"POPULARITI itu bonus. Jika anda datang ke Malaysia semata-mata mahu
mengejar glamor, lupakan sahaja niat itu," lancar bicara pelakon Aaron
Aziz.
Aaron melontarkan kata-kata itu selepas ditanya mengenai makna
populariti serta legasi yang dibinanya sebagai seorang anak seni di
Malaysia selepas menjulang trofi kemenangan Bintang Paling Popular pada
majlis Anugerah Bintang Popular 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Merungkai maksud tersebut dengan lebih terperinci, Aaron atau nama
sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 38, menjelaskan, banyak perkara lain
yang perlu diberi perhatian jika ada antara pelakon dari Singapura yang
ingin datang ke Malaysia bagi melebarkan sayap.
"Saya akui, Malaysia merupakan sebuah platform terbesar bagi para
pelakon Melayu di Singapura untuk menonjolkan bakat dan mengembangkan
karier lakonan.
"Justeru, jika ada yang berhasrat untuk masuk ke pasaran ini
(industri seni Malaysia), mereka perlu bersedia dari segi mental dan
fizikal sebelum berfikir tentang soal populariti," ujarnya.
Tambah Aaron, selain memasang niat yang betul, apa yang penting
sewaktu mencari rezeki di tempat orang adalah menjaga disiplin diri.
"Jika kita betul-betul berusaha dan bekerja berlandaskan niat yang
betul, maka apa yang diusahakan itu akan membuahkan hasil," katanya.
Pasaran besar
Mengakui lambakan bakat dari Singapura seperti tidak pernah putus
mewarnai persada seni tanah air, Aaron berpendapat, trend tersebut
dilihat sebagai satu peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang
baharu, bukannya medan untuk bersaing sesama sendiri.
"Saya tidak pernah menganggap kebanjiran bakat dari Singapura sebagai
satu saingan. Sejak dahulu lagi, kita sudah sedia maklum dengan
penghijrahan ramai artis dari Singapura.
"Malaysia boleh diibaratkan seperti Hollywood bagi kami. Nama-nama
seperti Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Allahyarham Loloq serta Hamidah
Wahab merupakan antara individu yang pernah dan masih mencipta nama di
sini.
"Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya terus berkarya dan memenuhi
tawaran yang diberikan jika ia kena dengan apa yang saya lakukan kini,"
ujarnya.
Peranan peminat
Walaupun namanya begitu dikenali di Malaysia, pelakon yang popular
menerusi filem Ombak Rindu ini tidak menolak jika menerima tawaran
daripada pihak produksi Singapura.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dipanggil untuk berlakon
kembali di sana. Malah, saya baru sahaja bersetuju untuk membintangi
sebuah telefilem khas di Singapura tidak lama lagi," ujarnya.
Setelah dua kali memenangi anugerah yang sama, Aaron menyifatkan
kemenangan kali kedua itu sebagai hadiah serta hasil kerja yang kuat
oleh kelab peminatnya, Aaronatics.
"Sejujurnya apabila melihat kepada pencalonan bagi setiap kategori pada kali ini, semuanya terdiri daripada artis-artis muda.
"Disebabkan itu, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan
untuk menang. Alhamdulillah, berkat sokongan dan kepercayaan para
peminat.
"Saya sangat bersyukur dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli kelab peminat saya.
Bebas kontroversi
Pada malam itu, nama Siti Saleha tiba-tiba menjadi sebutan apabila
pelakon yang pernah popular menerusi drama Nora Elena itu memenangi
anugerah bagi dua kategori besar, iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan
Pelakon TV Wanita Popular.
Mengalahkan nama-nama seperti Erra Fazira, Lisa Surihani dan Nora
Danish, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 24,
sendiri ternyata terkejut dengan kemenangannya itu.
Namun, jelas adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini,
pengiktirafan tersebut kini menjadi bukti kehadirannya dalam bidang
lakonan disedari oleh khalayak umum.
"Apabila kita memenangi sebarang anugerah, pasti akan ada pihak yang
memandang kita dengan lebih serius. Sudah lama saya mengimpikan untuk
merasai saat-saat seperti itu.
"Saya percaya, selain dapat mengembangkan jumlah pengikut, anugerah
seperti ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk
mengembangkan karier sebagai seorang pelakon," katanya yang tidak
meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan saingan pada malam itu
begitu kuat.
Mengulas mengenai tawaran berlakon yang bakal diberikan kepadanya
selepas ini, Saleha memberitahu, sebelum menjulang anugerah tersebut,
dia sudah tersedia selektif dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya.
"Saya tidak semborono ketika memilih watak. Saya sukakan cabaran dan
lebih mementingkan kualiti berdasarkan apa yang akan saya lakonkan.
"Jadi, istilah selektif itu perlu bagi memberikan saya peluang
mencuba watak yang berlainan bagi setiap drama atau filem yang saya
lakonkan," tutur gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Ketika disoal mengenai statusnya sebagai artis bebas kontroversi,
Saleha berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah terjebak dengan
sebarang gosip sehingga mampu memburukkan namanya.
"Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak.
"Siapa yang mahu dilanda kontroversi? Kalau boleh, apa sahaja yang
berkaitan dengan kontroversi saya akan tolak ke tepi. Insya-Allah, saya
akan cuba untuk mengekalkan imej bersih ini hingga bila-bila," tuturnya
sambil tersenyum.
Melanjutkan perbualan mengenai teman lelaki baharunya, gadis
kelahiran England ini lebih selesa untuk tidak menghebahkan kisah
cintanya kepada media.
"Saya lebih selesa untuk tidak membicarakan soal cinta. Apa yang saya
boleh beritahu, dia berasal dari Portugal dan kini bekerja di sebuah
syarikat kewangan di Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan. Kosmo
No comments:
Post a Comment