Jom Buat Duit

Monday, 30 January 2012

Amanda Amani - Saya Bukan Perampas

 Amanda Amani
Amanda Amani

KOTA Singa pernah menjadi saksi keakraban mereka, namun semua itu hanya tinggal kenangan. Amanda Amani dan Syarifullah Ahmad (Syarif) daripada band Sleeq, akhirnya membawa haluan masing-masing selepas beberapa bulan menjalin hubungan.
Perhubungan mereka barangkali ramai yang tidak mengetahuinya. Masakan tidak, seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi bermastautin di Singapura.
Kalau adapun yang mengagak, mereka itu mungkin pengikut pelantun popular dengan lagu Selamilah Cinta itu melalui laman sosial facebook (fb).

“Saya mengaku pernah sangat rapat dengan Syarif tapi selepas ada sesuatu yang terjadi dan tidak perlulah saya ceritakan di sini kerana ia terlalu peribadi, saya anggap pengalaman menjadi teman kepada Syarif itu satu pengajaran buat diri saya,” katanya.Jelas Amanda, kali pertama dia bertemu Syarif pada Anuerah Planet Muzik yang berlangsung di Singapura. Tidak dinafikan menurut gadis tinggi lampai dan bertubuh seksi ini, Syarif memenuhi kriteria lelaki disukainya seperti sopan dalam bicara pertuturan.

Mereka menjalin hubungan namun tanpa disedari rupanya Syarif sudah ada teman wanita ketika itu. Wanita yang sama juga dipercayai menjadi tunangannya.

“Dia memang pandai berkata-kata dan punya cara tersendiri. Saya hanya mahukan Syarif bersikap jujur terhadap apa yang terjadi dan ikhlas menjawab soalan daripada media dan berterus terang kepada peminat kami.

“Saya dipermainkan. Saya tidak tahu dia sudah ada teman istimewa. Justeru saya yang menerima akibatnya ekoran ketidakjujuran Syarif itu. Sampai ada peminat melemparkan tuduhan kononnya saya bertepuk sebelah tangan dan seorang perampas.

“Kami juga sudah lama terputus hubungan. Saya amat kesal dengan apa yang terjadi serta kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sebelum mengetahui dia dipermainkan, mereka pernah merancang untuk menjalinkan kolaborasi menerusi sebuah single baru. Bagaimanapun, dia membayangkan hal itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Ya, kami pernah berbincang mengenai perkara itu sejak Julai 2011 dan ia nampak positif pada masa itu. Kerjasama yang mahu dijalinkan bukan kerana kami berkawan ketika itu tetapi kerana konsep muzik yang bersesuaian dengan ‘attitude’ masing-masing. Namun selepas itu, tiada respons positif dan saya rasa ia tidak akan menjadi kenyataan.

“Dengan apa yang berlaku antara saya dan Syarif, mungkin selepas ini dia tidak lagi selesa bekerjasama sebagai rakan artis,” katanya.

Mahu melontarkan jauh-jauh segala kenangan dengan pemuda itu, Amanda lebih selesa mengabdikan dirinya terhadap pembikinan album baru.

Single pertama Amanda untuk 2012 berjudul Cemburu dan ia ditulis sepenuhnya oleh Malique. Berentak R&B dan rap dan single ini dilancarkan pada 11 Januari lalu.

“Saya sudah mula mengumpul beberapa lagu, tetapi ingin mengeluarkan single, demi single. Saya ingin dilihat dari sudut berbeza. Sebelum ini, saya banyak menyanyi lagu yang lebih berentak moderate dan berkonsepkan malar segar, sekarang saya ingin mencuba muzik yang lebih ‘edgy’, ‘trendy’ dan ‘fresh’.

“Saya juga ingin buat eksperimen dengan bunyi dan genre berbeza serta kolaborasi dan bekerjasama dengan produser, penulis lagu dan komposer berlainan untuk penghasilan album yang lebih ‘versatile’. Insya-Allah dalam album ini nanti, saya mahu menerbitkan lagu saya sendiri,” katanya.

Perbualan dengan gadis berwajah seksi itu turut menyentuh pendapat peribadi berhubung perjalanannya sebagai penyanyi tatkala ini selepas diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Apakah impak daripada kemenangan demi kemenangan mengubah kehidupannya?

“Pada pendapat saya, anugerah yang saya terima banyak memberi pengiktirafan kepada saya dalam bidang industri seni. Selepas anugerah Best Young Talent 2011 daripada World Association of Festivals and Artists (Wafa), saya juga mendapat jemputan dan undangan ke Eropah untuk membuat persembahan dan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Bukan itu saja, anugerah Vokal Terbaik - Artis Wanita Terbaru yang saya terima pada Anugerah Planet Muzik, Julai 2011 di Singapura juga membuka jalan meluaskan peluang saya di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Selain itu, anugerah seperti Best Pop Song daripada Voize Independent Music Awards (Vima) juga menguntungkan saya kerana Selamilah Cinta diiktiraf di sana.

“Sementara pencalonan Top 5 Album Inggeris Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 juga amat bermakna kerana saya menulis semua lirik dalam EP Inggeris itu.
Impak daripada itu membolehkan saya mengatur langkah seterusnya,” katanya.

Diakui sebagai salah seorang penyanyi baru berbakat besar, namun gemerlapan bintang Amanda bagai belum sepenuhnya. Justeru, penulis sendiri bertanya apakah dia merasakan dirinya kini sudah popular?

“Saya rasa perkataan ‘popular’ amat subjektif. Mungkin ada yang mendefinisikan popular dengan jumlah lagu yang hasilkan dan berapa banyak lagu menjadi ‘hit’.
Ada yang menyatakan seseorang itu popular jika selalu tampil dalam majalah dan selalu muncul dalam majlis sosial dan sebagainya.

“Namun popular bagi saya apabila berjaya mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan juga beberapa kali mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Tidak kisah popular atau tidak, saya bangga dengan kejayaan yang dikecapi setakat ini memandangkan saya boleh dikatakan masih ‘hijau’ dalam industri seni.

“Pun begitu, saya tidak menafikan banyak perkara boleh diperbaiki dalam nyanyian dari segi vokal, persembahan dan karya saya,” katanya.

Pertandingan peringkat antarabangsa yang akan disertainya dalam masa terdekat adalah Talent Show dan konsert People Need Love yang dianjurkan Amberstar TV.
Ia diadakan di atas kapal percutian yang akan berhenti di Riga dan Stockholm di Eropah yang bakal disiarkan di Amberstar TV.

Sebelum mengakhiri perbualan, gadis yang dibesarkan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ini sempat diajukan soalan cepu emas gara-gara ada peminat menggelarkan dia sebagai ‘Khloe Kardashian Malaysia’.

“Pertama kali saya dengar orang cakap Khloe Kardashian. Sebelum ini ada usik saya macam Megan Fox. Mungkin gaya saya memang ada persamaan dengan Khloe.
Kebetulan saya meminati kecantikan Megan Fox. Dia selalu muncul dengan rambut hitam dan mekap elegan,” katanya.

1 comment:

Klik Untuk Saya k... :)

free counters