MARBELLA, Sepanyol - Seorang jutawan warga Britain ditahan pihak
berkuasa Sepanyol kerana didakwa mengurung dan menjadikan sembilan model
wanita sebagai hamba seks sehingga melahirkan tujuh orang anak, lapor
akhbar Daily Mail semalam.
Jutawan tersebut, Shoja Shojai, 56, didakwa menggoda wanita terbabit
dengan mendakwa dia seorang usahawan minyak dan mempunyai hubungan baik
dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Rusia,
Vladimir Putin.
Semua wanita tersebut yang berasal dari Eropah dan Asia termasuk
Rusia, Jerman, Mongolia dan Kazakhtan memberitahu bahawa mereka menemui
Shojai ketika belajar di sebuah sekolah fesyen di London.
Satu sumber berkata, sembilan wanita tersebut mendakwa mereka
berjumpa dengan Shojai beberapa tahun lalu dan lelaki terbabit mempelawa
mereka ke Sepanyol untuk mengembangkan karier sebagai model.
Bagaimanapun, apabila tiba di Sepanyol, semua wanita tersebut
dikurung di dalam sebuah rumah mewah yang mempunyai 10 buah bilik di
Marbella dan bergilir-gilir tidur dengan mangsa.
Wanita tersebut memberitahu polis, mereka hanya dibenarkan keluar dari rumah tersebut dengan diiringi seorang pemandu.
Kata sumber itu lagi, semua wanita terbabit terpaksa mengikuti arahan
Shojai kerana dia mengancam untuk mencederakan anak serta keluarga
mangsa.
Bagaimanapun, tindakan Shojai itu akhirnya terbongkar selepas salah
seorang wanita tersebut menghubungi polis untuk meminta bantuan.
Semua wanita dan anak mereka yang berusia sembilan bulan hingga tujuh tahun kini di bawah jagaan pihak berkuasa.
Shojai yang dibebaskan dengan ikat jamin selepas disoal siasat oleh
polis atas tuduhan melakukan keganasan domestik menafikan dakwaan
wanita-wanita tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment