SYDNEY - Satu gempa bumi kuat di perairan Kepulauan Solomon
mencetuskan ombak tsunami setinggi 1.5 meter semalam yang merosakkan
puluhan buah rumah dan menyebabkan lima orang hilang di kepulauan
berkenaan di Lautan Pasifik.
Semua mangsa yang hilang itu dikhuatiri mati.
Pihak berkuasa kemudian membatalkan amaran tsunami di pantai-pantai yang terletak jauh dari lokasi gempa bumi.
Beberapa pegawai tempatan berkata, dua ombak tsunami setinggi 1.5
meter melanda Kepulauan Santa Cruz dengan menyebabkan antara 70 hingga
80 buah rumah rosak.
Seorang jurucakap pemerintah, George Herming memberitahu bahawa ramai
penduduk kampung berpindah ke tempat yang lebih tinggi sebagai langkah
berjaga-jaga.
"Kami percaya beberapa orang terbunuh dalam bencana ini," kata Komisioner Polis Kepulauan Solomon, John Lansley pula.
Tsunami itu terbentuk selepas gempa bumi 8.0 pada skala Richter melanda dekat bandar Lata di Pulau Santa Cruz.
Lata terletak dalam wilayah Temotu iaitu bahagian paling timur di
Kepulauan Solomon pada jarak sekitar tiga jam penerbangan dari ibu kota
negara itu, Honiara.
Temotu dihuni oleh sekitar 30,000 penduduk.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan, ombak tsunami setinggi tiga meter melanda sebuah dermaga Lata.
Beberapa ombak yang lebih kecil turut berlaku di Vanuatu dan New Caledonia. AP
No comments:
Post a Comment