Jom Buat Duit

Showing posts with label Remy Ishak. Show all posts
Showing posts with label Remy Ishak. Show all posts

Sunday, 23 September 2012

Remy Ishak, Tiz Zaqyah sah putus cinta

MULA bercinta di lokasi filem Nur Kasih The Movie, Remy mendakwa walaupun telah putus cinta dengan Tiz, mereka masih boleh meneruskan hubungan profesional dalam lakonan. Terbaru, mereka digabungkan sebagai pasangan kekasih dalam drama Cinta Jangan Pergi

KALI ini putus cinta yang ke-453! Sebaik sahaja petikan usikan yang ditulis sebuah portal hiburan itu diucapkan semula ke telinganya, duta Dashing itu tergelak besar. Dia memberi isyarat tentang cerita yang sudah berbulan tersimpan di dada itu sudah bukan sesuatu yang menyakitkan untuk dikongsi. Sementelah kata Remy, dia tidak sanggup membiarkan imejnya tercalar disebabkan kisah peribadi.
Cerita cinta Remy Ishak dan Tiz Zaqyah muncul lagi. Kali ini, sekali lagi luahan beremosi Remy menerusi laman Twitter miliknya mengundang andaian peminat dan media bahawa dia dan Tiz sudah tidak sehaluan.

Petikan-petikan yang berbunyi 'the relationship was gone a long time ago...' serta 'the best way to end the relationship is to burn the bridge...' yang ditulis Remy beberapa hari lalu semakin menguatkan spekulasi ramai bahawa percintaan mereka sudahpun berkecai.
Akui Remy, tulisan itu sebenarnya satu kenyataan rasmi berhubung status percintaannya dengan Tiz yang sering berdepan persepsi ramai.

"Benar, kami sudah bukan lagi pasangan kekasih. Sudah tiga bulan dan rasanya sekarang saya patut membuat kenyataan agar kehidupan dan pergaulan seharian yang saya dan Tiz lalui tidak mengelirukan dan menimbulkan spekulasi yang lebih besar. Sebagai lelaki, saya ambil tanggungjawab itu untuk berterus-terang, saya tidak mahu memburukkan keadaan," tegas Remy tentang percintaannya yang telah bertemu jalan penamat.

Berputik cinta dari lokasi filem Nur Kasih The Movie, Remy bagaimanapun tidak menafikan dibaluti kesedihan kerana terpaksa melupakan perhubungan yang telah dibina sejak tiga tahun lalu.
"Siapa tak sedih lepas putus cinta, tapi saya kena terima hakikat bahawa kami tidak boleh meneruskan komitmen dan memasuki fasa yang lebih serius. Saya harus melepaskan Tiz, dia masih muda, masih banyak yang mahu diterokainya," ujar Remy sambil memohon semua pihak agar tidak mencari kesalahan mana-mana pihak atas perpisahan mereka.
REMY akhirnya mengakui secara terbuka bahawa hubungannya bersama Tiz tidak mampu diteruskan.


Lama menyembunyikan berita itu daripada pengetahuan umum, kata Remy, dia tidak berniat untuk menipu atau mempermain-mainkan harapan peminat.

"Selama ini saya dan Tiz anggap hubungan kami terlalu peribadi untuk dikongsikan. Saya tak mahu kecoh-kecoh tapi saya kena sedar, bila jadi artis saya tak boleh menidakkan keinginan orang untuk ambil tahu tentang hidup saya. Sudah tiga bulan kami bawa haluan masing-masing, sepanjang tempoh itu juga orang sudah mula pandang negatif apabila saya dan Tiz tidak lagi keluar dan masing-masing keluar bersama teman-teman berbeza.
"Sebelum timbul salah sangka atau cerita yang lebih teruk dan menjatuhkan imej kami berdua, rasanya sudah tiba masanya untuk saya buka mulut," katanya.

Sambil menjelaskan masih boleh berkawan dan perpisahan itu tidak menyekat hubungan profesional mereka sesama artis, sebagai bukti kata Remy: "Kami sama-sama di lokasi drama bersiri Cinta Jangan Pergi arahan Khabir Bhatia. Dalam drama itu saya masih boleh berlakon jadi kekasih Tiz."

Dua kali putus cinta bersama wanita berstatus selebriti, kali pertama bersama pelakon Ummi Nazeera dan kini Tiz, Remy ditanya tentang kesukaran mempertahankan cinta sesama artis yang berlaku ke atas dirinya.
"Kalau ada persefahaman yang kuat, rasanya tidaklah sukar sangat," jelas Remy yang pernah juga digosipkan bercinta dengan Maya Karin selepas berganding dalam teater Natrah dan filem Cun!
Ditebak lagi tentang punca perpisahan sesebuah percintaan yang lazimnya dikaitkan dengan kehadiran orang ketiga, Remy menafikan andaian itu.

"Seperti yang katakan tadi, saya tidak mahu kisah putus cinta antara saya dan Tiz ini dikaitkan dengan sesiapa, tiada siapa yang salah atau siapa betul. Kami putus secara baik. Saya dan Tiz kena terima hakikat bahawa kami tidak sefahaman dan tidak boleh meneruskan komitmen," katanya mahu fokus kepada karier namun tidak serik jika ditakdirkan jatuh cinta lagi.

Saturday, 22 September 2012

Remy akui putus cinta dengan Tiz Zaqyah


REMY mengakui sudah benar-benar putus cinta dengan Tiz menerusi Twitternya bertarikh 20 September lalu (kelmarin).


ENGGAN mengesahkan mahupun menafikan, tetapi mengakui dirinya sedikit terganggu. Itu jawapan yang diberikan oleh aktres Tiz Zakiah ketika diminta memberikan komen tentang kebenaran dia dan kekasihnya, aktor Remy Ishak kini telah putus cinta.
Ia ekoran selepas Remy sendiri mengakui telah mengakhiri hubungan cinta itu di akaun Twitter miliknya pada 20 September lalu (kelmarin).

Remy telah menulis di akuan Twitter miliknya: "The relationship was gone a long time ago, i haven't been involved with anything and everything.
"The best way to end the relationship is to burn the bridge. Glad i did it. No turning back."
Tiz yang dihubungi Kosmo! semalam menegaskan dia enggan memanjangkan cerita cinta mahupun memberi komen mengenai kehidupan peribadinya.

"Saya tidak mahu komen hal peribadi. Apa yang ditulis Remy di Twitter itu hak dia. Siapa yang baca Twitter dia bacalah, saya tidak mahu komen mengenai tulisannya di Twitter.
"Sebenarnya, saya penat disoal soalan yang sama berulang kali. Jika boleh, saya mahu peminat menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya bukannya kisah peribadi," ujarnya.
Biarpun begitu, Tiz yang kini sibuk berlakon drama bersiri Cinta Jangan Pergi yang turut menampilkan Remy Ishak mengakui: "Ya, saya mengaku ada terganggu sedikit tetapi saya masih boleh tanganinya dengan baik.

"Drama yang lakonan saya ini (Cinta Jangan Pergi) turut menampilkan Remy tetapi setakat hari ini kami belum ada sebarang babak bersama. Walau apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja, saya dan Remy akan bersikap profesional," ujar aktres yang popular dengan filem dan drama Nur Kasih itu.
Tiz dalam pada itu menafikan hubungan cintanya diganggu orang ketiga. "Mengarutlah, tiada orang ketiga (antara kami)," tegas Tiz.
Kosmo

Friday, 13 July 2012

Remy Ishak & kontroversi

BERTEMU dengan aktor Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak baru-baru ini yang hadir ke Kosmo! untuk sesi fotografi promosi filem 29 Februari, jelas kelihatan susut sedikit berat badannya, wajahnya juga kelihatan sedikit cengkung.

Persoalan timbul adakah ia mungkin kerana jangkitan paru-paru yang dihidapinya sehingga dimasukkan ke hospital awal Jun lalu masih belum sembuh atau susah hati kerana kontroversi yang tidak berkesudahan?
Ujar Remy: "Saya sudah okey tetapi masih perlu menjaga kesihatan. Dulu berat badan saya 73 kilogram tetapi sekarang 70 kilogram, mungkin itu menyebabkan wajah saya sedikit cengkung, tidur tidak cukup dan jadual kerja yang padat, bukannya susah hati."

Jika dihitung kontroversi yang membabitkan dirinya tidak terhitung dek jari, malah saban hari ada sahaja hari-hari yang mengejutkan dirinya dengan cerita panas terutama sejak cintanya bersama aktres Tiz Zaqyah diumumkan kepada khalayak.

Isu bergaduh di laman sosial dan terbaharu, bersikap panas baran sehingga memukul kekasih hatinya itu.
"Saya tidak tahu macam mana cerita itu timbul tetapi saya telah beri penjelasan. Bagi saya inilah cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi apabila saya memutuskan untuk bergelar seorang pelakon.
"Hubungan saya dan Tiz masih okey tidak ada sebarang masalah, apa sahaja cerita yang keluar mengenai kami, hanya kami yang tahu kebenarannya sebab yang menjalani hubungan cinta itu adalah kami bukan orang di luar sana.

"Apa yang penting saya dan Tiz saling percaya dan hubungan kami kuat," kata Remy yang berusia 30 tahun.
Ditanya lagi, menyesal atau tidak mengumumkan hubungan cintanya bersama Tiz kepada khalayak, tertawa sambil berfikir panjang, memikirkan jawapan yang tepat barangkali.
"Orang berhak untuk bercakap dan fikir apa sahaja mengenai kami berdua, kerana pekerjaan kami sebagai pelakon," tuturnya.
Lebih matang
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
DI SEBALIK kontroversi yang melanda dirinya, karier lakonan Remy Ishak tetap berjalan lancar.

Biarpun tidak kisah dengan segala kisah panas tentang dirinya, akui Remy jauh di sudut hatinya terbit rasa sakit hati setiap kali membaca kisah kontroversinya sendiri.
"Siapa boleh terima apabila cerita kontroversi dan cerita tidak benar keluar di media, saya mengaku saya sakit hati dan agak tertekan membaca cerita sendiri.
"Ketika saya mula-mula berlakon pada usia awal 20-an dulu, saya akan melenting kerana tidak tahu bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut.

"Itu realitinya sebab saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dan buat tidak kisah dengan cerita yang keluar," katanya yang mula popular dengan drama Nur Kasih.
Tambah Remy, perkara pertama yang dilakukan setiap kali cerita panasnya keluar di media, dia akan menghubungi keluarganya di kampung.
"Saya akan terus telefon emak dan keluarga supaya mereka faham keadaan sebenar. Apabila keluarga tahu kisah yang betul, jadi tidak ada masalah pada saya, orang lain mahu bercakap apa sahaja, saya tidak peduli," luahnya.

Bercakap mengenai kontroversi, ujar Remy, dia lebih suka jika namanya disebut kerana produk lakonan tetapi lumrah dunia hiburan tidak dapat lari daripada kisah sensasi.
"Kontroversi ada baik dan buruknya. Sesetengah kontroversi merupakan publisiti yang menaikkan nama artis tetapi bagi saya kontroversi sangat tidak baik. Saya lebih suka orang kenal menerusi kerja yang saya lakukan sahaja," ucapnya yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi sebagai duta produk Dashing.

Masih laris
Remy mungkin antara artis yang bertuah. Walaupun kisah kontroversinya tidak berkesudahan dan ramai pelakon lelaki baharu muncul tetapi kerjaya lakonannya berjalan seperti biasa malah, produk lakonannya ditayangkan berturut-berturut.
Selepas filem Jiwa Taiko dan Aku, Kau dan Dia, pada 30 Ogos depan Remy bakal muncul pula dengan filem 29 Februari hasil arahan Edry Abdul Halim.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
SELAGI parut tidak mendatangkan mudarat dan apabila disolek tidak kelihatan, Remy tidak akan mengubah ciptaan Tuhan.

"Bertuah? Mungkin ini bayaran yang diterima oleh orang yang selalu teraniaya dan difitnah seperti saya (ketawa). Kalau ikutkan sebab saya tidak ambil pusing segala kisah kontroversi kerana tujuan saya masuk ke dunia lakonan untuk ketengahkan bakat lakonan.

"Apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja saya akan beri fokus seratus peratus. Kerja tetap kerja, saya harus berusaha kerana lakonan periuk nasi saya," balasnya.
Bukti komited Remy terhadap kerjaya, dia yang mengalami kecederaan sehingga dahinya terpaksa dijahit ketika menjalani penggambaran filem Bravo 5 di Tapah, Perak tidak kisah dengan parut yang ditinggalkan kesan daripada kecederaan tersebut.

Tidak mendapatkan sebarang rawatan kulit untuk menghilangkan parut di dahinya, kata Remy, dia bimbang untuk melakukan sebarang rawatan kulit di wajahnya.
"Ramai yang memberi nasihat untuk saya mendapatkan rawatan atau melakukan sesuatu untuk menghilangkan parut, tetapi saya tidak mahu.
"Setiap kali terfikir untuk membuat rawatan, fikiran saya akan berkata mengubah ciptaan Allah adalah haram, jadi selagi parut itu tidak mendatangkan mudarat dan apabila disolek tidak kelihatan, saya okey sahaja," jawab Remy.

Kosmo

Sunday, 8 July 2012

Remy Ishak, Tiz Zaqyah sakit kepala


REMY anggap gosip pukul dan hempas telefon kekasihnya Tiz sebagai cabaran untuk menguatkan cinta dan karier mereka.


PERCINTAAN Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sudah lama berada di mata peminat, namun sudah beberapa kali hubungan pasangan pelakon itu didakwa retak menanti belah. Sejak mereka secara terbuka mengakui sedang menjalin cinta, semakin banyak khabar angin tentang konflik yang mereka alami.
Selesai dengan sandiwara kurang diberi perhatian seperti mana yang diharapkan ketika di tahan di wad hospital gara-gara masalah kesihatan baru-baru ini, hubungan Remy dan Tiz kembali memanas. Sebuah akhbar mingguan bukan Kumpulan Utusan melaporkan bahawa hubungan mereka berdua seolah-olah di ambang kemusnahan.
Sikap panas baran Remy sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap kekasih lamanya dahulu seperti kembali berulang apabila dia didakwa menampar muka Tiz. Tidak habis dengan dakwaan sebagai kaki pukul, pelakon filem Aku, Kau & Dia itu juga dikatakan pernah beberapa kali didakwa menghempas telefon bimbit milik kekasihnya.
Sehari kemudian, Remy menafikan tuduhan berkenaan sebaik ditemui semasa tayangan eksklusif filem terbaharunya, 29 Februari, Isnin lalu.
"Sebelum sempat baca gosip berkenaan, Tiz yang menghubungi saya bercerita tentang apa yang tertulis. Mulanya saya malas hendak melayan. Sudah letih dengan satu persatu dakwaan seolah-olah tidak senang dengan kebahagiaan dan situasi hubungan kami berdua," ujarnya yang dihubungi semula Sensasi Bintang, Jumaat lalu untuk penjelasan lanjut.
Tanpa perlu menyembunyikan keadaan, ketika itu Remy mengakui dia sedang membawa Tiz keluar untuk membeli beberapa barangan.
SENSASI BINTANG: Apa reaksi anda terhadap tuduhan panas baran, belasah dan hempas telefon Tiz ?
REMY ISHAK: Kalau ikutkan hati saya, saya memang malas nak layan cerita mengarut. Saya sudah malas hendak melenting atau melatah. Lagipun sebelum ini, ramai yang nasihatkan saya supaya jangan buat serangan balas secara melulu. Secara peribadi, saya sudah boleh terima apa itu gosip, tapi bagaimana dengan keluarga, peminat dan pihak luar seperti pihak korporat yang ada kerjasama dengan saya. Bila saya fikir ia melibatkan maruah dan imej saya, rasanya perkara itu perlukan penjelasan dan saya harap penjelasan saya kepada wartawan hari ini akan membersihkan keadaan. Kalau sampai pukul dan hempas telefon, kenapa sampai hari ini kami masih boleh keluar bersama.
Reaksi Tiz pula bagaimana?
Dia mahu saya beri penjelasan dan agar spekulasi itu tidak terus diperkatakan. Dia tuan punya badan yang didakwa disakiti, saya nampak dia sedikit melenting dengan cerita yang dikeluarkan.
Anda tak rasa mahu mencari siapa pembawa fitnah itu?
Kalau dilayan sangat, benda-benda begitu boleh buat saya dan Tiz sakit kepala. Banyak lagi masalah hidup, jadual, promosi dan kerja lain yang perlu saya lakukan. Harap dengan penjelasan ini, peminat boleh terima dan faham situasi kami. Saya anggap itu semua cabaran untuk saya jadi lebih kuat. Dalam proses untuk fasa karier dan hidup yang seterusnya, memang tak semua orang suka dan gembira tengok pencapaian kita, mungkin ada yang suka tengok kami jatuh.
Di sebalik cerita panas, sokongan peminat terhadap anda tidak membantu kejayaan jualan sesebuah filem seperti Jiwa Taiko dan Aku, Kau & Dia, mengapa ini terjadi?
Perkara itu antara perkata yang jadi topik perbincangan kami dalam industri. Secara peribadi, saya tidak nampak aura seseorang pelakon itu satu-satunya tarikan peminat untuk tengok filem di pawagam, cerita filem itu sendiri harus kuat dan beri impak. Sekarang, susah untuk orang filem buat jangkaan filem bagaimana dan pelakon mana yang penonton mahu lihat di pawagam.
Maknanya, sehebat mana seseorang pelakon, itu bukan jaminan peminat mahu lihat mereka di panggung?
Saya setuju. Kadang-kadang ia seperti bermusim.
Bagaimana pula dengan 29 Februari yang akan ditayangkan 30 Ogos depan, adakah anda yakin ia sebuah filem lakonan anda yang wajib ditonton?
Dari segi karakter, cerita dan penceritaan, saya yakin 29 Februari menjanjikan kelainan. Watak Budi itu sendiri sangat unik. Ia satu watak yang tak mungkin saya peroleh lagi atau pernah saya lakonkan dalam mana-mana filem. Untuk penonton yang selalu mengharapkan sesuatu daripada sebuah filem Melayu, saya rasa 29 Februari harus ditonton.

Kosmo

Wednesday, 20 June 2012

Remy Ishak ‘Saya masih hidup’

REMY...baru sembuh daripada demam panas

KUALA LUMPUR: “Saya masih hidup. Dakwaan banyak pihak memperkatakan saya sudah meninggal dunia hari ini (semalam) tidak benar dan ia mungkin hanyalah salah faham,” kata pelakon terkenal, Mohammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak, 30.
Itu penjelasan diberikan Remy yang menjadi bahan bualan di laman twitter, semalam selepas ada pihak menyebarkan fitnah kononnya pelakon berkenaan dikatakan meninggal dunia.
Menurut Remy, penyebaran dakwaan itu bermula daripada laporan sebuah stesen radio tempatan yang dikatakan menyiarkan berita kematian seorang lelaki menyamai namanya sehinggakan perkara itu terus dikaitkan dengan dirinya.

“Selepas saja bangun daripada tidur petang tadi (petang semalam), saya dikejutkan dengan berita kurang enak sejurus ada pihak mendakwa saya sudah meninggal dan ia tersebar luas di twitter. Ia sangat melucukan tetapi ingin ditegaskan bahawa sehingga kini saya masih bernyawa, Alhamdulillah,” katanya.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters