KEKOK dan bagai tidak percaya. Itulah yang terlintas dalam fikiran
aktor Fahrin Ahmad apabila mendengar lagu berjudul Siapa Ingin Membawa
dendangannya sendiri buat pertama kali.
Lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fetri Yahya itu merupakan
lagu runut bunyi untuk drama bersiri terbaharu di slot Akasia TV3, Rindu
Bertamu di Abu Dhabi lakonan Fahrin bersama pelakon Tasha Shila,
Fouziah Gous, Shahrizal Jaszle dan Aiman Hakim Ridza.
Menurut Fahrin yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Kuala
Lumpur baru-baru ini, dia bukan sengaja untuk menjadi penyanyi kerana
semua berlaku tidak dirancang.
“Semuanya bermula dengan gurauan apabila saya kata boleh cuba untuk
menyanyi tetapi kena buat betul-betul dan lagu harus sesuai dengan tahap
vokal saya.
“Penerbit drama ini terus minta lagu dan suruh saya menyanyi lagu
ini. Semuanya berjalan dengan pantas kerana proses rakaman mengambil
masa selama tiga hari sahaja,” kata Fahrin.
Tidak mengikuti sebarang kelas vokal mahupun mempunyai pengalaman
menyanyi secara langsung di hadapan khalayak, Fahrin sendiri berasa
sungguh lucu apabila dia ditebak dengan persoalan adakah dia kini mahu
jadi penyanyi?
“Sebenarnya saya sendiri berasa kelakar sebab selama 10 tahun menjadi
pelakon, ini kali pertama kali saya menyanyi. Sebelum ini saya menyanyi
di karaoke untuk suka-suka sahaja, tidak pernah pun masuk studio
rakaman sebelum merakam lagu untuk drama ini.
“Bagi saya, nyanyian adalah satu cabang yang baharu kerana sebelum
ini saya telah menjadi pengacara, jadi apa salahnya untuk mencuba,”
ujarnya.
Tambah Fahrin, meskipun sudah memiliki sebuah single, dia belum
terfikir untuk menjadikan nyanyian sebahagian daripada kerjaya utamanya.
“Nyanyian sekadar kerjaya sampingan sahaja. Saya lihat dulu respons
peminat terhadap lagu pertama ini, jika ada sambutan bolehlah
diteruskan.
“Jika tidak ada sambutan, inilah lagu pertama dan terakhir saya
(ketawa). Saya bukan ikut trend pelakon jadi penyanyi, tetapi hanya
sahut cabaran yang diberikan kepada saya,” tuturnya.
Bercerita mengenai pengalamannya di studio rakaman membuatkan Fahrin
sedar bahawa menjadi penyanyi bukan satu perkara yang mudah.
“Selepas saya melalui sendiri pengalaman merakam lagu, baru saya
sedar bahawa nyanyian bukan mudah. Sekarang saya lebih menghargai
penyanyi.
“Menyanyi perlukan latihan, tidak mustahil jika saya diberi masa yang
lebih lama, mungkin saya boleh menyampaikan lagu ini dengan lebih baik.
“Bagaimanapun, saya menyedari diri ini boleh menyanyi tetapi bukanlah
penyanyi yang baik. Jika lagu ini diterima peminat, saya sudah cukup
bersyukur,” balasnya.
Abu Dhabi
Berbicara tentang drama bersiri Rindu Bertamu di Abu Dhabi yang
menggantikan drama bersiri popular, Setia Hujung Nyawa, Fahrin yakin
drama lakonannya itu mampu menarik perhatian peminat.
“Drama ini cukup menarik jalan ceritanya kerana naskhahnya berdiri
dengan sendiri. Drama Setia Hujung Nyawa mempunyai ramai pengikut
mungkin kerana cerita daripada sebuah novel popular.
“Saya berharap drama Rindu di Abu Dhabi akan mengatasi drama Setia
Hujung Nyawa. Gementar juga kerana saya dengar rating drama itu sangat
tinggi,” ungkapnya.
Bercakap tentang pengalamannya sepanjang sebulan menjalani
penggambaran drama di Abu Dhabi, kata Fahrin, pada mulanya sukar untuk
menyesuaikan diri.
Namun, keramahan rakyat Malaysia di sana melayan semua kru dan
pelakon menyebabkan mereka merasa seperti berada di tanah air sendiri.
“Abu Dhabi memang tempat yang cantik untuk bercuti tetapi kalau sudah
hampir sebulan duduk di sana tetap rindu nak balik Malaysia. Nasib kami
baik, di sana ramai rakyat Malaysia, jadi tidaklah rasa janggal
sangat,” terangnya.
Drama bersiri 28 episod terbitan Zeel Production yang bersiaran
setiap Isnin hingga Khamis mulai 11 Februari lalu itu mengisahkan
tentang Firdaus (Fahrin) yang membawa diri ke Abu Dhabi kerana difitnah.
Angkara fitnah tersebut, Firdaus terpaksa memutuskan pertunangan
dengan Fatin (Fouziah Gous) dan berkahwin dengan Ain Farohah (Tasha
Shila). kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment