ANTARA senyuman dan tangisan, dua emosi tersebut bersulam tanpa henti sepanjang hari Jumaat itu. Tarikhnya, 2 Mei 2014.
Ada sebab besar mengapa emosi itu bercampur-baur dalam diri penyanyi Misha Omar atau Samihah @ Aishah Omar.
Dia akhirnya berjaya bernikah dengan lelaki yang telah lama menjadi
separuh dirinya, Firos Ezzwan Rossly atau Firos selepas dua kali
perancangan bernikah ditangguhkan.
Sementelah usia lapan tahun berkenalan - bercinta - putus - bercinta
semula dan bertunangan sudah cukup lengkap untuk membuat mereka bersatu.
Dengan sekali lafaz, maka bersatulah dua hati itu di hadapan
jurunikah Imam Masjid Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat dan lebih
200 tetamu yang terdiri dalam kalangan ahli keluarga kedua belah pihak
dan sahabat terdekat.
Tiada sebarang wang yang diterima wanita berusia 32 tahun itu.
Sebaliknya, dia hanya menerima seutas gelang emas sebagai simbolik mas
kahwin serta berbalas lima dulang hantaran.
Namun, ibu mertuanya, Asmah Kenin telah menghadiahkan seutas rantai
emas sebagai cenderahati menerima kehadirannya dalam keluarga
juruterbang tersebut.
Bercakap mengenai tindakan tidak menerima wang, Misha menyifatkan
seperti mana tinggi dan mahalnya nilai emas, begitulah nilai cinta
mereka.
"Duit boleh habis, tetapi simbolik mahalnya emas, sama seperti cinta
kami yang selama lapan tahun ini sempat dilanda badai yang bukan
sedikit, namun tetap utuh. Insya-Allah saya berdoa agar hubungan cinta
dan rumah tangga kami harmoni," katanya.
Bagi Firos pula, cinta yang dimeterai dengan ikatan perkahwinan
memberi satu tanggungjawab yang baharu buatnya untuk membahagiakan dan
melaksana amanah seorang suami dengan sebaik mungkin.
Sementara majlis pernikahan berlangsung lancar pada sebelah pagi,
pada sebelah malam, saat meraikan kemenangan cinta mereka di Hotel
Renaissance Kota Bharu, Kelantan, Misha yang begitu jelita dalam
persalinan pengantin songket kontemporari ciptaan pereka busana Syaiful
Bahrim meluahkan rasa.
"Ini rezeki berkat kesabaran saya dan suami. Ini bukti bahawa saya
bukan janda seperti yang difitnah sebelum ini. Hanya lelaki ini (Firos)
yang saya nikahi," ada baur sebak dan gembira dalam pengakuan tersebut.
Misha turut menyelitkan sebuah pesanan buat kakaknya yang juga
pengurus yang telah menguruskan kariernya lebih 10 tahun lalu, Mimie.
Pesan Misha, supaya selepas pernikahannya, Mimie boleh berhenti
memikirkan tentang dirinya, sebaliknya sama-sama menjalani satu fasa
baharu dalam kehidupannya.
"Mimie, sila fikirkan tentang diri anda sendiri kerana saya kini
telah bersuami. Saya harap kita sama-sama akan dapat merentas fasa
baharu dalam hidup dengan baik. Jangan bimbang kerana adikmu ini akan
berusaha untuk belajar menjadi lebih baik," luahnya yang disambut
juraian air mata oleh Mimie yang juga merupakan tulang belakang majlis
perkahwinannya pada hari itu.
Sebelum rasa itu dihamburkan, adik penyanyi itu, Nina terlebih dulu
memberi sebuah ucapan yang membuat lebih 400 tetamu tergamam sendiri.
Dalam canda ucapannya, Nina mengakhirinya dengan deraian air mata dan
turut menyifatkan perkahwinan Misha sebagai sebuah perjuangan panjang
yang berakhir dengan kemenangan besar.
Katanya: "Ma, saya harap selepas ini tidak ada lagi yang menelefon dan bertanya tentang hal bukan-bukan tentang Misha.
"Buat kakak, saya harap anda sudah boleh berhenti menangis kerana
anda sudah menang besar dengan kesabaran yang anda lalui selama ini."
Perkara yang mereka bangkitkan itu cukup relevan dan terkesan kerana
Misha sebelum ini didakwa telah berkahwin dan menyembunyikan status
janda kepada seorang usahawan.
Justeru, apabila penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu cinta itu
bernikah dengan Firos, seluruh keluarganya menyifatkan hari bersejarah
tersebut sebagai hari kemenangan mereka semua.
Tidak mempunyai sebarang perancangan keluarga, akui Misha pada usia
bukan lagi muda, dia dan Firos mahu segera menimang cahaya mata. Namun,
ia bergantung kepada rezeki yang Tuhan berikan buat mereka.
"Memang saya sudah punya seorang anak (Adam Emir, anak angkat), namun
saya mahu merasa jadi wanita hamil dan kembali menguruskan seorang anak
kecil seperti pernah saya lalui sebelum ini," kata Misha.
Bercakap tentang kerjaya seninya pula, Misha memberitahu, dia akan
terus aktif menyanyi, tetapi selektif terhadap tawaran berlakon supaya
tidak melanggar sensitiviti sebagai seorang isteri dan mempunyai
keluarga yang besar untuk diberi perhatian.
Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung sempurna seperti yang diinginkan, ironinya sempat berhadapan masalah.
Akui Misha, 10 hari sebelum majlis berlangsung, pihaknya menarik diri
untuk memakai khidmat pihak pengurusan majlis dari Kelantan kerana
kekangan bajet.
Dalam gundah, dia akhirnya diselamatkan oleh pihak Faboulos yang menawarkan harga dalam bajet mereka.
"Walaupun saya seorang artis, soal bajet masih menjadi masalah buat
saya kerana semuanya dilakukan tanpa tajaan. Justeru, kerana kekangan
bajet, saya terpaksa menolak khidmat sebuah pengurusan majlis dan
digantikan dengan yang lain.
"Alhamdulillah, dalam gawat dengan pelbagai lagi isu yang melanda
sebelum majlis berlangsung, semuanya dapat diselesaikan satu persatu.
"Saya kini mohon doa semua pihak agar mendoakan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat," luah penyanyi itu. Kosmo
No comments:
Post a Comment