Jom Buat Duit

Sunday, 29 January 2012

Diandra bukan Yuna



GADIS manis ini sungguh bertuah kerana diberi peluang bernaung di bawah label milik penyanyi popular Yuna, Yuna Room Records, sekali gus membolehkan karya dihasilkan selama ini dihimpunkan dalam satu album, menggunakan judul namanya.
Diandra Arjunaidi, 20, adalah cucu legenda perfileman negara, Datuk Jamil Sulong dan Datuk Rosnani Jamil, iaitu puteri kepada anak kedua mereka, Arjunaidi dengan Jeanne Choo Abdullah. Kehadiran album Diandra mengejutkan neneknya yang tidak sangka cucunya menjadi penyanyi kerana menyifatkannya sangat pemalu dan pendiam sejak kecil.

Bagaimanapun, anak kedua daripada dua beradik perempuan ini berjinak-jinak dengan dunia muzik sejak usia belasan tahun dan mula menghasilkan lagu waktu berumur 15 tahun.
Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui, sebelum Yuna, ada juga syarikat rakaman lain melamarnya tetapi waktu itu Diandra masih muda dan belum matang daripada sudut penghasilan lagu.

Begitupun, katanya, apabila meningkat dewasa dan berasakan diri sudah matang, tidak ada pula yang mahu menawarkan peluang.

“Segala-galanya bermula apabila saya diberi peluang oleh Reza Salleh menjayakan persembahan Moonshine. Di situlah Yuna mengesan bakat saya,” katanya.
Diandra tidak menyangka peluang itu datang secepat ini memandangkan banyak lagi perkara perlu difikirkan sebelum memikirkan soal menghasilkan album sulung.

Bakat dimiliki Diandra dapat menyakinkan Yuna, sekali gus menjadi artis pertama Yuna Room Records kerana Diandra punya pengikut dan sering mengadakan persembahan di gig dianjurkan.
Yang membanggakan Yuna, walaupun muda, Diandra mempunyai pelbagai pengalaman dan apa dilakukan Yuna Room Records sekarang adalah mengembangkan lagi bakatnya supaya dapat dikongsi peminat ramai.

Ternyata bakat yang ada dalam dirinya mula mendapat perhatian peminat. Album sulungnya yang memuatkan enam lagu Inggeris dan satu lagu Melayu, Angkasa, semakin mendapat tempat dan mula mendaki carta lagu popular.

Bernaung di bawah label milik Yuna secara tidak langsung menyebabkan ada pihak cuba membandingkan bakat mereka berdua. Ini diakui Diandra. Katanya, ada yang berpendapat muzik dan cara nyanyiannya sama seperti Yuna.

“Saya tidak setuju dengan tanggapan itu. Saya adalah saya. Muzik kami berbeza. Namun, sebagai orang baru saya tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif. Sebaliknya, ia satu penghargaan. Lama kelamaan, orang akan faham juga dengan muzik saya.

“Saya bersyukur kerana Yuna percaya dengan bakat yang saya miliki. Semua lagu yang dimuatkan dalam album pertama adalah gubahan dan tulisan saya. Saya mula buat lagu sejak di zaman sekolah iaitu dari 2005,” katanya.

Diandra mengakui tidak mempunyai pengetahuan tinggi mengenai muzik dan menghasilkan lagu berdasarkan gerak hati.
Dia kini masih menuntut dalam bidang Seni Persembahan di Kolej Sunway dan pengkhususan dalam bidang seni lakon. Pernah juga berlakon sebelum ini dalam beberapa drama, tetapi mengakui minatnya lebih tertumpu kepada muzik.

“Apabila ramai menerima baik karya yang saya hasilkan, ia menjadi pembakar semangat dan membuatkan saya mahu meneruskan kerjaya dalam bidang ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters