BERPENGALAMAN 25 tahun dalam industri masakan, berderet anugerah
diterima Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), 54. Dia adalah selebriti
kulinari Asia dan penerima Anugerah Juri Sepanjang Hayat (2007) dan
Anugerah Selebriti Chef Terbaik (2009).
Selain antara chef tetap di Asian Food Channel, dia pernah
mengacarakan rancangan masakan bersama personaliti terkenal lain seperti
Martin Yan, Anthony Bourdain, Rick Stein dan Todd English.
Chef Wan adalah tukang masak kebanggaan negara yang mana bakat dan
kebolehannya diwarisi anak sulungnya, Nazri, 29, atau lebih dikenali
sebagai Chef Riz.
Selaku juri program Maharaja Lawak Mega pula, kritikannya pedas
dan berbisa tetapi dia melakukannya dengan niat mahu generasi muda
berjaya, selalu berpijak di bumi nyata dan berjiwa kental.
Khamis lalu, Chef Wan melancarkan buku masak terbarunya berjudul
Selera Malaysia Chef Wan, diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Buku itu mengandungi 138 resipi yang dibahagi kepada enam kategori
hidangan — daging, ayam dan itik, ikan dan makanan laut, kerabu dan
sayuran, nasi, mi dan sup.
Buku ini juga memuatkan hidangan klasik Malaysia seperti Kerutup
Daging Terengganu, Sotong Goreng Gaya Nyonya dan Nasi Ulam. Buku
dilancarkan ibu yang juga idolanya, Noraini.
Pun begitu, sebelum mengecapi kemasyhuran dan kemewahan,
sebagaimana orang lain, dia tidak terlepas daripada ujian dan cabaran.
Semangat kentalnya mengatasi segala rintangan yang datang dan sebab itu
Chef Wan kecewa apabila ada chef sekarang tidak ikhlas dalam kerja
mereka dan sanggup ‘menikam’ kawan.
Ikuti rakaman perbualan SELEBRITI bersama Chef Wan.
Hari ini ramai chef di luar sana ingin mengikut jejak anda
sebagai chef selebriti yang terkenal di seluruh dunia. Justeru,
ceritakan susah payah anda sehingga berjaya membina nama besar dalam
dunia masakan?
Saya tidak menyangka akan berjaya dan boleh bertahan hingga ke hari
ini. Namun bukan senang hendak membina nama sebesar ini. Ia adalah
perjalanan yang sangat jauh dan panjang.
Semua yang saya peroleh hari ini kerana semangat, keazaman dan
sentiasa berusaha menjadi yang terbaik. Apabila tiba bab kerja, tiada
istilah main-main kerana kita mesti buat apa saja dengan
bersungguh-sungguh dan serius untuk berjaya.
Alhamdulillah, saya mewarisi kepakaran memasak daripada emak.
Makanan menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia dan makanan juga
menunjukkan budaya dan bangsa kita. Di setiap negara yang kita lawati,
mesti ada makanan yang melambangkan bangsa dan budaya hidup masyarakat
di sana.
Usah kata di luar negara, di negara kita sendiri, setiap negeri
ada masakan istimewa. Misalnya Negeri Sembilan dengan gulai masak lemak
cili apinya, Perak pula terkenal dengan tempoyak, Kelantan dengan budu,
Nasi Dagang dan Nasi Kerabu dan Pahang dikenali dengan gulai ikan patin.
Bidang masakan ini terlalu luas, semakin banyak kita teroka, semakin
banyak peninggalan yang diwariskan oleh orang dulu-dulu.
Kejayaan dinikmati hari ini hadir bersama cabaran yang bukan sedikit
sehingga akhirnya seluruh dunia mengenali saya dan dilantik menjadi
duta masakan. Apa pun, ia berkaitan keikhlasan. Kalau kita buat dengan
ikhlas, pasti Allah SWT membantu kita. Saya buat yang terbaik untuk
semua.
Saya bangga jadi tukang masak kerana ia warisan paling besar
ditinggalkan oleh nenek moyang kita dan kita mesti berbangga dengannya.
Kita mesti ada rasa yang masakan itu hak milik kita semua dan perlu
dikekalkan serta diperkenalkan kepada anak kita.
Kita lihat chef hari ini bersaing dengan cara kurang sihat dan suka tikam belakang. Apa pendapat anda?
Kenapa perlu memburukkan antara satu sama lain? Bumi Allah SWT ini
luas dan setiap orang diberikan pelbagai bakat dan kebolehan. Mereka
bebas mencari rezeki mengikut cara masing-masing. Kenapa mesti takut
dengan bayang-bayang sendiri. Semua orang boleh berjaya, tetapi mestilah
buat dengan hati bersih dan tiada hasad dengki.
Ini yang terjadi pada Nazri dalam Masterchef Malaysia. Ramai chef
lebih senior tidak puas hati apabila dia diambil menjadi juri Masterchef
Malaysia sehingga membuatkan dia tertekan dan sanggup menambah perkara
tidak betul dalam senarai kurikulumnya. Apabila saya dapat tahu apa
Nazri buat, saya sangat sedih. Ketika bercakap dengannya di telefon,
saya menangis. Susahnya saya membina nama, tetapi anak sendiri sanggup
buat perkara yang memalukan saya.
Dia terpaksa buat kerana tak yakin dengan diri sendiri, apatah
lagi orang sekeliling asyik memberi tekanan kepadanya. Dia sepatutnya
berbangga dengan kebolehan dirinya. Dia belajar masak dengan saya ketika
usianya 12 tahun dan selagi dia tidak boleh buat seperti mana saya
mahu, saya paksa dia buat sampai ‘jadi’ kerana saya mahu dia jadi chef
terbaik.
Saya tahu Nazri kuat bekerja, lima tahun dia tidak pernah bercuti
dan sekarang dia ada dua restoran. Saya katakan padanya, jangan
pedulikan apa orang kata. Masterchef Malaysia ambil dia sebagai juri
kerana percayakan bakatnya. Nazri perlu berpegang kepada prinsip
hidupnya.
Walaupun kecewa dengan apa Nazri buat, saya tetap berbangga dengannya
kerana dia sedar dan sanggup mengaku kesilapannya serta minta maaf
dengan semua pihak. Nazri belajar daripada kesilapan itu dan hidup mesti
diteruskan. Oleh itu Nazri kena kuat dan tabah. Kepada chef lain,
jangan melakukan perkara sama. Jangan fikir, sijil yang berjela-jela
adalah segala-galanya. Memasak perlu daripada hati. Apabila kita berada
di dapur, itulah dunia kita.
Anda sudah mendapat segala-galanya, kemasyhuran dan kesenangan
hasil kerja keras selama ini. Apa yang anda harapkan lagi pada masa akan
datang?
Saya mahu buka sekolah masakan yang menawarkan segala pendidikan dan
keperluan memasak di sekolah itu. Ia dibuka kepada semua peringkat
usia, daripada kanak-kanak sampailah kepada orang tua.
Contohnya, pada cuti sekolah, ibu bapa boleh hantar anak mereka
belajar masak di sekolah itu supaya apabila dewasa nanti dan terpaksa
merantau di negara orang, mereka boleh berdikari.
Untuk menzahirkan impian itu, saya akan bekerjasama dengan KDU
(Kolej Damansara Utama). Insya-Allah, sekolah itu akan menjadi kenyataan
hujung tahun depan.
Saya juga dengan kerjasama chef lain ingin menghasilkan buku
ensiklopedia masakan mengandungi semua masakan dari setiap negeri,
senarai rempah ratus, petua masakan dan resipi. Ia buku rujukan lengkap
mengenai masakan. Saya mula mengumpul bahan sejak empat tahun lalu dan
banyak lagi perlu dibuat.
Untuk memberikan yang terbaik, saya sanggup meredah kampung berjumpa
orang di sana minta resipi terkenal di sesuatu daerah itu. Saya sanggup
bayar asalkan dapat resipi lengkap dan betul.
Harapan anda terhadap anak yang bakal mewarisi legasi ditinggalkan nanti?
Selama ini saya bekerja keras dan saya mahu anak mewarisi semangat
saya serta berharap mereka menghargai pengorbanan saya. Hidup ini tidak
dapat lari daripada cabaran dan anda diberi pilihan untuk mewarnai
kehidupan ini.
Saya bangga dengan apa yang saya lakukan kerana bidang masakan
mengubah seluruh hidup saya. Ramai juga kurang senang dengan saya kerana
saya terlalu berterus terang. Misalnya ketika menjadi juri Maharaja
Lawak Mega, sebelum duduk di kerusi juri, saya berdoa semoga menjadi
juri yang bagus kerana saya tidak mahu melukakan hati sesiapa.
Setiap kritikan saya adalah jujur dan ikhlas. Barangkali ada yang
mempersoalkan apa kelayakan saya untuk menjadi juri program lawak.
Cuba anda bayangkan selama setengah jam saya mengendalikan program masakan dan saya cuma memasak tiga resipi.
Kalau saya tidak ‘pandai’ bercakap dan berlawak, apa lagi saya nak buat untuk mengisi masa yang ada.
Tentu penonton akan bosan semata-mata mahu menunggu masakan itu siap
di masak. Jadi unsur lawak itu memang ada pada saya dan minat saya yang
lain adalah berlakon.