PASUKAN berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) rebah di
kaki Tok Gajah apabila tewas 0-1 pada aksi separuh akhir kedua kempen
Piala FA 2014 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Pahang melangkah bergaya ke final
dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri 1-1 pada separuh akhir
pertama di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin, Johor Bahru pada 5 Mei
lalu.
Peluang beraksi di gelanggang sendiri malam tadi dimanfaatkan
sepenuhnya oleh anak-anak buah Zainal Abidin Hassan itu yang tampil
dengan aksi mantap di hadapan lebih 32,000 penyokong fanatik mereka.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd. Faizol Hussain pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan Pahang ke final.
Pahang bakal bertemu pemenang antara Kelantan dengan Felda United
yang akan turun membuat perhitungan di Stadium Shah Alam malam ini.
Final dijadualkan berlangsung pada 7 Jun nanti sementara tempatnya akan ditentukan kemudian.
Kali terakhir pasukan Pahang menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.
Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak
permainan pantas dan memiliki peluang sama rata untuk menghasilkan
jaringan.
Namun, penyudah yang kurang kemas menafikan mereka untuk memecah kebuntuan.
Tok Gajah mendapat peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi R. Gopinathan pada minit keenam, namun percubaannya tersasar.
Skuad Harimau Selatan turut memperoleh peluang untuk melakukan
jaringan menerusi penyerang import, Luciano Gabriel Figueroa namun
tandukannya hasil sepakan sudut daripada Safiq Rahim pada minit ke-14
mudah dibaca penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Khalid.
Kedudukan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, jurulatih Johor DT, Bojan Hodak melakukan
perubahan taktikal dengan memasukkan Safee Sali bagi menggantikan Amirul
Hadi Zainal, namun perubahan tersebut tidak membawa kelebihan kepada
pasukan pelawat.
Gol yang dinanti-natikan akhirnya hadir pada minit ke-81 dan Mohd.
Faizol mudah menyempurnakannya menerusi rembatan deras dari luar kotak
penalti yang terus menerjah di penjuru kiri gawang lawan.
Selepas itu, Pahang terus bertahan bagi memastikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.Kosmo
No comments:
Post a Comment