Jom Buat Duit

Showing posts with label Anzalna. Show all posts
Showing posts with label Anzalna. Show all posts

Sunday, 2 December 2012

Saya bukan bodoh - Anzalna

'DUMB BLONDE' sama sekali bukan ungkapan pujian sebaliknya ia tidak ubah suatu penghinaan tahap sinikal. Secara nyata, istilah popular itu menjurus ke arah kelibat wanita cantik yang berambut perang malangnya berotak dungu.
Tersenyum sambil jari-jemarinya memintal ekor rambutnya yang hitam berkilat, Anzalna Nasir cukup sedar pembawaan dirinya sedang diperhatikan. Pertimbangan akalnya juga sedang teruji, walhal benaknya langsung tidak mahu terganggu oleh isu remeh.

"Saya langsung tidak marah tapi tidak boleh ambil perkara itu sambil lewa. Saya tidak boleh buat tidak tahu sahaja. Jolokan sebegitu agak melampau. Rasanya saya tidak boleh terlalu berlembut dalam soal itu, kena ada juga sedikit ketegasan," ujarnya menggeleng-gelengkan kepala menahan tawa yang hendak terlerai.
Itulah Anzalna. Dia baru sahaja menerima tempias kononnya antara artis kategori dumb blonde iaitu wanita cantik tapi dungu.

"Rasanya orang yang suka-suka hati gelarkan orang lain sebagai bodoh itu tidak faham maksud sebenar dumb blonde. Sewaktu saya di kolej di Australia dahulu, memang ada ramai gadis yang hot tapi kurang bijak dalam bab akademik. Saya faham sangat dengan gelaran dumb blonde, tapi saya bukan begitu.

"Saya masuk universiti, belajar sampai lulus, keluarga saya semua berpelajaran dan satu lagi, rambut saya hitam bukan perang. Suka-suka nak panggil saya dumb blonde tapi tak faham maksud perkataan itu," katanya.

Jika perwatakan luarannya yang mudah tertawa, karakter itu tidak bermakna dia jenis wanita yang tidak boleh berfikir dengan bijak.
"Kalau nak berlagak, saya boleh tunjuk pandai tapi itu bukan sifat saya. Kalau orang kata saya lembut dan tidak tegas, memang saya begitu. Rasanya cukuplah saya jadi diri sendiri. Kalau saya gemar ketawa sekali pun, salah ke?

Tolak tawaran hidup mewah
"Untuk apa saya kena tunjuk muka angkuh semata-mata mahu dilihat bijak atau disegani.
"Kalau nak berangan pandai, saya boleh sahaja cakap dalam bahasa Perancis tiap-tiap hari, tapi untuk apa? Hidup saya setakat ini okey, tidak ada perkara yang perlu saya sedihkan," ucapnya.
Terdetik juga di hati, mungkin bagi sesetengah pihak, apa yang dituturkan itu sekadar gurauan biasa. Bahasa penulisan sesetengah media yang menerbitkan artikel itu pula dianggapnya sebagai pengisi cerita untuk menjadikan ia menarik ditatap pembaca.

"Saya kena faham permainan dunia artis. Dua filem saya ditayang secara berturutan. Mungkin sebab tiada cerita lain, jadi isu itu yang sengaja diangkat. Saya masih okey. Apabila masih ada yang bercakap tentang saya maksudnya saya masih ada dalam perhatian mereka," simpulnya ringkas.
Menoleh kehidupan peribadinya selama bergelar pelakon, pucuk muda berusia 24 tahun ini sudah melalui episod kontroversi yang menjengkelkan. Kisah perang dingin bersama bintang popular, si cantik Neelofa sudah diselesaikan secara terhormat.
Dia kelihatan menurunkan serendah-rendah egonya. Dia telah meminta maaf dan mengakui kesalahan agar kes tidak berlanjutan ke mahkamah.



Sengaja diselitkan juga keterbukaan Anzalna mencanangkan satu negara bahawa hatinya sudah dimiliki seorang jejaka bernama Hanif Zaki. Statusnya solo tetapi sudah dimiliki. Dari satu sisi, strategi itu mengelakkan Anzalna daripada tercalit tempias kisah cinta sesama artis.

Gosip liar mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki selain Hanif juga tidak kedengaran. Hanif seolah-olah membentuk satu benteng menjadikan pembawa karakter perempuan jalang bernama Dee dalam siri Adam dan Hawa itu seperti jinak-jinak merpati. Dia manja dan meliuk-lentok tetapi usahkan termakan jerat, didekati lelaki lain pun dia enggan.

Melihatkan paras jelita yang dianugerahkan kepadanya, mana mungkin tiada yang melirik hendak melamarnya.
"Kalau fikir hendak senang dan hidup mewah dengan mudah, memang peluang itu sentiasa terbuka. Bukan mahu cakap besar, tapi tawaran ke arah itu memang ada. Antara mahu atau tidak sahaja. Siapa yang tidak mahu rumah atau kereta mewah secara percuma tapi ada 'bayaran' lain yang harus dijelaskan untuk semua itu.

"Setakat ini, dengan duit hasil berlakon, saya sudah boleh hidup berdikari dan penuhi impian sendiri," tuturnya sambil memberi isyarat tentang banyak muslihat lelaki hidung belang yang datang dan pergi sepanjang bergelar selebriti sejak menyertai Dewi Remaja lebih dua tahun lalu.
Menambah tentang prinsipnya, kata Anzalna: "Saya sendiri fikir bahawa duit memang sangat penting untuk hidup. Sebab itu saya kena kerja untuk cari duit tapi saya tidak boleh desak lelaki untuk setia dan ikhlas memberi cinta kepada saya.

"Setakat ini, sama ada dari segi lakonan atau pilihan untuk diri sendiri, saya selalu ingin jaga hubungan saya dengan Hanif tapi itu tidak bermakna dia mengongkong hidup saya. Saya belum rasa khilaf dengan perhubungan cinta kami yang diketahui umum ketika ini. Lebih senang bersifat terbuka sebab saya tidak perlu peningkan kepala untuk berselindung itu dan ini."
Fokus drama sebelum filem

SEDANG muncul sebagai Ayu Sofia dalam filem Sepah The Movie bergandingan dengan Shuib, Jep dan Mamat, Anzalna juga akan muncul dalam filem Kahwin 5 pada 27 Disember ini.


Bakal muncul dengan filem Kahwin 5 bersama Usop Wilcha Disember depan, namun sebelum itu, langkah sulung Anzalna ke layar perak menerusi Sepah The Movie sudah pun beredar di pawagam.
Gandingan bersama Sepahtu iaitu Jep dan Shuib, Mamat Sepah serta Jehan Miskin menerusi Sepah The Movie pula ditayangkan bermula 29 November lalu.

Mengulas tentang fahamannya terhadap terhadap lakon filem dan lakon TV, Anzalna sedar dia masih terlalu mentah untuk diberi sanjungan apatah lagi dipuji. Katanya, penglibatan dalam kedua-dua filem itu masih satu percubaan.

Jika hasilnya menjadi dan mendapat sokongan ramai, mungkin percaturan untuk bersama sebuah lagi filem dalam masa terdekat akan diteruskan. Jika tidak, dia lebih rela fokus kepada drama terlebih dahulu.

"Drama itu ibarat asas buat saya. Saya kena belajar dulu daripada drama televisyen. Selama ini pun, saya yang kosong ilmu lakonan ini diberi kepercayaan untuk bawa macam-macam watak menerusi drama," katanya yang pernah mendapat respons positif berdasarkan watak baik menerusi drama bersiri Sirrun di TV9.

Sekadar membawa watak-watak ringan dalam filem komedi seperti Kahwin 5 dan Sepah The Movie, dia ditanya lagi, sama ada penampilan itu menjamin impak ke atas kariernya atau sekadar menjadi penyeri.

"Watak sebagai Ayu Sofia itu nampak lemah lembut. Sekali pandang memang nampak mudah untuk saya lakukan tetapi Ayu Sofia tetap satu cabaran besar buat saya. Kalau orang kata saya lembik, Ayu Sofia itu berganda-ganda lebih bersopan santun dan lemah lembut berbanding saya.
"Ia payah untuk pelakon baharu macam saya tapi saya gembira sebab hasilnya boleh dilihat di panggung sekarang," tutup Anzalna yang teruja untuk beraksi bersama Nasha Aziz dan Lisa Surihani dalam drama bersiri Maskara tidak lama lagi.

Saturday, 16 June 2012

Anzalna tak akan minta maaf

PERANG antara dua pelakon baru meningkat naik, Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, atau Neelofa dan Nur Anzalna Md. Nasir, 24, atau Anzalna nampaknya sudah sampai kemuncak. Neelofa telah melantik dua orang peguam iaitu Ahmad Hidayat Md. Noor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak untuk memastikan Anzalna bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dianggap satu fitnah ke atas dirinya.
Anzalna juga tidak berdiam diri. Pelakon tersebut bagaimanapun enggan mengulas panjang kerana memberitahu dia kini juga telah melantik seorang peguam iaitu Fakhrul Azman yang akan mengendalikan kes tersebut.

Bagaimanapun Anzalna dengan tegas memberitahu dia tidak akan menurut tuntutan yang dibuat oleh Neelofa kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang notis daripada pihak peguam pelakon kelahiran Kelantan itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Anzalna selanjutnya.

Boleh anda komen apabila Neelofa melantik peguam dan mahu menyaman anda berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan terhadapnya menerusi laporan sebuah akhbar?
Saya sebenarnya terkejut juga dengan tindakan Neelofa apabila dia ambil perkara ini terlalu serius sehingga melantik peguam. Saya tidak akan memberi apa jua penjelasan kepadanya (Neelofa).

Kenapa anda terkejut dengan tindakan Neelofa sedangkan anda sendiri membuka aib dia?
Bukan tujuan saya mahu buat publisiti murahan. Kalau saya mahu buat, dah lama saya buat dan buka cerita. Tetapi saya tidak sangka cerita ini diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu.

Maksud anda penulis akhbar tersebut?
Saya juga terkejut apabila wartawan tersebut menulis tentang apa yang saya cerita walaupun berkali-kali saya pesan dan minta supaya tidak dikeluarkan untuk menjaga hati semua pihak. Tetapi, saya enggan komen panjang takut isu lain pula yang timbul.

Apakah tindakan anda selepas ini?
Bila dia (Neelofa) ambil benda ini serius, saya juga akan buat perkara yang sama. Saya juga sudah melantik seorang peguam iaitu Fakhrul Azman, peguam yang sama mengendalikan kes pelakon Fazura dahulu untuk mengendalikan kes ini.

Setakat ini adakah anda menerima sebarang surat atau tuntutan daripada Neelofa?
Setakat ini, saya tidak menerima sebarang surat atau notis tuntutan daripada dia. Jika dapat nanti, biarlah peguam saya yang uruskan semuanya. Sekarang, segala urusan kes ini telah mula diambil alih oleh peguam saya.

Adakah anda menyesal dengan kenyataan yang telah anda berikan?
Sikitpun saya tak menyesal kerana apa yang saya luahkan itu benar. Cuma, saya tak mahu memanjangkan cerita atau mengaibkan dia lagi. Cukup sekadar apa yang disiarkan itu.

Adakah anda akan membuat permohonan maaf dan menunjukkan bukti dalam tempoh tujuh hari seperti yang dikehendaki Neelofa?
Saya tak akan buat permohonan maaf atau memenuhi kehendak pihak Neelofa. Bukan kerana saya tak mahu buat, tapi masalahnya, selepas tempoh tiga hari, saya masih belum menerima sebarang notis daripada dia. Jadi macam mana saya nak selesaikan masalah ini secara profesional jika belum mendapat notis tersebut. Selebihnya, saya serahkan kepada peguam saya.

KOSMO

Thursday, 7 June 2012

Anzalna mula mengorak langkah

SEBAGAI pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan, tidak sukar buat pelakon Anzalna Nasir untuk menerima banyak tawaran lakonan. Apatah lagi dengan memiliki raut wajah yang jelita, pastinya dia mampu menjadi rebutan penerbit atau pengarah untuk memegang peranan utama dalam sesebuah drama.

Bagaimanapun, pelakon tersebut seakan-akan tenggelam dan kerap kali dibayangi rakan seangkatan yang lain dalam bidang seni seperti Neelofa dan Izara Aishah. Bermula pada tahun ini, barulah kehadiran pelakon itu mula disedari ramai.

Mengakui namanya agak kurang dikenali sebelum ini, Anzalna menafikan ia berlaku kerana dibayangi kedua-dua orang rakannya itu yang terlebih dahulu dikenali ramai. Sebaliknya, ia berpunca daripada watak yang selalu dibawanya dalam beberapa drama lakonannya sebelum ini.
"Saya akui selama ini saya jarang mengambil tawaran berlakon yang memerlukan saya membawakan watak utama, biarpun tawaran sebegitu memang banyak saya terima. Ketika awal kemunculan saya dahulu dalam bidang ini, saya lebih gemar membawakan watak pembantu atau antagonis.

"Mungkin itu yang menyebabkan penglibatan saya dalam dunia lakonan kurang disedari ramai. Namun, dengan segala pengalaman yang diperoleh sepanjang hampir setahun bergelar pelakon, kini saya sudah bersedia sekiranya ditawarkan memegang watak utama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Indera Joned baru-baru ini.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia bersedia untuk memegang watak utama, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu menjelaskan kini dia sudah mempunyai keyakinan yang cukup tinggi berbanding ketika mula-mula bergelar pelakon dahulu.

Ujarnya, sebelum ini dia tidak mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi dan pengalaman yang cukup luas untuk menerima tawaran memegang watak utama serta tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak terutama sekali penerbit atau pengarah.

"Saya percaya tanpa adanya keyakinan pasti saya tidak mampu untuk memberikan yang terbaik. Jadi, langkah paling tepat yang saya lakukan adalah dengan menerima watak pembantu sahaja terlebih dahulu bagi menimba seberapa banyak pengalaman dalam bidang ini.

"Berbekalkan pengalaman yang diperoleh sepanjang bergelar pelakon selama hampir setahun, kini saya mula mendapat keyakinan dan sudah tiba masanya untuk berhadapan dengan cabaran yang lebih besar lagi agar kerjaya lakonan saya semakin berkembang," ujarnya.
Sebagai langkah permulaan, pelakon berkenaan berkata dia bersetuju menerima tawaran untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Indera Joned yang sudah mula bersiaran sejak 21 Mei lalu pada pukul 9 malam setiap hari Isnin di TV3.
DRAMA bersiri Indera Joned merupakan drama sulung lakonan Anzalna sebagai peneraju utama. Dia membawa watak sebagai Dr. Sara.


Menurut Anzalna, dalam drama tersebut dia memegang watak utama sebagai Dr. Sara, seorang pensyarah yang sering melakukan kajian terhadap artifak lama dan mengakui watak yang dibawakan itu agak berbeza dengan drama lakonannya sebelum ini.

"Pada mulanya saya agak berbelah bahagi sama ada mahu menerima atau menolak tawaran untuk berlakon dalam drama ini, tetapi apabila difikirkan kembali sampai bila saya perlu tolak setiap tawaran yang menawarkan saya memegang watak utama.
"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengarah, Fairuz Loy untuk membawakan peranan sebagai Dr. Sara.

Sekarang ini perasaan saya memang cukup berdebar untuk menunggu reaksi daripada penonton terhadap drama ini," ujarnya.
Selain Anzalna, drama pengembaraan 'Indiana Jones' versi komedi itu menampilkan pelakon-pelakon seperti Aiman Hakim Redza (Epul), Puteri Sarah (Rina), Hairul Azreen (Aiman), Syazwan Zulkifli (Izzi), Qushairi Razali (Jaafar Ringgo) dan Idris Md. Diah (Prof. Dr. Azli).

Drama bersiri 13 episod terbitan Grand Brilliance itu mengisahkan tentang Epul yang mendapat kuasa aneh apabila terjumpa gelang kepunyaan Indera Joned, seorang legenda yang cukup terkenal kerana mempertahankan harta berharga daripada dirampas oleh Bintara Hitam dan rakan-rakannya.

Tayang kekasih
Ketika ini pastinya sudah ramai peminat yang tahu bahawa hati Anzalna kini sudah menjadi milik seorang jejaka yang dikenali sebagai Mohamad Hanif Mohamad Zaki. Hampir setahun bercinta, pelakon berkenaan mengakui sedang melalui fasa bahagia bersama kekasihnya.

Namun begitu, tindakannya yang gemar menayangkan kekasihnya sama ada melalui laman sosial Twitter miliknya, tampil bersama dalam majlis-majlis tertentu dan terbaharu menerusi majalah Mangga edisi Mac lalu ternyata telah menimbulkan persepsi negatif segelintir pihak.
"Apa salahnya kalau saya bertindak menayangkan kekasih kepada khalayak, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berselindung atau menyembunyikan status diri. Lagipun apa yang saya lakukan ini tidak menyakiti hati mana-mana pihak.

BARISAN pelakon drama bersiri Indera Joned (dari kiri) Hairul Azreen, Anzalna, Aiman Hakim, Syazwan Zulkifli, Puteri Sarah dan Qi Razali.
"Sejujurnya, saya bukan individu yang memiliki ramai kawan dan Hanif juga merupakan teman saya yang paling rapat. Jadi, dia yang kerap berada di sisi saya ke mana-mana sahaja termasuk menemani saya apabila diundang ke sesebuah majlis," jelasnya.

Tegas pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi drama Mahabbah itu lagi, perkara mengenai menayang kekasih sewajarnya tidak menjadi isu yang terlalu besar, asalkan dia dan kekasihnya tidak membuat sebarang kesalahan atau melanggar batas.
"Tidak semestinya setiap masa dia perlu bersama saya kerana kalau ada masa terluang saya juga akan berkumpul bersama ahli keluarga," ujarnya lagi.

Biarpun kekasihnya itu masih berasa selesa menjalinkan hubungan cinta dengan artis seperti dirinya, tetapi Anzalna memberitahu kekasihnya tetap risau apabila ada cakap-cakap belakang yang mengatakan dia sekadar mahu menumpang populariti apabila bercinta dengan seorang pelakon.
"Mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga pula, kami belum pernah berbincang hal itu. Saya memang meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 26 tahun, namun itu semua bergantung kepada keadaan dan Hanif sendiri pun tidak kisah," jelasnya.

Kosmo

Klik Untuk Saya k... :)

free counters