Jom Buat Duit

Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts
Showing posts with label Anuar Zain. Show all posts

Friday, 15 February 2013

Anuar Zain tak mencari cinta

SESI fotografi pada lewat petang Rabu beberapa minggu lalu berlangsung jaya dalam suasana yang santai. Imej Anuar Zain yang selama ini cukup sinonim dilihat serius dikuis ke tepi dan dibiarkan penyanyi bersuara lunak itu bermain dengan karakter keanak-anakan pula.
Kata Anuar sebelum perbualan dilanjutkan, fotografi santai yang membongkar sifat nakal dan manja sebegini merupakan pengalaman pertamanya sejak menjadi penyanyi selama lebih 30 tahun.

Satu kelana yang panjang bagi seorang penghibur sejati untuk mengabadikan diri kepada kerjayanya namun bagi Anuar kecintaannya dalam muzik ibarat sebuah perkahwinan yang menuntut kesetiaan.
"Saya sudah berkahwin dengan karier saya selama 30 tahun, ada bahagia ada gundah. Hakikatnya kemanisan itu tidak datang tanpa bersakit-sakit dulu," luah butir katanya bersimpul senyum.

Menjawab soalan nakal yang ditanyakan berkenaan cinta jawab Anuar dia masih solo. Katanya: "Buat masa sekarang saya masih bersendirian, biar ditemukan cinta jangan kita mencari cinta."
Jawapan diplomasi yang sering dilontarkan Anuar apabila ditanya mengenai cinta itu dibiarkan seketika kerana ciri-ciri itu sebenarnya melengkapkan diri seorang Anuar.
Pastinya dia mempunyai percaturan tersendiri.

Menjaga nilai eksklusif dan dilihat seorang yang mahukan kesempurnaan dalam setiap tingkah, Anuar menegaskan prinsipnya bekerja barangkali berbeza dengan penyanyi lain.
"Saya tidak membuat kerja sembarangan apatah kalau kerja itu tidak sesuai dengan saya. Harus ada rasa keselesaan dengan situasi baru yang diambil terutama apabila ia melibatkan imej dan usia saya.
"Saya memilih sesuatu bukan untuk karier semata-mata bahkan lebih kepada kehidupan. Terlebih publisiti bisa membunuh karier sendiri," jelas Anuar.

Tidak seperti penyanyi lain, Anuar memiliki pendirian sendiri untuk tidak terlalu terbuka membicarakan soal peribadi dan memperuntukkan sedikit ruang privasi buat dirinya.
"Material itu tidak penting, yang penting adalah kerja dan nyanyian saya. Saya takut dikategorikan sebagai seorang yang menunjuk-nunjuk dan kerana itu saya meletakkan batas-batas tertentu untuk dikongsikan mengenai diri saya.

"Kalau dikatakan saya seorang yang introvert, rasanya tidak kerana saya juga sering keluar dan melepak bersama kawan-kawan saya," kata pelantun lagu Ajari Aku itu.
Anuar juga mengajar dirinya untuk tidak menjadikan laman sosial sebagai medium berinteraksi dengan peminat, kerana baginya laman sosial bersifat kasar, tajam dan kejam.
"Tidak dinafikan Twitter, Facebook dan Instagram itu penting tapi ia menjadikan komunikasi dengan peminat itu nampak negatif.

"Saya melihat internet antaranya boleh menjatuhkan orang jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya lebih selesa berinteraksi secara terus dengan peminat maka orang tidak akan manipulasi perkara yang positif," ujar Anuar yang kini baru membuka laman sosial Twitter, Anuar Zain Network.

Anuar turut berkongsi rahsia mengekalkan aura dan popularitinya selama lebih tiga dekad. Dia berpegang kepada empat prinsip dalam kerjayanya.
"Pertama, hubungan kita dengan kerjaya, membahagiakan orang sekeliling dan peminat yang saya lihat paling penting, kemudiannya berkerja dengan ikhlas dan akhir sekali menjaga hubungan dengan media.

"Selain itu perlu ringan mulut dan rajin sedikit untuk bertegur sapa biar dengan orang yang tidak dikenali. Orang pasti akan lebih menghargai kita," ungkapnya.
Melihat kekuatan seseorang artis adalah sokongan peminatnya, Anuar juga percaya akan kuasa keikhlasan. Ujarnya: "Insya-Allah rezeki akan datang kalau kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas."
kosmo.com.my

Thursday, 7 February 2013

Konsert Anuar Zain Bertukar Lokasi

ANUAR ZAIN, satu nama yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia. Walaupun sudah tiga dekad berada dalam industri, pada tahun ini dia bakal muncul dalam konsert pertamanya sepanjang penglibatan sebagai seorang penyanyi.

Konsert sulungnya yang diberikan judul sebagai Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu, sebelum ini dijadualkan bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam, 16 Februari ini di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Namun pada saat-saat akhir, Anuar Zain dan kru produksi menghadapi masalah teknikal.
Bertemu jejaka berlesung pipit ini pada sidang akhbar yang diadakan bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Anuar telah mengumumkan masalah yang dihadapinya iaitu penukaran lokasi konsert tersebut.

Penukaran lokasi yang dilakukan tiga minggu sebelum konsert mega itu berlangsung, bagaimanapun belum mampu memusnahkan ketenangan pada diri Anuar yang sebaliknya bersyukur dengan apa yang dilaluinya itu.

Bagi dirinya, segala kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai rintangan yang perlu diharungi dan juga tersirat hikmah di sebalik setiap yang berlaku.
“Tiga minggu sebelum tarikh konsert, kami dapat tahu ada sedikit masalah logistik yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Tambahnya: “Ini kerana ada majlis lain yang berlangsung di situ pada 17 Februari. Ini bermakna stadium itu perlu dikosongkan secepat mungkin selepas konsert tamat.
“Konsert ini berskala besar, namun agak mustahil untuk kami berkemas dalam masa beberapa jam sahaja bagi memberi laluan kepada majlis lain di situ pada keesokan harinya itu.
“Daripada menunda tarikh konsert, lebih baik kami menukar lokasi agar tidak menghampakan peminat yang telah lama menanti-nantikan konsert ini.
“Alhamdulillah, kami mendapat lokasi baharu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam pada tarikh dan waktu yang sama.

Tidak berasa kecewa dan panik dengan penukaran lokasi konsertnya itu, bicara Anuar, dia bersyukur kerana mempunyai kru produksi yang sangat cekap menangani masalah.
Tambahnya, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan mengubah apa yang telah dirancangkan pada asalnya untuk konsertnya itu.
“Saya tidak mahu kurangkan apa-apa pun kerana saya mahu peminat berpuas hati dengan apa yang saya tampilkan kelak.

“Bagi saya, walaupun tidak balik modal, konsert ini bukan kerana wang. Ini konsert saya yang pertama, jadi kepuasan peminat menjadi agenda utama saya mengadakan konsert ini.
“Walaupun tiada penajaan, saya tidak kisah. Memang ada rintangan dan mungkin tidak sempurna.
“Namun, saya perlu harunginya dan biarlah apapun yang mahu dikritik, tetapi memang semuanya untuk peminat saya,” tutur Anuar yang mahukan peminat mengenang konsert sulungnya ini atas dasar kualiti yang ditampilkan nanti.

Setakat ini, jelas Anuar, 80 peratus tiket konsert sudah terjual dan kepada yang sudah membeli tiket, pihak Tiket Charge sudahpun menghubungi mereka bermula semalam, 6 Februari ini untuk menjelaskan tentang penukaran lokasi konsert tersebut.
Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan masih boleh membeli tiket bermula 6 Februari menerusi laman web www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network menerusi talian 012-464 2030.

Saturday, 5 January 2013

Anuar Zain tiga dekad bergelar penghibur

SELAMA 30 tahun bergelar penghibur, penyanyi kacak Anuar Zain bakal menghadiahkan peminat setianya konsert yang diberi nama Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari depan.

Konsert yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada jam 8.30 malam itu menampilkan Mac Chew sebagai pengarah muzik di samping turut membariskan 26 pemuzik orkestra dengan bertemakan Bold & Classy.

Meletakkan sasaran 6,000 penonton, Pengarah Pentas konsert, Jennifer Thompson berkata, setakat ini hampir 60 peratus persiapan konsert sudah berjalan dan pihaknya berharap konsep yang dirancang berjaya dilaksanakan.

“Kami sedang mengusahakan sesuatu yang istimewa khusus buat peminat setia Anuar Zain. Walaupun tidak dapat menyatakan secara terperinci apakah konsep yang ingin kami tampilkan, apa yang pasti ia memberi suatu kenangan indah yang akan dikenang sampai bila-bila dan harus dilihat sendiri penonton nanti.

“Selain itu, istimewanya pada konsert ini ia memaparkan tayangan visual yang berlainan mengenai pembabitan Anuar sejak mula menjadi penyanyi dari zaman kanak-kanak hingga kini.

“Sebanyak 21 lagu Anuar sejak album pertama akan dipersembahkan kepada peminat di samping gabungan lagu medley yang begitu mengasyikkan,” katanya.

Jennifer berkata, pastinya peminat yang hadir berasa sangat bertuah kerana menjadi penonton pertama menyaksikan kesinambungan video klip Ajari Aku berjudul Sempurnakan Aku.

Sementara itu, Pengurus Promosi konsert, Sam Kassim mengingatkan peminat Anuar supaya segera mendapatkan tiket yang semakin terhad berikutan sudah banyak yang terjual.

Tiket berharga RM598 (Gold), RM398 (Silver), RM298 (Bronze) dan RM88 (Palladium B) boleh dibeli menerusi TicketCharge (www.ticketcharge.com.my).

Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari ini adalah konsert solo pertama dipersembahkan Anuar selepas 30 tahun berada dalam industri muzik tempatan.

Malah, pemilihan tarikh 16 Februari dipilih sempena ulang tahun kelahiran Anuar ke-43 yang jatuh sehari sebelum itu.

Sam berkata, melalui konsert itu, Anuar mahu mempamerkan sesuatu yang berbeza yang belum pernah dilihat ribuan peminatnya sebelum ini.

Pendek kata, Anuar mahu menjadikan malam persembahan itu sebagai malam penuh bersejarah, intim dan dikenang sebagai yang terbaik daripadanya.

Selain itu, dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Anuar juga akan menyertakan ‘footage’ dan gambar nostalgia serta teknologi skrin LED.

Thursday, 22 November 2012

Anuar Zain suka Nora Danish

“NORA DANISH memiliki ciri-ciri seorang wanita yang saya idamkan.” Kata-kata yang terlontar daripada mulut Anuar Zain membuatkan seluruh ruang di White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur terdiam seketika.

Harus diakui bahawa pengumuman yang berbaur soal jodoh dan pilihan hati si jejaka kacak yang tidak dimamah usia itu merupakan penantian yang membuahkan hasil yang selama ini dinanti-nantikan banyak pihak.
Bicara Anuar, 42, semasa sidang akhbar bersempena tayangan khas klip video dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku itu pantas mengaitkan dirinya dengan aktres comel,
Nora Danish.

“Selain memiliki skil lakonan yang bagus, Nora juga berjaya memberikan perasaan luar biasa sehingga menusuk jauh ke dalam lubuk jiwanya,” luah pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini.
Tambahnya: “Nora amat tepat untuk dipilih sebagai seorang isteri. Saya suka melihat dia sejak daripada siri Puteri lagi dan dia nampak manja serta mempunyai raut wajah yang murni.
“Jika wajahnya sudah kelihatan seperti seorang bidadari, pastinya dia memiliki sekeping hati yang suci.”
Tidak menolak sekiranya takdirnya bertemu seorang wanita yang pernah menjadi suri di hati orang lain sebelumnya, kata Anuar lagi status seseorang bukan penghalang untuk lebih mengenali.

ANUAR mengakui bersedih dengan sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap dua singlenya sebelum ini, Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Tak Harus Memiliki.


“Saya mahu mencari seorang wanita yang lebih kurang seperti Nora Danish. Saya terima jika jodoh saya dengan wanita yang berstatus sepertinya. Tapi, buat masa sekarang saya belum terfikir akan soal hati.

“Kami bersama atas dasar kerja saja, peribadi atau personal belum terlintas. Saya juga tidak rasa ada cetusan perasaan sama antara kami berdua,” hurainya lanjut.
Hal yang harus diakui sebenarnya, Anuar telah memilih Nora untuk membintangi klip video untuk dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku.
Hubungan profesional antara dirinya dan Nora di set penggambaran kedua-dua video klip itu tegas Anuar, tidak melarat sehingga ke peringkat yang lebih mendalam.

Tegas Anuar: “Setakat ini saya masih solo.”
Pemilihan Nora hasil perbincangan dengan pengarah klip video tersebut, Ghaz Abu Bakar, kata Anuar dirasakan amat tepat.
Ini memandangkan Nora merupakan aktes yang berupaya menjiwai watak sebagai suri hatinya dalam klip video itu dengan berkesan.
“Naik bulu roma saya apabila bersama dengan Nora dalam set penggambaran yang sama. Dia seorang pelakon yang hebat dan boleh memberikan perasaan kepada kita.
“Nora merupakan jenama yang ada kredibiliti. Kalau bekerja, dia tidak akan mencampuradukkan dengan hal peribadi. Biasanya kami akan meluangkan masa bersembang seketika sementara menantikan penggambaran bermula,” ulas Anuar lagi.

Dua single
Selain Nora Danish, Anuar turut memilih Datuk Rahim Razali yang mendukung peranan sebagai bapanya dalam kedua-dua klip video tersebut.
“Banyak yang saya dapat belajar daripada mereka dan saya harapkan magis kali ini menjadi. Mereka adalah bintang dalam klip video ini,” luncur harapan Anuar.

INILAH dua keping foto gandingan mesra Anuar dan Nora di set penggambaran klip video Ajari Aku dan Sempurnakan Aku yang dimuatkan dalam Istagram Nora.


Single Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dipilih Anuar selepas beberapa single terdahulu daripada album Anuar Zain 2011 iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Tak Harus Memiliki dilancarkan dua tahun lalu.

Anuar bagaimanapun turut meluahkan rasa kesal mengenai hasil kedua-dua single sebelum ini yang kurang memberikan impak kepadanya.
“Single Ku Berjanji Kerna Cinta kurang mendapat sambutan. Sedih memang sedih tetapi saya tidak berputus asa. Lagu seterusnya (Cinta Tak Harus Memiliki) juga mempunyai banyak jiwa, tapi mungkin kurang pendedahan untuk lebih diterima ramai.

“Peminat mendengar dan menilai sesebuah lagu yang dimainkan di radio, mereka juga ada hak untuk memilih. Saya tidak akan mengubah muzik dan nyanyian saya selama ini kerana saya fikir kita perlu memberikan kepelbagaian dengan cara sendiri,” getus pelantun lagu Sedetik Lebih itu.

Konsert
Pengumuman penting sebenarnya berhubung konsertnya pada 16 Februari tahun depan merupakan klimaks kepada pertemuan dengan penyanyi berbakat besar itu.
Konsert mega Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu kata Anuar akan menterjemahkan dirinya di kaca mata peminat sepanjang 30 tahun berkarya.

Bakal diiringi oleh pengarah muzik tersohor, Mac Chew, kembara konsert itu akan dipersembahkan dengan iringan 26 orang pemuzik berserta lagu-lagu hit sepanjang zaman.
“Lagu-lagu akan dipetik daripada album saya sejak tahun 1998 dan ditukar sedikit susunan muziknya. Selain itu, akan dipaparkan gambar-gambar saya dari kecil hingga sekarang.
“Pertama kali menjayakan konsert sendiri pastinya perasaan gemuruh itu ada, tapi tetap teruja memberikan yang terbaik kepada peminat yang menyokong saya selama ini,” katanya yang sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan sehingga terpaksa menunggu hingga tiba detik ini.
Konsert tersebut akan berlangsung pada 16 Februari 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Thursday, 23 August 2012

Ziana, Anuar balik Merlimau


ANUAR dan Ziana mempunyai kelangsungan kerjaya yang sentiasa berjalan lancar.
 

SUDAH berpuluh-puluh tahun tidak meraikan 1 Syawal di kampung halaman yang terletak di Merlimau, Melaka, itulah pengakuan daripada mulut penyanyi terkenal, Ziana dan adiknya, Anuar Zain.

Mereka berdua yang ditemui pada sesi fotografi khas sempena Aidilfitri di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada pertengahan bulan Ramadan lalu, mengatakan kali terakhir mereka sekeluarga meraikan 1 Syawal di kampung adalah sekitar tahun 1980-an.

“Saya sendiri sudah tidak ingat tahun terakhir kami dapat pulang beraya di kampung. Sebenarnya bukan kami tidak mahu balik kampung, hari-hari biasa kami kerap juga balik, cuma pengalaman beraya di kampung pada 1 Syawal itu sudah lama tertinggal.
“Tradisi balik raya terhenti sejak kami berdua menjadi penyanyi. Jadual kami sentiasa sibuk terutamanya pada bulan Ramadan dan juga bulan Syawal.

“Rumah keluarga kami di Shah Alam, Selangor pula sentiasa penuh dengan tetamu, mahu tidak mahu kami harus melayan tetamu yang hadir. Jadi, saudara-mara tidak ada pilihan yang lain, mereka yang akan turun ke Shah Alam beraya dengan kami,” kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain panjang lebar.

Celah Anuar, 42, yang segak dalam persalinan busana Salikin Sidek mengakui situasi tersebut. Ujarnya, rumah mereka akan dihadiri tetamu dan juga peminat sehingga larut malam.
“Macam mana nak balik kampung, waktu itu ibu bapa kami masih sihat dan rajin layan tetamu yang hadir tidak kira waktu. Selalunya sampai pukul 1 pagi pun masih ada yang memberi salam untuk beraya di rumah kami.

“Sebagai tuan rumah, kami akan melayan sebaik mungkin. Cuma tahun ini, ibu bapa kami sudah tidak sihat seperti dahulu, kakak saya juga sudah ada anak-anak yang perlu diberi perhatian, oleh itu tahun ini kami semua sepakat untuk raya di kampung selama tiga hari,” cerita Anuar penuh semangat.

HANYA kerana mempunyai seorang sahaja anak perempuan iaitu Siti Nour Kaseh, Ziana telah membeli sepuluh pasang baju raya untuk anaknya itu. Ziana turut mempunyai tiga orang anak lelaki.


Walaupun dapat pulang beraya di kampung, kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu, sudah ramai ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia di kampung, disebabkan itu suasananya tidak sama seperti waktu mereka kecil.
“Ahli keluarga kami terutama pak cik-mak cik ramai yang telah meninggal dunia, hanya beberapa orang sahaja yang tinggal.

“Apa pun, kami tetap melawat semua saudara-mara yang ada dan raya kami pasti disambut semeriah mungkin. Bukan senang untuk kami dapat cuti dan berkumpul ramai-ramai seperti hari raya,” tutur Anuar yang cukup popular dengan lagu Suasana Hari Raya nyanyiannya bersama Elina.

Malam raya
Ziana, 44, yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik memberitahu setiap kali raya saat paling digemarinya adalah pada malam raya.

“Memang saya paling suka pada malam raya. Kesibukan dan keriuhan pada malam raya membuatkan raya kita lebih meriah.
“Tambahan kalau sambut raya di kampung, memang sangat seronok apabila semua saudara-mara berkumpul dalam sebuah rumah, memang sangat kecoh, tetapi saya suka,” kata Ziana.

Jika Ziana sibuk di dapur menyiapkan hidangan untuk pagi raya, Anuar pula kata kakaknya, suka
menyibukkan dirinya dalam setiap situasi.
“Anuar, dia akan cuba menyibukkan dirinya di dapur atau di mana-mana sahaja (ketawa). Sungguhpun begitu, dia tolong juga mana yang patut, anak-anak saudara memang suka kalau Pak Ngah (panggilan untuk Anuar) mereka balik kampung sebab dapat banyak duit raya,” luah Ziana.
Sambung Anuar, apabila tibanya raya, mereka adik-beradik sudah tahu tugas masing-masing.
Contohnya Anuar bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembelian kuih raya, malah sempat berbincang dengan kakaknya kuih apa yang harus dibeli ketika sesi fotografi ini dijalankan.

BUAT pertama kalinya selepas berpuluh-puluh tahun, adik-beradik Ziana dan Anuar Zain meraikan Syawal di kampung halaman mereka di Merlimau, Melaka.


“Kami sekeluarga memang tidak ada masa buat kuih, semuanya kuih tunjuk sahaja, tetapi sebelum beli, saya akan pastikan kuih itu benar-benar sedap untuk dimakan bukan setakat cantik sahaja.
“Selalunya kuih yang menjadi pilihan adalah kuih tart nenas yang merupakan kuih wajib, selain itu kuih batang buruk, sarang semut, kuih bangkit dan kuih dahlia akan dibeli,” ucap Anuar sambil berkira-kira berapa balang kuih yang harus dibeli.

Belanja raya
Penyanyi lagu Madah Berhelah dan ibu kepada Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 3 tahun, berkata perbelanjaan raya tahun ini agak terlebih disebabkan puteri sulungnya.
“Tahun ini kami sekeluarga memakai baju warna biru cair, saya beli kain sepapan dan tempah. Kalau dikira-kira baju yang paling banyak sudah pasti satu-satunya anak perempuan saya.

“Setiap kali saya terlihat baju kanak-kanak perempuan yang comel pasti saya akan beli untuk Kaseh, itu belum dikira hadiah baju daripada rakan-rakan dan juga saudara. Setakat ini, baju Kaseh sudah ada sepuluh pasang.
“Bukan apa, sebab saya sudah lama menunggu untuk dapat anak perempuan, bila lihat baju kanak-kanak perempuan yang saya tidak boleh beli sebelum ini, saya akan beli untuk Kaseh. Anak-anak lelaki ada juga baju baharu, cuma jumlahnya tidak sebanyak anak perempuan,” kata
Ziana sambil tersenyum.

Pakaian raya Ziana pula sudah ditempah awal-awal lagi, begitu juga dengan Anuar yang menempah baju Melayu. Bagaimanapun, kata Anuar dia tidak berhabis banyak semata-mata untuk meraikan Aidilfitri.

“Mungkin kakak saya akan belanja lebih sebab dia ada anak-anak, kalau saya hanya biasa-biasa sahaja, beli apa yang patut.
“Selebihnya saya akan simpan duit untuk beri duit raya pada anak buah seramai 12 orang. Selepas cuti lebih kurang seminggu, saya akan bekerja seperti biasa,” katanya yang akan muncul dengan album duet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah.

Sunday, 24 June 2012

Anuar Zain selar Era FM

ANUAR ZAIN bukan calang-calang penyanyi dalam industri muzik tempatan. Itu kenyataan yang tidak boleh diketepikan jika melihat kepada pencapaian pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) yang sudah tiga kali menyaksikan kemenangannya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki).

Dia juga menggondol anugerah Lagu Terbaik dalam AIM 2003 dan AIM 2011 menerusi lagu Keabadian Cinta dan Sedetik Lebih. Namun album terbaharu Anuar Zain yang mengandungi lagu-lagu seperti Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Pernahkah, Simpati Cintamu, Terindah dan Cinta Harus Memiliki kurang mendapat sambutan stesen-stesen radio.
"Lagu-lagu saya juga seperti tidak dilayan oleh pihak radio. Saya juga agak terkejut apabila diberitahu bahawa lagu-lagu baharu saya tidak mencapai piawaian yang telah ditetapkan stesen radio. Saya agak terkilan.

"Bukan mahu membangga diri, tetapi sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, sudah semestinya saya tahu tahap kualiti sesebuah lagu," katanya dengan nada kesal.
Suara hati Anuar Zain bagaimanapun tidak disambut dengan terbuka pihak stesen radio. Dalam satu laporan, beberapa orang kanan radio tempatan tampil mempertahankan polisi stesen masing-masing bahkan ada yang mengakui terguris hati dengan sikap Anuar.
Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran dalam satu kenyataannya menyebut, dakwaan Anuar itu langsung tidak berasas.

"Dakwaan Anuar bahawa kami tidak membantu dan memutarkan lagu-lagunya adalah tidak berasas. Lagu-lagunya sering diputarkan mengikut permintaan, antara dua hingga tiga kali sehari. Paling kurang sekali sehari berdasarkan permintaan pendengar," jelas Nazri.
Dalam nada merajuk Anuar berkata: "Sudah hampir empat tahun saya tidak mendengar radio kerana genre muzik yang dimainkan tidak dipelbagaikan. Lebih baik saya dengar lagu menerusi cakera padat (CD).
"Saya tidak kata lagu-lagu yang diputarkan itu tidak bagus, tetapi bukankah lebih meriah lagi jika semua konsep muzik diperdengarkan?"

Keterbukaan Anuar bercakap tentang peranan stesen radio itu diluahkan dalam sebuah majlis eksklusif bersama media sempena pelancaran album terbaharunya di Bistro 42, Bangsar Village, petang Rabu lalu.
Apa yang dirasai oleh Anuar sebenarnya bukan situasi baharu. Luahan Anuar juga bukan kecaman yang tidak pernah didengar pihak media sebelum ini.

Saturday, 23 June 2012

Anuar henti dengar radio

WALAUPUN dirinya telah lama diangkat sebaris dengan artis-artis berstatus perdana tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir, keperibadian serta sifat rendah dirinya kekal seperti dahulu.
Mungkin kerana faktor itu, ditambah dengan kekuatan serta kebolehan vokalnya yang mantap, telah menjadikan nama Anuar Zain terus terpahat di hati peminat.

Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan album baharu, kini Anuar kembali membawa buah tangan terbaharu khusus buat para peminatnya. Ia adalah sebuah album berjudul Anuar Zain.
Namun, di sebalik kegigihan pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2011 ini mempromosikan album miliknya itu, terpalit sedikit duka pada raut wajahnya apabila bercerita mengenai industri muzik tanah air.
Wajah kacak yang tidak lekang dengan senyuman itu bertukar pahit apabila dia mengakui sudah lama tidak mendengar radio.

“Sejujurnya saya berasa sedikit kecewa dengan kebanyakan stesen-stesen radio tempatan yang seakan-akan telah lupa warna-warni dunia muzik kita.
“Hampir setiap hari, apabila saya membuka siaran radio, lagu yang sama dari genre yang serupa akan dimainkan berulang-ulang kali sehinggakan sebahagian daripada kita mula berasa jelak,” jelasnya ketika ditanya alasannya berkata demikian.
Ketika ditemui sewaktu majlis An Afternoon With Anuar Zain di Bistro 42, Bangsar Village 2 baru-baru ini, Anuar dengan sedikit berat hati menjelaskan kekecewaannya apabila terdapat unsur ‘pilih bulu’ dalam pemilihan lagu yang dikeluarkan di corong-corong radio.

Menurutnya, stesen-stesen radio ini seoalah-olah mempunyai ‘garis panduan’ tersendiri dalam memilih lagu.
“Kadangkala ada lagu yang bagi saya tidaklah terlalu menarik tetapi sering diputarkan di radio sementara sebahagian lagu-lagu lain dibiarkan begitu sahaja.

“Saya berasa sedikit sedih apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang bersusah payah mengeluarkan duit sendiri untuk membuat album namun lagu-lagu mereka tidak dimainkan di radio,” ujarnya yang tampil serba ringkas di majlis tersebut.
Bagaimanapun menurut Anuar, kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube telah memberikan sinar baharu kepada lagu-lagu yang sering di anak tirikan ini.

Katanya lagi, laman-laman sosial ini membolehkan peminat-peminat ‘lari’ daripada kebiasaan dan tidak perlu terikat dengan senarai lagu yang telah ‘diprogramkan’ oleh stesen-stesen radio.
“Menerusi laman-laman sosial seperti YouTube contohnya, peminat-peminat boleh mendengar lagu yang mereka gemar dan tidak dimainkan di radio dengan sesuka hati.
“Mereka kemudiannya akan berkongsi lagu tersebut dengan orang lain menerusi laman sosial yang lain seperti Facebook, Twitter dan sebagainya,” ujarnya yang kini hanya bergantung kepada iPod miliknya untuk mendengar lagu.

Bagaimanapun dengan nada sedikit tegas, Anuar berkata, memang benar aktiviti perkongsian lagu di internet memberi platform untuk mempromosikan lagu-lagu mereka namun risiko untuk ia menjadi perkara yang negatif tetap ada.
“Terdapat peminat yang gemar merakam persembahan-persembahan artis dan kemudiannya memuat naik rakaman tersebut ke laman YouTube. Perkara ini bagus kerana dapat memberi publisiti percuma kepada penyanyi itu.

“Bagaimanapun, jika tujuan memuat naik rakaman tersebut adalah untuk memburuk-burukkan artis tersebut, ia haruslah dielakkan,” ujarnya yang sempat menyanyikan tiga buah lagu daripada album terbaharunya yang sudah pun berada di pasaran pada penghujung tahun lepas.
Mengulas lebih lanjut mengenai album tersebut, Anuar memberitahu, kesemua lapan buah lagu, termasuklah Cinta Harus Memiliki dan Ku Berjanji Kerna Cinta digarap dengan begitu teliti agar melodinya melengkapi lenggok vokalnya.

“Saya terlibat secara langsung dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut supaya hasil akhirnya dapat memuaskan hati semua pihak, termasuklah peminat dan diri saya sendiri.
“Saya juga berharap agar lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini dapat menyuntik ketenangan ke dalam diri para pendengar,” ujarnya yang turut mempertaruhkan dua lagi single iaitu Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dalam album tersebut.

Monday, 16 April 2012

Demam, Anuar Zain tetap hebat


DIKERUMUNI peminat wanita merupakan sesuatu yang lumrah buat Anuar Zain.

SETIAP kali sambutan Minggu Setiausaha yang biasanya diraikan pada bulan April setiap tahun, penyanyi popular Anuar Zain antara yang menjadi kegemaran menghiburkan para setiausaha.
Pada 10 April lalu, kira-kira 1,000 peminatnya yang terdiri di kalangan setiausaha telah berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi berusia 42 tahun itu pada acara Anuar Zain Secretaries Week 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain menikmati makanan tengah hari yang disediakan, para peminat yang hadir turut didendangkan dengan dendangan beberapa buah lagu popular yang dinyanyikan oleh penyanyi berkenaan.
Antara lagu yang dinyanyikan adalah Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu, Bila Resah, Ajari Aku, Sedetik Lebih, Semua Untukmu, Ku Berjanji Karna Cinta, Suria dan Siara serta sebuah lagu Inggeris berjudul Saving All My Love For You sempena tribute buat mendiang Whitney Houston.

Ketika ditemui selepas usai persembahan, Anuar meluahkan rasa lega kerana masih mampu menghiburkan tetamu yang hadir, biarpun dirinya berada dalam keadaan yang kurang sihat.
“Pada mulanya saya cukup risau kerana demam dan takut akan menjejaskan persembahan saya, namun demi peminat saya lupakan keadaan kesihatan semata-mata untuk tidak mahu menghampakan mereka.
“Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur kerana maklum balas yang diterima daripada peminat yang datang sangat positif, walaupun saya akui tidak dapat tampil dengan persembahan yang terbaik kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan,” ujarnya.

Menariknya, peminat yang hadir bukan sahaja telah dihiburkan dengan lagu-lagu popular yang didendangkan Anuar, malah mereka turut berpeluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan penyanyi tersebut.
Memulakan persembahan pada pukul 2 petang dan berakhir dua jam kemudian, selepas itu penyanyi yang juga adik kepada Ziana Zain itu turut meluangkan masa bersama tetamu sehingga pukul 9 malam.
“Selalunya dalam setiap persembahan sempena Minggu Setiausaha yang dijayakan, sudah tentu akan ada sesi bersama tetamu yang hadir dan inilah peluang terbaik untuk saya beramah mesra dengan mereka.
“Saya akan melayan sehingga tetamu yang terakhir dan tidak kisah kalau sesi tersebut berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Lagipun saya harus memikirkan tetamu yang sanggup membayar harga tiket yang cukup mahal dan seharusnya mereka perlu dilayan sebaik mungkin,” jelasnya.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters