NEW YORK - Seorang kekasih kepada penumpang sebuah pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu telah menerima
ancaman bunuh, lapor portal berita NBC News semalam.
Ancaman bunuh itu diterima oleh Sarah Bajc yang merupakan kekasih
kepada warga Amerika Syarikat (AS), Philip Wood, 50, iaitu penumpang
pesawat MAS tersebut.
Bajc menerima ancaman itu dalam bentuk mesej menerusi telefon bimbit
yang menyatakan: "Saya akan datang dan giliran anda dibunuh."
Ancaman itu diterima beberapa minggu selepas pesawat MH370 itu hilang
pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Bajc turut menerima gambar-gambar pornografi dan panggilan yang
dianggap 'menyeramkan' diterima dari nombor yang berpangkalan di China.
Menurutnya, apartmennya juga telah diceroboh sebanyak dua kali di Beijing.
"Sesiapa yang datang menceroboh itu tidak begitu berhati-hati kerana
saya merupakan seorang yang cerewet berhubung penyusunan barang-barang
dengan teratur dan kemas.
"Justeru, ia menjadi sesuatu yang amat jelas apabila saya melihat beberapa barang telah dialihkan (dari kedudukan asal).
"Pengemas rumah saya pergi keluar ke bandar raya. Justeru, perbuatan
mengalihkan barang itu bukan dilakukan olehnya. Saya pula pulang ke
rumah sebelum anak lelaki saya.
"Kata laluan peti deposit saya telah dibetulkan semula kerana ia
berlaku setiap kali anda cuba memasukkan kod yang salah sebanyak tiga
kali, " katanya.
Bajc berkata, kali terakhir rumahnya diceroboh adalah dua minggu lalu.
"Jiran saya melihat dua orang meninggalkan apartmen saya," katanya.
Bajc merupakan antara 350 keluarga yang meminta supaya data radar
asal dari pesawat MH370 didedahkan untuk dibuat analisis oleh pihak yang
bebas.
Dalam sepucuk surat kepada para pemimpin di Malaysia, China dan
Australia, waris-waris keluarga MH370 mempersoalkan bagaimana pihak
berkuasa membuat kepastian bahawa pesawat Boeing 777 milik MAS itu
terhempas di selatan Lautan Hindi.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Sebanyak 153 penumpang adalah warga China.
Sebelum pesawat itu hilang, Bajc sedang melakukan persediaan untuk
berpindah dari Beijing ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama Wood yang
bekerja dengan syarikat komputer IBM di Malaysia.
Menurut Bajc, panggilan-panggilan telefon itu tidak lagi diterimanya
selepas seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan menyiasat kejadian
tersebut.
Setakat ini, tiada serpihan pesawat itu yang ditemui dalam operasi mencari di selatan Lautan Hindi. - Agensi
No comments:
Post a Comment