Jom Buat Duit

Showing posts with label Saiful Apek. Show all posts
Showing posts with label Saiful Apek. Show all posts

Friday, 25 April 2014

Saiful Apek didenda

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas pelawak dan pelakon popular Saiful Apek sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad turut menjatuhkan hukuman yang sama terhadap tiga lagi tertuduh, yang juga pekerja di syarikatnya, Gitu-gitu Production, iaitu Shah Zainatul Ehsan Al Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30.

Hakim Nurchaya memerintahkan kesemua tertuduh menjalani enam bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan serta menjalani perintah pengawasan selama tiga tahun.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010. 

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan. myMetro

Tuesday, 26 June 2012

Saiful Apek bebas dadah


SAIFUL APEK bersyukur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon komedi terkenal, Saiful Apek gembira dan bersyukur selepas dirinya dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini semalam tanpa dipanggil membela diri berhubung tuduhan mengambil dadah ganja di sebuah kondominium, dua tahun lalu.
“Saya bersyukur dan percaya pada undang-undang, doa peminat membuktikan saya tidak bersalah, dan tidak lupa terima kasih kepada peguam,” kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2003 itu dengan nada terharu kepada pemberita sejurus prosiding berakhir.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid turut membuat keputusan serupa terhadap tiga lagi rakan tertuduh iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, yang didakwa atas tuduhan yang sama dengan Saiful Apek, 43.
Beliau dalam penghakiman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.
Menurut Ahmad Solihin, berdasarkan keterangan saksi dan fakta kes, wujud lima elemen yang gagal mensabitkan kesemua tertuduh bagi tuduhan tersebut.
Ahmad Solihin memberitahu, antaranya terdapat percanggahan oleh saksi berhubung tarikh pengambilan sampel air kencing malah pegawai penyiasat kes juga menyimpan botol sampel tersebut terlalu lama sebelum ujian pengesanan dadah di makmal.

Sunday, 20 May 2012

Apek bukan suka-suka hati

BELUM masanya untuk Apek hilang dari perut industri. Dalam diam bapa kepada dua orang cahaya mata itu berbaki empat lagi filem yang belum ditayangkan. Selain Shh... Dia Datang, empat filem lain termasuklah Pak Pong, Hantu Air, Jiwa Kacau dan Sebelum Subuh.  


HIDUP sang pelawak, secara luaran tugasnya untuk menghiburkan khalayak, namun ironinya tidak semua kerja menghiburkan itu mendatangkan imbuhan yang menyeronokkan. Dia pencetus jenaka dengan komedi menggeletek hati tapi pada satu ketika, dia juga mendalami diri mencari punca kepada kemusykilan yang sukar menemukan jawapan.

"Selama ini saya tidak pernah mengada-adakan cerita. Tidak pernah mempersoalkan tindakan pihak lain. Saya hanya buat kerja saya, tapi apa yang berlaku bersebab. Kena pula ketika emosi dan jiwa tengah rapuh, semuanya meletus sampai ada yang kata saya meroyan," kedengaran sayu mukadimah Saiful Apek memulakan bicara.

Khalayak tahu, semuanya bermula selepas pemergian sahabat baiknya, Allahyarham Bob Kuman. Ketika suasana masih berbalut kesedihan, secebis sahaja kata-kata yang menyentap perasaan, sakitnya mencengkam sampai ke tulang. Selepas pemergian Bob Kuman juga, Apek yang awalnya kesal dengan kerendahan sensitiviti David Teo yang berkali-kali menggunakan perkataan 'sedekah' terhadap arwah kemudian beria-ria menimbulkan kes tuntutan RM200,000 terhadap pemilik produksi MIG itu.

Ditindas
Ibarat luka disimbah cuka dan parut yang lama berdarah kembali, kata Apek, semua cerita yang memanaskan keadaan antara dirinya dengan David Teo itu bukan sekadar di angin lalu. Biarpun isu itu telah dianggap selesai, tapi itulah pencetus inspirasi bermulanya perjuangan baharu yang sedang dibentuknya.

"Kalau saya tahu kes tuntutan saya itu sudah dibatalkan oleh mahkamah sejak Disember tahun lepas, saya takkan bercakap perkara yang boleh memalukan saya. Atas kertas memang dia (David) telah menang. Saya tak boleh kata apa lagi sebab semasa perjanjian itu dibuat, saya tak peduli tentang kontrak. Kami cuma berjabat tangan dan saya pegang kata-katanya, 'bukan janji tapi pasti.' Apabila sudah tahu, saya tak malu tebalkan muka dan akur dengan hal itu. Saya bukan sesuka hati mahu jadi tidak rasional.

"Jika ada pihak yang kata saya cuma menumpang keadaan, tiga hari sebelum arwah pergi, kami ada bercakap tentang apa yang saya perjuangkan. Arwah yang pesan supaya saya jangan berdiam diri tapi perjuangkan hak. Itu semua jadi punca," kata Apek yang baru mengumumkan menubuhkan satu perikatan, Kebajikan Eksklusif Masyarakat Anak Seni untuk membela nasib anak seni yang teraniaya dalam industri.

Apek terdiam ketika ditanya seakrab mana hubungannya dengan arwah Bob Kuman. Dia kemudian menyambung cerita.
"Teruk macam mana sekalipun hidup saya, saya tidak pernah menangis. Tapi saat kehilangan arwah, itulah kali pertama saya menangis.

"Cukuplah saya katakan, antara saya dan arwah, kami sudah mengaku saudara. Bob adalah sebahagian daripada Gitu-Gitu Production. Saya terbitkan Gitu-Gitu Apek bersandarkan tiga nama, saya, Bob dan Yassin. Bila Bob tiada, Gitu-Gitu Apek juga akan terkubur. Prinsip saya, karakter itu tidak boleh diganti oleh orang lain.

"Sama juga macam kes Cicak Man 3. Pasti ada yang kecewa tapi apabila Yusry KRU tarik diri daripada filem berkenaan, saya juga kena tarik diri. Saya pegang kata-kata Yusry, dia cipta watak Cicakman untuk saya, jadi bila dia enggan arahkan Cicakman dan filem itu pun dirombak semula, saya juga tarik diri. Bagi saya, Cicakman sudah habis. Sanggupkah Cicakman baru itu menerima tamparan di kemudian hari, itu cabaran saya kerana sayalah formula asal Cicakman itu," kata Apek seperti berbaur mencabar.

Zaman jadi pembikin
Menoleh semula lapan belas tahun perjalanan yang dilewati, lelaki berfizikal kurus dengan nama Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff, 43, itu sudah melalui segala macam ragam dunia. Dia pernah dipuja dan dijulang semasa zaman kemasyhuran dan sehinggalah paling teruk, dia juga pernah merengkok bersama bau hanyir dan hancing dalam sel penjara.
"Fasa paling teruk yang pernah saya lalui ialah trauma akibat penyebaran video tentang pengambilan ganja. Itu episod hitam pertama yang saya lalui," katanya berharap kebenaran akan berpihak kepadanya berhubung satu kesnya bersabit penyalahgunaan dadah yang menunggu perbicaraan di mahkamah ketika ini.

Ketika namanya mula dibayangi pelawak-pelawak generasi baharu, ada juga yang mendakwa zaman Apek sudah berlalu. Popularitinya merundum apabila munculnya produk Raja Lawak seperti Johan, Zizan dan Nabil.
Sudahlah sepi daripada publisiti malah ada yang merasakan zaman suram Apek sudah menjengah tiba.

"Orang pernah gelar saya pelawak nombor satu dan sampai satu ketika, saya dah tak jadi pelawak tapi pelaris. Itu semua persepsi orang. Dua tahun kebelakangan ini pula ramai orang baru muncul. Itu semua buat saya teringat zaman saya mula-mula menapak dulu. Ini memang putaran. Bermakna, perjuangan pelawak terdahulu sedang diteruskan oleh generasi baharu.

"Tapi, bila kurang kelibat senang pula orang cakap nilai pelawak itu sudah jatuh. Kalau begitu, apa gelaran kita semua terhadap seniman veteran Datuk Aziz Sattar sedangkan dia living legend (legenda yang masih hidup). Bagi saya, nilai seseorang artis tidak boleh sukat oleh kelibat," katanya yang pernah berlakon dalam lebih 40 filem sejak tahun 1999.

Tidak sekadar berada di depan kamera kepuasan sebenar Apek ada di belakang kamera. Bukan baharu bahkan itulah permulaan karier selepas menyertai Sinaran Passport (1994) dan bekerja bawah produksi Aznil Nawawi selama lebih setahun.

"Saya anggap zaman bersama Aznil dan Senario sebagai akademi lawak saya. Selama ini saya jadi penyampai, sekarang masa terbaik untuk saya jadi pembikin pula," ujar Apek yang sedang menanti hasil pengarahannya, Shh... Dia Datang yang bakal ke panggung tahun ini.
Akan datang Apek akan bekerja bawah arahan Mamat Khalid untuk filem terbaharu, Werewolf dari Bangladesh.

Thursday, 17 May 2012

Apek mahu berdamai

APEK tiada masalah untuk berlakon dalam produksi David Teo. 

KEMELUT yang melanda hubungan pelawak terkenal, Saiful Apek dan pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG), David Teo sebelum ini menarik perhatian ramai.
Apek yang merupakan sahabat baik kepada arwah Bob Kuman naik berang apabila David menggunakan perkataan ‘sedekah’ ketika ditemu bual dalam satu program televisyen lantas melepaskan kemarahan itu dalam akaun Twitter dan Facebook miliknya.

Malah, dia turut meminta penerbit terkenal itu membuat permohonan maaf secara terbuka serta menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM200,000 yang sepatutnya diselesaikan hasil kutipan filem terbitan bersamanya iaitu Lady Boss dan Anak Mami Kembali.
Akhirnya pada hari Selasa lalu, Apek tampil membuat penjelasan berkenaan krisis yang tercetus antara dirinya dan David Teo. Ikuti temu bual antara Saiful Apek dan Kosmo! ketika ditemui di Subang Avenue, Subang, Selangor itu.

Kosmo!: Boleh Apek ceritakan situasi terkini antara anda dan David Teo?
SAIFUL APEK: Pada mulanya saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini sehingga saya menonton program Melodi beberapa minggu lalu dan Ahad lepas. Saya tidak dimaklumkan sesiapa mengenai kes tuntutan saya yang difailkan pada tahun 2006 telah dibatalkan. Kalau saya tahu tak akan saya nak bising, itu bermakna mengancam diri sendiri. Saya akur dengan keputusan itu dan tiada lagi persengketaan antara kami. Bagi saya memaafkan adalah penyelesaian yang paling tepat. Saya harap jangan bangkitkan lagi isu ini.

Setelah isu ini selesai, anda pernah berjumpa atau menghubungi David?
Belum sempat bersua muka lagi dan pihaknya juga belum menghubungi saya. Kalau pada mulanya dulu dia yang datang cari saya rasanya tidak salah jika dia melakukan perkara yang sama sekarang. Sebelum ini pun pernah terserempak beberapa kali dengan dia tapi tiba-tiba hilang. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada David Teo kerana berani membuat permohonan maaf secara terbuka dan menghormati adat masyarakat Melayu.

Jika David menawarkan anda berlakon atau bekerja di bawahnya, adakah anda setuju?
Secara amnya saya tiada masalah, saya boleh berlakon kalau ditawarkan tapi sanggupkah pihak tertentu menanggung akibat kelak? Orang ramai akan bercakap-cakap, ambil saya berlakon apabila sudah timbul polemik. Ya, kalau ditawarkan saya terbuka.

Anda rasa ralat atas kejadian yang berlaku sekarang? Apa tindakan anda selepas ini?
Saya tidak dapat pastikan apa yang akan dilakukan selepas ini. Bagi saya tidak begitu ralat sebab isu ini sudah terlampau lama, yang ralatnya sudah tentu anak-anak saya sebab mereka ada berlakon dalam filem Lady Boss tujuh tahun lalu.

Anda ada meluahkan rasa tidak puas hati dalam akaun Twitter dan Facebook milik anda sebelum ini, kenapa?
Sebelum itu saya ingin memohon maaf kepada semua berkenaan tulisan saya yang kurang rasional yang ramai sifatkan saya meroyan. Isu ini ada sejak arwah (Bob Kuman) ada lagi dan baru sekarang tergerak untuk bersuara.

Isu apa yang anda maksudkan?
Berjuang dan bersuara dengan saluran yang lebih afdal dan sahih bagi pihak yang terlibat dalam sesebuah produksi termasuk artis dan kru. Perkara yang saya tuntut tiada kena mengena dengan agama atau bangsa tapi hak yang sepatutnya dijaga dan dibela.

Mungkin anda ada usul atau cadangan untuk diutarakan?
Saya mencadangkan untuk menubuhkan satu biro khas yang disertai semua persatuan secara berpusat. Matlamatnya untuk mempunyai satu laman istimewa bagi mengeratkan silaturrahim dan menyelesaikan masalah dalam industri seni tempatan. Jadi kepada artis atau kru produksi yang ingin menyuarakan ketidakpuasan hati boleh melalui saya. Saya sifatkan diri saya sebagai pencetus dan perantara untuk disuarakan kepada pihak bertanggungjawab.

Boleh huraikan lagi berkenaan biro itu?
Biro yang dimaksudkan itu saya namakan KEMAS 0.0 (Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis dan Seni). Perkara yang ditekankan merangkumi kepekaan terhadap tawaran kontrak dan perjanjian antara artis, kru produksi dan syarikat penerbitan, keselamatan, insurans, perubatan, penginapan, pengangkutan, mekanikal, bayaran, sumbangan idea, royalti dan jumlah waktu bekerja. Tindakan ini baru permulaan dan harap mendapat maklum balas positif.

Nasihat kepada generasi baharu?
Saya menyeru supaya rakan-rakan artis lain menggunakan saluran dan cara yang betul sebelum menandatangani perjanjian. Jadikan kami iktibar. Seboleh-bolehnya elakkan menggunakan perkataan ‘sedekah’ sebaliknya ditukarkan kepada terma ‘hadiah’ yang bersifat lebih merestui.

Wednesday, 16 May 2012

Apek malu sendiri


SUBANG JAYA: Tidak sampai seminggu selepas melancarkan ‘perang’ terhadap David Teo, pelakon komedi Saiful Apek semalam mengaku ‘malu sendiri’ dengan kenyataannya itu kerana kes tuntutan RM200,000 yang difailkannya terhadap produser itu sebenarnya sudah selesai tahun lalu.
“Saya akui kesilapan kerana buta undang-undang dan hanya tahu baca skrip saja. Saya reda dengan keputusan itu dan tak berhasrat buat rayuan kerana kes ini sudah lama iaitu lebih tujuh tahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Akhbar ini pada 11 Mei lalu melaporkan Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 43, mendakwa David gagal menjelaskan baki bayaran RM200,000 hasil lakonannya dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali.

Saiful sebelum ini mendakwa tidak menerima bayaran RM200,000 itu sejak 2005 dan mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan mengecam David menerusi laman sosial twitter dan facebook.


Saiful memfailkan tuntutan ke atas David di mahkamah pada pada Ogos 2007, namun terkedu apabila David tampil menerusi program Melodi di TV3 Ahad lalu dan menjelaskan tuntutan berkenaan sudah ditolak mahkamah pada September tahun lalu.

Saturday, 12 May 2012

Air kencing Saiful Apek, tiga rakan ada kandungan dadah


PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.

Rozita Abdullah, 41, pegawai Sains Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang berkata, keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.

"Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan ke atas kesemua tertuduh, keputusan kesemua bacaan air kencing melebihi takat yang diperlukan," kata beliau ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Pada 1 November 2011, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah kanabis ke dalam badan mereka.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters