatnya dan kejayaannya membawa pulang trofi Anugerah Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26, timbul pula khabar angin kononnya Alyah bakal dilamar dalam masa terdekat.
Orang yang didakwa bakal melamar Alyah itu bukan calang-calang orang tetapi pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS.

Bagi mendapatkan kepastian, Kosmo! bertanya sendiri kepada Alyah dan Ramli yang ditemui secara berasingan pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-26 malam Ahad lalu di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur bagi menjawab semua persoalan.
Kosmo!: Benarkah Alyah dan Datuk Ramli MS bercinta dan bakal berkahwin dalam masa terdekat ini?

ALYAH: Berkenaan isu ini saya tidak mahu komen kerana saya bimbang takut tersalah cakap.
Alyah sedar atau tidak, isu percintaan antara Alyah dan Datuk Ramli MS menjadi bualan ramai?
Saya tahu sebab ramai yang bertanya, bila orang tanya saya hanya jawab apa yang saya mampu.
Adakah Alyah selesa andai bakal suami Alyah orang yang lebih muda atau tua?
Bagi saya, kalau kita sudah sayang orang itu dan sudah serasi, usia tua atau muda bukan lagi satu perkiraan. Asalkan kita selesa antara satu sama lain, itu sudah cukup.
Alyah terima andai jodoh hadir dalam masa terdekat?
Itulah yang saya mahu pada usia sekarang, 31 tahun. Jika orang itu memang jodoh saya, mestilah saya terima, semuanya kerja Allah. Umur saya bukannya muda lagi, tahun lepas bila jumpa rakan-rakan saya sering minta mereka doakan agar saya berkahwin tahun ini.
Maknanya Alyah akan kahwin tahun ini?
Saya tidak ada sebarang rancangan, tetapi jika sudah ditakdirkan saya tamatkan zaman bujang tahun ini, saya akan kahwin.
Lebih selesa bakal suami orang seni atau orang di luar bidang seni?
Kalau boleh saya mahu orang yang di luar bidang seni kerana inginkan sesuatu yang baharu tetapi kalau sudah ditetapkan jodoh saya bertemu dan berkahwin dengan orang yang sama bidang dengan saya, saya terima dengan hati yang terbuka.
ALYAH tidak menolak andainya ditakdirkan bertemu jodoh dengan sama ada lelaki muda atau lebih tua berbanding dirinya.


Sementara itu, Datuk Ramli MS sewaktu ditanya tentang spekulasi percintaannya dengan Alyah meminta jasa baik pihak media agar menghormati privasi dan prinsip dirinya.
Kosmo!: Betul ke Datuk didakwa akan melamar Alyah?

RAMLI MS: Perkara itu tidak betul sama sekali. Jangan menulis tanpa fakta kerana implikasi yang diperoleh itu berpanjangan.
Misalnya apabila berita tak benar itu ditulis, mak saya kecil hati. Dia tanya saya, “sampai hati kau nak kahwin tak beritahu mak,” sementara anak saya pula terkejut dan bertanya, “are you getting married? (Awak nak kahwin?).” Benda-benda macam ini kita kena jaga, ia sensitif sebab tak wujud.

Tapi betul atau tidak Datuk bercinta dengan Alyah?
Saya tak suka bercakap tentang hal peribadi saya, apa lagi berkongsi dengan umum. Saya harap semua pihak menghormati prinsip saya dan tolong hentikan spekulasi yang akan memberi implikasi kurang baik kepada mana-mana pihak.
Datuk sudah berusia 52 tahun. Pernah berkahwin dan adakah berkahwin semula itu satu tabu untuk Datuk?
Perkahwinan ini urusan Tuhan. Kita sebagai manusia jangan suka meramal jodoh

Klik Untuk Saya k... :)

free counters