Jom Buat Duit

Showing posts with label Aaron Aziz. Show all posts
Showing posts with label Aaron Aziz. Show all posts

Tuesday, 27 May 2014

Aaron Aziz dan Siti Saleha Raih Keunggulan

"POPULARITI itu bonus. Jika anda datang ke Malaysia semata-mata mahu mengejar glamor, lupakan sahaja niat itu," lancar bicara pelakon Aaron Aziz.

Aaron melontarkan kata-kata itu selepas ditanya mengenai makna populariti serta legasi yang dibinanya sebagai seorang anak seni di Malaysia selepas menjulang trofi kemenangan Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Merungkai maksud tersebut dengan lebih terperinci, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 38, menjelaskan, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian jika ada antara pelakon dari Singapura yang ingin datang ke Malaysia bagi melebarkan sayap.
"Saya akui, Malaysia merupakan sebuah platform terbesar bagi para pelakon Melayu di Singapura untuk menonjolkan bakat dan mengembangkan karier lakonan.

"Justeru, jika ada yang berhasrat untuk masuk ke pasaran ini (industri seni Malaysia), mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berfikir tentang soal populariti," ujarnya.
Tambah Aaron, selain memasang niat yang betul, apa yang penting sewaktu mencari rezeki di tempat orang adalah menjaga disiplin diri.
"Jika kita betul-betul berusaha dan bekerja berlandaskan niat yang betul, maka apa yang diusahakan itu akan membuahkan hasil," katanya.

Pasaran besar
Mengakui lambakan bakat dari Singapura seperti tidak pernah putus mewarnai persada seni tanah air, Aaron berpendapat, trend tersebut dilihat sebagai satu peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang baharu, bukannya medan untuk bersaing sesama sendiri.

"Saya tidak pernah menganggap kebanjiran bakat dari Singapura sebagai satu saingan. Sejak dahulu lagi, kita sudah sedia maklum dengan penghijrahan ramai artis dari Singapura.
"Malaysia boleh diibaratkan seperti Hollywood bagi kami. Nama-nama seperti Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Allahyarham Loloq serta Hamidah Wahab merupakan antara individu yang pernah dan masih mencipta nama di sini.

"Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya terus berkarya dan memenuhi tawaran yang diberikan jika ia kena dengan apa yang saya lakukan kini," ujarnya.
Peranan peminat

Walaupun namanya begitu dikenali di Malaysia, pelakon yang popular menerusi filem Ombak Rindu ini tidak menolak jika menerima tawaran daripada pihak produksi Singapura.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dipanggil untuk berlakon kembali di sana. Malah, saya baru sahaja bersetuju untuk membintangi sebuah telefilem khas di Singapura tidak lama lagi," ujarnya.
Setelah dua kali memenangi anugerah yang sama, Aaron menyifatkan kemenangan kali kedua itu sebagai hadiah serta hasil kerja yang kuat oleh kelab peminatnya, Aaronatics.
"Sejujurnya apabila melihat kepada pencalonan bagi setiap kategori pada kali ini, semuanya terdiri daripada artis-artis muda.

"Disebabkan itu, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang. Alhamdulillah, berkat sokongan dan kepercayaan para peminat.
"Saya sangat bersyukur dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli kelab peminat saya.
Bebas kontroversi

Pada malam itu, nama Siti Saleha tiba-tiba menjadi sebutan apabila pelakon yang pernah popular menerusi drama Nora Elena itu memenangi anugerah bagi dua kategori besar, iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Mengalahkan nama-nama seperti Erra Fazira, Lisa Surihani dan Nora Danish, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 24, sendiri ternyata terkejut dengan kemenangannya itu.
Namun, jelas adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini, pengiktirafan tersebut kini menjadi bukti kehadirannya dalam bidang lakonan disedari oleh khalayak umum.
"Apabila kita memenangi sebarang anugerah, pasti akan ada pihak yang memandang kita dengan lebih serius. Sudah lama saya mengimpikan untuk merasai saat-saat seperti itu.

"Saya percaya, selain dapat mengembangkan jumlah pengikut, anugerah seperti ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk mengembangkan karier sebagai seorang pelakon," katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan saingan pada malam itu begitu kuat.
Mengulas mengenai tawaran berlakon yang bakal diberikan kepadanya selepas ini, Saleha memberitahu, sebelum menjulang anugerah tersebut, dia sudah tersedia selektif dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya.

"Saya tidak semborono ketika memilih watak. Saya sukakan cabaran dan lebih mementingkan kualiti berdasarkan apa yang akan saya lakonkan.
"Jadi, istilah selektif itu perlu bagi memberikan saya peluang mencuba watak yang berlainan bagi setiap drama atau filem yang saya lakonkan," tutur gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Ketika disoal mengenai statusnya sebagai artis bebas kontroversi, Saleha berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah terjebak dengan sebarang gosip sehingga mampu memburukkan namanya.
"Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak.

"Siapa yang mahu dilanda kontroversi? Kalau boleh, apa sahaja yang berkaitan dengan kontroversi saya akan tolak ke tepi. Insya-Allah, saya akan cuba untuk mengekalkan imej bersih ini hingga bila-bila," tuturnya sambil tersenyum.

Melanjutkan perbualan mengenai teman lelaki baharunya, gadis kelahiran England ini lebih selesa untuk tidak menghebahkan kisah cintanya kepada media.
"Saya lebih selesa untuk tidak membicarakan soal cinta. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Portugal dan kini bekerja di sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan. Kosmo

Tuesday, 1 October 2013

Isteri nafi aktor Aaron Aziz maut kemalangan

KUALA LUMPUR - Isteri pelakon terkenal, Aaron Aziz menafikan berita yang tersebar di internet bahawa suaminya mati akibat kemalangan ketika bermain luncur salji di Switzerland sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan peminatnya di laman sosial awal pagi semalam.

Isteri pelakon itu, Diyana Halik melahirkan rasa kesal dengan berita palsu itu sambil memberitahu, Aaron kini berada di Cape Town, Afrika Selatan untuk penggambaran rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia.

Menurut sebuah portal dalam talian, Global Associated News, kira-kira pukul 3 pagi semalam, pelakon filem Ombak Rindu itu dilaporkan meninggal dunia selepas hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok ketika bermain luncur salji di Zermatt, Switzerland. Kosmo

Tuesday, 23 October 2012

Aaron Aziz nafi isteri pilih heroin lakonan


KELUARGA bahagia. Aaron bersama Diyana dan tiga anak mereka (dari kiri)Dahlia Arissa, 2 tahun, Danish Anaqi, 8 tahun dan Dwi Arinna, 6 tahun.



SEBARANG cerita yang melibatkan Aaron Aziz semua orang ingin tahu sehinggakan timbul kisah yang peminat fanatik aktor kacak itu marah-marah apabila Aaron dikatakan ‘tangkap muat’ dengan menerima tawaran berlakon drama dan filem yang dirasakan tidak sesuai dengan status dirinya sebagai ‘Hero Pujaan Malaya’.

Mengambil contoh filem Datin Ghairah dan terbaharu, Ngorat yang dikatakan tidak sesuai dibintangi Aaron, peminat juga mahukan Aaron lebih selektif dalam pemilihan drama mahupun filem selepas ini. Itulah penangan pelakon yang membawakan watak Adam dalam drama hebat yang kini ditayangkan di Astro, Adam & Hawa.

Akibat daripada populariti yang diraih Aaron, 36, tempiasnya turut terkena isteri Aaron, Diyana Halik, 30, yang juga ibu kepada tiga anak mereka, Danish Anaqi, 8 tahun, Dwi Arinna, 6 tahun dan Dahlia Arissa, 2 tahun. Cerita mengenai Diyana yang dikatakan sering mengawal Aaron dan kuat cemburu bukan lagi perkara baharu.

Perkara itu menjadi bertambah hangat apabila kelmarin, akhbar Kosmo! Ahad dalam ruangan gosipnya menampilkan kisah seorang isteri kepada aktor yang dilabelkan sebagai menjadi ‘pujaan Malaya’ ketika ini. Isterinya itu dikatakan sudah berani memberi cadangan bagi menentukan calon heroin yang sesuai bergandingan dalam produksi lakonannya.
Dalam perkataan yang mudah, isteri aktor itu membuat cadangan aktres yang boleh bergandingan dengan suaminya itu. Biarpun tidak menyebut nama Aaron dan Diyana, namun umum boleh mengagak gosip ditujukan kepada pasangan Aaron dan Diyana.
Enggan membuat sebarang telahan palsu, Kosmo! menghubungi Aaron untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Kosmo!: Ada peminat yang kurang senang apabila Aaron berlakon dalam filem-filem ringan seperti Datin Ghairah dan Ngorat. Boleh Aaron komen?
AARON: Sebagai pelakon saya bukan diva yang suka memilih watak. Saya juga tidak mahu orang menganggap hanya memilih watak-watak yang serius sahaja. Watak dalam filem Ngorat adalah satu watak berlainan yang harus saya cuba.


Adakah selepas ini Aaron akan berlakon lagi dalam drama mahupun filem-filem ringan walaupun peminat tidak suka?
Ya, saya akan terima. Saya juga tidak mahu timbul cerita yang mengatakan saya memilih watak. Walau bagaimanapun, saya akan lihat terlebih dulu watak dan jalan cerita sama ada ia sesuai dengan saya.

Setiap drama dan filem lakonan Aaron semuanya mendapat sambutan hebat. Bagaimanakah penerimaan Aaron terhadap perkara itu?
Saya anggap itu sebagai rezeki namun tidak bermakna semua drama mahupun filem lakonan saya akan mendapat sambutan hebat. Apa yang boleh saya cakapkan, drama-drama dan filem-filem lakonan saya sukses disebabkan pelbagai faktor seperti jalan cerita, skrip, arahan dan juga daripada semua tenaga produksi.

Sekarang ini, drama lakonan Aaron iaitu Adam & Hawa begitu mendapat sambutan selepas drama Nora Elena pada tahun lepas. Apakah perasaan Aaron tentang perkembangan tersebut?
Saya rasa drama itu popular hasil daripada impak novel itu sendiri yang popular dan laris di pasaran.

Jika dahulu isteri anda dikhabarkan mengawal anda, kini timbul cerita mengatakan Diana menentukan siapakah heroin yang layak berlakon di samping anda. Benarkah?
Tidak adalah. Sebenarnya ia terpulang kepada pihak produksi yang menentukan siapa pelakon-pelakonnya. Memang ada penerbit yang bertanya kepada saya mahu berlakon dengan heroin mana tetapi kata putus tetap dibuat oleh saya bukan Diana.
Dengarnya anda akan berlepas ke Akrika Selatan keesokan harinya untuk program rancangan realiti Fear Factor Asia (FFA). Kongsikan.
Saya akan berada di Afrika Selatan untuk rakaman program rancangan realiti Fear Factor Asia sehingga 17 November ini. Saya bukan sahaja bertindak sebagai pengacara program ini tetapi turut melakukan aksi-aksi lasak dan berbahaya. Semalam saya baru selesai buat aksi di dalam kontena yang dipenuhi oleh ular untuk promo program ini.

Selain daripada itu apakah aktiviti anda lagi?
Saya baru selesai menjalani penggambaran filem Lari arahan Ahmad Idham. Filem baharu saya iaitu Dampak dan Cicakman 3 bakal menyusul di pawagam tidak lama lagi. Pada bulan Disember nanti, saya akan mengikuti kunjungan ke Vietnam dan Korea sempena kejayaan Anugerah Bintang popular (ABP).

Kosmo

Sunday, 24 June 2012

Aaron sah kini penduduk tetap Malaysia


AARON dan isterinya, Diyana Halik kini berstatus Pemastautin Tetap Malaysia.


POPULARITI ada habuan kepada pemiliknya. Baik atau buruk, populariti menjadikan seseorang artis itu berada di satu tempat istimewa berbanding artis yang kurang popular. Seperti yang berlaku kepada Aaron Aziz, 36, sejak memenangi hati rakyat Malaysia sehingga bergelar Artis Paling Popular 2011, apa sahaja cerita terbaharu dirinya akan mendapat perhatian ramai.

Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, kini Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. Namun, perkara itu barangkali bukanlah lagi satu beban yang merunsingkan buat Aaron. Persoalan tentang status PR Aaron yang selama ini dibangkitkan bukan lagi satu tanda tanya.
Pertengahan minggu lepas, satu sumber Sensasi Bintang membongkar status permohonan PR oleh Aaron yang didakwa telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Turut dilampirkan dalam e-mel tersebut ialah salinan kad MyPR milik isteri Aaron, Diyana Halik. Jumaat lalu, Sensasi Bintang berjaya menghubungi Aaron Aziz untuk mendapatkan pengesahan.

Bercakap kepada Sensasi Bintang, kata Aaron mengesahkan dia dan isterinya kini pemegang MyPR.
"Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.

"Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak," akui Aaron setelah meneliti semula gambar kiriman e-mel sebelum memberikan keterangan lanjut.
Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak KDN untuk memberikan penjelasan.
"Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati syarat yang ditetapkan," katanya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.
Sebagai rekod, Aaron sebelum ini mendakwa Malaysia dekat di hatinya. Itulah antara sebab mengapa pelakon yang hangat menerusi filem KL Gangster itu memohon PR. Pelakon yang berasal dari Singapura itu memohon taraf penduduk tetap pada Ogos 2011.

Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian usai menjulang anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu itu menjadi kecoh apabila kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang ketika itu bercakap atas kerusi Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti itu dimenangi pelakon warga Singapura.
Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada KDN. Namun, selepas berita itu disebarkan oleh portal Gua.com, Aaron dalam satu kenyataan menafikan pengakuannya tentang kelulusan status PR berkenaan.
"Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen sulit pihak lain," kata Aaron sedikit kesal tetapi berterima kasih kepada Kosmo!

Akhiri Aaron: "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anda dan Kosmo! disebabkan berusaha mendapatkan pengesahan daripada saya sendiri dan tidak menyiarkan gambar kiriman e-mel tersebut tanpa kebenaran daripada saya."

Wednesday, 23 May 2012

Aaron Aziz tunai umrah lagi


SELEPAS bergelar bintang paling popular baru-baru ini, aktor Aaron Aziz kini menunaikan umrah buat kali kedua bersama isterinya, Diyana Halik pada 18 Mei lalu.
Menurut Aaron yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yourgurt di Kuala Lumpur sehari sebelum berangkat ke Mekah, pemergiannya selama 12 hari ke sana juga disebabkan penggambaran drama Adam & Hawa di sana.

"Saya dan kru penggambaran akan menunaikan umrah terlebih dahulu, selepas itu kami akan memulakan penggambaran di luar kota Mekah," ujarnya.
Jika umrah yang dilakukan tahun lalu Aaron berdoa supaya segala urusan pertukaran status penduduk tetap di Malaysia dipermudahkan, umrah kali ini pula, katanya, dia ingin berdoa dan mengucapkan tanda syukur atas kejayaan yang dinikmatinya hari ini.

"Sebenarnya selepas umrah yang pertama, saya dan isteri merancang untuk menunaikan umrah setiap tahun. Namun, jadual saya tahun ini sangat sibuk, Alhamdulillah tidak sangka akan menunaikan umrah sekali lagi walaupun terikat dengan kerja.

"Tujuan saya menunaikan umrah kerana saya ingin berterima kasih dengan Allah atas rezeki, kerjaya dan keluarga yang membuatkan saya bahagia," katanya yang akan membintangi filem Cicakman 3.
Selepas selesai dengan penggambaran drama Adam & Hawa sebanyak 80 episod pada pertengahan bulan Jun depan, Aaron akan sibuk di set penggambaran drama aksi berjudul Dampak.

Saturday, 19 May 2012

Doa Aaron Aziz makbul


TAHUN lalu, dia berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan sejak itu Aaron Aziz, 36, serta isterinya, Diana Halik, 30 berhasrat untuk menunaikan umrah setiap tahun. Pun begitu, sesudah menyemak kalendar aktiviti seninya, hasrat itu terpaksa dilupakan dulu memandangkan jadualnya padat dengan penggambaran filem serta drama.
Namun, kalau sudah rezeki biar wujud rintangan sekalipun, ia pasti tetap menjadi milik kita. Soal rezeki, siapa yang mampu menidakkan kerana itu urusan Yang Maha Esa.

“Sejak kali pertama menunaikan umrah tahun lalu, saya dan Diana memang berharap supaya dapat menunaikan ibadah ini setiap tahun. Tapi selepas melihat jadual yang sangat padat sepanjang tahun, kami akur.

“Pun begitu, tuhan seakan mendengar suara hati kami. Tanpa disangka-sangka, penggambaran drama 80 episod, Adam dan Hawa terbitan Global Station Sdn. Bhd memilih Makkah sebagai salah satu lokasinya.
“Sambil bekerja, semestinya kunjungan ke Makkah itu akan kami manfaatkan untuk menunaikan ibadah umrah. Saya terlalu ingin untuk mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Yang Maha Esa di atas rezeki melimpah ruah diberikan-Nya dan berharap doa saya di sana kelak dimakbulkan,” katanya.

Khamis lalu, bintang kelahiran Singapura itu yang ditemui di Tanjung Lounge Riverside, Pusat Dagangan Dagangan Dunia Putra (PWTC) secara rasmi dilantik sebagai duta, YourGurt.

YourGurt yang membawa maksud ‘anda dan yogurt’, adalah sebuah restoran hidangan ringan jenama baru yang bakal menjadi pilihan ramai. Ia akan beroperasi secara rasmi bermula esok di Bandar Baru Bangi.

Konsep YourGurt ialah sebuah restoran keluarga di mana setiap outlet yang bakal dibuka digalakkan menyediakan ruang permainan kanak-kanak di samping ibu-bapa dan keluarga menikmati keenakan produk YourGurt.

YourGurt adalah produk keluaran tempatan yang diilhamkan syarikat Bumiputera di mana hampir 90 produk jenama itu diasaskan daripada ekstrak buah-buahan.

Pelantikan penerima Anugerah Bintang Paling Popular, Berita Harian 2011 itu, dinilai berdasarkan beberapa faktor dan tentunya paling utama pemilik nama sebenar, Aaron Mustapha Aziz itu memiliki ciri-ciri dikehendaki produk berkenaan.

Tidak sekadar menjadi idola kepada jutaan peminat, Aaron juga seorang ikon yang boleh dijadikan contoh kerana dalam kesibukan kerjaya, dia mampu mengimbangi kehidupan peribadi serta mengutamakan keluarganya.

“Saya berasa teruja untuk bekerjasama dalam projek ini dan berharap pelantikan saya sebagai duta dapat membantu mengembangkan perniagaan itu.

“Terus-terang saya bukan penggemar yogurt tetapi anak-anak dan isteri saya sukakan yogurt. Bagaimanapun, pada hari kami menjalankan fotografi produk ini, pengarah juga pengasas YourGurt, Ainna Ibrahim minta saya mencuba yogurt buatannya dan saya dapati ia sangat sedap. Isteri saya juga menyukainya.

“Saya mengambil peluang untuk menjadi duta pemakanan yogurt ini kerana yogurt salah satu hidangan berkhasiat diperbuat daripada ekstrak buah-buahan. Saya lebih menggalakkan anak-anak makan yogurt daripada aiskrim.
“Selain itu, saya rasa bangga kalau ada bangsa Melayu ingin mengusahakan perniagaan besar seperti ini dengan memperkenalkan sistem francais. Saya suka hendak membantu orang Melayu lebih berjaya.

“Tambahan pula perniagaan ini mengetengahkan konsep kekeluargaan dan diusahakan pasangan suami isteri, Ainna Ibrahim serta suaminya. Kerjaya saya sendiri pun diuruskan isteri. Justeru saya merasakan matlamat perniagaan ini boleh dikaitkan dengan kehidupan peribadi.

“Perusahaan restoran Yourgurt ini bukan untuk bersaing dengan produk sedia ada. Tetapi kami berharap produk buatan Bumiputera ini dapat menempatkan diri dalam industri makanan sebagaimana jenama francais yang lain,” katanya.

Sepintas lalu mencoret aktiviti seninya, selain masih terikat dengan penggambaran siri Adam dan Hawa sehingga Jun, Aaron akan memasuki set penggambaran filem Dampuk tidak lama lagi.

Sesudah itu, terbabit pula dengan Cicakman 3 yang turut dibintangi Zizan Razak. Manakala untuk beberapa projek yang menantinya masih dalam perbincangan.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters