Jom Buat Duit

Showing posts with label Que Haidar. Show all posts
Showing posts with label Que Haidar. Show all posts

Tuesday, 30 October 2012

Que Haidar akui selektif


KELUARGA bahagia. Que dan Linda bersama tiga permata hati mereka, (dari kiri) Ratu, Qalif dan Cleopatra.


BAKAT Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau lebih mesra disapa Que Haidar dalam bidang lakonan tidak perlu disangkal lagi.
Kehebatannya beraksi dalam filem-filem pecah panggung seringkali meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat. Antara filem-filem popular lakonannya termasuklah KL Menjerit 1, Zombie Kampung Pisang, Castello dan Cinta.

Walau bagaimanapun, selepas mengakhiri zaman bujangnya dengan pereka tari terkemuka, Linda Jasmine kira-kira dua tahun yang lalu, pelakon yang pernah menerima anugerah Aktor Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 ini mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam bidang lakonan.

Keputusan yang diambil olehnya ketika itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuklah penggiat industri filem tanah air dan juga para peminatnya. Ada yang mengatakan Que 'memilih bulu' dan hanya akan bekerja dengan orang-orang tertentu sahaja.
Ada juga cakap-cakap nakal yang menuduh Que agak cerewet dalam pemilihan skrip yang ditawarkan kepadanya.

Ikuti penjelasan Que mengenai isu berkenaan ketika ditemui di majlis cukur jambul anak keduanya yang kini berusia kira-kira tujuh bulan, Tengku Cleopatra Haidar.
Majlis yang berlangsung di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur kelmarin itu turut dihadiri dua lagi anak mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 tahun, dan anak Linda daripada perkahwinan terdahulu, Qalif Khan, 12 tahun.

Kosmo!: Benarkah Que cerewet dalam memilih skrip filem?
QUE: Memang tidak dinafikan, saya agak selektif dalam pemilihan skrip. Saya kini telah bergelar bapa kepada tiga orang cahaya mata, jadi saya harus peka dengan beberapa perkara sebelum saya menerima tawaran berlakon sesebuah filem. Antara perkara yang harus diambil kira termasuklah waktu penggambaran, lokasi serta jalan cerita itu sendiri.

Jadi, adakah itu sebab utama Que menghilangkan diri selama ini?
Tidak juga. Walaupun saya jarang muncul di kaca TV dan layar perak, saya sebenarnya masih aktif di belakang tabir. Saya agak sibuk mengajar di bengkel serta kelas lakonan. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Adakah Que akan terus berhenti berlakon selepas bergelar usahawan?
Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya harus meneliti sesebuah skrip itu terlebih dulu sebelum saya menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan muncul dengan filem Rock 2, arahan Mamat Khalid yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem tersebut?
Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai Amy Mat Piah yang tidak mempunyai bakat tetapi menyimpan impian dan bercita-cita tinggi untuk bergelar seorang penyanyi.

Setelah lama menghilang, mengapa Que memilih untuk berlakon filem di bawah arahan Mamat Khalid?
Setelah membaca skrip filem Rock 2, secara peribadi, saya rasakan filem ini adalah antara filem terbaik garapan Mamat Khalid. Dari situ, saya berasa teruja dan timbul minat untuk berkerjasama dengannya buat kali kedua.

Bagaimana kehidupan setelah bergelar seorang bapa?
Alhamdulillah, saya seronok menjadi seorang bapa. Kehidupan saya sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Kini, keluarga menjadi fokus utama bagi saya.

Boleh ceritakan hubungan Que dengan Qalif?
Saya menganggap Qalif seperti anak saya sendiri. Dia rapat dengan saya dan kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Qalif sangat sukakan cabaran. Jadi, saya selalu membawanya keluar melakukan aktiviti-aktiviti riadah termasuklah berkhemah di dalam hutan.

Bagaimana pula hubungan Ratu dan Cleo?
Ratu sangat 'gilakan' adiknya Cleo. Di rumah, dia seolah-olah badut dan sering membuat Cleo ketawa.

Sebagai seorang ketua keluarga, bagaimana Que menghabiskan masa bersama-sama isteri dan anak-anak?
Sudah menjadi tradisi, pada setiap malam Jumaat, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton televisyen bersama-sama. Bagi saya, itu adalah masa yang sesuai untuk bertukar-tukar cerita dan bermesra dengan anak-anak.

Apakah pandangan Que jika anak-anak mahu mengikut jejak langkah Que dan Linda?
Saya rasa setiap kanak-kanak haruslah diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan perkara yang mereka suka. Jika anak-anak saya cenderung ke arah bidang hiburan, saya pasti akan menyokong seratus peratus. Anak kedua saya, Ratu yang kini berusia tiga tahun sangat suka menari. Jadi, saya dan Linda bercadang untuk mendaftarnya masuk ke kelas tarian ballet tahun hadapan.

Kosmo

Sunday, 10 June 2012

Hobi Que kini berlakon


QUE HAIDAR muncul sebagai Walid dalam teater yang berlangsung pada 22 hingga 26 Jun ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Matic, Ampang.


DIA adalah antara aktor yang ditunggu-tunggu kemunculannya. Malah tidak berlebihan jika disebut, melihat namanya dalam baris para pelakon, itu sudah merupakan faktor magnet untuk menonton manifestasi seni Que Haidar.
Tatkala dia meletakkan kata tegas untuk 'bersara' dalam bidang lakonan, ramai yang patah hati. Apabila kelibatnya muncul dalam filem Rock... Ooo melegakan ramai pihak. Kemudian, Que kembali senyap sehingga baru-baru ini dia mengaku mahu berlakon dalam sebuah teater bertajuk Primadona... Perahu Mimpi. Apa agaknya mimpi Que kali ini?

SENSASI BINTANG: Kenapa kembali berlakon?
QUE HAIDAR: Mula-mula saya hanya menjadi jurulatih lakonan dalam teater ini. Tiba-tiba saya jadi pelakon apabila Azie, pengurus studio Linda Jasmine petik nama saya sebagai pelakon. Melihat semangat para pelakon yang datang dari Johor, saya jadi bersemangat. Saya juga berasal daripada teater sejak 1997 hinggalah 2003. Saya juga rindukan suasana berlakon teater.

Boleh ceritakan sedikit tentang teater naskhah Rahimah Muda?
Teater puisitari ini bercerita tentang seorang wanita bernama Primadona yang membuka sebuah rumah hiburan. Dia seorang janda yang mahu menyelamatkan perempuan yang menjadi mangsa rogol atau wanita yang ditolak masyarakat. Tetapi rumah hiburan ini disalah erti sebagai rumah maksiat. Primadona dilakonkan oleh Datin Shima yang mempunyai vokal yang mantap dan lakonan yang baik. Turut berlakon dalam teater ini adalah Emelda Rosmila, Maulana AF dan Emma AF.

Pementasan teater ini merupakan teater kedua studio Linda Jasmine selepas KL Energetik. Kenapa mengangkat tema wanita, lagi?
Satu sebab di bawah studio Linda yang mengajar tarian. Kita gabungkan dengan teater di mana saya menjadi jurulatihnya. Kita mengangkat tema wanita dalam teater ini kerana kita bekerjasama dengan Pride Foundation yang menjurus kepada kanser payu dara. Kita jual tiket RM80 dan RM100 dan akan berikan satu jumlah kepada Pride sebagai amal.

Lama tidak terlibat dalam bidang teater, apa cabaran untuk Que kali ini?
Saya kena menyanyi dan membaca puisi, itu yang saya takut. Saya ini pula jenis tidaklah puitis sangat. Dalam melontarkan dialog, saya kena semacam berpuisi tetapi tidak terlalu nampak membaca puisi.
Adakah teater ini adalah titik tolak kepada kemunculan Que dalam bidang lakonan secara meluas?
Tidak. Saya mahu buat apa yang saya mahu buat. Buat sesuatu tanpa tekanan. Ramai sebenarnya rakan-rakan yang pujuk saya kembali berlakon. Saya mahu buat kerana kepuasan. Lakonan dan seni sudah jatuh sebagai hobi.

Ada kemungkinan untuk muncul lagi dengan teater?
Saya sebenarnya mahu muncul dengan teater yang mengangkat isu kemasyarakatan. Mungkin selepas hari raya nanti, mahu muncul dengan teater dengan skala yang besar. Saya mahu mengangkat isu gelandangan yang berlaku di negara kita.
Kenapa memilih isu gelandangan dan apa pandangan Que tentang masyarakat kita kini?
Saya melihat masyarakat kita semakin mementingkan diri sendiri. Saya membesar di kampung dan kemudian merantau ke Kuala Lumpur. Apabila berkahwin dengan Linda, saya melihat kehidupan dalam skop yang lebih luas. Pandangan saya terhadap manusia juga lebih besar. Saya jadi lebih sedar diri. Kosmo

Klik Untuk Saya k... :)

free counters