SETELAH kisah percintaan mereka sering diperkatakan media dan
peminat, akhirnya pasangan Zain Saidin, 29, dan Rozita Che Wan, 42,
mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Rozita menerusi sebuah akhbar
semalam yang mendakwa dia dan Zain bakal melangsungkan perkahwinan pada
hujung bulan Julai ini.
Namun ia menimbulkan persoalan kerana hujung Julai merupakan bulan
Ramadan. Justeru, adakah Rozita dan Zain akan berkahwin pada bulan
Ramadan tahun ini?
Bagi mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut, Kosmo! menghubungi kakak Zain iaitu bekas anggota kumpulan Elite, Sasha.
Kosmo!: Bolehkah Sasha komen mengenai kenyataan Rozita yang dia akan berkahwin dengan Zain pada hujung bulan Julai ini?
SASHA: Sebenarnya saya agak terkejut dengan perkara tersebut dan
langsung tidak tahu apa-apa mengenainya. Lagipun saya baru sahaja pulang
dari Sydney, Australia minggu lalu dan Zain sendiri tidak pernah
berbincang apa-apa pun mengenainya (kahwin pada hujung Julai).
Adakah Sasha fikir mereka akan melangsungkan perkahwinan pada bulan tersebut?
Saya rasa ia sesuatu yang agak mustahil memandangkan ketika itu
merupakan bulan Ramadan dan umat Islam sedang berpuasa. Jadi, saya rasa
tidak mungkin mereka akan melangsungkannya pada masa berkenaan.
Apabila berita ini tersebar saya ada menghubungi Zain untuk
mendapatkan penjelasan sebenar. Dia memberitahu saya memang dia dan
Rozita akan berkahwin, tetapi pada hujung tahun dan bukan pada hujung
Julai ini.
Adakah selama ini keluarga merestui hubungan Zain dan Rozita memandangkan umur Rozita dan Zain jauh berbeza iaitu 13 tahun?
Sebagai kakak, saya memang tiada halangan dan Zain bebas memilih
sesiapa sahaja yang ingin menjadi teman hidupnya, asalkan dia gembira
dengan pilihannya itu. Keluarga kami pula memang mengamalkan sikap
terbuka dan merestui hubungan mereka berdua selama ini. Memang faktor
umur tidak menjadi halangan dan semua keputusan terletak di tangan Zain.
Memandangkan Zain akan berkahwin pada tahun ini, bagaimanakah pula
Sasha sendiri, tidakkan ingin kembali mendirikan rumah tangga setelah
bercerai pada tahun lalu?
Keinginan untuk berumah tangga itu memang ada memandangkan saya jenis
wanita yang tidak boleh hidup keseorangan, namun jodoh semuanya
terletak pada kuasa Allah.
Sepanjang bergelar ibu tunggal adakah mana-mana lelaki yang cuba mendekati Sasha?
Tidak dinafikan memang ada yang cuba mendekati dan ingin mengambil
saya sebagai isteri. Buat masa ini, ia masih lagi dalam proses penilaian
dan mengenal hati budi masing-masing. Saya mahu membuat keputusan yang
tepat untuk memilih teman hidup agar pisang tidak berbuah dua kali.
Bagaimanakah dengan perkembangan kerjaya Sasha sekarang ini?
Sehingga kini saya masih lagi aktif dalam dunia lakonan dan drama
terbaharu saya berjudul Cinta Adam dan Hawa sebanyak 26 episod akan
ditayangkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, saya lebih banyak mendapat tawaran membuat pertunjukan
fesyen di merata-rata tempat. Cuma sesekali saya turut diberi peluang
menjadi pengacara sesebuah majlis serta tampil sebagai artis undangan
dalam beberapa buah program TV.
KOSMO
No comments:
Post a Comment