ANUAR ZAIN, satu nama yang sangat besar dalam industri muzik
Malaysia. Walaupun sudah tiga dekad berada dalam industri, pada tahun
ini dia bakal muncul dalam konsert pertamanya sepanjang penglibatan
sebagai seorang penyanyi.
Konsert sulungnya yang diberikan judul sebagai Konsert Anuar
Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu, sebelum ini dijadualkan
bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam, 16 Februari ini di Stadium
Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun pada saat-saat akhir, Anuar Zain dan kru produksi menghadapi masalah teknikal.
Bertemu jejaka berlesung pipit ini pada sidang akhbar yang diadakan
bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Anuar
telah mengumumkan masalah yang dihadapinya iaitu penukaran lokasi
konsert tersebut.
Penukaran lokasi yang dilakukan tiga minggu sebelum konsert mega itu
berlangsung, bagaimanapun belum mampu memusnahkan ketenangan pada diri
Anuar yang sebaliknya bersyukur dengan apa yang dilaluinya itu.
Bagi dirinya, segala kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai
rintangan yang perlu diharungi dan juga tersirat hikmah di sebalik
setiap yang berlaku.
“Tiga minggu sebelum tarikh konsert, kami dapat tahu ada sedikit masalah logistik yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.
Tambahnya: “Ini kerana ada majlis lain yang berlangsung di situ pada
17 Februari. Ini bermakna stadium itu perlu dikosongkan secepat mungkin
selepas konsert tamat.
“Konsert ini berskala besar, namun agak mustahil untuk kami berkemas
dalam masa beberapa jam sahaja bagi memberi laluan kepada majlis lain di
situ pada keesokan harinya itu.
“Daripada menunda tarikh konsert, lebih baik kami menukar lokasi agar
tidak menghampakan peminat yang telah lama menanti-nantikan konsert
ini.
“Alhamdulillah, kami mendapat lokasi baharu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam pada tarikh dan waktu yang sama.
Tidak berasa kecewa dan panik dengan penukaran lokasi konsertnya
itu, bicara Anuar, dia bersyukur kerana mempunyai kru produksi yang
sangat cekap menangani masalah.
Tambahnya, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan mengubah
apa yang telah dirancangkan pada asalnya untuk konsertnya itu.
“Saya tidak mahu kurangkan apa-apa pun kerana saya mahu peminat berpuas hati dengan apa yang saya tampilkan kelak.
“Bagi saya, walaupun tidak balik modal, konsert ini bukan kerana
wang. Ini konsert saya yang pertama, jadi kepuasan peminat menjadi
agenda utama saya mengadakan konsert ini.
“Walaupun tiada penajaan, saya tidak kisah. Memang ada rintangan dan mungkin tidak sempurna.
“Namun, saya perlu harunginya dan biarlah apapun yang mahu dikritik,
tetapi memang semuanya untuk peminat saya,” tutur Anuar yang mahukan
peminat mengenang konsert sulungnya ini atas dasar kualiti yang
ditampilkan nanti.
Setakat ini, jelas Anuar, 80 peratus tiket konsert sudah terjual dan
kepada yang sudah membeli tiket, pihak Tiket Charge sudahpun
menghubungi mereka bermula semalam, 6 Februari ini untuk menjelaskan
tentang penukaran lokasi konsert tersebut.
Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan masih
boleh membeli tiket bermula 6 Februari menerusi laman web
www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network menerusi
talian 012-464 2030.
No comments:
Post a Comment